
Azurium.
Azurium adalah kristal yang digunakan sebagai sumber tenaga dan penukaran tenaga. Ia kini digunakan untuk kuasa Cyberaya dan telah digunakan untuk membuat alat tertentu.
Sejarah[]
Seperti yang diceritakan oleh Bakar dalam MISI: PROTOKOL GEGAS, Azurium telah ditemui dan dikaji oleh saintis di Cyberaya 5 tahun lepas. Semasa kajian dijalankan, pengganas telah merampas Azurium dan berancang untuk membuat senjata untuk memusnahkan Cyberaya. Hal ini membuatkan keempat-empat ketua teras M.A.T.A. turun padang untuk menghentikan mereka. Mereka telah berjaya tetapi Djin, ketua teras INVISO telah terkorban.
Selepas kajian selesai, Azurium kini digunakan sebagai sumber kuasa seluruh Cyberaya. Ia juga digunakan untuk membuat gajet tertentu; yang paling terkenal ialah I.R.I.S.
Sifat[]
Azurium digunakan untuk menyediakan tenaga dengan mengubah item. Empat kristal Azurium akan disimpan menjadi empat meriam laser. Apabila kristal mula berputar, meriam laser akan dicaj. Laser akan ditembak secara serentak ke pusat, di mana item (biasanya sampah) diletakkan. Item yang ditembak akan hancur dan ditukar menjadi sumber tenaga.
Sungguhpun demikian, penyalahgunaan Azurium telah menarik perhatian saintis. Menurut Dr. Mala dalam MISI: ANALOG, sejumlah kecil mana pun Azurium yang diletupkan boleh mencetuskan ledakan nadi elektromagnetik (EMP) yang boleh mematikan semua teknologi di seluruh bangunan. Walaupun sedikit letupan Azurium tidak dapat membahayakan sesiapa pun, menurut Alicia, terdapat kemungkinan besar jumlah Azurium berpotensi untuk membunuh jika meletup.
Terdapat beberapa alat yang dicipta menggunakan Azurium: I.R.I.S., topi keledar yang boleh mengeluarkan DNA I.R.I.S., pedang Djin dan konverter tenaga mini.