Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: ANALOG ialah episod keempat dalam musim kedua siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 13 Oktober 2017.

Sinopsis[]

Analogman tiba di bandar Cyberaya untuk memusnahkan kesemua data dan fail yang berkaitan dengan teknologi. Selama menjalakan misi, Bakar pula mula merasa terganggu apabila dia teringat masa lampau bersama dengan Aliya, yang merupakan kakak perempuannya.

Plot[]

Episod bermula di mana Ejen Bakar memimpin Ali, Alicia dan Moon dalam misi menyiasat pencerobohan di Menara Beta. Ketika mereka menghendap di bilik stor, Ali menyedari bapa saudaranya sedang menggalas gajet berbentuk cakera baharu. Bakar menjelaskan secara ringkas bahawa alat tersebut digunakan untuk merebahkan semua sasaran berhampiran. Kedengaran suara orang menjerit di luar, maka seluruh pasukan pun bergerak keluar.

Di sepanjang koridor yang bergelimpangan pengawal-pengawal yang pengsan berjalannya Analogman, seorang lelaki tua yang memakai topi top hat, baju frock coat, cermin mata satu kanta dan bertongkat, mengeluarkan kata-kata yang merendah-rendahkan kemajuan teknologi sistem keselamatan bangunan. Seorang pengawal yang masih terjaga cuba meminta bantuan melalui radio, tetapi radionya dihancurkan dengan tusukan tongkat Analogman. Analogman kemudian menjatuhkan bom asap berupa jam analog untuk memecahkan pintu bilik simpanan ciptaan.

Sebaik sahaja penceroboh masuk, Pasukan Bakar keluar dan menghendap di tepi pintu makmal. Bakar bersandar pada tong sampah di mana seekor lipas keluar dan membuat dia takut. Di dalam makmal, Analogman memasang berkas-berkas dinamit pada peti simpanan. Pengawal dari tadi bangun semula dan hendak menyerang Analogman dengan belantan, tetapi segera dipatahkan dengan melemparkan mercun dan menyandung kaki dengan tongkat. Sebaik sahaja dia mahu memukul pengawal itu, kelihatan Bakar tunggang-langgang dikejar lipas sambil menyuruh anak-anak buahnya menangkap penceroboh.

Alicia melastik ke dalam bilik untuk menandakan kehadiran pasukannya. Analogman mengugut untuk menghidupkan bom dengan menghalakan kunci ke dalam mangga, tetapi dihalang oleh Comot yang menggondol kunci itu dan menghantarnya kepada Moon, kemudian Moon memancarkan klon untuk mengelirukan musuh. Ali menyerang Analogman dengan yoyo tetapi ditangkis dengan tongkat sehingga terpelanting.

Alicia melastik lagi, tetapi Analogman mengelak dengan melentikkan badan ke belakang dengan bertopangkan tongkatnya yang boleh lipat. Kemudian, Analogman melemparkan empat biji bom asap. Ali memutarkan yoyonya untuk berlindung sementara Alicia menepikan Moon. Bom-bom asap itu meletus dan menggugurkan klon-klon Moon. Sementara ketiga-tiga pelatih terbatuk-batuk dalam asap, Analogman memerangkap mereka dalam bilik dengan menyelak pintu dengan bar.

Bakar yang berdiri di atas tong sampah masih dalam ketakutan kerana lipas, merasai gegaran dari letupan dalam bilik simpanan. Dia segera menghubungi Ali untuk status. Sambil cuba memecahkan pintu, Ali menggunakan I.R.I.S. untuk mengesan Analogman dan mendapati dia sedang menuju ke pintu keluar bangunan, lalu memaklumkan Bakar. Oleh itu, Bakar turun dari tong sampah. Ali menggunakan ledakan yoyo untuk menjatuhkan selak pintu dan keluar bersam Alicia dan Moon.

Analogman berjalan terhincut-hincut ke arah pintu di lobi apabila Bakar sempat mengejarnya. Analogman membaling bom asap kepada Bakar tetapi ditampan dengan Perisai Plasma. Bakar mengambil kesempatan dengan melemparkan gajet barunya ke arah Analogman, tetapi gajet itu langsung tidak berfungsi dan Analogman berjaya keluar dari bangunan. Ali, Alicia dan Moon sampai di lobi Menara Beta. Bakar memungut cakera itu dan bertenggang mencari jalan untuk mengaktifkannya sehingga dia terjumpa dan suis di bahagian dasar dan menekannya tanpa berhati-hati, menyebabkan dia terkena renjatan elektrik.

Pasukan Bakar berhimpun di tempat persembunyian di tapak pembinaan di mana ketua pasukan melayan leteran hologram General Rama atas kecuaiannya. Bakar merungut tidak diajar cara mengaktifkan gajet barunya, lebih-lebih lagi semenjak Jenny tiada. General mengecam Bakar kerana menyebut nama Jenny si pengkhianat; anak-anak buah pun muram terdengar. General mengingatkan bahawa suspek telah membuat lebih dari empat serangan, setiap satunya lebih teruk daripada yang sebelumnya, malah walaupun semuanya berkaitan teknologi baharu, namun dia langsung tidak melarikan apa-apa. Alicia menyimpulkan bahawa motif Analogman adalah memusnahkan sasaran.

General menyebut lagi satu perkara paling merunsingkan tentang Analogman, iaitu dia tiada dalam "grid." Ali hairan kerana tidak kenal, jadi Alicia menerangkan tentang Grid Informasi Cyberaya yang menyimpan butiran setiap warga Cyberaya, termasuk kelahiran, pengenalan, pendidikan, lesen memandu dan sebagainya. Bakar masih tidak faham, maka General menengking lagi bahawa Analogman tidak wujud secara rasmi. General mengarahkan pasukan Bakar menggandakan usaha menyiasat kerana perlu tahu sasaran Analogman yang seterusnya, diakhiri dengan "Bertindak segera!"

Ali, Alicia dan Moon beredar dahulu, tetapi Bakar terkial-kial lagi mencari butang suis alat pemancar hologram. General membentak lagi sehingga Bakar terjatuh alatnya. Dengan nada perengus, General menegaskan bahawa seseorang ejen M.A.T.A. seharusnya mahir dengan teknologi lalu memadamkan hologram sendiri. Hal ini membuat Bakar berasa hampa dengan dirinya sendiri.

Suatu ketika kemudian pada waktu sekolah, Puan Munah mengumumkan kepada pelajar-pelajarnya yang hendak keluar waktu rehat bahawa akan diadakan lawatan sambil belajar keesokan hari dan meminta mereka meneka tempat yang ditujui. Mawar meneka Taman Tema Cyber manakala Viktor pula meneka E-Sport Arena. Semua murid masing-masing menjawab serentak menyebabkan Puan Munah naik rimas dan melibas rotannya, mengingatkan mereka bahawa lawatan sambil belajar bukan sambil bermain.

Puan Munah mengumumkan tempat lawatan ialah Pusat Teknologi Cybersains. Sasidaran teruja kerana akan dibawa pergi menyaksikan pengenalan Robopol yang akan berlangsung di situ. Mia berkata menarik manakala Shaun mengujar elok kerana tiada kelas. Ali pun tersenyum menyambut baik lawatan ini, lalu Puan Munah menghampiri Ali secara mengejut dan menggesanya untuk mengambil peluang ini untuk memperbaiki kelemahannya dalam subjek sains. Ali mengangguk dengan gementar.

Di kantin, Ali dan Viktor leka bermain dengan telefon. Sebaik sahaja menyedari nuget habis, Viktor pergi membeli lagi. Bakar yang menyamar datang menolak Ali ke tepi dan membawa selonggok burger untuk dimakan sambil bermuram. Bakar mengajak Ali makan burger tetapi dilayan dengan dingin, maka dia kesal dengan sikap anak saudaranya yang asyik bermain sehingga mengabaikan orang sekeliling, lebih-lebih lagi dia dan ibu Ali sewaktu kecil tidak berpeluang menyentuh peranti sedemikian tetapi tetap seronok bila bermain secara fizikal di taman, jadi Ali pun hairan bertanyakan zaman kanak-kanak Bakar.

Bakar menceritakan kisah suatu hari di taman di mana dia pernah mengajak tiga kawan bermain kejar-kejar tetapi mereka menolak, apalagi salah seorang kawan menganggap kejar-kejar sudah ketinggalan zaman. Seorang lagi kawan menegur ejekannya dengan mengingatkan secara sinis bahawa ibu bapa Bakar tidak mampu membelikan Gamebod; kata-kata itu membuat Bakar semakin sakit hati. Setelah tiga sekawan itu beredar, Bakar duduk di atas bangku dan termenung. Kakaknya pun datang jenguk dan bertanya, maka Bakar pun bertanya sama ada boleh meminta ayah belikan Gamebod. Kakaknya meremehkan hal Gamebod dan mengajak adiknya bermain kejar-kejar. Setelah habis cerita, Ali berpesan bahawa segalanya pada masa kini memerlukan teknologi, maka Bakar mengeluh bahawa itulah masalahnya. Sedar-sedar Ali mendapati dia kalah dalam permainan telefonnya, dan Bakar pun meminta diri. Viktor kembali dengan nuget baru dan hairan melihat longgokan burger di sebelah Ali.

Keesokan hari, rombongan 6 Avicenna tiba di Pusat Sains Cyberaya. Mereka berhimpun di hadapan pintu besar, di mana Puan Munah mengingatkan mereka untuk menjaga kelakuan diri supaya tidak dihantar balik ke sekolah. Sebaik sahaja masuk, para pelajar kagum menyaksikan bermacam-macam pameran teknologi canggih, malah turut mencuba. Antaranya reruai permainan realiti maya yang digunakan oleh Viktor dan ditemani Mia dan Boy. Ali juga pergi ke situ dan sempat merebut giliran untuk mencuba selepas Viktor.

Ketika Ali bermain, Shaun mengambil kesempatan untuk mengusik mesin permainan sehingga Ali terkacau dan jatuh tunggang-langgang. Dia digelakkan oleh semua rakan sekelas, malah ditegur oleh Puan Munah yang mengingatkan jangan sentuh jika tidak tahu guna kerana dia tidak mampu mengganti rugi jika peralatan rosak. Sementara murid-murid lain berkumpul semula di pameran realiti maya, Ali berpeluk tubuh dan sebal atas kejadian tadi. Alicia berdampingan dengan Ali dan mengingatkannya untuk belajar dalam lawatan ini. Ali mengeluh sudah belajar tadi, tetapi Alicia menegurnya balik kerana berkelakuan kebudak-budakan, jadi Ali pun membangkang.

Siar raya Pusat Teknologi berkumandang menjemput para hadirin berkumpul ke kawasan pentas untuk menyaksikan pameran utama iaitu majlis pelancaran Robopol. Sasidaran yang menantikan acara ini pun berlumba-lumba ke situ, dan Ali dan Alicia pun ikut sekali bersama murid-murid lain. Dr. Mala dipersilakan ke pentas dan disambut dengan sorakan segenap penonton. Dia berucap untuk memperkenalkan Robopol, iaitu robot humanoid kegunaan polis yang tercipta hasil kerjasama antara Menara Beta dan Gamma.

Empat unit Robopol ditampilkan di atas pentas. Ali mendapati robot itu menyerupai droid M.A.T.A. dan hairan mengapa teknologi lama digelar baharu. Alicia menyampuk Ali dengan menerangkan bahawa kebanyakan teknologi baharu akan digunakan oleh M.A.T.A. tiga tahun awal sebelum diperkenalkan kepada umum untuk memastikan teknologi Cyberaya sentiasa di hadapan. Tambahnya lagi, ini adalah persetujuan antara pengasas Cyberaya dan M.A.T.A. Atas arahan Dr. Mala, keempat-empat unit Robopol berbaris dan menabik sambil melafazkan sedia berkhidmat; persembahan itu disambut meriah oleh para hadirin dengan sorakan dan tepukan tangan.

Apabila Dr. Mala meredakan sorakan, tinggal seorang menepuk tangan secara berlarutan, iaitu Analogman yang merancang untuk "menguji kecanggihan robot-robot itu." Mula-mula, Analogman membaling beberapa biji bom asap ke atas pentas, lalu satu unit Robopol sempat menangkap semuanya. Semua hadirin pun bertempik sorak termasuk Viktor yang menganggapnya pertunjukan yang hebat. Tiba-tiba bom meletup menjatuhkan unit terbabit, maka hadirin pun ketakutan dan melarikan diri. Tiga lagi unit Robopol menembak ke arah Analogman, maka dia menampan dengan membuka payung perisai dari tongkatnya.

Pelajar-pelajar semua pun panik dan berlari lintang-pukang. Puan Munah menyuruh mereka berlindung di belakangnya segera. Alicia mengajak Ali bertukar pakaian. Ali mengangguk dan hendak berpesan di sebelah pintu masuk ada mesin rahsia, tetapi Alicia sudah berjalan jauh di hadapan jadi Ali pun terpaksa mengejar.

Dr. Mala bersembunyi di tangga pentas, tetapi dia dijumpai oleh Analogman yang membaling bom asap ke arahnya. Satu unit Robopol datang untuk membendung bom itu secara meniarap lalu terletup. Satu lagi unit mencampak Dr. Mala ke tepi untuk memakan bom, sementara unit terakhir memasang fungsi pengesan haba untuk mengesan penceroboh dalam asap tebal tetapi akhirnya dipukul sampai pecah oleh Analogman dengan tongkatnya.

Setelah Ali dan Alicia bersalin pakaian sut, Ali mendapati keadaan semakin buruk dan meminta Ali menghubungi Ejen Bakar. Ali berbuat demikian tetapi tidak terjawab; Bakar masih bermasam muka sambil leka makan burger tanpa mengendahkan panggilan telefon. Sementara itu, Puan Munah berjaya mengarahkan murid-murid lain keluar melalui pintu kecemasan. Analogman bertindak memasang penggera, menyebabkan pintu pengadang turun di pintu kecemasan; Puan Munah sempat menyusup lalu sebelum tutup.

Analogman memasang berkas-berkas dinamit pada semua bahan pameran teknologi tinggi, semuanya terhubung dengan sebuah peti kawalan yang mempunyai muka jam sebagai penanda masa, menjadikan satu rangkaian bom jangka. Dia bersedia memasukkan kunci ke dalam petinya tetapi disampuk oleh tembakan Dr. Mala dengan bangkai unit Robopol. Analogman membalas dengan membaling mercun ke arah pencipta itu, menyebabkan dia jatuh rebah. Melihat keadaan itu, Ali dan Alicia bergerak mengejar masa.

Analogman mengikat Dr. Mala pada kerusi sambil bertanya sama ada dia pernah melihat keadaan di pinggir Cyberaya di mana penduduknya serba daif dan disisihkan semata-mata kerana tidak terkejar arus teknologi. Kemudian, dia berjalan ke peti kawalan bom sambil mengujar bahawa warga Cyberaya sudah melupakan nilai kemanusiaan dalam mengejar kemajuan.

Sebaik sahaja Analogman hendak memasukkan kunci, dia disampuk oleh peluru lastik Alicia yang menjatuhkan kunci, sementara Ali menggesanya untuk melepaskan Dr. Mala. Analogman membaling bom asap ke arah mereka tetapi terelak, dan Ali melontar yoyonya ke arah musuh sampai mengena. Analogman bangun dari jatuh dan mengeluh anak muda zaman sekarang tidak menghormati orang tua. Dia digugat oleh tiga lagi peluru lastik tetapi sempat menampan dengan perisai tongkat yang juga digunakan untuk menangkis yoyo Ali. Ali menggunakan I.R.I.S. untuk mengesan kelemahan Analogman dan oleh itu menggunakan yoyo untuk mencekup tongkat, dibantu oleh Alicia yang melastik orangnya sehingga terlepas tongkatnya. Akhirnya, Ali membaling yoyonya sekali lagi, membuat Analogman terpelanting.

Ali dan Alicia bersedia untuk melepaskan Dr. Mala dari ikatan, maka Analogman mengugut untuk meletupkan pameran reaktor Azurium. Ali naik cemas sementara Alicia pula tenang menduga bahawa bekalan Azurium dalam pameran sepatutnya tidak cukup untuk membahayakan orang ramai. Analogman meragui telahan Alicia sambil mengangkat bom asap ke atas reaktor. Dr. Mara menyeru Ali dan Alicia menghalang Analogman, tetapi sudah terlambat kerana bom sudah dijatuhkan ke dalam tabung reaktor dan diletupkan oleh pancaran Azurium. Alicia melastik lagi tetapi peluru gugur di tengah jalan, seluruh bangunan jatuh gelap-gelita dan I.R.I.S. pun terpadam, kesan daripada letupan reaktor. Dr. Mala menjelaskan bahawa sedikit mana pun Azurium akan menghasilkan gelombang elektromagnetik apabila diletupkan.

Dalam kegelapan, Ali dan Alicia digemparkan oleh bom asap yang terbaling entah dari mana. Berkumandangnya suara Analogman yang tidak kelihatan mempersendakan mereka kerana terlalu bergantung pada alatan canggih sehingga kini tidak terdaya melakukan apa-apa. Analogman menyerang hendap Ali, tetapi Ali segera berpaling dan sedia membalas dengan yoyo dalam tangan. Analogman menangkis yoyo itu dan menyandung Ali dengan tongkatnya, kemudian dia mengeluarkan pancang skru dari mata tongkat dan bersedia untuk menusuk Ali yang tertelentang.

Mujur Alicia datang menghalang Analogman dengan menumbuknya dengan tangkai Balistik, maka mereka berdua pun berlaga dengan senjata batang masing-masing. Analogman membaling bom lagi, dan Alicia menghindar dengan balik kuang. Alicia terus memukul balik dengan Balistik tetapi sempat ditampan oleh Analogman dengan membuka perisai tongkat. Alicia melonjak dan menyerang semula, dan Analogman memukul pergelangan tangannya, membuat Balistik tercicir. Kemudian, Analogman membaling lagi bom asap membuat Alicia jatuh tergolek dan pengsan, kemudian bergegas semula ke arah bom jangkanya.

Ejen Bakar muncul secara mengejut dengan jatuh dari salur udara siling. Analogman hairan menyoal bagaimana dia boleh masuk tiba-tiba, maka Bakar menjawab bahawa seorang ejen mesti pandai menyelinap ke mana sahaja dia diperlukan. Sedia untuk bertempur, dia menyuruh Ali membawa Alicia dan Dr. Mala ke tempat selamat. Analogman mengugut bahawa lawannya akan berkecai sebelum menyentuhnya, maka Bakar bertanya balik siapa akan berkecai dahulu.

Bakar memasang suis gajet cakeranya dan melemparnya ke arah Analogman, tetapi ia ditampan oleh Analogman dengan perisai tongkatnya lalu tercampak jauh. Bakar menjadi cemas kerana kebuntuan manakala Analogman ketawa terbahak-bahak sambil membaling bom asap bertubi-tubi. Bakar berlindung dengan Perisai Plasma tetapi ia cepat terpadam, jadi dia pun lintang-pukang sehingga bersembunyi di reruai pameran realiti maya. Sambil membaling lagi bom asap, Analogman mentertawakan Bakar kerana tidak mampu berlawan walaupun berkelengkapan canggih.

Ali senyap-senyap membuka ikatan Dr. Mala sementara Analogman mencari-cari Bakar. Bakar bersembunyi di tepi kereta pameran dan dilanda bom asap yang terbaling ke situ. Setelah bom meletup, Analogman pergi memeriksa di situ tetapi tidak jumpa orangnya; Bakar pun menyerang hendapnya dengan pintu kereta yang tercabut sebagai perisai. Analogman membaling lagi bom ke arah Bakar tetapi tidak berkesan, lantas Bakar mencampak 'perisainya' dan menumbuk muka musuhnya sehingga tercampak jauh. Analogman kelihatan sudah pengsan dari tumbukan tadi, jadi Bakar pergi mendekatinya. Secara mengejut, Analogman cepat bangun semula dan memasang dinamit ke atasnya; dinamit itu langsung meletup dan Bakar pun terpelanting.

Bersembunyi di tangga pentas bersama Dr. Mala dan Alicia, Ali terlihat apa yang menimpa Bakar lalu bergegas ke arahnya. Dia menggeram ke arah Analogman yang berjaya mengunci bom jangkanya untuk meledak dalam satu minit. Sebaik sahaja Analogman mahu beredar, Ali menyerangnya di belakang dan bergelut untuk merebut kunci bom. Bakar bangun semula dan terpandang perkelahian Ali dan Analogman, kemudian dia terlihat gajet cakeranya di hadapan lalu merangkak ke situ.

Analogman menjatuhkan Ali dan bersedia untuk menusuknya lagi dengan pancang tongkatnya. Bakar menyeru anak saudaranya menepi sambil menghidupkan cakeranya, dan Ali pun mengambil kesempatan dengan menyandung kaki Analogman dengan tangannya. Bakar melempar cakera sampai mengena, dan Analogman pun terenjat dan pengsan. Ali merampas kunci dari Analogman dan sempat mematikan bom satu saat sebelum meletup. Dia menarik nafas lega dan berbaring di sisi bapa saudaranya dan mengucapkan syabas. Bakar tersenyum gumam melihat suasana dewan pameran malap dan porak-peranda akibat ancaman musuh tadi.

Suatu ketika kemudian semenjak peristiwa Analogman, Bakar datang melawat Ali di rumahnya. Ali mengeluh tidak dapat menghubungi Bakar walaupun berkali-kali mencuba, jadi Bakar menyemak telefon dan terkejut melihat dia terlepas sebanyak 20 panggilan. Ali menunjukkan bahawa telefon Bakar terpasang mod senyap selama ini. Sambil melayan permainan video, Ali bercerita kepada Bakar bahawa kata-kata Analogman ada betulnya yang mana sungguhpun Cyberaya makin maju, namun ramai orang dalam kesusahan kerana teknologi. Bakar menyanggah kata-kata itu dengan berhujah bahawa masalahnya bukan dengan teknologi tetapi dengan manusia; teknologi wujud untuk memenuhi keperluan manusia tetapi manusialah yang menentukan baik buruknya. Tambahnya, Cyberaya dibangunkan dengan tujuan memperkaya teknologi. Ali setuju dengan hujah bapa saudaranya.

Ali dan Bakar merenung gambar foto ibu Ali, maka Bakar terkenang zaman kanak-kanaknya lagi apabila kakaknya menghadiahkan alat permainan elektrik seiras Gamebod yang dipasangnya sendiri di sekolah rendah teknologi yang dihadirinya. Bakar malah memuji kakaknya tetapi sedikit kecewa kerana rupanya seperti permainan lama. Kakak pun merajuk dan hendak menarik balik alatnya, tetapi Bakar cepat menarik balik kata-katanya. Kakak masih kecewa kerana tidak diucap terima kasih, jadi Bakar pun berbuat demikian.

Watak[]

Trivia[]

  • Ini adalah episod kedua yang disiarkan pada hari Jumaat ke-13, pertama ialah MISI: UNO.
  • Kisah ini mirip dengan Musim 1 Episod 4, MISI: COMOT di mana kedua-dua episod ini kurang penekanan pada aksi.
    • MISI: COMOT lebih fokus kepada aspek emosi manakala MISI: ANALOG lebih fokus kepada isu terkini daripada masyarakat maju teknologi.
    • Para wira sedang berhadapan dengan penjenayah yang sedang berlaku (kecurian dilakukan oleh kucing liar yang diubah suai secara genetik, jenayah yang dilakukan oleh Analogman).
    • Penjahat berjaya memerangkap wira dan menggunakan bom untuk melakukan kejahatan.
      • Dalam MISI: COMOT, Abang Bear, Komeng dan gengnya berjaya memerangkap Ali, Bakar dan Alicia, dan cuba menggunakan bom untuk membunuh mereka. Dalam episod ini, Analogman berjaya memerangkap Ali, Alicia dan Dr. Mala, dan cuba menggunakan bom untuk memusnahkan ciptaan baru teknologi dan bangunan itu.
    • Ali bertempur dengan penjahat tanpa menggunakan I.R.I.S. dalam kedua-dua episod.
    • Ali berjaya menghentikan kedua-dua bom jangka dalam dua episod ini dengan hanya satu saat.
    • Ejen-ejen juga baring ke lantai setelah menghentikan kedua-dua bom jangka.
  • Ini adalah episod kedua yang menunjukkan ketakutan Bakar terhadap lipas. Yang pertama ialah MISI: BLUEPRINT.
  • Ini adalah episod kedua yang menunjukkan imbas kembali tentang ibu Ali dan Bakar sewaktu muda. Yang pertama ialah MISI: BANGKIT.
  • Ini adalah episod kedua yang terdapat watak (kali ini ialah Viktor) menganggap bahawa Ali makan makanan yang banyak. Yang pertama ialah Bakar dalam MISI: COMOT.
  • Ini adalah episod kedua yang Bakar tidak menjawab panggilan telefon daripada Ali kerana sedang kecewa tetapi kemudian datang sebagai bantuan, yang pertama ialah MISI: SENSASI. Daripada kecewa dengan Ali, Bakar kecewa dengan dirinya sendiri.
  • Ini adalah episod kedua yang menunjukkan gambar keluarga Ali. Yang pertama ialah MISI: COMOT.

Galeri[]


Video[]

Navigasi[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement