MISI: ARENA ialah episod pertama dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 25 Jun 2022.
Sinopsis[]
Ali dan rakan-rakan dipanggil ke lokasi rahsia untuk bertanding dalam pertandingan berprestij. Rizwan dalam masalah dan bekerjasama dengan Dos. (Disney+ Hotstar)
Plot[]
Episod bermula dengan Rizwan mengalami mimpi ngeri bertemu dengan Uno yang menggodanya untuk "meneruskan perjuangan mereka." Setelah terjaga dari tidur, dia sedang menjalani rawatan mengeluarkan Azurium dari badannya di tempat persembunyian Cuatro. Pada masa yang sama, datangnya seorang penceroboh ke tempat itu; rupa-rupanya Dos datang meminta tolong untuk mengeluarkan Azurium juga.
Beralih ke kawasan perumahan Cyberaya pada waktu subuh, Bakar cuba menjagakan Ali secara mengejut secara menyelinap ke dalam biliknya, tetapi Ali sudah bangun awal untuk bersenam di taman. Setelah mengejar Ali, Bakar memuji Ali kerana bertambah ceria kebelakangan ini walaupun. Ali juga meluahkan azam untuk menjadi ejen M.A.T.A. yang hebat seperti ibunya walaupun sudah diceraikan dari I.R.I.S..
Sewaktu bersarapan, Ghazali menceritakan tentang projek baharu yang sedang diusahakannya di bawah majikan baharu, Dato' Hisham. Ali juga menerima surat kebenaran yang dikirim dari "Kelab Setem" dan ditandatangani oleh bapanya. Sebenarnya, surat itu ialah jemputan ke sesi "kelas dalam talian" Akademi M.A.T.A. di mana Ali (dan Comot) bersua kembali dengan rakan-rakan seakademinya setelah sekian lama. Ejen Geetha bertindak selaku pengerusi sidang, meredakan kebisingan dalam "kelas" (dan menghukum putus talian Ejen Bakar kerana menyampuk), manakala Ejen Karya memberitahu semua ejen-ejen muda supaya tiba di koordinat yang ditetapkan sebelum pukul 8:00 pagi esok. Ali bertanya hendak buat apa di sana, dan Geetha menjawab dia hanya akan tahu setelah tiba di sana.
Ali bersama Alicia tiba di taman permainan mengikut koordinat yang diberikan. Ali hairan kerana melihat tempat itu tidak kelihatan rahsia. Alicia berasa leceh dengan kealpaan Ali, memimpinnya ke dalam pondok gelongsor untuk mencapai pintu rahsia. Mula-mula, mereka berdepan dengan halangan kehadiran Aunty Faye dan cucunya Danish yang sedang bergiat di situ, tetapi Bakar membantu dengan menyamar sebagai penjaja aiskrim untuk mengalih perhatian mereka.
Alicia menyusun kod laluan pada mainan tic-tac-toe dalam gelongsor untuk membuka pintu rahsia. Setelah masuk, Ali, Alicia dan rakan-rakan seakademi dipimpin oleh Ejen Geetha ke lapangan yang diduduki oleh dua buah capture point. Ini membuat semua ejen teruja dan bercadang untuk berlatih mengadu kehebatan satu sama lain, tetapi Chris teragak-agak kerana takut akan didenda seperti dahulu. Ejen Geetha memberikan izin untuk berlatih asalkan tidak menyebabkan kecederaa. Jet memilih Chris, Rudy dan Khai untuk menyertai pasukan pertahanan capture point. Dikutuk oleh Mika kerana memilih bulu, Jet sempat memerli Ali tidak berguna kerana tidak lagi memakai I.R.I.S. Bulat menarik diri dari berlatih, maka tinggal, Ali, Alicia, Iman, Mika, Moon, Roza dan Zass menjadi barisan penyerang.
Setelah kumpulan Jet mengambil tempat di sebuah capture point, Khai memijak pusat pentas untuk mengaktifkan permainan. Setelah menunggu sejenak, Chris bertanya mengapa barisan penyerang lambat sampai; tiba-tiba mereka digemparkan oleh projektil Balistik berasap dari Alicia. Setelah asap reda, kelihatanlah barisan penyerang mengepung capture point dari semua arah. Tujuh lawan empat, satu formasi yang tidak adil bagi Jet.
Roza melaungkan arahan menyerang, dan Mika membuka pertarungan dengan menghentam pentas dengan daya sut MEKA. Jet menghujani Mika dengan tembakan Wrist Blaster-nya dari udara, tetapi disampuk oleh Roza dengan tembakan laser dari senapang "INDAI"-nya lalu disangkut oleh Iman dengan selendangnya dan dijatuhkan oleh Alicia dengan Balistik. Chris menyerang hendap Alicia dengan Plasmakris, kemudian Ali datang menjatuhkan Chris dengan gasing warisan ibunya, tetapi gasing melantun balik dan menjatuhkan Ali.
Sementara perlawanan latihan berlangsung, di bilik pencerapan Arena, Bakar sambil menyuap Comot menanya Karya di mana perginya ejen Leon yang tidak menghadiri kelas dalam talian semalam; jawabnya dia pergi menjemput ejen-ejen lain. Ini membuat Bakar teringat akan "ejen import". Pada masa yang sama, Leon hadir dalam bilik, menjelaskan bahawa yang dijemputnya ialah ejen muda antarabangsa. Bakar pun tertanya di mana mereka.
Roza menembak-nembak ke arah Jet yang berlindung di sebalik batu sambil menyerunya untuk menyerah diri, sementara Ali mengasak Chris dengan yoyo dan bantuan Zass. Iman pula menggunakan selendang untuk cuba memecahkan perisai daya Khai yang terpancar dari R-O, sementara Rudy melontarkan Shadow Cuff ke arah Moon tanpa sekali pun mengena, lalu diangkat oleh Mika dari belakang untuk digeletek oleh Moon. Jet cemas menyuruh Chris untuk pergi mempertahankan satu lagi capture point sambil menembak jatuh Zass yang cuba menyerang hendap Chris di atas pentas.
Alicia menyedari Chris bergerak dan menyuruh Ali dan Iman pergi menghalangnya. Menyedari dua orang itu mengekorinya, Chris melontarkan sebilah keris ke belakang, menyebabkan Iman menjatuhkan Ali untuk mengelak. Ali bangun tetapi tersangkut dengan selendang Iman. Ketika Chris menghampiri capture point yang satu lagi, ia sudah ditawan oleh Rizka, salah seorang ejen antarabangsa. Melihat Chris berlagak silat, Rizka turun untuk menduga kekuatannya dengan mengacukan Kerambit Plasma Berkembar secara bertubi-tubi ke arahnya. Chirs hanya mampu mengelak-elak tanpa melawan balik sebelum dijatuhkan oleh Rizka. Ali dan Iman datang memapah Chris sambil dialu-alukan oleh Rizka.
Di sekitar capture point yang asal, Roza mengulangi seruan kepada Jet untuk menyerah diri apabila capture point itu pun telah ditawan secara mengejut oleh seorang lagi ejen antarabangsa, Sam. Mika bangun dari menundukkan Rudy dan mengecam teruna tak diundang itu sebagai penyibuk. Moon menunjuk ke arah seorang lagi ejen lelaki berbadan sasa di belakang Mika; Mika cuba menumbuknya tetapi si sasa yang bernama Aleks menahan tangannya dan menghumbannya jauh-jauh sehingga terhempas di atas batu. Rudy naik marah melihat tindakan Aleks dan pergi bertentang mata sementara Moon pergi membantu Mika yang tersepit dalam runtuhan batu.
Roza menyeru kepada ejen-ejen muda yang tinggal supaya jangan membiarkan ejen asing menawan capture point, tetapi belum sempat sesiapa menghampiri Sam, dari langit turunnya rakan setugasnya iaitu Kim yang memainkan keytar yang dipegangnya untuk melepaskan ledakan daya yang kuat untuk melentingkan semua penyerang, kemudian menyapa "helo" kepada mereka dengan polos. Sementara semua ini berlangsung, Bulat sepi bermain bola rubik di tempat berehat.
Rizka menerajang Chris dan Ali dan memecut ke capture point pertama tetapi dihambat oleh Iman yang melepaskan Meteor Hammer ke arahnya. Rizka membalas dengan memaku selendang Iman pada tanah dengan kerambitnya lalu menerajang muka Iman. Chris melontar keris ke belakang Rizka dan nyaris mencalar bahu kirinya, membuat Rizka berpaling ke arahnya dengan garang. Aleks yang sedang berlawan dengan Rudy mengaktifkan Sut Gravitinya untuk mengelak serangan Rudy. Kemudian, dia mengubah mod sutnya untuk menahan Rudy dan menghumbannya jauh-jauh ibarat lontar peluru. Rudy tercampak ke arah tempat Mika dan Moon lalu menghempap mereka yang baru bangun.
Ali cuba menolong Iman mencabut kerambit dari selendangnya, tetapi Iman menyuruhnya pergi menolong Chris dahulu. Ali pun pergi untuk mempertahankan Chris yang dikasari Rizka dengan memutarkan yoyonya seperti kipas untuk menepis lontaran kerambit Rizka. Malangnya, sebilah kerambit membolosi kipasan yoyo dan mengena Chris. Rizka pun bergerak ke depan untuk menghampiri Chris sambil menghunus kerambitnya. Raungan kesakitan Chris menarik perhatian kesemua ejen lain yang berlawan untuk pergi berkumpul dekat dengan Chris yang cedera teruk, sementara Ali gemuruh mendongak ke arah Rizka yang tercungap-cungap dalam geram.
Permainan ejen-ejen muda digemparkan dengan kehadiran empat ejen antarabangsa - Rizka, Sam, Aleks dan Kim yang menimbulkan huru-hara di kalangan pemain pertahanan dan penyerang sekali gus. Lebih-lebih lagi Rizka yang mahir dalam silat; di saat genting, dia menyasarkan Chris. Iman yang tudungnya terpaku di tanah dengan keris-keris lontaran Rizka menyuruh Ali untuk menolong Chris yang tersungkur. Ali sempat menepis serangan Rizka tetapi satu lontaran keris akhirnya membolosi tepisan yo-yo Ali dan mengena pada Chris, menyebabkan dia tercedera.
Selepas latihan, semua ejen muda berhimpun di foyer bangunan Arena di mana Ejen Leon mengumumkan bahawa akan diadakan Pertandingan M.A.T.A. Arena berprestij yang menguji kebolehan semua ejen muda yang diperoleh daripada pengalaman menjalani misi; malangnya, pertandingan ini tidak akan dapat disertai Chris disebabkan kecederaan tadi. Semua ejen akan menetap di perkarangan Arena sepanjang pertandingan yang terdiri daripada tujuh acara, dan setiap peserta akan meraih mata. Ejen yang tidak mencapai mata minimum akan disingkirkan dari M.A.T.A, sementara empat ejen paling cemerlang akan lulus dari Akademi dan naik ke pangkat seterusnya, tetapi hanya seorang akan menempa nama sebagai Juara M.A.T.A. Arena. Ini membuatkan Ali bertambah semangat. Sementara pengumuman, Ejen Bakar bertanya mengapa pertandingan diawalkan kerana khuatir ejen-ejen muda belum bersedia; Karya berkata ini arahan dari ketua teras dan Geetha berkata mungkin ada lagi yang belum diketahui.
Sementara itu di suatu lokasi tidak diketahui, Jenny menjagakan Trez di suatu tempat persembunyian. Trez bertanya bagaimana mereka terselamat, dan jawabnya itu jasa daripada Rizwan si "ejen pembelot." Jenny pun mempelawa Trez untuk bergabung. Trez menyoal Jenny mengapa hendak terus melakukan kejahatan padahal mereka sudah bebas dari bayangan Uno, dan jawabnya, dia tidak mahu usahanya disia-siakan untuk mengambil alih M.A.T.A.
Watak[]
- Watak utama
- Watak sampingan
[]
Papar • Sunting Episod | ||
---|---|---|
Musim 1 | MISI: I.R.I.S. • MISI: ALPHA • MISI: SERI • MISI: COMOT • MISI: BLUEPRINT • MISI: BANGKIT • MISI: PROTOKOL GEGAS • MISI: PRESTASI • MISI: POTENSI • MISI: SENSASI • MISI: BUKTI • MISI: UNO • MISI: OVERRIDE | |
Musim 2 | MISI: AKADEMI • MISI: ORIENTASI • MISI: MAIN • MISI: ANALOG • MISI: CABAR • MISI: SUSU • MISI: KEMBALI • MISI: TUJUAN • MISI: PERANAN • MISI: ATLAS • MISI: HARAPAN • MISI: DIEZ • MISI: LEGASI | |
Musim 3 | MISI: ARENA • MISI: BOLEH • MISI: UPGRADE • MISI: BALAS • MISI: BLACKOUT • MISI: BURU • MISI: JERAT • MISI: UBAH • MISI: HYBRID • MISI: KHEMAH • MISI: GETIR • MISI: SENGAT • MISI: JAGUH |