Ejen Ali Wiki
Advertisement


MISI: ATLAS ialah episod ke-10 dalam musim kedua siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 16 Februari 2018.

Sinopsis[]

Analogman kembali membuat kekacauan di bandar Cyberaya dengan bantuan rakan-rakan barunya. Sementara itu Ali memperkenalkan ciptaan gajet barunya yang dipanggil Atlas.

Plot[]

Analogman sedang dipindahkan ke penjara dalam lori banduan setelah dijatuhkan hukuman. Dikawal rapi oleh droid polis Robopol, dia menyapa anggota polis manusia yang mengiringinya sambil makan donat dan bertanya berapa lama sebelum sampai. Anggota polis itu membentak menyuruhnya berdiam diri. Analogman berpesan kepada anggota polis itu jangan berlagak dan mengingatkan bahawa lama-kelamaan dia akan digantikan sepenuhnya oleh "mesin-mesin," merujuk kepada droid polis.

Tiba-tiba lori tertekan brek kerana dihalang secara mengejut oleh kerja baik pulih jalan yang dijalankan oleh manusia. Pemandu lori hairan kerana kerja baik pulih sudah tidak menggunakan tenaga manusia lalu meminta teman droidnya pergi menyuruh pekerja berhenti. Maka droid itu pun turun dan menuruti arahan, tetapi tidak disangka dia terpijak simen dan diserang oleh "pekerja-pekerja" yang sebenarnya merupakan sekumpulan penjahat. Pemandu lori pun naik cemas dan menyeru Robopol yang mengawal banduan segera turun. Maka turun juga droid-droid berkenaan berhadapan dengan penyerang, tetapi mereka pula dilanggar oleh jentera penggelek jalan.

Penyerang bertiga pun memecah masuk ruang banduan lori, melontarkan sepana untuk menjatuhkan anggota polis lalu naik masuk. Mereka lantas menghadap Analogman dan lantang menyokong perbuatannya di Cybersains. Ketua penyerang mengeluh bahawa mereka pernah berjasa membangunkan Cyberaya tetapi terus diketepikan setelah bandar mencapai kemajuan, malahan melantik Analogman sebagai ketua mereka.

Di makmal Akademi M.A.T.A, Ejen Geetha mengadakan kelas khusus teras Tekno kepada Ali, Khai dan Bulat, di mana dia mengajarkan bahawa setiap ejen menerima gajet yang sesuai dengan keupayaan diri mereka masing-masing. Mengambil Ejen Karya sebagai contoh, Geetha menerangkan bahawa dia mencipta kanta khas untuk mempercepat proses hipnosis rakan sekerjanya itu. Memandangkan teras Tekno terdiri daripada pencipta gajet untuk seluruh pasukan, Geetha memberi setiap anak buahnya tugasan mencipta gajet untuk seorang rakan sekelas dalam masa seminggu. Ali memilih untuk mencipta gajet untuk Alicia dalam tablet lalu bertanya sama ada dia dibenarkan menggunakan I.R.I.S. untuk tugasan ini. Geetha membolehkan, jadi Ali gembira kerana menjangka akan senang menyelesaikan tugas.

Selepas Geetha meninggalkan makmal, Ali hairan melihat Bulat sudah mula mengerjakan ciptaan. Bulat berpesan jangan mengambil mudah Ejen Geetha kerana walaupun biasanya lemah-lembut tetapi apabila marah, dia akan lebih garang daripada Ejen Leon. Sedikit gerun dengan pesanan Bulat, Ali beralih kepada Khai yang sedang membaiki R-O dan bertanya khabar semenjak peristiwa di pinggiran. Khai berdiam diri, maka Ali bertanya sama ada dia tidak mengerjakan ciptaan. Khai dengan sugul menjawab belum. Ali memegang pemutar skru Khai sambil bertanya apa yang hendak dilakukan dengan R-O, maka Khai bentak menyuruh Ali jangan menyibuk dan merampas balik pemutar skru. Iman dan Moon datang menjemput Khai, jadi Khai beredar dengan geram. Comot pun datang berlalu; Ali memanggilnya tetapi tidak dipedulikan. Bulat menyalahkan Ali kerana merosakkan R-O tempoh hari. Ali masih muram terkenang peristiwa gelap itu, tetapi tidak merasakan Khai perlu marah kerana robotnya masih boleh dibaiki.

Rizwan melangkah masuk ke dalm markas Numeros, di mana dia ditunggu oleh ahli-ahli Numeros yang lain termasuklah Profesor Akram (Cuatro) yang kelihatan kesal. Trez dan Nueve menghadap Rizwan dengan dingin kerana pernah dikalahkannya berkali-kali sebelum ini. Ketua Numeros, Uno pun tampil mengambil kerusi dan mempersilakan Cinco. Cinco mengumumkan bahawa kembalinya Cuatro akan membuka jalan kepada penciptaan I.R.I.S. yang baharu.

Profesor berkeras bahawa biarpun semua komponen sudah terkumpul tiada gunanya kerana dirinya bukan penulis asal program I.R.I.S. Cinco tersengih membetulkan Profesor bahawa penulis program asal tidak diperlukan kerana pihaknya telah berjaya menanamkan Microbug penghurai dalam I.R.I.S, maka Profesor menyimpulkan bahawa ia akan menyalin kod ketika peranti itu digunakan, Cinco mengia dan berkata lagi bahawa Numeros telah mengumpulkan banyak data, lebih-lebih lagi semasa Override Mode, jadi dia menaruh keyakinan kepada Profesor untuk menyiapkan I.R.I.S. baharu.

Profesor Akram lantang menyuarakan keengganannya untuk membantu Numeros kali ini kerana tidak mahu dipaksa melibatkan diri dalam urusan mereka. Untuk itu, Uno berkata tidak terasa perlu untuk memaksanya. Dengan bantuan Cinco menayangkan gambar keluarga Profesor yang sudah lama ditinggalkannya dalam skrin, Uno mengambil pendekatan lain dengan mengugut akan mengancam keselamatan keluarga tersebut.

Cinco bersambung menjelaskan bahawa klon I.R.I.S. akan digunakan untuk mencapai Mainframe M.A.T.A. melalui mana-mana kemudahan, tetapi Uno mencelah dengan bercadang mereka pecah masuk melalui Akademi. Cinco mengadu bahawa Akademi merupakan antara kubu terpenting musuh dan oleh lebih ketat kawalannya berbanding yang lain. Uno mengaku tahu tentang hal itu, manakala Seis dan Siete menyambut baik cadangan ketua mereka menyasarkan kubu yang lebih mencabar.

Rizwan menyoal Uno mengapa tidak memilih sasaran yang lebih mudah kerana hanya perlu mencerobohi Mainframe untuk mengambil alih M.A.T.A. Uno menjawab bahawa budak yang memakai I.R.I.S. masih berada di Akademi, tetapi Rizwan berbalas bahawa kemungkinan serangan dipatahkan lebih tinggi di situ. Seis dan Dos mengejek Rizwan, lebih-lebih lagi Dos yang menyamakannya dengan ketua-ketua M.A.T.A. yang "pengecut". Uno cepat mendiamkan Dos dan memesannya untuk menghargai jasa Rizwan membebaskan Dos dari tahanan M.A.T.A. dengan menanggung risiko yang Uno sendiri merasa tidak dapat pikul.

Uno bangun dari kerusi dan mengiakan kata-kata Rizwan bahawa M.A.T.A. bukan calang-calang musuh dan buruk padahnya jika dipandang rendah, jadi dia menugaskan Rizwan untuk mencerobohi Akademi untuk mematikan sistem pertahanan di situ kerana Rizwan merupakan "ejen Inviso terhebat" yang akan mampu menyelinap masuk dan mengetahui selok-belok pertahanan M.A.T.A.

Di Akademi, Alicia sedang menjalani latihan apabila didatangi oleh Ali ciptaan dari tugasannya. Alicia memandang sangsi usaha Ali, jadi Ali pun mengaku telah menggunakan I.R.I.S. Ali menunjukkan ciptaan yang mirip dengan Balistik lama tetapi dengan satu ciri baru yang mana batang lastik boleh digunakan untuk mengawal dan mengubah arah peluru yang sudah dilepaskan. Alicia mentafsir ciptaan Ali seolah-olah merendah-rendahkan ketepatan menembaknya dan mengaku boleh menembak lima kali lebih tepat dengan gajetnya yang sedia ada.

Setelah ciptaannya tidak disambut baik, Ali pun balik ke makmal dan memilih rakan sekelas lain. Mula-mula, dia menciptakan Chris gajet seakan Plasmakris tetapi lebih besar tetapi sendiri tidak mampu mengangkatnya; Chris mengulas Ali tidak pandai bersilat. Ali beralih kepada menciptakan kasut beroda untuk Zass tetapi demonstrasi berakhir dengan Zass terhempas. Melihat Bulat berjaya menciptakan Mika alat pemancar bunyi sebagai tambahan pada sut MEKA-nya, Ali kembali ke makmal dengan hiba dan menghempapkan kotak alatannya. Pemutar skrunya pun tercicir lalu dipijak, menyebakan Ali jatuh telantang dan menggeram.

Tiba-tiba Ali terlihat Ejen Zain dalam makmal, sedang menguji gajet lastik ciptaan Ali yang disifatkan "menarik". Ali mengadu semua hasil titik peluhnya tidak disambut baik dan disia-siakan, tetapi mengaku telah menggunakan I.R.I.S. Zain menasihati Ali bahawa agak sukar untuk orang menghargai benda yang tidak diperlukan. Ali mengadu bahawa lastik itu boleh mengawal peluru, maka Zain menyoal sama ada Alicia memerlukannya. Ali mengeluh sukar memahami keperluan Alicia, dan pada ketika ini Alicia masuk dan memesan Ali untuk bertanya dahulu sebelum mencipta.

Alicia menyelongkar kotak alatan Ali dan mengujar bahawa Ali tidak boleh menolong sesiapa kerana langsung tidak tahu-menahu tentang mereka. Ejen Zain mengajar Ali tentang kesefahaman, iaitu lebih mengenali rakan sepasukan akan membawa kepada kerjasama yang lebih kukuh antara satu sama lain, malah pengetahuan tentang latar belakang dan keperluan seseorang akan mempengaruhi tanggapan diri terhadap mereka.

Mengambil Khai sebagai contoh, Zain menyoal Ali mengapa dia marah tentang R-O. Ali menjawab dirinya merosakkan robot itu sewaktu dalam Override Mode. Zain menelah bahawa Ali menganggap kemalangan R-O sebagai perkara kecil kerana ia cuma robot yang boleh dibaiki, dan Ali pun mengia. Alicia mengkritik Ali kurang peka dan menjelaskan bahawa R-O merupakan hadiah daripada bapa Khai, seorang tukang cuci di Menara Peneraju yang mengumpul duit semata-mata untuk membelikan anaknya cip AI khas untuk R-O, sekali gus mencetuskan minat Khai pada ilmu robotik. Setelah menyerap dan memahami pengetahuan baharu itu, Ali menanya Alicia sama ada dia bertanyakan hal itu dengan Khai. Alicia menidak dan berkata dia mendapat tahu dari membaca fail; Zain menunjukkan bahawa ini 'cara Neuro' sambil bersalam tinju dengan Alicia.

Beberapa hari kemudian, Khai memasuki makmal dan mendapati meja tidak kemas dengan peralatan. Dia mendapati Ali terlena di atas lantai dan menggeleng kepala, lalu dikejutkan oleh bunyi kicauan elektronik yang biasa didengarnya. R-O robot kesayangannya sudah pun dibaiki, membuat Khai kembali ceria dan bertanya bagaimana ia dibaiki. R-O pergi mengetuk Ali, menunjukkan bahawa dialah yang membaikinya. Ali bangun dan terus dipeluk oleh Khai yang berterima kasih.

Khai menanya Ali tentang ciptaannya kerana hari ini hari terakhir menyerahkan tugasan. Ali mengaku belum menjayakan sebarang ciptaan kerana semua hasil ciptaannya menemui jalan buntu walaupun dengan bantuan I.R.I.S. kerana dirinya tidak cukup mengenali rakan-rakan untuk menghasilkan gajet yang sesuai. Khai menanya Ali siapa yang ingin dikenali dengan lebih baik. Ali memasang biodata Iman, maka Khai menerangkan bahawa Iman merupakan anak sulung jurulatih wushu yang pernah memenangi 10 pertandingan peringkat antarabangsa dan oleh itu direkrut oleh M.A.T.A. ke dalam akademi.

Khai lantas menatal tablet untuk menunjukkan Mika yang lahir dengan kepincangan saraf yang menyebabkan dia tidak boleh berjalan kaki, tetapi kemudian dipulihkan oleh M.A.T.A. dengan mensyaratkan khidmatnya kepada agensi. Beralih kepada Jet, Khai menerangkan bahawa bapa Jet bekerja rapat dengan pengasas Cyberaya, jadi dia meminta untuk Jet diberikan latihan dan pendidikan terbaik. Ali mengaku sukar menduga keperluan Iman, Mika dan Jet yang dianggap sudah hebat seadanya, malah mengeluh alangkah baiknya jika I.R.I.S. dapat membaca fikiran mereka. Khai tergelak kerana menganggap cadangan Ali itu melampau, tetapi dirinya pun berasa ingin tahu bagaimana rasanya memakai I.R.I.S. Akhirnya Ali tercetus idea dan memuji Khai dengan "Naisu!"

Ali dan Khai menghimpunkan Alicia, Iman, Moon, Jet, Zass dan Chris di bilik kelas akademi untuk memperkenalkan ciptaan baru mereka. Sebaik sahaja peti ciptaan dibuka, kelihatan tiga buah peranti kecil yang dipanggil "Atlas". Zass tersentak dan melarikan diri dalam ketakutan. Chris dan Jet pun mengundurkan diri, menghampakan Ali dan Khai. Moon berpendapat bahawa mereka bertiga sudah serik dengan ciptaan Ali. Ali dan Khai memujuk bahawa ciptaan mereka kali ini sempurna dan mengajak pelajar yang tinggal mencuba. Alicia dan Moon tebal muka, masing-masing memungut satu Atlas. Iman teragak-agak tetapi Ali dengan mesra menghulurkan Atlas yang satu lagi kepada Iman. Belum sempat dia memberi, tiba-tiba Ejen Bakar meluru masuk untuk memberitahu Ali akan kejadian Analogman.

Analogman dan konco-konco baharunya telah menyekat jambatan dengan menyusun dua buah lori secara melintang, menyebabkan trafik terhenti hingga malam. Analogman menyeru konco-konconya melarang sesiapa pun terlepas kerana hendak menghalang mereka daripada menyebarkan "penyakit" yang menjangkiti Cyberaya. Bakar datang tepat pada masanya, menggelar dirinya "doktor" dan sedia menumbuk Analogman sebagai "ubat", namun dia terhalang apabila gerombolan konco-konco Analogman yang menyamar sebagai pekerja jalan mencampak tukul ke arahnya lalu datang mengepungnya.

Ali mengingatkan Bakar bahawa peralatan konco-konco telah dinaiktaraf menjadi senjata. Salah seorang konco cuba memukul Bakar dengan tukul yang dilengkapi berenjin roket, diayunkan begitu pantas tetapi Bakar sempat mengelak. Bakar lantas masuk berkelahi dengan konco-konco, memukul-mukul sambil menangkis serangan musuh dengan Perisai Plasma. Ali turut membantu menjatuhkan konco dengan yoyo elektromagnetnya, kemudian mengelak serangan jackhammer dari belakang. Moon mempermainkan konco-konco dengan mencipta klon sehingga dirinya dicekup dengan sepana. Alicia melastik ke arah konco-konco dan mengelak dari dilanggar penggelek jalan.

Analogman menghidupkan bom jangka di atas jambatan dan menyuruh konco-konco menghindarkan bom dari dimatikan. Konco yang membawa tukul roket memukul ke atas perisai Bakar dan membuka api besar-besar sehingga Bakar tercampak. Bakar berapat dengan anak buahnya menyuruh Ali mematikan bom jangka itu, tetapi Ali mengadu tidak boleh lepas kerana sudah dikepung konco-konco; Alicia pun mengadu musuh terlalu ramai. Bakar terus menyedari Moon hilang. Moon berteriak dari jauh kerana diancam konco jackhammer, maka Ali pun pergi menyelamatkannya sebelum digerudi.

Sebuah gajet Atlas tercicir dari saku Moon. Ali segera mengutipnya dan teringat langkah seterusnya. Dia menyeru Alicia dan Moon memakai Atlas masing-masing pada telinga dan memberikan Atlas yang satu lagi kepada Bakar, lalu mengaktifkan ketiga-tiga peranti dengan I.R.I.S. Dari gajet bertiga itu terpancar skrin seakan cermin mata satu kanta yang menerima data daripada I.R.I.S.

Dengan bantuan alat barunya, Alicia bertindak melastik jatuh satu demi satu konco Analogman dengan lincah. Bakar dengan jitu membaling sepana kepada konco yang datang dari belakang, kemudian mengumpan seorang lagi konco untuk dihumban kepada konco-konco lain seperti bola boling. Moon pula licik memanfaatkan kebolehan klonnya untuk mengelirukan semua konco, malah menaiki penggelek jalan untuk mengejar musuh yang tinggal.

Ali seperti biasa memukul musuh dengan yoyo untuk sampai di tempat bom jangka. Staminanya sudah berkurangan, maka Ali menggunakan I.R.I.S. sebaik mungkin untuk mematikan bom. Pada ketika Ali menyangka bom berjaya dipintasi, Analogman menerusi corong gramofon yang digunakan sebagai pembesar suaranya berkata Ejen Bakar dan anak-anak buahnya akan hancur bersama jambatan lalu melarikan diri bersama konco-konco yang tinggal.

Ali tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh Analogman kerana menyangka sudah mematikan bom. Alicia merasakan ada yang tidak kena dan menyuruh Ali menggunakan I.R.I.S. Ali mengesan "bom induk" yang terletak pada alang puncak jambatan, bersambung dengan banyak lagi bom yang terpasang di sepanjang jambatan dan hanya tinggal setengah minit sebelum meletup. Bakar meraung kebuntuan dan Moon panik dan hendak melarikan diri. Ali meminta rakan-rakan seperjuangan bersabar dan menyeru semua ahli menggabungkan kebolehan masing-masing melalui Atlas, malah memberi Alicia Balistik 2.0, iaitu Balistik diperbaharui yang dicipta tetapi ditolak oleh Alicia dahulu.

Ali mengaturkan strategi untuk diusahakan seluruh pasukan berpandukan data yang terkumpul dari semua gajet ahli dan disegerakkan melalui Atlas. Ali menyeru semua bersedia dan melonjak dahulu dengan Aero Boots. Aero Boots hanya boleh melonjak sejauh 25 meter iaitu setakat separuh daripada ketinggian jambatan, jadi Bakar tolong melonjakkan Moon ke tempat Ali, di mana dia menggunakan Sarung Tangan Holo yang boleh mencetuskan ledakan untuk melanjutkan lonjakan Ali. Ali tiba hampir di puncak jambatan dan memutuskan bom induk dari gantungan. Melihat masa tinggal lima saat, Ali menyeru Alicia bersiap sedia, jadi Alicia melepaskan sebutir Peluru Graviti ke arah bom. Pada ketika bom itu meledak, Alicia menggunakan peluru itu untuk memindahkan letupan jauh dari Ali. Bakar dan Moon meraikan kejayaan seketika sehingga menyedari Ali sudah pengsan dari terlebih guna tenaga dan sedang menjunam, maka mereka pun bergegas untuk menyambutnya.

Ali kembali sedar di bilik rawatan, disambut oleh suara Moon yang menceritakan peristiwa malam semalam dan jasa Ali kepada misi. Khai mula-mula menyapa Ali, disusuli Ejen Geetha yang mengulas bahawa Atlas adalah ciptaan yang baik tetapi dia terlalu cepat menghabiskan tenaga, maka dia bercadang untuk memperhalusi Atlas dan mengucapkan syabas kepada Ali. Seluruh Akademi bertepuk tangan memuji kehandalan Ali, malah Alicia datang menjenguk Ali dengan tersenyum sambil mengembalikan Comot. Dengan kejayaan Atlas, Ali berjaya memulihkan keramahan pelajar-pelajar lain dengannya, kecuali Rudy yang berdiri jauh dan berpeluk tubuh kerana cemburu.

Di markas Numeros, Profesor Akram mengusahakan klon I.R.I.S. dengan perlahan kerana masih keberatan. Rizwan datang untuk menjenguknya, maka Profesor pun naik rimas dan enggan melayan pujukan Rizwan untuk bertenang. Rizwan merampas balang Azurium dari pegangan Profesor dan berkata mereka masih boleh bekerjasama untuk "menghentikan rancangan mereka." Profesor keliru dengan kata-kata itu dan menganggap Rizwan sudah hilang akal. Dos datang memanggil Rizwan untuk menghadap Uno, maka Rizwan meletakkan semula balang Azurium dan beredar.

Sebaik sahaja didatangi Rizwan, Uno melafazkan bahawa dia sudah tahu tujuan sebenar Rizwan menyertainya. Ketua Numeros berkata pada mulanya dia berasa ragu, menanggalkan topengnya dan pergi menepuk bahu Rizwan dan menenung matanya. Lantas dia melafazkan telahannya bahawa bekas anak didiknya dari M.A.T.A. ini mendampingi dirinya supaya agensi perisikan yang pernah mereka anggotai itu akan "dikembalikan ke tangan yang layak menerimanya." cuma tidak mampu bertahan lama jika bertempur dalam keadaannya sekarang. Oleh yang demikian, Rizwan dibawa duduk di kerusi Uno di mana menurut penerangan Cinco, dia akan disuntik dengan Microbug untuk mempercepat pemulihan saraf dalaman supaya sembuh segera. Sebaik sahaja ditembusi picagari, Rizwan lantang meraung kesakitan.

Watak[]

Trivia[]

  • Episod ini menunjukkan kemunculan pertama Atlas, inilah sebabnya mengapa episod ini bertajuk "MISI: ATLAS".
  • Dalam episod ini, Khai ditunjukkan tidak marah kepada Ali sebab dirinya telah dibelasah oleh I.R.I.S. Override Mode, namun dia hanya marah kerana robot miliknya R-O dihancurkan dan menjadi rosak, tetapi kemudiannya dia berkawan semula dan berterima kasih kepada Ali sebab telah memperbaikinya.

Galeri[]

Video[]

Navigasi[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement