MISI: BALAS ialah episod keempat dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 16 Julai 2022.
Sinopsis[]
Di pusingan kedua, permusuhan antara ejen-ejen semakin sengit apabila Ali dapat tahu tentang komplot sabotaj yang dirancang oleh rakan sepasukannya. (Disney+ Hotstar)
Plot[]
Di Bangunan Perdana, Ejen-Ejen Dayang dan Ganz datang untuk bersemuka dengan Dato' Hisham di pejabatnya untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada datuk bandar baharu atas alasan cara pentadbirannya bertentangan dengan Dato' Othman. Dato' Hisham memperakui hujah itu dengan alasan hendak melakukan yang terbaik untuk Cyberaya. Dayang mengingatkan bahawa Dato' Othman enggan menyebarkan teknologi Cyberaya ke luar negeri kerana khuatir akan jatuh di tangan salah. Dengan memberi jaminan mereka bahawa semuanya akan selamat, Dato' Hisham meminta diri untuk menghadiri mesyuarat (dengan iriangan Julia) dan berjanji untuk membuat penjelasan kepada ejen-ejen selepas itu.
Di ruang utama M.A.T.A. Arena, Ali seronok berkongsi kad permainan dengan Khai apabila dia disiku oleh Rizka, menyebabkan semua kad jatuh bertaburan. Rizka mencemuh mereka kerana lalai dan tidak mungkin akan menang pusingan seterusnya, tetapi Ali sibu mengutip semula kad-kad itu dan seakan-akan tidak mengendahkan kata-katanya. Sam yang mengiringi Rizka pun mengganggunya dengan menghentak kaki di atas kad untuk menarik perhatian Ali, maka Ali pun bertentang mata dengan Sam. Jet, Mika, Rudy dan Roza memasuki ruang utama dan ternampak pertembungan Ali dan Khai dengan dua ejen luar itu. Mengelak dari bergaduh, Sam beredar bersama Rizka dengan ugutan tidak akan membiarkan mereka menang.
Ali menceritakan apa yang berlaku kepada rakan-rakan yang baru masuk itu. Mika berasa geram terdengar cerita itu, manakala Roza menegaskan bahawa ejen-ejen antarabangsa itu perlu diajar atas sikap besar kepala. Ali meminta mereka untuk mengetepikan hal ini tetapi Jet membantah atas alasan ini soal maruah bagi seluruh ejen-ejen muda Akademi. Rudy tampil mengemukakan idea untuk menyokong Ali.
Sam yang sedang meridap seorang diri di Dorm A dikejutkan oleh bisikan seram memanggil-manggil namanya. Dia memanggil nama Aleks tetapi tidak nampak kelibatnya. Dalam suasana dorm yang malap, pintu dorm terbuka sendiri, membiarkan kabus putih meresap ke dalam. Sam mula gentar dan menyoal siapa di situ. Pintu lokar pun berdegam-degam terbuka sendiri satu demi satu, membuat Sam menggigil. Lampu dorm berkelip-kelip dan Sam pun terlenting dari katil. Sam dalam ketakutan bergegas untuk keluar tetapi pintu dorm tertutup rapat. Diusik oleh suara seram memanggil-manggil namanya lagi, Sam mengetuk-ngetuk pintu dan meminta tolong, kemudian dia mengumpil pintu untuk melepaskan diri. Dikejutkan oleh pintu terbuka tiba-tiba dan lampu koridor berkelip-kelip, Sam panik dan berlari lintang-pukang sehingga terlanggar Rizka yang berlari di arah bertentangan.
Rizka menceritakan bahawa dia kebetulan mengalami perkara yang sama dengan Sam. Lampu koridor terpadam, dan bunyi-bunyi dentingan dari jauh menyebabkan mereka berdua bergilir-gilir mendukung satu lain dalam ketakutan. Mereka dikejutkan oleh lembaga yang memintas lalu, dan Sam memasang lampu picit dari jam tangannya dan menyuluh-nyuluh sekeliling. Kelihatan susuk puaka mengganggu mereka, Sam kecut hati sampai pengsan manakala Rizka melarikan diri. Rupa-rupanya ini merupakan sakat yang dirancang oleh Rudy (yang menyamar sebagai puaka itu) bersama rakan-rakannya. Jet mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat, termasuk Khai (yang mengawal lampu dan pintu dorm), Zass (yang memecut tadi) dan Moon (yang membuat bisikan dan membuka pintu lokar dalam halimunan). Ali (yang nampaknya tidak terlibat secara langsung) turut hadir bersama mereka, memeriksa Sam yang pengsan; Moon memesan Ali untuk membiarkan Sam dan semua ejen muda pun beredar.
Keesokan harinya, keempat-empat ejen antarabangsa berlatih di gimnasium. Rizka melepaskan geram dengan menumbuk-numbuk karung tinju yang dipegang oleh Aleks. Rizka menyoal Aleks dan Kim di mana mereka semalam; jawabnya, Aleks berlatih di gimnasium sementara Kim menala keytar-nya di makmal. Rizka bercadang untuk membalas kembali sakat semalam. Sam meneliti pengawasan ejen-ejen muda melalui CCTV Arena dalam jam tangannya dan mengemukakan cadangan.
Rudy memasuki dorm untuk tidur sejenak setelah kenyang Khai sedang memasang peranti di makmal, meminta R-O untuk mengambilkan sensor. Roza dan Mika sedang bergurau senda di koridor apabila tiba-tiba kerusi roda Mika tersekat. Roza terjumpa dan tersentuh benda asing di belakang kerusi roda, menyebabkan Mika memecut dan berlanggaran di koridor. Setelah lama menunggu kepulangan R-O, Khai keluar untuk mencarinya lalu tergempar mendapati robotnya habis diubah suai dengan anggotanya digantikan dengan kon trafik, peti plastik, tayar kempis dan kotak piza. Rudy bangun dari lelapnya dan keluar bertemu dengan Ali, Moon dan Iman yang terperanjat melihatnya. Hairan, Rudy dihadapkan dengan cermin dalam peranti Iman dan tergempar melihat wajahnya diconteng seperti badut.
Di kafeteria, Jet duduk semeja dengan Ali, Bulat, Iman, Moon dan Zass, mengingatkan mereka untuk berjaga-jaga akan sakat yang mungkin menimpa mereka. Kelihatan Sam, Rizka, Kim dan Aleks duduk di meja bertentangan dalam keadaan bergurau senda. Moon mengherdik mereka atas sakat yang lepas sambil meragut sandwic dalam pegangannya; kemudian dia terbuat muka loya sambil dipandang hairan oleh lima rakan semeja yang turut makan sandwic. Rupa-rupanya sandwic mereka dibubuh bahan yang terlampau pedas, membuat pelatih-pelatih Akademi terasa pedih dan lintang-pukang mencari air (misalnya, Bulat minum air paip, dan Moon merampas minuman kotak Ali).
Sam selaku perancang sakat terbahak-bahak mentertawakan gelagat mereka, kemudian Moon melemparkan roti canai ke arah mukanya. Dibangkitkan kemarahan, Sam melempar mata lembu sarapannya ke arah budak-budak itu dan menyuruh rakan-rakannya menyerang, maka bermulalah perang baling-membaling makanan. Ali pun tidak terkecuali, membaling sarapannya lalu berlindung dengan dulang. Bulat yang baru selesai minum air paip tersumbat mulut pula dengan lontaran sandwic pedas (dari Kim). Comot si kucing tidak ketinggalan cuba mencapai makanan yang dibaling-baling.
Ejen-ejen Geetha dan Bakar memasuki kantin, turut ditimpa oleh kesan baling-membaling itu apabila Geetha. Bakar dengan lantang menyuruh semua ejen berhenti, menengking mereka atas perbuatan seakan-akan "samseng" tadi dan menyuruh mereka mengemaskan kafeteria sehingga kemas. Ali tampil untuk meminta maaf, tetapi Bakar tegas berpesan bahawa ibu Ali tidak pernah menjuarai Pertandingan Arena dengan bermain-main. Selepas mengemas, Ali berjumpa dengan rakan-rakan di makmal. Melihat Jet mencadangkan rancangan sakat balas kepada yang lain, Ali risau dan cuba memujuk mereka untuk berhenti menyakat. Roza tidak bersetuju kerana tidak tahan ditindas oleh ejen-ejen antarabangsa. Ali memandang ke arah Khai dan menyoal sama ada dia tidak sependapat dengan mereka. Khai yang geram menatap R-O yang teruk diubahsuai, mengisytiharkan "No more Mr. Naisu Khai."
Pusingan baru Pertandingan M.A.T.A. Arena berkisarkan capture points, diumumkan oleh Ejen Leon yang membahagikan semua peserta kepada dua kumpulan: ahli-ahli teras TEKNO dan INVISO ditugaskan ke Point A, sementara NEURO dan KOMBAT ke Point B. Ejen Bakar menerangkan bahawa objektifnya ialah menawan dan mempertahankan capture point masing-masing sehingga masa tamat, dan mereka akan berhadapan dengan droid-droid M.A.T.A. yang diubah suai dan diberi warna dan kelengkapan sesuai dengan teras masing-masing. Ejen Geetha menjelaskan bahawa droid-droid tersebut dinaiktaraf untuk menjadikan permainan lebih mencabar.
Permainan bermula, dan semua ejen-ejen muda menuju ke capture point yang ditetapkan, setiap satunya dikawal oleh empat droid berlainan teras. Di Point A, droid NEURO menghalakan senapang ke arah kumpulan yang mendatang dan menembak jatuh Mika. Rizka berasa senang hati melihat Mika dijatuhkan, tetapi dirinya diserang oleh Buster Droid KOMBAT yang dilengkapi perisai tangan, maka dia menyerang balik dengan menusuk kerambit plasmanya ke atas muka droid. Alicia menggunakan busur plasma baharunya untuk menampan tembakan droid NEURO, sementara Jet mengajak Sam berlumba.
Di Point B, Ali bersiap dengan putaran yoyo dan lontaran gasing. Khai mengarahkan R-O untuk bertukar menjadi senjata galas yang mengeluarkan laras bazuka berkembar dengan skrin R-O sebagai alat bantuan visual yang terpakai pada mata Khai. Sambil melepaskan geram, Khai menghujani control point dengan tembakan plasma bertubi-tubi; droid-droid di situ terselamat tetapi terpegun supaya mudah dikepung ejen-ejen. Aleks berasakan dengan droid KOMBAT manakala Kim memainkan keytar ke arah droid lain, dibantu oleh Khai dengan bazuka R-O, Bulat dengn Spherubik, dan Ali dengan gasingnya. Pada masa yang sama, Moon berpecah tiga untuk mengasak droid INVISO, dibantu oleh Rudy yang memaku droid itu dengan Shadow Cuff. Droid INVISO itu akhirnya ditolak oleh Moon dan disepak oleh Rudy ke luar pentas.
Kesemua ejen telah mencapai bahagian pertama objektif mereka dengan menumpaskan semua droid pertahanan dan menawan capture point masing-masing. Menatapi papan markah yang terpancar melalui hologram di udara, mereka teringat akan pesanan Ejen Karya bahawa semua markah akan dikira secara individu mengikut bilangan droid yang ditewaskan, dan tiga ejen dengan markah terendah akan disingkirkan dari Pertandingan Arena. Khai, Moon dan Bulat kini menduduki tiga tangga tercorot. Semua ejen pun menjeling kepada satu sama lain. Ali menaruh rasa kecewa terkenang sebelum pusingan ini, dia cuba meminta pertolongan daripada Alicia untuk menghalang persengketaan antara ejen Akademi dan antarabangsa, tetapi Alicia enggan kerana tidak merasakan apa-apa selain daripada fokus pada Arena.
Bahagian dua pusingan bermula dengan keluarnya kerumunan Dron menghujani ejen-ejen dengan tembakan. Di Point A, Alicia menyuruh rakan-rakan seperjuangan bersiap sedia untuk bertahan sambil melancarkan anak panah. Mika menampan bedilan dron dengan sutnya sementara Roza menembak dengan senapangnya. Jet di udara mengesan kedatangan droid-droid baharu dan menyuruh berjaga-jaga sambil menerajang sebuah droid INVISO di kepala. Rakan-rakan Point A turun untuk menghadapi droid-droid itu. Iman menerajang dan mengikat satu droid INVISO dan satu lagi droid TEKNO dengan selendangnya, manakala Mika menumbuk satu droid INVISO dan mencampak satu lagi droid TEKNO; kemudian, dalam satu tindakan yang sinis, Mika menghumban droid NEURO ke arah droid TEKNO yang menampan serangan kerambit Rizka dengan perisai daya, membuat Rizka sakit hati.
Di Point B, Ali memutarkan yoyo untuk menepis serangan dari sebuah droid NEURO lalu menyerang balas dengan lontaran gasing, tetapi gasingnya tidak mengena. Droid itu cuba menyerang Ali dari belakang tetapi ditembak jatuh oleh Khai. Melihat Kim yang sedang melawan droid KOMBAT di belakang, Khai meningkatkan kuasa senjatanya ke tahap maksimum dan membidik ke arah Kim. Kim yang baru menjatuhkan droid lawannya cepat mengelak dari tembakan Khai yang terkena tepi control point. Ali menegur perbuatan Khai, tetapi Khai menyanggahnya. Kim memandang Khai dengan geram tetapi terpaksa melayan Moon yang cuba mengusik keytar-nya. Sebuah droid INVISO mengusik Kim dari belakang lalu dihentak oleh Kim dengan keytar. Aleks yang baru menumpaskan satu droid TEKNO pergi membantu Kim tetapi dihalang oleh Rudy dan Zass.
Tindakan ejen berlawan sesama sendiri di Point B disaksikan dengan hairan oleh mentor-mentor yang menonton di ruang utama. Begitu juga di Point A, di mana Sam yang mengelak tembakan satu droid NEURO tiba-tiba diterajang sehingga jatuh oleh Jet dari udara, kemudian ditumbuk oleh droid TEKNO. Dengan rasa meluat melihat apa yang terjadi, Ejen Leon memimpin rakan-rakan setugasnya untuk menyiapkan senjata masing-masing dan campur tangan.
Zass dan Rudy melengahkan Aleks. Ali cuba menghalang Khai daripada mengapa-apakan Kim dengan menanjul tangan kanannya dengan yoyo, sambil memujuk Khai untuk berhenti main kotor dan mengalihkan fokus kepada usaha sendiri. Khai meluahkan dendam terhadap ejen-ejen antarabangsa kerana mengusik R-O lalu menembak ke arah Ali; mujur Ali mengelak. Kim melepaskan perisai daya dari keytar untuk melentingkan Moon yang mengasak-asaknya, kemudian ditembak jatuh oleh Khai. Aleks menaiki pentas control point dan berhadapan lagi dengan Rudy yang mengasak dan mengekangnya dengan Shadow Cuff, kemudian ditahan oleh Zass, Bulat dan Moon dan dibidik oleh Khai. Belum sempat dia menembak, senjata Khai dirosakkan oleh balingan daun terup secara mengejut daripada Ejen Karya. Semua ejen Point B terperanjat dengan kehadiran mentor itu. Karya kemudian menggunakan Hypno Lens untuk memukau Khai, Bulat, Rudy dan Zass sehingga pengsan. Ejen Geetha pun tiba dengan Nano Enhancer untuk membius Aleks.
Di Point A, Rizka berlari untuk mengelak dari tembakan bertubi-tubi Jet dan Roza, sehingga ditumbuk oleh Mika. Rizka bangun dan menggelar mereka bertiga pengecut kerana berlawan tiga lawan satu. Mika bercadang untuk melawan Rizka seorang diri dan menyuruh Jet dan Roza menolong Iman. Belum sempat Mika dan Rizka bertembung, mereka dihalang oleh Ejen Bakar yang mengangkat mereka, kemudian ditembak dengan ubat pelali oleh Ejen Leon yang membentak semua peserta kerana membazirkan peluang yang diberikan kepada mereka untuk menunjukkan kebolehan masing-masing dengan memilih untuk bertindak secara menghina Pertandingan Arena. Selepas itu, Ejen Leon menyiapkan Revolvernya untuk menundukkan ejen-ejen yang tinggal dan menamatkan permainan.
Di Point B, Ali melawan Ejen Karya dengan melontarkan yoyo ke arahnya. Karya mengelak dengan bertukar halimunan dan menyerang belakang Ali dengan Mystic Blade, tetapi dielak. Melihat control point disapu oleh empat droid, Ali dan Karya mengetepikan pergaduhan dan bekerjasama untuk menuntut semula. Ali melemparkan gasing ke arah muka satu droid, dibantu oleh Kim yang menjatuhkan droid itu dengan keytar. Ali memutarkan yoyo untuk menampan asakan dari droid KOMBAT, kemudian diganggu oleh droid INVISO dari belakang, maka dia mengaktifkan Sut Magnetiknya untuk mengekang kedua-dua droid; Kim kemudian menembak jatuh droid-droid itu. Ejen Karya melemparkan daun terup ke arah Kim, dan Ali datang menepisnya dengan yoyo. Kim berterima kasih kepada Ali atas bantuannya, sementara mereka dikepung oleh Ejen-Ejen Karya dan Geetha dan droid-droid yang tinggal.
Di Point A, Alicia sibuk memanah droid-droid yang meluru ke arah control point-nya sambil mengelak dari tembakan Ejen Leon dengan membuat balik kuang. Bakar meluru dari belakang dengan Perisai Plasma; Alicia sempat menyerang balas tetapi terjatuh. Di Point B, Ali dan Kim bertembak-tembakan dengan Ejen-Ejen Karya dan Geetha serta dua droid NEURO. Kim menanya Ali sama ada dia dapat mengangkat serpihan droid, kemudian pergi ke pusat control point untuk melonjak sambil menghasilkan gelombang magnet untuk menghancurkan bangkai droid sehingga berkecai. Ali menggunakan kuasa sutnya untuk mengawal serpihan droid yang melayang dan mencampakkannya ke arah Ejen Geetha. Ejen Karya menampan serpihan dengan belakangnya, memuji kehebatan Ali dan tersungkur. Ali risau melihat keadaan Ejen Karya, tetapi Ejen Geetha segera merawatnya dengan Nano Enhancer. Masa sudah tamat, dan kedua-dua point telah berjaya dipertahankan oleh ejen-ejen yang tinggal. Kesal dengan hasil permainan, Ejen Leon menyimpan Revolvernya dan melepaskan Alicia yang kepenatan dan memandang papan markah yang memaparkan dirinya di tempat ketiga di belakang Kim dan Ali, diikuti nama-nama ejen lain yang tercoret akibat tersingkir dari campur tangan para mentor.
Di Bangunan Perdana sekali lagi, Dato' Hisham diiringi Julia kembali ke pejabatnya setelah menghadiri mesyuarat dan bercadang untuk bermain golf selepas kerja, tetapi dihalang oleh Ejen-Ejen Dayang dan Ganz yang masih menunggu penjelasan panjang lebar yang dijanjikan. Julia hendak memanggil pengawal keselamatan untuk mengusir mereka, tetapi Dato' Hisham mengizinkan kehadiran Ketua-Ketua Teras itu dan duduk bersama mereka.
Dalam penjelasan, Dato' Hisham menceritakan bahawa kelemahan Dato' Othman terletak pada keengganan untuk menerima bantuan orang lain, termasuk anak didiknya sendiri, malah sewaktu dia cuba mengemukakan idea-idea baharu kepada Dato' Othman, dia dihantar pergi ke luar negara. Sambungnya, pengalaman yang ditimbanya di luar negara membuka matanya kepada ketidaksenangan negara-negara lain terhadap dasar-dasar pentadbiran Dato' Othman, bahkan ramai yang mengidamkan dan mengintai harta teknologi Cyberaya, lebih-lebih lagi semenjak peristiwa serangan di dataran Bangunan Perdana yang disaksikan seluruh dunia. Tambahnya lagi, kepimpinan lemah akan mendedahkan Cyberaya kepada ancaman baharu, tetapi dia mempunyai rancangan yang akan mengatasinya asalkan menerima sokongan melalui hubungan yang dijalinkannya sendiri.
Masih sangsi dengan niat Dato' Hisham, Ejen Ganz menyoalnya siapa yang hendak dipercayai, tetapi dijawab dengan retorik bahawa dia dan Ejen Dayang sendiri yang paling tahu. Tambah Dato' Hisham lagi, rancangannya tidak banyak berbeza dengan program antarabangsa M.A.T.A, malah dia sendiri ada "ramai kawan di luar sana." Ejen Dayang berpesan supaya tidak terlalu yakin kerana program M.A.T.A. itu belum membuahkan hasil, tetapi Dato' Hisham memujuk mereka bahawa setiap perubahan pasti ada cabarannya, malah tiada sesiapa akan berani menentang Cyberaya apabila rancangannya berjaya.
Watak[]
Watak utama:
Watak sampingan
Galeri[]
Nota[]
- Episod ini diberi tajuk "Misi: Balas Dendam" (Inggeris: "Mission: Payback") dalam menu Disney+ Hotstar.
- Episod ini menyaksikan kali pertama Aleks bercakap.
Pautan luar[]
Papar • Sunting Episod | ||
---|---|---|
Musim 1 | MISI: I.R.I.S. • MISI: ALPHA • MISI: SERI • MISI: COMOT • MISI: BLUEPRINT • MISI: BANGKIT • MISI: PROTOKOL GEGAS • MISI: PRESTASI • MISI: POTENSI • MISI: SENSASI • MISI: BUKTI • MISI: UNO • MISI: OVERRIDE | |
Musim 2 | MISI: AKADEMI • MISI: ORIENTASI • MISI: MAIN • MISI: ANALOG • MISI: CABAR • MISI: SUSU • MISI: KEMBALI • MISI: TUJUAN • MISI: PERANAN • MISI: ATLAS • MISI: HARAPAN • MISI: DIEZ • MISI: LEGASI | |
Musim 3 | MISI: ARENA • MISI: BOLEH • MISI: UPGRADE • MISI: BALAS • MISI: BLACKOUT • MISI: BURU • MISI: JERAT • MISI: UBAH • MISI: HYBRID • MISI: KHEMAH • MISI: GETIR • MISI: SENGAT • MISI: JAGUH |