Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: BANGKIT ialah episod keenam dalam musim pertama siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 5 Ogos 2016.

Sinopsis[]

Selepas Dr. Tong dan Dr. Mala menjadi mangsa oleh kejahatan Dr. Aaron, Ali, Bakar, Alicia dan Comot harus melindungi Dr. Ghazali dari dia sebelum terlambat!

Plot[]

Bahagian 1[]

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 1-34 screenshot

Siaran ulang tahun ke-20 Cyberaya yang memperingati jasa tiga penerajunya, iaitu Dr. Tong, Dr. Mala dan Dr. Ghazali, terpancar dalam televisyen di meja pengawal penjara keselamatan maksimum, ditonton oleh Aaron, kini seorang banduan yang sedang menjalankan tugas mengelap lantai dengan mop, dengan kutukan terhadap trio itu kerana menghalang cita-citanya untuk "mengubah dunia." Sambil itu, dia mengebas walkie-talkie yang terbiar di atas meja. Memasuki waktu tidur, Aaron menggunakan bahagian walkie-talkie serta peralatan lain yang disorokkan untuk mencipta Neurodrive, peranti berupa lampu picit kepala yang membolehkan pemakainya melakukan telekinesis (mengalihkan benda tanpa menyentuh). Dengan itu dia memecah buka pintu kurungan dan menumpaskan semua pengawal keselamatan yang cuba menghalangnya.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 2-31 screenshot

Keesokan pagi di markas M.A.T.A, Ali mencuba kelengkapan baharunya iaitu kasut Aero Boots dalam latihan simulasi di bawah pengawasan General Rama. Dalam cubaan pertama, dia cuba melangkau dari pentas ke platform terapung, tetapi kasut hilang kawalan dan dia jatuh ke dalam jurang. Cubaan kedua, Ali berjaya meloncat dari platform ke monkey bar lalu mara ke tembok tinggi. Dia mencuba Aero Boots untuk melonjak tetapi sekali lagi tidak terkawal, membuat dia terpelanting ke sana-sini.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 2-49 screenshot

Sebelum mengulangi simulasi, Ali cepat mengeluh tentang kasut baharunya. Jenny menjelaskan kepada Ali bahawa Aero Boots hanya dapat dikawal melalui input dari I.R.I.S, jadi dia perlu fokus untuk membuat keputusan pantas serta menjaga keseimbangan badan. Ejen Bakar hadir untuk memujuk, tetapi Ali mempertikai perlunya kelengkapan baharu walhal dia sudah ada I.R.I.S. yang menjadikannya Super Ejen. General membentak Ali bahawa kasut itu direka khas untuk meningkatkan kebolehan fizikalnya yang lemah serta menggesanya untuk belajar menguasainya sebelum misi akan datang.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 3-47 screenshot

Simulasi diteruskan, dan Bakar menasihati anak saudaranya untuk bertenang dan menarik nafas. Kali ini, Ali memasang Aero Boots dan meloncat platform, melalui monkey bar dan melonjak tembok dengan lebih lancar untuk tiba di halangan terakhir yang berupa jurang lebar antara dirinya dan butang di tingkat tinggi yang hanya boleh dilepasi dengan tiang melintang yang terpacak tinggi pada dinding. Ali memasang Aero Boots untuk menjangkau tiang itu tetapi tidak kesampaian dan jatuh ke dalam jurang.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 4-25 screenshot

Ali bangun dan merungut mana ada orang dapat melompat sebegitu tinggi. General Rama memanggil Alicia untuk melakukan tunjuk cara simulasi. Ali cemburu menyaksikan rakan sepasukan merangkap lawan ketatnya mudah melepasi semua halangan, lebih-lebih lagi dengan membuat parkour di halangan tembok, malah melompat dari tiang tinggi lalu menekan butang penamat. Hilang sabar dengan prestasi Ali yang mengecewakan sebagai pelatih ejen, General Rama menyuruh Jenny untuk mempercepat kajian untuk memisahkan I.R.I.S. dari Ali. Kata-kata itu nyata membuat Ali murung.

Kemurungan Ali dari latihan dibawa ke sekolah. Viktor meraikan pencapaian markah tertinggi baharu seluruh Cyberaya dalam permainan Detektif Jebat dan bercita-cita untuk menyertai kejohanan e-sukan kelak, bahkan mengajak Ali menyertainya, tetapi tidak dilayan Ali yang termenung. Masuknya Puan Munah mengumumkan keputusan peperiksaan baru-baru ini, yang mana Alicia menduduki tempat pertama diikuti Viktor dan Sarsi. Berdoa-doa dalam cemas, Boy menarik nafas lega setelah terlepas dari tangga tercorot - yang jatuh kepada Ali! Habis semua dapat F, Puan Munah menengking Ali atas sikap pemalas yang jelas berbeza dengan bapanya yang pandai.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 5-47 screenshot

Kesugulan Ali berlarutan hingga waktu rehat. Ditemani oleh Comot dan Viktor, dia tidak lalu makan maka Viktor tolong menghabiskan nuget pada piringnya. Panggilan M.A.T.A. berdering di telefonnya, tetapi Ali enggan menjawab. Alicia pun tampil untuk menyuruh Ali "mengemaskan perpustakaan," tetapi Ali menolak dengan geram dan beredar. Ditanya oleh Viktor apa yang dia lakukan kepada Ali, Alicia menjeling Ali dengan cebikan.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 7-13 screenshot

Di Menara Alpha, munculnya Aaron yang terlepas dari penjara dengan memakai Neurolink. Dua orang pengawal cuba menghalangnya kerana sekarang bukan waktu lawatan, tetapi dicampak oleh Aaron dengan kuasa baharunya. Pengawal di kaunter menyaksikan apa yang terjadi dan cuba memanggil ketuanya Bob, tetapi dihalang oleh Aaron yang memakunya pada dinding dan menyeluk kad akses dari sakunya untuk mencapai bilik simpanan Tong Industries dan mencuri ciptaan lamanya untuk diubah suai. Setelah mendapat tahu apa yang berlaku, Bob cuba membawa majikannya keluar dari pejabat, tetapi Aaron sampai dahulu, menghumban Bob ke arah rak buku dan mengugut bekas majikannya untuk merasmikan ciptaan baharunya.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 7-45 screenshot

Ejen-ejen Bakar dan Alicia tiba di tempat kejadian, mendapati pengawal-pengawal bergelimpangan di ruang legar Menara Alpha. Mereka bergegas naik ke pejabat Dr. Tong dan mendapatinya dalam keadaan seakan-akan selamat, duduk diam menghadap ke tingkap. Alicia mengesyaki sesuatu yang aneh dan memusingkan kerusi Dr. Tong, lalu dia mendapati saintis itu berkelakuan seperti bayi.

Bahagian 2[]

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 8-59 screenshot

Ali masih bersedih dengan keputusannya teruk dari peperiksaan. Ditemani oleh Comot, dia cuba melapangkan hati dengan bermain dengan permainan video dan tidak melayan panggilan dari bapa saudaranya. Apabila Bakar mengetuk pintu, Ali terkejut dan menyorok. Menyangka Ali pergi bermain dengan Viktor, Bakar memasuki rumah lalu menjumpai Ali yang baru keluar dari menyorok dan menyoalnya mengapa tidak menjawab panggilan M.A.T.A. Mendengar rintihan Ali tentang kemungkinan I.R.I.S. akan ditarik balik, Bakar cuba menyuntik semangat kepada anak saudaranya untuk mencuba lagi. Ali kecewa kerana tidak menjadi sehebat yang diharapkan sejak memakai I.R.I.S, maka Bakar menasihatinya untuk terus berlatih tiada apa-apa yang boleh berubah dalam sekelip mata. Ali merintih lagi sudah mencuba berkali-kali tetapi gagal, malah bapa saudaranya senang cakap kerana kuat; untuk itu Bakar mengujar bahawa dirinya pernah lemah.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 9-40 screenshot

Dalam nasihat, Bakar mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya apabila dia pernah ditindas oleh sekumpulan tiga samseng yang mengebas burgernya. Kakaknya tiba untuk menyelamat dengan menyuruh samseng untuk memulangkan burger itu tetapi diperlekehkan, malah Bakar pun menggesa kakaknya untuk melarikan diri. Si kakak enggan berganjak dan melawan samseng itu tetapi dihumban balik. Melihat kakaknya tertindas, Bakar membalas perbuatan samseng itu dengan menyerang mereka secara berulang-ulang biarpun tetap dihumban setiap kali. Hairan dengan kecekalan budak lelaki itu, samseng mencicirkan burger ke atas tanah dan beredar. Melihat adiknya yang cedera, si kakak memapahnya dengan memberikan suntikan semangat dan berbelanja burger baharu.

Menutup kisah lampau itu, Bakar mengujar tidak tahu apa akan jadi padanya jika dia mengalah ketika itu. Ali kagum mendengar kisah keberanian arwah ibunya. Bakar menerangkan bahawa kakaknya itulah yang menolongnya sedar dan berubah, dan Ali pun harus berubah. Ali masih ragu-ragu tentang itu, tetapi M.A.T.A. memanggil lagi dan mereka berdua pun bergerak. Setibanya di bilik kawalan, Ali disambut oleh Alicia dengan jolokan "super ejen" yang sinis, manakala Bakar diherdik oleh General Rama kerana lambat.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 11-16 screenshot

Untuk misi kali ini, General menyampaikan khabar bahawa Aaron telah bolos dari penjara dan memperlakukan sesuatu kepada Dr. Mala, dengan memaparkan rakaman saintis tersebut berkelakuan seperti budak kecil, menconteng dinding dan mengongoi di Menara Beta. Jenny menerangkan bahawa dua mangsa diketahui setakat ini ialah Dr. Tong dan Dr. Mala; Rama menegaskan peranan mereka berdua sebagai peneraju Cyberaya. Alicia menduga bahawa sasaran seterusnya ialah Dr. Ghazali, membuat Ali cemas.

General Rama mengumumkan misi kali ini untuk pergi ke Menara Gamma dan melindungi Dr. Ghazali dari ancaman Aaron; Alicia ditugaskan untuk mengawal perimeter bangunan dan Bakar pula menjaga saintis tersebut. Selepas ujaran "bertindak segera," Ali meminta izin untuk menyertai misi kerana bapanya dalam bahaya, tetapi General berkeras melarangnya kerana khuatir emosi Ali akan mengganggu misi, lebih-lebih lagi dengan tindakan memonteng misi yang lepas; lantas menyuruhnya pulang untuk menunggu tindakan selanjutnya. Ditepuk di belakang oleh Bakar sebelum bergerak, Ali cuba menabahkan diri.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 12-38 screenshot

Seperti yang dijangka, Aaron sudah menceroboh pejabat Dr. Ghazali di Menara Gamma dan mencuci otaknya dengan topi khas ciptaannya sambil menegurnya kerana gagal melihat potensi yang ada dalam dirinya. Bakar dan Alicia tiba di tempat kejadian dan bersemuka dengan Aaron. Aaron senang hati mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan ciptaannya iaitu Neurodrive yang boleh mencapai dan memadamkan ingatan dalam otak manusia seperti data komputer, malah digunakan untuk memindahkan semua ilmu peneraju ke dalam otak Aaron sendiri. Bakar marah meluru ke arah Aaron sambil menyuruhnya untuk memulihkan ingatan ketiga-tiga peneraju; Aaron membalas dengan mengangkatnya dengan Neurolink dan membuat dia terpelanting sana-sini. Alicia cuba melastik Aaron tetapi ditepis dan dijatuhkannya juga. Aaron beredar melarikan Dr. Ghazali yang tidak sedarkan diri dan mengurung ejen berdua dengan membelitkan batang besi pada pemegang pintu kembar pejabat.

Bahagian 3[]

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 13-22 screenshot

Ali yang ditemani Comot menghalang Aaron yang sedang melarikan Dr. Ghazali di ruang legar Menara Gamma. Disuruh oleh Ali untuk melepaskan bapanya, Aaron mentertawakan budak itu kerana membawa kucing. Ali cuba menyerang dengan yoyo, tetapi Aaron bersiap dengan menggunakan Neurolink untuk mencampak perabot dan perkakasan ruang legar--kerusi tangan, tong sampah, pasu pokok, meja dan lain-lain--satu demi satu ke arah Ali. Ali mengelak hampir kesemuanya tetapi dirempuh oleh meja; Comot meloncat-loncat semua barang untuk menghampiri Aaron, tetapi Aaron menahan kucing itu dan mengurungnya dalam tong yang diterbalikkan dan ditahan dengan kerusi tangan. Pada masa yang sama di pejabat Dr. Ghazali, Bakar cuba merempuh pintu yang diselak.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 13-35 screenshot

Aaron sekali lagi mencampak barang-barang ruang legar, tetapi dengan bimbingan I.R.I.S, Ali memutarkan yoyonya untuk menangkis semua benda yang dicampak ke arahnya. Ali melayangkan yoyo sehingga hampir mengena Aaron, tetapi Aaron menangkis dan membuat yoyo terlanggar Ali. Aaron mengapungkan Ali dan menghumbannya jauh ke kawasan menunggu. Aaron pergi ke tempat Ali terhempas untuk mencarinya tetapi tidak jumpa. Ali menyerang dari belakang dengan lontaran yoyo, tetapi Aaron sempat menangkapnya dan mencampaknya ke merata tempat.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 14-40 screenshot

Kesuntukan tenaga, Ali merangkak cuba mencapai bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dipakaikan Neurodrive. Aaron menjamin dengan sinis bahawa Dr. Ghazali tidak akan diapa-apakan walaupun mungkin tidak akan mengingati Ali. Masih belum putus asa, Ali bangkit dan menghidupkan Aero Boots dalam misi buat kali pertama, memecut ke arah saintis gila itu dan menendang mukanya sehingga tercabut sebatang gigi. Aaron pun naik marah dan mencekik Ali dengan Neurodrive, kemudian dia digemparkan oleh ledakan peluru hijau dari Balistik Alicia. Rupa-rupanya Bakar dan Alicia sudah lolos dari pejabat. Bakar bertanyakan khabar sementara Alicia menengking Ali kerana mengingkari larangan untuk menyertai misi. Ali menegaskan bahawa ini bukan soal penglibatannya dalam misi, tetapi bahawa Aaron sudah melampau.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 15-41 screenshot

Aaron bangun dengan marah dan mengugut untuk menghapuskan ejen bertiga dengan mencantum barang-barang ruang legar menjadi gumpalan dan melontarnya ke arah mereka. Bakar menampan gumpalan raksasa itu dengan Perisai Plasmanya, sementara Aaron terus mengasak-ngasak. Alicia melastik ke arah Aaron dengan tiga peluru hijau, tetapi ditampan dengan meja. Bakar berjaya meleraikan gumpalan dan semua barang melayang ke merata tempat, sehingga tong yang terkurung Comot pun terlanggar, membolehkan Comot keluar.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 16-5 screenshot

Bakar meluru dan cuba menumbuk Aaron, tetapi Aaron menggumpalkan semula barang-barang untuk membentuk medan perisai di keliling dirinya. Bakar menumbuk-numbuk, Alicia melastik-lastik, dan Ali melontar-lontarkan yoyo, semua untuk cuba memecahkan perisai itu tetapi sukar. Comot melihat bukaan di atas perisai dan pergi memasukinya untuk mengganggu Aaron dan meleraikan perisai. Alicia mengambil kesempatan untuk melepaskan peluru-peluru hijau untuk menjatuhkan Aaron, kemudian Bakar menumbuk Aaron ke atas, disusuli Ali yang melonjak dengan Aero Boots dan membaling yoyo untuk membuat Aaron pecah kaca dan terpelanting keluar dari bangunan.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 16-24 screenshot

Melihat Aaron dalam keadaan tidak sedarkan diri, misi sudah dikira berjaya. Ali yang keletihan membelai dagu Comot sambil mengucapkan terima kasih. Kemudian, Ali pergi menjenguk bapanya dan menanggalkan Neurodrive dari kepalanya. Dia meminta Bakar untuk merahsiakan hal ini daripada General Rama; Bakar pun setuju. Alicia mengingatkan Ali bahawa hutangnya sudah bertambah lagi, membuat Ali mendengus. Tiba-tiba, ejen bertiga digemparkan dengan ketibaan sebuah kenderaan yang memecut ke mari dan melarikan Aaron, tertinggal cermin mata.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 17-18 screenshot

Malam harinya, Ali menyambut kepulangan Dr. Ghazali dengan lebih meriah daripada biasa. Sambil menuju ke bilik dapur kerana lapar, Ghazali melihat anaknya berjalan berdengkot-dengkot dan bertanya mengapa; Ali menjawab dia terjatuh dari skuter, jadi bapanya memesan supaya lebih berhati-hati. Di dapur, Ali menghidangkan sandwic dengan kopi lalu bertanya bagaimana kerjanya; Dr. Ghazali menjawab baik-baik sahaja walaupun sedikit pening. Dengan itu mereka terus bersembang.

Di suatu tempat rahsia yang diterangi cahaya serba merah malap, Aaron dicampak ke atas kerusi oleh Dos dan Trez. Aaron tertanya-tanya mengapa dia dibawa ke sini, dan Dos menghadapkan komputer bimbitnya ke arahnya untuk bersalaman dengan ketua mereka.

Ejen Ali Episod 6 - Misi BANGKIT 18-13 screenshot

Keesokan harinya, Bakar tiba di bilik kawalan untuk menjemput Ali berlatih, tetapi Ali sudah kelihatan menjalani simulasi awal-awal. Setelah mengharungi rintangan platform, monkey bar dan tembok tinggi dengan lancar, Ali tiba di halangan terakhir iaitu jurang dengan tiang. Berpandukan I.R.I.S dan memasang Aero Boots, dia meloncat jauh-jauh sehingga mendarat di atas tiang, kemudian meloncat lagi ke tempat terletaknya butang penamat.

Watak[]

Nota[]

  • Nama penuh Dr. Aaron dinyatakan sebagai Aaron Edison. Dia muncul semula selepas MISI: ALPHA.
  • Kasut Pogo Ali muncul semula sejak Ejen Ali Teaser Nombor Satu, tetapi ia telah diubahsuai dan kini dikenali sebagai Aero Boots kerana menggunakan penikam daripada spring.
  • Senarai ahli saintis dan bidang sains mereka telah dinyatakan:
    • Dr. Tong: Saintis Bioteknologi
    • Dr. Mala: Pakar Kejuruteraan Tenaga
    • Dr. Ghazali: Pakar Pengkomputeran dan Elektronik
  • Episod ini dinamakan sebagai "MISI: BANGKIT" untuk dua sebab:
    • Dr. Aaron bangkit semula apabila dia keluar dari penjara dan berusaha menjadi saintis terhebat dengan merosakkan tiga saintis.
    • Ali bangkit semula untuk menjadi ejen yang lebih baik melalui penentuan, terutamanya untuk menyelamatkan bapanya daripada Dr. Aaron.
  • Imbas kembali oleh Bakar telah mendedahkan bahawa ibu Ali adalah kakak kepadanya. Ini adalah episod pertama yang menunjukkan imbas kembali tentang ibu Ali dan Bakar sewaktu muda.
  • Dr. Tong merupakan pengasas Menara Alpha, Dr. Mala pengasas Menara Beta manakala Dr. Ghazali pengasas Menara Gamma. Secara kebetulan, menara ini dinamakan sempena tiga sinar radioaktif utama. Sinar alpha mempunyai caj positif dan mempunyai kuasa penembusan yang rendah, sinar beta mempunyai caj negatif dan mempunyai kuasa penembusan yang ringan, dan sinar gamma neutral, namun mempunyai tahap penembusan kuasa tertinggi.

Kilasan[]

  • Semasa kejadian memperkenalkan Dr. Ghazali, logo filem Pixar "The Incredibles" ditunjukkan di salah satu skrin komputer dan latar belakang.

Kesilapan[]

  • Alat yang dicipta untuk memindahkan memori digelar Neurodrive ketika diperkenalkan dalam Majalah Komik Ejen Ali Misi 5, tetapi disebut Neurolink dalam episod ini. Untuk mengelak kekeliruan, nama Neurodrive digunakan dalam rencana ini.

Video[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement