Ejen Ali Wiki
Ejen Ali Wiki
Advertisement


MISI: BLACKOUT ialah episod kelima dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 23 Julai 2022.

Sinopsis[]

Hari latihan terganggu apabila bekalan tenaga terputus. Ali cuba menenangkan perselisihan faham antara ejen-ejen sementara Alicia memerhatikan Kim.

Plot[]

Keputusan pusingan lepas menyaksikan Moon, Jet dan Bulat tersingkir dari Pertandingan M.A.T.A. Arena dan juga dilucutkan sebagai pelatih ejen M.A.T.A. Ali dipersalahkan oleh peserta-peserta yang lain kerana disangka bersekongkol dengan ejen-ejen antarabangsa memandangkan dia kelihatan rapat dengan Kim. Oleh itu, Ali tersisih dan terpaksa makan seorang diri, hanya ditemani Comot di kafeteria keesokan hari. Iman, Roza, Rudy, Mika dan Khai duduk di meja sebelah. Iman menyoal kewajaran memulaukan Ali; Mika dan Roza berpegang pada tindakan mereka atas alasan kerana dialah tiga orang rakan sebaya terkeluar. Iman ingin tahu apa nasib mereka bertiga selepas ini; Mika berpendapat bahawa mereka akan dipadamkan memori dan kembali menjadi orang awam, sementara Roza mengatakan mungkin mereka akan "dihapuskan."

Ejen-ejen antarabangsa berempat duduk di meja bertentangan. Rizka hairan melihat suasana tegang di seberang; Sam mengulas bahawa mereka sedang bertengkar. Kim beredar dari meja bersama makanannya untuk duduk bersama Ali; tindakan ini tidak disenangi oleh rakan-rakan mereka berdua. Mula-mula, Kim cuba membelai Comot tetapi Comot berganjak; setelah menyuapnya dengan sekeping nugget barulah dia dapat membelai kucing itu. Melihat Ali dan Kim bermesra dalam bayangan cermin mesin jual minuman, Alicia menghirup minuman tinnya sambil menarik muka dua belas.

Di markas Numeros, Nueve (Dr. Aaron) sedang menguji kaji ciptaan Microbug (nanobot) terbaharu. Satu demi satu Microbug dimasukkan dalam balang cecair Azurium biru sehingga berkerumun, kemudian dicampurkan dengan air hening dan digoncang sehingga bertukar hijau. Nueve dikejutkan oleh Cinco yang bertanya sama ada kerjanya selesai, lalu menegur jangan mengganggu sewaktu kerja. Terasa kebiadaban, Cinco mengekang badan Nueve untuk mengingatkan siapa ketua, maka Nueve cepat meminta maaf dan bersambung kerja. Seis dan Siete bangun dari pengsan di markas, masing-masing terikat pada kerusi baring. Mereka disambut oleh Nueve dan Cinco yang menurunkan picagari untuk menyuntikkan bahan Microbug secara paksa ke dalam badan mereka.

Di Arena, Ali dan Kim melalui Ruang Utama di mana mereka menatap deretan gambar Juara Arena lepas. Kim berpendapat Ali pasti bangga kerana ibunya antara juara-juara. Ali menyambut pujian itu dengan segan dan berterima kasih kerana Kim menemaninya makan tadi, malah bertanya ke mana dia hendak pergi. Kim berkata hendak menala keytar di makmal TEKNO. Ali bertanya sama ada keytar rosak; Kim menidakkannya dengan pesanan bahawa ahli-ahli mesti memastikan semua peranti berfungsi dengan baik, malah tertanya sama ada Ali tidak tahu tentang hal ini. Ali berkata dia hanya mampu berserah kepada Ejen Geetha apabila alat-alatnya rosak. Kim mengajak Ali untuk belajar membaiki peranti di makmal nanti, dan Ali pun setuju dengan penuh minat.

Ali berlari ke Dorm A untuk mendapatkan alat-alatnya, tetapi sebelum masuk dia bertembung dengan Sam yang memulas jam tangannya; mereka berdua saling memandang dengan dingin dan memasuki bilik sama-sama, disambut oleh Khai yang bermain kad seorang diri dan Rudy yang sedang meridap. Kim pula memasuki makmal, disambut oleh Alicia dan Iman yang berdiam diri, dan Zass yang terlena. Kim bertanya mengapa ramai orang hari ini; Alicia hanya termenung sementara Iman menjawab mereka sedang menunggu Ejen Geetha untuk menyelenggarakan gajet masing-masing. Kim menawarkan diri untuk memeriksa gajet mereka dan menggunakan komputer besar pada dinding belakang makmal. Zass bangun dari lena dan terkejut melihat Alicia diselubungi aura gelap kedengkian.

Di gimnasium, Mika dan Roza sedang bersenam apabila Rizka dan Aleks tiba untuk berlatih tumbukan. Kehadiran dua ejen antarabangsa itu membuat Mika dan Roza meluat dan hendak keluar. Tiba-tiba, bekalan elektrik Arena mengalami gangguan, menyebabkan lampu terpadam dan pintu automatik tidak dapat dibuka, menyebabkan keempat-empat ejen dalam gimnasium terperangkap. Begitu juga dengan mereka yang berada di makmal TEKNO di mana komputer besar pun terpadam; Alicia menuduh Kim terlibat tetapi disangkal. Alicia cuba menghidupkan semula komputer dan menyuruh Zass pergi mencari Ejen Geetha tetapi dia tidak dapat membuka pintu.

Comot terkurung di dalam kafeteria, mencakar-cakar pintu sambil mengiau-ngiau meminta tolong. Gagal menarik perhatian sesiapa, Comot memandang ke arah pintu salur udara di paras lantai dan menemui jalan. Maka Comot menerobos dan menelusuri serata salur udara untuk mencari jalan keluar; setelah terjumpa satu lagi pintu, ia keluar lalu terasa hampa kerana hanya sampai di sebelah bertentangan kafe!

Situasi sama berlaku di Dorm A di mana Sam menekan-nekan pad kunci untuk membuka pintu tetapi sia-sia. Dia mengeluh hampa dengan yang disifatkannya sebagai kelemahan besar di bandar Cyberaya yang kononnya maju. Ali terdengar kata-kata Sam dan pergi cuba membuka pintu, tetapi gagal juga. Sam mengeluh lagi bahawa hal sebegini tidak pernah terjadi di tempat asalnya. Ali menyuruh Khai untuk menolong tetapi Khai berdiam diri sahaja menandakan keengganan. Ali memanggil sekali lagi tetapi diherdik oleh Rudy kerana bising.

Di gimnasium, Mika cuba merempuh buka pintu dengan sut MEKA; Rizka mempersoal keberkesanan tindakannya. Roza merintih bahawa semua pintu telah diperteguh supaya tidak mudah dipecahkan, malah ejen TEKNO mungkin boleh membantu jika hadir. Untuk melapangkan minda, Rizka berlatih mengangkat barbel dengan pemberat 20kg. Mika masuk beradu lengan dengan mengangkat barbel sama berat di sebelah Rizka. Maka mereka pun berlumba-lumba dengan menambah pemberat secara beransur-ansur, sehingga Rizka mencecah tahap 80kg dan kali ini tidak terdaya mengangkat. Mika pula berjaya mengangkat berat yang sama dengan mudah. Melihat Mika dibantu oleh MEKA dalam mod sut, Rizka mencemuh bahawa neneknya boleh angkat jika memakai sut itu.

Tersinggung, Mika mengubah MEKA ke mod kerusi roda dan beralih ke satu lagi barbel yang terletak di atas sangga dengan pemberat 160kg. Roza, Aleks dan Rizka tergamam menyaksikan Mika terdaya mengangkat benda yang begitu berat sambil mengujar bahawa dia bukannya kuat kerana mendapat MEKA, tetapi mendapat MEKA kerana sudah kuat. Rizka mencemuh lagi, sekuat mana pun Mika tetap akan kalah. Mika pun sakit hati dan mencari gaduh dengan Rizka. Aleks segera menghalang pergaduhan dengan mengaktifkan Sut Gravitinya.

Di makmal TEKNO, Kim membuat hiburan dengan memainkan muzik dari keytar. Disambut dengan tepukan tangan oleh Zass dan Iman, Kim melayan permintaan lagu. Zass si bisu tampil untuk menunjukkan lagu yang bermain dalam fon kepalanya; maka itulah yang dimainkan oleh Kim, mengkhusyukkan Zass dan Iman. Alicia yang tidak terhibur mencelah persembahan dengan menyoal Kim mengapa tidak cuba membuka pintu. Kim mengaku tidak kenal sistem di sini dan tidak mahu memburukkan keadaan. Daripada itu, Kim mengajak Alicia berhibur bersama, tetapi Alicia menolak dengan mencebik. Kim teringat bahawa dia pernah menjemput Ali ke makmal dan berpendapat bahawa dia mungkin boleh menolong mereka. Alicia menyoal Kim lagi apa niat sebenarnya.

Di Dorm A, Ali cuba mencari punca masalah dengan meleraikan pad kunci pintu tetapi tidak terasa sebarang kemusykilan. Khai dengan sinis menyuruh Ali meminta bantuan dari "kawan barunya," iaitu Sam. Ali memandang ke arah Sam yang sedang baring di atas katilnya dan menyoal Khai sejak bila dia jadi kawan. Khai menegaskan bahawa Ali dan Sam masuk bersama-sama tadi. Sam bangun dan mentertawakan budak-budak tempatan sebagai cetek akal, membuat Khai dan Rudy sakit hati. Sam menudingkan ibu jari ke arah Ali dan mengutuknya sebagai loser yang tidak layak menjadi kawannya. Ali terkilan mendengar kata-kata itu, manakala Khai mengingatkan bahawa Sam ketinggalan di belakang Ali dalam pertandingan. Sam berkata dia melihat Pertandingan Arena sebagai kebudak-budakan, dan Khai menyoal balik mengapa dia belum menang. Ali terhibur menyaksikan pertelingkahan yang telah dicetuskan.

Sam mencemuh lagi bahawa pertandingan masih awal. Tidak sempat Sam menghabiskan ayat, Rudy bangkit dan mengutuk Sam kerana mengarut, malah dia menegaskan bahawa sebagai ahli INVISO, dia dapat membaca hati sesiapa sahaja yang berpura-pura. Berjalan ke arah Sam sambil memakai hud, Rudy berleter lagi bahawa Sam berlagak hebat untuk menakut-nakutkan orang yang lebih lemah, kemudian bersembunyi dalam kalangan "ejen-ejen import" yang lebih kuat. Mengajuk Sam dari segi rupa dan suara, Rudy mengejek ejen luar itu sebagai "tin kosong" yang hanya indah khabar dari rupa. Sam naik marah dan cuba menumbuk Rudy, tetapi Rudy mengelak malah menyandung kakinya sehingga jatuh. Ali sekadar melihat sementara Khai menahan gelak.

Sam bangun dan menembakkan Jarum Graviti dari jam tangannya ke arah Rudy. Rudy mengelak lagi, tetapi Khai yang berdiri di belakang terkena lalu tertiarap ditekan graviti berat. Terkilan, Ali menyoal Sam apa yang telah dilakukannya. Sam menjawab bahawa Khai akan kekal tersekat selagi Jarum Graviti dihidupkan. Rudy menepuk genggam, hendak memaksa Sam mematikan alatnya. Sam gentar dan cuba melaraskan jamnya untuk senjata yang sesuai, tetapi Rudy sempat memakaikan Shadow Cuffs untuk memanipulasikan tangan Sam sehingga mematikan jarum. Khai terlepas dari tekanan graviti dan dipapah oleh Ali, sementara Rudy mengecam Sam sebagai lemah. Sam naik marah dan menyerang Rudy yang dikecam langsung tidak mengenalinya. Shadow Cuff masih terpakai pada Sam, maka Rudy memanipulasikannya lagi sehingga terkena Jarum Graviti sendiri. Dihempap oleh graviti jarum sendiri, Sam tersedu dan akur bahawa dirinya lemah, membuat budak-budak lain tergamam.

Di gimnasium, Aleks sudah puas menahan Rizka dan Mika dari bergaduh. Roza pun serik melihat gelagat mereka dan menegur supaya berhenti untuk mengelak dari kecederaan. Mika bersumpah untuk menuntut bela atas kelakuan Rizka ke atas Chris. Terkilan dengan Mika yang masih memikirkan peristiwa itu, Rizka mencela balik bahawa tiada salahnya cedera dalam latihan, malah di tempat asalnya, orang yang lemah harus menyimpan mukanya kerana tidak akan bertahan di dunia luar. Rizka bertanyakan pendapat Aleks, tetapi Aleks berkata lebih rela berlatih dengan beruang daripada terlibat dalam perbalahan orang lain.

Di Dorm A, Sam dengan nada suram menceritakan bahawa dialah orang paling lemah di Cawangan Barat, malah biarpun ahli NEURO, tiada sesiapa pun yang mematuhi strateginya. Dia menduga bahawa dia dihantar ke Arena seperti buangan. Khai menyoal Sam mengapa dia berlagak dan membuli orang di Arena. Jawabnya, di tempat asalnya, hanya golongan penindas yang disanjung ramai, malah dia berpendapat dia boleh mengubah nasib di Arena ketika belum dikenali sesiapa di sini. Khai bertanya sama ada Sam dan ahli-ahli Cawangan Barat lain berasal dari tempat berlainan; Sam mengesahkan hal itu. Ali menasihati Sam untuk mengikis tabiat buruk dan cuba berbaik-baik dengan ejen-ejen lain, seperti mana dirinya pun banyak mengambil iktibar daripada rakan-rakannya tanpa mengira asal-usul. Ali mengakhiri nasihat dengan pujukan berbuat yang terbaik lalu meminta pengiaan daripada Rudy; Rudy yang terasa diganggu dalam tidur menyuruhnya untuk berhenti mengarut dan cuba membuka pintu.

Di makmal TEKNO, Alicia menyoal Kim mengapa dia sering mendampingi Ali; Kim menjawab bahawa Ali adalah perwira M.A.T.A. dan kisahnya diketahui semua ejen antarabangsa, dari tidak sengaja menyertai agensi kerana memakai I.R.I.S. sehingga mengalahkan musuh M.A.T.A. Iman dan Zass kagum takjub pengetahuan Kim. Tambah Kim, dia bersimpati dengan Ali yang ditinggalkan seorang diri oleh kawan-kawan. Iman dan Zass. malah Alicia yang selalu dingin pun menunduk dengan suram. Kim meneka bahawa Ali merupakan pesaing terkuat dalam Arena setelah segala yang pernah dilaluinya; Alicia mencemuh tidak setuju. Kim mengatakan Alicia cemburu; Alicia naik merah dan cepat berkata dia tiada apa-apa dengan Ali. Kim memperjelas bahawa Ali disebut sebagai pesaingnya membuat Alicia cemburu, tetapi dia sekali lagi mengatakan bahawa Alicia ada hubungan dengan Ali, membuat Iman dan Zass teruja. Sekali lagi Alicia tegas menegur Kim kerana bercakap yang bukan-bukan.

Lampu kembali menyala, dan Alicia mengorak langkah untuk keluar dari makmal sementara Iman dan Kim terkekek dan mengucapkan jumpa lagi. Sebelum Alicia membuka pintu, dia mengingatkan Kim bahawa pesaing utamanya bukan Ali tetapi dirinya. Baru sahaja Alicia hendak melangkah keluar, Ejen Geetha muncul secara tiba-tiba di hadapan pintu makmal; demikian juga yang dilakukan rakan-rakan setugasnya Ejen-ejen Bakar dan Karya, masing-masing di Dorm A dan gimnasium. Bersama-sama mereka mengumumkan bahawa kejadian putus elektrik tadi sebenarnya disengajakan untuk memberikan peluang kepada para pesaing untuk lebih mengenali satu sama lain kerana mulai pusingan seterusnya, Pertandingan Arena akan dijalankan secara berkumpulan.

Diumumkan juga bahawa tiga peserta dengan markah teratas dapat memilih ahli pasukan masing-masing. Ali teruja mendengar pemberitahuan itu, tetapi bertukar hampa setelah diberitahu oleh Ejen Bakar bahawa dia dipotong markah kerana kucing belaannya Comot ditangkap oleh Ejen Leon kerana menyepahkan makanan di kafe. Oleh itu, Aleks naik ke tempat ketiga. Pengumuman ditutup dengan pesanan daripada para mentor untuk berehat dan menyimpan tenaga untuk pusingan akan datang.

Di markas Numeros, Trez berlatih dengan karung tinju apabila diganggu secara mengejut oleh sepakan bola yang kencang dari Seis dan Siete. Mereka berkata disuruh oleh Cinco untuk menguji dengan Trez, dan Trez pun mengalu-alukan. Seis dan Siete menggelecek bola ke arah Trez yang meluru ke arah mereka sambil bersiap untuk menumbuk. Siete menghantar bola kepada Seis, kemudian Seis menyusupkan bola di bawah Trez, melonjak naik dan menapak genggam kanan Trez. Siete menghantar bola lagi, dan Seis melonjak lagi sambil menayangkan mata dan urat biru bersinar, membuat Trez tergamam. Akhirnya, Seis menyepak bola dengan kencang sehingga menempuh muka Trez dan membuatnya terpelanting jauh ke dinding. Seis dan Siete meraikan keberkesanan kuasa baharu mereka, tetapi Trez bangkit dengan mengaktifkan kuasa yang sama untuk membalas balik.

Gelagat Trez, Seis dan Siete berlatih disaksikan oleh Cinco melalui monitor di bilik kawalan markas; pada masa yang sama, Nueve membawa masuk dan meletakkan sebuah kotak di atas meja. Cinco menerima pesanan yang mengandungi maklumat yang dicari-cari dan membukanya dalam komputer; di dalam terdapat fail-fail sulit M.A.T.A. yang mengandungi maklumat tentang pelan kompleks bangunan Arena, rakaman dalaman serta data droid-droid baharu. Cinco menyuruh Nueve untuk mengumpulkan konco-konco lain kerana tiba masanya untuk beraksi. Aaron merengus pergi menjalankan arahan, meninggalkan bekas cecair Microbug. Tanpa disedari, salah satu Microbug sedang mengintip untuk Rizwan yang mengawasi dari tempat persembunyian di mana Prof. Akram merawat Dos.

Watak[]

Watak utama:

Watak sampingan:

Galeri[]

Nota[]

  • Episod ini diberi tajuk "Misi: Bekalan Tenaga Terputus" (Inggeris: "Mission: Blackout") dalam menu Disney+ Hotstar.

Pautan luar[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement