Ejen Ali Wiki
Ejen Ali Wiki
Advertisement


MISI: BOLEH ialah episod kedua dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 2 Julai 2022.

Sinopsis[]

Ali nekad untuk menang, namun hilang keyakinan dalam pusingan pertama. Dato' Hisham mengambil alih Cyberaya dan membimbangkan Ganz dan Dayang. (Disney+ Hotstar)

Plot[]

Episod dimulakan dengan pertemuan Ejen Ganz dan Ejen Dayang menantikan ketibaan Datuk Bandar baharu Cyberaya di pejabat beliau, lebih-lebih lagi Ganz dengan rasa gementar. Tibanya Dato' Hisham di pejabat dengan penampilan serba santai, memakai kemeja T di sebalik jaket blazer dan seluar ketat berwarna cerah, meminta maaf atas kelewatan hanya kerana membeli kopi, malah sudi membahasakan diri dengan nama Hisham sahaja. Dayang segera mempersembahkan hologram laporan misi terkini dari M.A.T.A. tetapi Hisham cepat menyatakan bahawa dia sudah membaca salinan yang dihantar terlebih dahulu. Dayang mengingatkan bahawa Dato' Othman dahulu selalu meminta mereka bentangkan, dan Hisham mengulas bahawa Othman mengambil pendekatan yang agak ketinggalan untuk bandar yang serba maju, walaupun jasanya kepada pembangunan Cyberaya tetap dihargai. Tambahnya. Hisham menyatakan impiannya untuk memajukan lagi Cyberaya dengan kerjasama M.A.T.A.

Ejen Bakar dengan megahnya tiba di asrama lelaki Arena M.A.T.A. dengan megafon untuk mengejutkan semua ejen-ejen muda dari tidur dan mengarahkan mereka untuk bersiap, bersarapan dan berhimpun di ruang utama untuk taklimat. Melihat anak saudara sendiri Ali dalam keadaan mamai dan liat untuk bangun, Bakar pun melentingkan katil automatiknya sehingga Ali terhempas di lantai. Khai yang katil di sebelah mengeluh sudah diduga susahnya untuk bangun, tetapi Ali menyalahkan dia pula.

Diimbau kembali peristiwa malam semalam, apabila Khai, Jet, Bulat, Zass, Rudy dan Ali berpindah ke asrama A dan memilih katil masing-masing. Rudy bertentang mata dengan ejen antarabangsa Aleks, tetapi rakan seperjuangannya Sam datang mencelah supaya Aleks terhindar dari penyakit "kurap" mereka; sakit hati Rudy terdengar kata-kata itu tetapi Ali sempat memujuknya. Khai dan lain-lain pula seronok bermain Wauriors; Khai pun mengajak Ali bermain bersama. Begitu leka Ali dan lain-lain bermain lewat sehingga liat bangun keesokan hari, maka Khai pun berasa jengkel apabila dipersalahkan Ali.

Belum lagi bersarapan, Ali singgah di ruang utama untuk menatap wajah arwah ibunya dalam gambar kalangan juara Arena lampau, ditemani Khai, Iman dan Moon yang kebetulan berlalu, kagum setelah mengetahui bahawa Aliya ialah ibu Ali. Moon juga mengulas bahawa Ali mirip ibunya. Datang pula ejen antarabangsa Aleks, Sam dan Rizka. Sam mengejek Ali kerana tidak mewarisi kemahiran ibunya dan menyertai M.A.T.A. secara tidak sengaja, apatah lagi pernah ditarik balik hak penggunaan "Super Gajet". Rizka sependapat dengan Sam bahawa tahap kemahiran Ali biasa-biasa sahaja. Moon sakit hati dan menengking mereka, tetapi jelingan dingin Aleks membuat Khai memujuk kawan-kawan supaya beredar. Sam mengumpat mereka "penakut" dan ini dibalas dengan tumbukan mengejut dari Alicia yang mengecam ejekan Sam itu. Maka ejen-ejen muda yang hadir pun bertentang mata dengan ejen-ejen antarabangsa, tetapi Bakar sempat menyuraikan mereka sebelum timbul pergaduhan. Setelah semua bersurai, Bakar menyuruh Ali kekal untuk menatap wajah ibunya dan memberi kata galakan kepada Ali.

Selepas bersarapan, Ali cuba menahan rasa rendah diri dengan menonton video lama Aliya berlatih tarung dengan Bakar. Setelah habis menonton, Ali melihat Rudy masuk dan berbaring di atas katilnya. Ali mengujar bahawa betul kata Rudy apabila semua orang mengatakan dirinya tidak berguna kerana tiada I.R.I.S. Rudy tegas menegur Ali kerana mudah terpengaruh dengan kata orang lain cepat mengalah sebelum bertanding, malah berpesan supaya melakukan yang terbaik. Kedengaran suara Bakar mengarahkan semua ejen muda ke ruang utama untuk taklimat pusingan pertama, maka tidak jadilah Rudy meridap dengan baik. Ali berterima kasih kepada Rudy atas suntikan semangat tadi.

Di ibu pejabat M.A.T.A, Ejen Dayang dan Ganz mengkaji sejarah penglibatan Dato' Hisham dalam pembangunan Cyberaya, malah sebagai anak didik Dato' Othman sebelum mengambil alih jawatan Datuk Bandar. Ganz melahirkan rasa tidak senang dengan pembawaan Dato' Hisham selaku Datuk Bandar, tetapi diingatkan oleh Dayang bahawa dia sendiri mengharapkan Dato' Hisham berbeza daripada Dato' Othman. Ganz meluahkan rasa sangsi akan niat sebenar Hisham, dibalas oleh keluhan Dayang yang mengaku lebih senang bekerja dengan komputer berbanding manusia.

Semua ejen muda dan keempat-empat ejen jemputan antarabangsa hadir di ruang utama untuk mendengar taklimat dari Ejen Leon (dengan celahan Ejen Bakar) menerangkan bahawa pusingan pertama akan terdiri daripada empat peringkat, setiap peserta dikehendaki bergerak dari garisan mula ke garisan penamat, dan siapa yang tiba di garisan penamat dahulu dikira pemenang. Semua ejen hairan mendengar penerangan yang begitu singkat, sehinggalah mereka dibawa ke medan balapan di dalam Arena yang dipenuhi pelbagai jenis halangan.

Perlumbaan dimulakan dengan Zass memecut sepantas kilat jauh di hadapan semua pelumba lain, melalui laluan daun seroja udara dan halangan patung kayu dengan senang. Yang lain pun menyeberangi halangan terawal dengan selamat, didahului oleh Rudy. Halangan seterusnya ialah pintu pagar pantas dan laser. Bulat berlari di dalam bola pelindung, memintas lalu. Tidak menghiraukan teriakan Rudy untuk berjaga-jaga, Bulat tidak sengaja melintas sensor, menyebabkan laluan dihujani tembakan laser. Maka Bulat pun lintang-pukang melalui pintu pagar pantas sehingga akhirnya dirinya dan Zass terlanggar, tersungkur dari balapan dan tersingkir dari permainan.

Penyingkiran Zass dan Bulat diumumkan dengan ghairah oleh Ejen Bakar dengan megafonnya, selaku pengulas menyaksikan perlumbaan dari balai cerapan bersama Ejen-Ejen Geetha, Karya dan Leon yang geram dengan gelagatnya. Ejen Bakar mendapati Aleks belum berganjak dari garisan mula, mungkin kerana gementar. Pada masa yang sama, Aleks akhirnya bergerak, malah memecut dengan pantas sehingga melalui halangan pintu pagar pantas dengan lancar dalam aksi yang disanjung oleh Ejen Bakar tetapi ditinggalkan oleh Ejen Karya yang pergi mengambil bertih jagung.

Ali juga berjaya menyeberangi pintu pagar pantas dengan memutarkan yoyo untuk menepis tembakan laser. Halangan seterusnya ialah tembok panjat. Jet dengan jetpack-nya dan rasa bangga diri mendahului peserta lain dengan hanya terbang, tetapi disingkirkan oleh satu das tembakan laser mengejut. Rizka memijak suis pada balapan yang mengeluarkan robot pertahanan untuk menghalang jalan ke arah tembok, jadi terpaksalah semua pelumba menggunakan kemahiran masing-masing untuk menjatuhkan semua robot. Rizka dengan kerambitnya mudah mengatasi halangan robot dan mendahului perlumbaan, sementara rakan seperjuangannya Kim mengeluarkan gelombang supersonik dari keytar-nya untuk menjatuhkan dron-dron penembak laser.

Rizka memanjat tembok dengan kerambitnya, disaingi oleh Alicia. Datang lagi dron laser menembak, dijatuhkan pula dengan kerambit Rizka untuk terus mendahului. Tidak jauh dari belakang Khai mengekori, juga ditembak oleh sebuah dron dari belakang. Ali membantu dengan menahan dron itu dengan yoyo, kemudian dron itu bertindak melentingkan Ali ke atas tembok. Gelagat itu disaksikan oleh Ejen Bakar yang khuatir akan maruah keluarga sambil tertanya-tanya di mana megafonnya.

Ali dan lain-lain menaiki luncur keluang ke halangan seterusnya iaitu pertarungan satu lawan satu dengan robot berbadan sasa di atas pentas dengan medan pelindung. Ali mengatasi lawannya dengan menggunakan gasing untuk memecahkan badan robot. Sempat menyaksikan Moon dan Iman mendahuluinya, Ali menuju ke cabaran seterusnya iaitu bilik perkakasan, di mana dia menemui beberapa jenis perkakas di atas meja dan berhadapan dengan dua robot pengawal yang menembakkan laser. Ali gagal menjatuhkan robot-robot itu dengan yoyonya, malah Aero Boots-nya pun tidak berfungsi dengan baik, maka dia berikhtiar dengan melemparkan sepana dan tukul ke arah muka robot-robot.

Selepas itu, Ali terpaksa mencari jalan untuk melepasi dinding laser merapat dalam bilik tanpa dapat menggunakan alat keselamatan pengimbas cap tangan yang telah dinyahaktifkan. Mula-mula, Ali cuba menggodam alat keselamatan dengan pemutar skru, tetapi tidak berhasil. Keadaan bertambah genting apabila dinding laser terkeluar pacak tajam, dan Ali berikhtiar dengan mengambil lengan robot dan menembak jatuh pintu dengan laser.

Ali tiba di kebuk halangan terakhir bersama dengan Rudy, Alicia, Iman, Kim, Rizka, Aleks dan Sam (yang angkuh menyambut ketibaan peserta terakhir). Cabaran terakhir berupa tangga platform terapung untuk dinaiki oleh semua pelumba hingga ke pintu penghujung di atas. Terdapat platform pegun dan platform bergerak-gerak, malah semua platform 'berkelip-kelip', iaitu boleh menghilang dan muncul semula. Alicia berpesan supaya mengawasi posisi dan kelajuan kelipan platform. Alicia dengan Iman melompat bersama ke satu platform, menyebabkan platform itu menghilang. Alicia sempat melompat tetapi Iman tersungkur ke dalam gawang di bawah. Ali membuat kesimpulan bahawa dua orang tidak boleh memijak satu platform serentak, lalu dia bergelut melompat katak dari platform ke platform sambil menahan cemuhan Sam.

Ali bersabar dan cuba membayangkan dirinya masih memakai I.R.I.S. Dengan gerak hati yang mendapat ilham dari proses I.R.I.S., Ali cuba melakukan lompatan jauh dengan Aero Boots tetapi belum sempat memijak platform seterusnya, dia dilanggar oleh satu lagi platform bergerak dan tersungkur ke platform bawah di mana letaknya yoyo dan gasingnya. Dengan rasa patah hati, Ali menyaksikan peserta lain jauh meninggalkannya di atas lalu merenung gasing ciptaan Aliya di sebelah kanan dan teringat akan video ibunya melakukan medan pelindung dengan gasing, lalu mendapat ilham. Ali bangun dan melemparkan gasing ke arah platform untuk menjejaki laluan betul melalui lantunan gasing. Kemudian, Ali memusingkan gasing untuk menghasilkan medan pelindung untuk melantunkan dirinya ke platform atas. Sementara itu, Sam dan Rudy terpijak platform yang sama lalu jatuh tersungkur.

Ali menghabiskan perlumbaan di tempat kelima, didahului oleh Alicia, Aleks, Kim dan Rizka. Ejen Bakar tidak dapat mengganggu lagi kerana megafonnya diusik oleh Ejen Karya (atas gesaan Ejen Leon tadi), maka Ejen Leon dengan aman mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya dan mengumumkan keputusan pusingan pertama dan bahawa empat peserta teratas akan menerima penaiktarafan yang dicipta khas oleh Ejen Geetha, siap dengan jadual markah peserta. Ali berada di tempat kelima di belakang Rizka. Tatkala Rizka cepat bergembira, Leon secara mengejut mengumumkan bahawa Rizka ditolak 10 markah sebagai penalti kerana mencederakan Chris, menyebabkan Ali naik ke tangga keempat.

Rizka dengan geram beredar dari ruang utama, sementara kejayaan Ali diraikan oleh rakan-rakan sekelilingnya. Jet pula meratapi kedudukan tercorotnya dengan satu mata sambil ditertawakan oleh yang lain. Ejen Leon menjelaskan bahawa mata peserta adalah persis berdasarkan pencapaian masing-masing dan mencerminkan keupayaan sebenar ejen, di mana setiap mata diberikan berdasarkan untuk kecekapan mengatasi setiap halangan dan ditolak bagi setiap tindakan melulu yang dianggap menjejaskan misi. Tambahnya lagi, ini hanya permulaan maka masih tidak terlambat untuk semua peserta mengubah kedudukan dan merebut tempat pertama.

Pencapaian Ali turut disaksikan oleh Ejen Dayang dan Ganz di ibu pejabat M.A.T.A. Dayang kagum dengan kehebatan Ali walaupun ketiadaan I.R.I.S, tetapi Ganz tidak puas hati kerana tidak mencapai tiga teratas seperti yang pernah diduga oleh Dayang. Tiba-tiba, Dayang mendapat pesanan daripada Jeneral untuk menonton pengumuman penting oleh Dato' Hisham yang berikrar akan menyebarkan teknologi dan pengetahuan Cyberaya ke serata dunia; satu pengumuman yang tidak menyenangkan bagi dua ejen teras tersebut.

Watak[]

Watak utama[]

Watak sampingan[]

Galeri[]

Trivia[]

  • Kesilapan animasi: Sewaktu Ali melantunkan gasing untuk mengesan laluan di peringkat platform, gasing itu tidak kelihatan turun untuk dia pusingkan untuk menghasilkan medan pelindung.

Pautan luar[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement