Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: BUKTI ialah episod ke-11 dalam musim pertama siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 6 Januari 2017.

Sinopsis[]

Tidak dapat mempercayai bahawa Bakar adalah pengkhianat dalam M.A.T.A., Ali bertekad untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah.

Plot[]

Bahagian 1[]

Ejen Bakar ditahan dan disoal siasat oleh General Rama dengan bantuan Ejen Rizwan yang membacakan tuduhan bahawa dia merupakan "Uno" yang mencuri azurium, antara lain-lain kesalahan. Bakar menafikan tuduhan itu, maka Rizwan berhujah bahawa setiap kali bertempur dengan musuh, Bakar menjadi punca yang menjejaskan misi, misalnya ketika Bakar tercampak ke arah Rizwan sewaktu Crypto Drive dicuri, dan juga dalam usaha mendapatkan semula pemacu itu. Bakar bertegas bahawa dia bukannya bersuka-suka hendak dipukul.

Rizwan menyoal Bakar ke mana perginya sewaktu usaha menghalang musuh dari mencuri azurium di stesen jana kuasa; Bakar menjawab bahawa dia pergi ke stesen angin atas arahan Rizwan sendiri. Rizwan mengingatkan bahawa dia pernah berpesan untuk berkumpul semula selepas dipanggil Ali; Bakar mengaku tidak sempat bertemu semula sebelum ejen-ejen lain beredar. Rizwan menekankan bahawa Bakar sendiri membiarkan Dos menyusup masuk ke dalam markas untuk mencuri I.R.I.S; Bakar meninggikan suara dan mengaku tidak sengaja. General Rama menyanggah Bakar dengan memaparkan rakaman Bakar mencuri pelan I.R.I.S. dari Crypto Drive di dalam bilik arkib, lalu menagih alasan daripada Bakar yang digelar pengkhianat.

Di bilik kawalan, Ali merayu untuk berjumpa dengan Bakar tetapi ditolak oleh Jenny. Ali mengatakan bahawa bapa saudaranya tidak mungkin mengkhianati M.A.T.A; Jenny juga mengaku bahawa hal ini sukar dipercayai seluruh warga agensi, tetapi semua bukti sudah menunjukkan kebersalahan Bakar. Ali menuntut untuk ditunjukkan bukti itu untuk melihatnya sendiri. Jenny meminta maaf kerana tiada hak untuk menunaikan gesaan Ali. Pada masa yang sama, Ejen Rizwan memasuki bilik kawalan, tetapi setelah melihat ketegangan perbualan Ali dengan Jenny, dia berpaling. Ali pergi mengejar Rizwan dan meminta untuk ditunjukkan bukti; Rizwan menyuruhnya untuk pulang sahaja dan tidak campur tangan dalam penyiasatan. Ali meminta bantuan Rizwan untuk membersihkan nama Bakar, tetapi Rizwan menegaskan bahawa buktinya sudah jelas dan dia harus menerima kenyataan. Ali merajuk, berlari ke lif dan naik ke atas.

Ali kembali ke sekolah tatkala cuaca mendung. Dalam perjalanan ke kantin, dia memandang ke arah penyapu yang tersandar di dinding sebelah pintu dapur, terkenang akan saat-saat bersama Bakar, dari ketika Ali dipuji atas peningkatannya hingga waktu Ali bertengkar dengan Bakar sebelum dia ditahan. Ali mengerang dan menghentam meja dalam sesal dari kenangan lampau itu, sehingga Viktor dengan prihatin bertanya kenapa. Terkejut, Ali sekadar menjawab ada benda yang hilang. Viktor melafazkan empati dengan meluahkan kerinduan kepada "Cyberwira" yang sudah menghilang sebelum dia sempat berjumpa. Ali bertanya di mana Alicia yang tidak hadir di kelas kerana dia hendak menyoalnya; Viktor sekadar berentah.

Sementara itu, Alicia sedang menjalani latihan simulasi di markas. Setelah menjatuhkan seratus dron dengan Balistiknya, dia tersungkur, fikirannya mula dihantui oleh kenangan lampau di mana dia pernah mencemuh Ali kerana bergantung pada I.R.I.S sejurus sebelum diserang musuh. Sambil menggeram, Alicia bangun untuk menyahut cabaran melawan droid. Walaupun masih dapat menundukkan lawan, latihannya nyata terjejas apabila kenangan pahit terkena renjatan Dos lalu dihumban ke dalam reaktor terlintas dalam fikirannya. Sewaktu melepaskan peluru magnet untuk melekatkan tiga droid, bergemalah saat Rizwan mengarahkan untuk melaksanakan Protokol Gegas, membuat Alicia hilang fokus dan terlepas satu peluru mati. Malah, Alicia diancam oleh tembakan laser dari belakang sementara droid-droid yang terkena magnet terlepas. Dikejar oleh lima droid, Alicia melastik satu demi satu, tetapi saat dirinya berhadapan dengan pemancar reaktor menyelubungi mindanya, menyebabkan dirinya ditembak jatuh. Alicia tersungkur dalam rasa sesal dan geram.

Bahagian 2[]

Pada waktu malam, Ali berikhtiar untuk mencuri masuk markas M.A.T.A. untuk mencari bukti. Dia menyelimutkan bantal sebagai penyamaran, memakai I.R.I.S, menyiapkan diri dengan kelengkapan yang perlu dan membawa Comot (yang lapar) keluar rumah. Ali dan Comot menyelinap masuk ke dalam kawasan sekolah dan menuju ke perpustakaan. Mereka tiba di sebelah tingkap, dan Ali mengeluarkan pembaris untuk cuba mengumpil buka tingkap, tetapi pembaris itu patah. Comot mencakar bulatan pada tingkap untuk membuat lubang dan menjulurkan kaki depan untuk membuka tingkap dari dalam; Ali memuji kepandaian kucingnya dan mereka pun memanjat masuk. Mereka menyelinap ke tiang bulat di mana letaknya lif. Comot mengiau ke arah buku rahsia tetapi Ali menegah kerana tidak mahu dikesan. Sebaliknya, Ali menggunakan I.R.I.S. untuk mencari dan mengusik panel kuasa (yang terletak di sebelah pintu lif). Pintu dibuka tetapi lifnya tidak hadir, sebaliknya hanya nampak syaf yang kosong. Comot menolak Ali ke dalam, dan mereka berdua pun menggelongsor hingga ke bawah.

Ali terhempas di tingkat markas. Comot turun dari boncengan dan bergerak dahulu, tetapi Ali menegah kerana sistem pertahanan belum dipadamkan. Comot bertukar halimunan dan beredar, membuat Ali geram. Dengan I.R.I.S, Ali mengesan jaringan laser belantik tersembunyi di hadapan dan meredah dengan cermat. Apabila sudah hampir ke seberang, I.R.I.S. mencadangkan untuk melangkau terus ke hujung. Ali cuba melangkah jauh tetapi hilang imbangan dan nyaris jatuh ke atas lantai yang disinari laser. Tidak mengena permukaan, Ali menarik nafas lega dan terangkat kepala sehingga terkena laser di atas, menghidupkan penggera dan mengaktifkan droid pertahanan. Tidak sempat droid menembak Ali, tiba-tiba semua droid dilumpuhkan kerana dan pintu bilik kawalan pun dibuka; Ali menyangka Comot yang melakukannya.

Setelah memasuki bilik kawalan, Ali memasang komputer hologram, memecahkan kata laluan dalam sistem menggunakan I.R.I.S. dan mencapai folder yang mengandungi fail-fail berkenaan misi. Ali menemui dan membuka fail dokumen yang berkenaan dengan penangkapan Bakar. Di dalamnya tertulis bahawa Ejen Bakar ditangkap dalam misi sulit yang disertai oleh Ejen-Ejen Rizwan dan Jenny untuk menyiasat dakwaan bahawa M.A.T.A. telah dicerobohi musuh dengan bantuan orang dalam. Tiba-tiba, Comot muncul di tempat paparan hologram untuk meminta makanan. Ali melesing Comot kerana terganggu; dalam pada itu, dia terusik skrin dan terpasang video aktiviti Bakar mencuri pelan I.R.I.S. dari bilik arkib. Ali sukar mempercayai apa yang dilihatnya dan memundurkan video untuk mengkaji semula. Dengan analisis I.R.I.S, dia mendapati gerak-geri Bakar lain dari biasa. Ali memundurkan lagi video ke waktu yang lebih awal dan mendapati Bakar menjawab telefon dan terkena hipnosis seperti yang dilakukan oleh Dr. Aaron di Menara Alpha.

Ali memasuki bilik server dan memecahkan kod keselamatan untuk mengeluarkan telefon bimbit Bakar. Dia meletakkan telefon di atas komputer untuk mencapai log panggilan dan menemui satu nombor pemanggil yang tidak diketahui namanya. Ali menjejaki lokasi nombor itu melalui GPS dan menemui sebuah kilang terbiar di kawasan perindustrian. Tiba-tiba, komputer memaparkan kedatangan Ejen Rizwan dari kamera koridor, maka Ali segera menutup komputer, menyuruh Comot untuk menyimpan semula telefon dan bersembunyi. Rizwan masuk dan menuju ke bilik server, tetapi dia berpatah balik dan memasang komputer.

Dr. Aaron sedang memasang suatu ciptaan di bawah pengawasan Dos dan Trez di sarang persembunyian mereka. Dengan menggunakan penyepit, dia mengalihkan serpihan azurium dari bekas ke atas puncak ciptaan berupa topi keledar. Aaron ketawa terbahak-bahak kerana berjaya menyiapkan ciptaan, mengundang cemuhan daripada Trez yang tidak ciptaannya lawa; Aaron menegur balik bahawa lebih baik buruk tetapi berfungsi dari lawa tetapi tidak siap. Uno muncul dalam skrin untuk menyuruh Dos dan Trez bersiap sedia kerana Ali sudah memakan umpan, Ejen Bakar telah ditangkap dan segalanya berjalan dengan lancar. Maka penyangak berdua keluar dari sarang untuk bertindak.

Bahagian 3[]

Di rumah, Ali cuba menghubungi Alicia tetapi tidak terjawab, jadi dia menghantar SMS kepadanya. Alicia berada di luar, menyamar sebagai "pengacau bertopeng". Daripada membalas SMS Ali, dia memilih untuk meneruskan kerja vigilante-nya. Maka Ali dalam keadaan tidak tenteram, memerah otak mencari jalan; dia tidak mahu memaklumkan perihal Bakar dipukau kepada M.A.T.A. kerana khuatir akan diketahui pengintip musuh yang sebenar. Ali menghembus kesah dan duduk di atas katil. Dia memandang ke arah gambar foto dirinya bersama Bakar dan terangsang untuk bertindak sendirian bersama Comot, maka dia memakai I.R.I.S. dan menuju ke lokasi musuh.

Ali dan Comot tiba di kilang terbiar, menyusup masuk melalui tingkap dan berjalan secara menepi di ruang besar yang malap dengan cahaya merah. Dia menemui kabin di tingkat atas dan terus naik untuk memasukinya. Di dalam kabin, Ali menemui bilik yang bercahaya serba merah dengan komputer besar dan perkakasan semeja, tetapi tiada orang; Comot menolong dengan menjaga pintu. Di atas meja, dia menemui topi Separator yang baru dipasang oleh Dr. Aaron yang bertujuan menceraikan I.R.I.S. secara neural daripada pemakainya; malah ia menggunakan azurium kerana I.R.I.S. juga dikuasakan dengan azurium maka pemisahannya juga memerlukan bahan yang sama. Atas amaran Comot akan kedatangan orang, Ali segera menyorok.

Ejen Rizwan memasuki kabin dan menyelidik barang-barang di atas meja. Dia diserang oleh Comot dan Ali yang tidak cam dia dahulu. Ali kemudian keluar untuk meminta maaf dan bertanya apa Rizwan buat di sini; Rizwan pun hendak mengajukan soalan yang sama kepada Ali. Terlintas dalam fikiran Ali akan pesan Alicia untuk berwaspada setelah Ali baru menjadi anak didik Rizwan, ditambah pula oleh kesahan General bahawa ada orang dalam M.A.T.A. yang membocorkan maklumat kepada musuh. Daripada itulah Ali mengesyaki bahawa Rizwan bersekongkol dengan Dos dan Trez. Rizwan menggesa Ali untuk mengikutnya tetapi Ali enggan dan melarikan diri bersama Comot.

Dalam bergegas keluar dari kilang, Ali terlanggar Trez dan jatuh. Comot cuba menyerang Trez tetapi dicekup dan dihumban ke longgokan kotak oleh Aaron dengan Neurolinknya. Trez mengangkat Ali, dan Ali menggunakan Aero Boots untuk menyepak muka Trez dan melepaskan diri. Dos mengancam Ali dengan Bilah Plasma; Ali mengelak, menanjul tangan Dos dengan tali yoyo dan menghumbannya ke arah Trez. Ali cuba menyerang lagi dengan yoyo tetapi dikekang dan dihumban ke sana-sini oleh Aaron. Digesa oleh Dos untuk bertindak sebelum I.R.I.S. memasuki Override Mode, Aaron menahan Ali dan memakaikan Separator pada kepalanya, bersedia untuk menceraikan I.R.I.S. Ali dalam keadaan cemas menjerit jangan. Aaron menyuruh Dos menolong kerana tangannya sudah penuh, maka Dos menuju ke arah Ali untuk mengaktifkan Separator.

Baru sahaja hendak menekan butang kuasa, jari Dos terhalang dengan lontaran batang lolipop. Ejen Rizwan muncul dan cuba menyerang Dos dengan cuitan Sarung Tangan Sekali Sentuh, tetapi dielak. Dos menyerang balas dengan Bilah Plasma tetapi Rizwan mengelak dengan meluncur di bawah dan meluru ke arah Trez. Trez bersiap untuk menumbuk, tetapi Rizwan dengan tangkas memanjat badannya dan mencuit belakangnya bertubi-tubi sebelum dilesing oleh Trez. Rizwan melakukan tendang terbang kepada Trez; Trez menampan dengan tetapi ditolak jauh dengan daya yang kuat. Trez melonjak dan melakukan hentaman, dan Rizwan pun mengelak.

Sekali lagi Dos pergi menekan suis pada Separator. Rizwan meninggalkan Trez dan melompat ke arah Dos. Rizwan menyerang dengan cuitan dan tendangan tetapi Dos mengelak semuanya malah membalas dengan Bilah Plasmanya. Aaron geram melihat rakan-rakan subahatnya terpaksa melayan tentangan Rizwan, tetapi kemudian dirinya pula diserang dan diganggu oleh Comot. Ini menyebabkan Ali terlepas dari cengkaman Neurolink dan menanggalkan Separator dan pergi menolong Rizwan.

Dos dan Trez meluru ke arah Rizwan; Ali melontarkan yoyo untuk menghalang mereka. Rizwan menyuruh Ali berundur supaya I.R.I.S. tidak jatuh ke tangan musuh, tetapi Ali tetap hendak menolong. Ali dan Rizwan berlari serentak mengelilingi Dos dan Trez, kemudian Ali melontarkan yoyo melintasi Trez ke arah Dos. Dos melonjak untuk elak tetapi dicuit di belakang oleh Rizwan. Kedua-dua ejen mencuba serangan sama terhadap Trez, tetapi tiba-tiba, badan Trez dikawal untuk menyambut yoyo dan melesing Rizwan.

Maka masuklah susuk yang berpakaian kulit serba hitam dan memakai topeng kaca hitam bermata merah. I.R.I.S. tidak dapat mengenal pasti siapa dia, tetapi Dos mengecamnya sebagai Uno. Uno mengucapkan syabas kepada ejen-ejen atas persembahan yang bagus dan memberi mereka peluang terakhir untuk menyerahkan I.R.I.S. Ali pergi menyerang Uno dengan melonjak dan memutarkan yoyo (walaupun ditegah oleh Rizwan), tetapi Uno memecut ke belakangnya dan memukul cantas Ali di leher sampai jatuh. Rizwan pergi menyambut Ali, dan mereka semua berundur bersama Comot. Dos hendak mengejar mereka, tetapi Uno menghalang kerana mahu bersiap sedia untuk "pusingan kedua."

Watak[]

Trivia[]

  • Episod ini dinamakan sebagai "MISI: BUKTI" kerana Ali bertekad untuk mencari bukti dan membuktikan bahawa Bakar tidak bersalah.
  • Ini adalah episod pertama yang Viktor mengusik Ali sedang rapat dengan Alicia.
  • Nombor telefon M1E11
    Perkataan "W8U" daripada nombor telefon yang Ali temukan ialah serupa dengan perkataan "WAU" daripada syarikat WAU Animation.
  • Kiasan: Poster di dalam bilik Ali bertajuk "James Boom" adalah jolokan untuk "James Bond".

Video[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement