Ejen Ali Wiki
Ejen Ali Wiki
Advertisement


MISI: BURU ialah episod keenam dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 30 Julai 2022.

Sinopsis[]

Atas permintaan Dato' Hisham, semua ejen dipanggil ke Pusat Sains Cyberaya. Rizwan dan Dos mengekori Cinco untuk mencari punca Djin berpaling tadah. (Disney+ Hotstar)

Plot[]

Episod bermula di teratak persembunyian Prof. Akram di mana Rizwan dan Dos menyiapkan diri untuk bertindak atas langkah Numeros yang seterusnya. Rizwan memakai pakaian serba hitam, siap dengan jaket kulit, topi besbol dan sarung tangan sekali sentuh yang baharu. Prof. Akram menegah mereka dari pergi dan mengutamakan keselamatan diri kerana khuatir mereka akan menjadi sasaran Cero yang seterusnya. Rizwan menyanggah Prof. Akram seolah-olah sanggup untuk hidup melarat sebegini tidak berjumpa dengan keluarga lagi. Kata-kata itu membuat Prof. Akram muram. Rizwan memujuknya untuk tidak risau, berterima kasih atas pertolongan selama ini dan mengucapkan selamat tinggal. Sebelum Rizwan dan Dos keluar rumah, Prof. Akram memberikan suatu peranti kepada mereka sebagai bantuan. Rizwan dan Dos pun bertolak dengan motosikal.

Untuk pusingan ketiga Pertandingan M.A.T.A. Arena, 12 peserta yang tinggal berhimpun di ruang utama dibahagikan kepada tiga pasukan, di mana setiap pasukan terdiri daripada empat ahli yang berlainan teras. Tiga peserta dengan markah tertinggi menjadi ketua pasukan dan memilih ahli pasukan masing-masing secara bergilir-gilir. Mula-mula, Kim memilih rakan sepasukan. Dia hendak memilih Ali tetapi dilarang kerana sama teras. Oleh itu, dia bermula dengan Iman. Alicia memilih Rizka dan Rudy; Aleks memilih Sam dan Mika; dan Kim melengkapkan pasukannya dengan Zass dan Roza. Apabila tinggal Ali dan Khai, Ali cuba menggamit Alicia untuk memilihnya tetapi Alicia memanggil Khai, maka bersungutlah Ali menyertai pasukan Aleks, dipujuk untuk bertenang oleh Sam. Ejen Leon mengumumkan bahawa pusingan ketiga akan dijalankan di luar lokasi Arena, dan mengarahkan para peserta dikehendaki bertukar ke pakaian yang disediakan dan berkumpul semula di ruang utama tepat untuk bertolak. Setelah menyuraikan ejen-ejen, Leon kembali kepada rakan-rakan sejawatnya, Ejen-ejen Geetha, Karya dan Bakar. Geetha meluahkan sedikit rasa bimbang akan keselamatan kerana tidak pernah ada acara pertandingan dianjurkan di luar Arena. Bakar bersetuju dengan kehairanan siapa yang menganjurkan idea ini.

Para peserta dibawa ke Bangunan Cyberscience di tengah-tengah bandar Cyberaya, di mana Dato' Hisham sedang mengacarakan sidang media untuk memperkenalkan hasil penemuan terbaharu dari kaji selidik azurium sintetik yang kini boleh digunakan untuk menghasilkan lebih banyak tenaga dengan lebih selamat dan lebih mesra alam. Sebagai contoh, dia menunjukkan sebuah enjin kapal terbang jumbo 747 yang biasanya menelan empat liter petrol sesaat, tetapi sebagai ganti, dia memasukkan sebiji kapsul yang mengandungi hablur azurium ke dalam peti penjana untuk menguasakan enjin tersebut. Para wartawan menepuk tangan dengan kagum sementara Dato' Hisham menjayakan demonstrasi "azurium lestari". Dato' Hisham menyuruh Julia untuk menutup enjin dan melayan soalan daripada wartawan. Ditanya sama ada azurium ini cukup untuk kegunaan pertahanan, Dato' Hisham mengangguk kepala dan membalas tiada sebab tidak boleh. Dihujani banyak lagi soalan tentang azurium baik tentang kegunaan lain mahupun soal pembayaran, atas nasihat Julia, Dato' Hisham mempelawa para wartawan untuk berbincang kemudian dan meminta diri untuk menjemput tetamu.

Rizwan dan Dos tiba di pusat bandar Cyberaya, berlumba-lumba merentas bumbung bangunan untuk menuju ke Pusat Cyberscience. Setibanya di situ, mereka menyelinap masuk melalui salur udara dan turun di koridor laluan kakitangan, di mana Rizwan melepaskan kerumunan Microbug (nanobot) untuk berkeliaran dan mengintip. Microbug kemudian disambungkan dengan komputer Prof. Akram di mana dia menerima peta pelan Pusat Cyberscience dan lokasi Rizwan dan Dos. Rizwan memakai fon putik (earbud) dan menghubungi Prof. Akram untuk mengesahkan kehadiran dirinya dan Dos dalam bagunan, dan Prof. Akram memberitahu mereka bahawa dia sedang mengawasi mereka.

Maka bermulanya pemburuan Cinco. Dos bercadang untuk berpecah supaya lebih cepat, tetapi Rizwan menegah. Dos menyoal kepercayaan Rizwan padanya; Rizwan menegaskan bahawa tindakan menyingkirkan azurium dari badannya menandakan dia percaya kepada Dos, lebih-lebih lagi setelah Dos mengkhianati Numeros. Dos meninggikan suaranya, mengingatkan bahawa dia tidak belot, malah dia adalah pengikut Uno dan bukan Cinco yang "keji", bahkan menyoal kesetiaan Rizwan kepada Uno daripada M.A.T.A. Prof. Akram menyampuk perbualan mereka dengan memberitahu bahawa sudah timbul masalah, sementara seekor Microbug kelihatan terbang di rumahnya.

12 peserta M.A.T.A. Arena tiba di Cyberscience dengan menyamar sebagai pelajar sekolah dalam rombongan melawat, bersama mentor-mentor yang berpakaian seperti guru (kecuali Ejen Bakar sebagai tukang bersih sekolah). Kesemuanya berlegar di bilik menunggu sambil bersembang. Ali menyedari bahawa dia seorang sahaja berseluar biru (iaitu berpakaian sekolah rendah, di samping Alicia); yang lain semua seperti pelajar sekolah menengah. Sam mengulas bahawa Ali dipakaikan begitu supaya orang lain tidak hairan. Ali mengeluh hendak tunggu berapa lama dan bertanya kepada Bakar. Bakar yang kelihatan gelisah menahan air, menenteramkan diri dan berpesan bahawa seorang ejen harus sentiasa bersabar. Kemudian, Bakar berlari ke arah Geetha dan bertanya berapa lama perlu menunggu; Geetha berkata hanya mampu bersabar dengan orang penting. Geetha hairan melihat Bakar tergesa-gesa dan bertanya; Bakar pun menjawab tiada apa-apa. Geetha juga mengulas bahawa sekurang-kurangnya ejen-ejen muda tidak berasa bosan.

Pada masa yang sama, Kim menjemput Ali untuk bergambar dengan kumpulannya. Setelah menjayakan satu tangkapan yang kemas dengan telefon pintarnya, Kim bergambar dengan "pesaing terkuatnya" Alicia. Alicia tidak sempat tersenyum ketika ditangkap, maka gambarnya kurang cantik; Ali menahan dari tertawa akan gelagat Alicia. Kim memujuk Alicia untuk senyum dan mengambil tiga lagi gambar, dan akhirnya mendapat foto yang "comel." Kim menyunting dan menghiasi semua foto dalam telefon sambil didampingi Ali dan Iman. Iman mengungkit cerita Kim tentang kehilangan kawan yang pernah disebutnya semalam dan bertanya siapa yang dimaksudkan; Ali terkejut mendengarnya.

Kim menceritakan bahawa dia pernah menjalin hubungan akrab dengan seorang senior di Cawangan Timur yang pernah membimbing, melatih dan membuatkan keytar untuknya, sehingga dianggap seperti kakak sendiri. Nada Kim bertukar sayu dengan menutup cerita bahawa semenjak senior itu dikerah untuk bertugas, mereka tidak berjumpa lagi. Iman berasa kasihan mendengar cerita itu, sementara Ali menawar duka bahawa dia ada ramai kawan baharu di kalangan peserta Arena. Kim kembali ceria dan setuju dengan kata Ali, dan menyoal Iman mengapa bertanya. Iman mengaku sekadar ingin tahu, sementara Alicia menyampuk dengan berkata sesetengah orang berpura-pura ceria untuk menyembunyikan rasa sedih. Kata-kata Alicia itu membuat Kim bertukar muram.

Bakar sudah tidak tertahan lagi dan berlumba ke arah pintu untuk melakukan apa yang dia mahu, tetapi tersambut ketibaan orang-orang penting. Dipersilakan oleh setiausahanya Julia, Dato' Hisham masuk dan mengucapkan apa khabar kepada semua ejen-ejen muda dari Akademi dan antarabangsa, dan semua ejen pun bangun dan membuat kedudukan rehatkan diri. Dato' Hisham menerangkan bahawa tujuan dia menjemput mereka ke sini adalah untuk memuji mereka atas pencapaian mereka pada usia yang begitu muda, malah patut dijadikan inspirasi. Tambahnya, dirinya juga sedang menjalankan "misi," iaitu membawa kemajuan ke seluruh dunia, dan ke mana sahaja teknologi Cyberaya disebarkan, ke situ juga M.A.T.A. pergi.

Dato' Hisham mengatakan bahawa Pertandingan Arena wajar dijadikan contoh cara menjalin persahabatan serta menunjukkan potensi kejayaan yang boleh dicapai bersama, maka dia meminta semua peserta untuk mengetepikan perbezaan, fokus pada kekuatan masing-masing, dan sedar bahawa peranan kamu adalah lebih besar dari yang dijangkakan. Akhir kata, dia meminta kerjasama daripada mereka supaya dia dapat memastikan agar mereka dapat pergi jauh dalam kerjaya sebagai ejen. Sebaik sahaja ucapan ditutup dengan ucapan semoga berjaya, Bakar yang sedang gelabah menahan pundi melakukan sorakan yang agak riuh-rendah untuk ucapan yang takzim. Ejen Leon menyuraikan ejen-ejen, disampuk oleh laungan "bertindak segera" oleh Bakar yang kemudian meluru ke bilik air.

Setelah semua ejen bergerak keluar, Dato' Hisham kekal bersama para mentor untuk mendengar taklimat tentang acara. Dia mengucapkan terima kasih kepada mentor-mentor yang kekal di bilik kerana memilih untuk menganjurkan acara di Cyberscience walaupun di saat-saat akhir, lalu bertanya tentang objektif acara. Ejen Leon menerangkan bahawa setiap kumpulan diberi empat petunjuk yang membawa mereka ke empat lokasi lencana yang membawa mereka ke empat lokasi berbeza di sekitar kawasan bangunan. Dato' Hisham menyamakan acara berkenaan dengan permainan mencari harta karun; Leon mengiakan perumpamaan itu dan bersambung bahawa setelah mereka menemui semua lencana, lokasi penamat akan didedahkan.

Empat teka-teki disiarkan dalam jam tangan hologram ketua kumpulan, dan ianya seperti berikut: 1) Makan gulai dengan nasi, urat dawai tulang besi; 2) Beli jagung dengan Pak Hasan, laju terapung atas landasan; 3) Makan malam berpinggan-pinggan, terbang tinggi hingga ke bulan; 4) Apam balik, apam biasa, akal celik, bukan manusia. Dalam kumpulan Aleks, Sam bertanya apa yang sedang dibacanya; Ali menjelaskan bahawa ia merupakan riddles. Aleks meminta Sam meneka; sambil berfikir, Sam melihat pasukan Alicia sudah meneka jawapan, membahagikan tugas sesama ahli dan berpecah, sementara pasukan Kim bergerak bersama-sama mengikut Roza. Diingatkan oleh Aleks, Sam menunjukkan arah untuk ditujui.

Mula-mula, pasukan Aleks memasuki bilik pameran prostetik siber. Sam memanggil yang lain-lain kepada permainan arked gusti tangan di tepi bilik, di mana Rizka baru menang dan menggondol lencana dari lubang dispenser. Ali memuji Sam kerana cepat mencari jawapan, sementara Sam meminta Aleks untuk mengintip pasukan lain dan mencari lokasi seterusnya. Aleks bersetuju dengan cadangan bernas Sam dan meminta Mika bermain. Mika memenangi permainan dengan mudah, dan Ali tolong mengutip lencana. Aleks memandang teka-teki pertama ditanda selesai pada jam tangan dan menghubungi ahli pasukan lain untuk berkumpul di lokasi seterusnya.

Di bilik pameran tren peluru maglev (teka-teki 2), pasukan Kim sudah berada di situ, dan Zass ditugaskan untuk menggondol lencana dari model tren yang memecut dan berpusing-pusing dalam tiub pada kelajuan amat tinggi. Dengan tenang, dia menurunkan fon kepala, menutup mata dan menghulurkan tangan ke atas tempat tren berlalu, sehingga dapat mengebas satu daripada tiga lencana dengan persis dalam satu cubaan. Rakan-rakan sepasukan Zass menepuk tangan meraikan kejayaan, disaksikan oleh Ali sepasukan dari belakang dengan hairan. Aleks memikul tugas mengebas lencana; setelah menghulurkan tangan, hatinya bertukar gemuruh sehingga tangannya terlanggar dalam cubaan pertama.

Tiba-tiba, Rudy melompat balik kuang dari belakang mereka dan mengebas lencana dari tren dalam satu cubaan. Mika mengeluh pasukannya sudah ketinggalan; Ali bersetuju dengan menghajatkan gajet untuk memudahkan kerja. Ali memandang ke arah peti suis elektrik di tepi pintu dan bercadang untuk mematikannya. Aleks menghalang Ali kerana kesuntukan masa dan menyuruh Ali bersedia; Ali pun hairan. Aleks pergi mengangkang di atas landasan, menyekat tren dari hadapan dan menyuruh Ali cepat mengambil lencana. Sebaik sahaja Ali menuntut lencana, Aleks pun melepaskan tren dan terpelanting dari platform dan cedera di lengan kanan. Apapun, Aleks bangun tanpa dipapah dan memimpin pasukannya ke cabaran seterusnya.

Pasukan Aleks memasuki bilik pameran robotik di mana mereka disambut oleh sebuah robot humanoid yang menduga mereka dengan permainan helah cups and balls, tetapi dengan lencana sebagai "bola." Sam tampil untuk menyahut cabaran. Bukan sahaja menyorokkan lencana dalam satu daripada tiga cawan, robot itu bahkan menambah dua lagi cawan dan menukar-nukar posisi cawan dengan amat cepat, ditambah lagi platform di mana robot berdiri itu pun naik turun, membuat Sam tercengang. Setelah robot mempersilakan untuk memilih cawan yang betul, Sam dengan gementar tampil untuk mencuba. Belum sempat memilih, tiba-tiba Sam disampuk oleh Alicia yang merampas lencana dari bawah cawan dengan cepat dan terus beredar. Ali mengecam tindakan Alicia sebagai tidak aci dan pergi mengejarnya. Robot bertepuk tangan mengucapkan tahniah dan menjemput mereka mencuba lagi. Aleks menyuruh Sam dan Mika kekal dan mengejar Ali; Sam bersetuju untuk mencuba lagi.

Alicia berlari menuju ke tempat teka-teki 3, menghubungi Khai melalui alat komunikasi untuk bertanya mengapa belum selesai; Khai merungut susah. Alicia berlari menaiki tangga gerak untuk memasuki bilik planetarium graviti rendah di mana pelawat boleh terapung naik untuk mendekati model Matahari dan planet-planet sambil beriadah. Di situ, Alicia memandang ke atas dan melihat Khai sedang "berenang di angkasa," masih terkapai-kapai dalam usaha menangkap lencana yang memecut bak tahi bintang. Kim juga berada di situ, melompat dengan tangkas dari planet ke planet. Ali menemui Alicia di luar planetarium tetapi terdongak sekali dengannya, terpaku melihat aksi di angkasa kecil. Ejen Bakar pun tiba untuk mengawasi ejen-ejen.

Kim memperoleh lencana terakhir dan turun, melengkapi semua tugas dan bergegas ke lokasi penamat. Alicia merancang untuk melengahkan Kim dan menyuruh Khai untuk mencuba lagi. Ali hendak mengejar Alicia, tetapi Aleks memujuknya untuk memasuki planetarium bersamanya kerana lebih cepat untuk menangkap lencana bersama-sama. Ali terlihat Bakar yang baru tiba dari tangga gerak, menjuling ke arahnya dengan senyuman, maka Ali bersetuju untuk menolong Aleks. Melangkah masuk ruang graviti rendah, Ali mula-mula terkapai-kapai tetapi Aleks membimbingnya untuk bertenang supaya stabil.

Kim berlari turun tangga gerak, mencelah-celah di kalangan barisan orang yang padat. Di tengah-tengah jalan, tangga gerak terhenti secara tiba-tiba, dan Alicia menggelongsor turun di celah antara dua tangga, membuat Kim merajuk. Alicia berlumba melalui bilik pameran tren maglev sambil mendapat berita Khai sudah menggondol lencananya; sambil melompati landasan, tiba-tiba tren terhenti, dan Alicia memandang ke arah Kim yang memadamkan suis sambil mengulas betapa tidak disangka anak General begitu licik. Alicia berbalas tidak akan membiarkan Kim menang dengan mudah, dan bersambung lari. Kim menghalang laluan Alicia dan bersetuju bahawa beginilah baru seronok.

Ali dan Aleks hinggap di atas model Bumi, mencari peluang untuk menangkap lencana. Setelah menentukan hala yang harus ditujui, Aleks memegang tangan Ali dan melonjak ke arah model Marikh. Di tengah lonjakan, Aleks melonjakkan Ali ke atas Marikh itu. Sambil menahan kecederaan di lengannya, Aleks menyuruh Ali untuk meneruskan perjuangan dan "tunggu selaras." Ali memahami bahawa dia perlu menunggu sehingga semua model planet membentuk barisan lurus; apabila itu berlaku, Ali melompat dari planet ke planet sehingga sampai di Neptun dan melonjak dari situ sehingga berjaya menggapai lencana. Akan tetapi, begitu cepat lencana itu memecut sehingga Ali terpelanting seketika sebelum turun dengan selamat (biarpun sedikit gelabah sehingga nyaris tercicir lencana). Aleks menyambut kejayaan pasukannya menghabiskan keempat-empat teka-teki dengan gembira sambil menahan sakit di dada. Dia menyerahkan jam tangan ketua kepada Ali untuk menggantikan tempatnya di lokasi penamat.

Alicia dan Kim sedang bergaduh di tempat maglev, saling menyekat jalan satu sama lain. Kim melanggar Alicia dari sisi, kemudian Alicia bangun dan menarik kaki Kim. Apabila Ali memintas mereka, baru mereka berhenti dan kembali berlumba. Melihat Alicia dan Kim mengejar di belakang, Ali berlari-lari, membelok dan menggelincir sehingga tiba di lokasi penamat, iaitu Dewan Peribadi 2, tempat berlangsungnya acara pelancaran Azurium Lestari. Setibanya di situ, Ali bersama Kim dan Alicia di belakang digemparkan oleh kehadiran Rizwan dan Dos di kalangan beberapa kakitangan yang bergelimpangan.

Watak[]

Watak utama:

Watak sampingan:

Galeri[]

Nota[]

Kesilapan[]

  • Di cabaran memilih cawan, tangan Alicia kelihatan menggondol lencana dari cawan ketiga; sewaktu dia beredar, kelihatan cawan keempat (kedua dari kanan) yang tertanggal.

Pautan luar[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement