MISI: GETIR ialah episod ke-11 dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 14 Januari 2023.
Sinopsis[]
Ali bersedia sebagai salah seorang daripada finalis 4 Terbaik di Cabaran Akhir Arena MATA dan mereka dikejutkan dengan kehadiran Ketua Teras MATA. (Disney+ Hotstar)
Plot[]
Hari berlangsungnya pusingan akhir M.A.T.A. Arena sudah tiba. Alicia berada di ruang utama bangunan Arena, menatap gambar-gambar juara lepas, terutamanya bapa angkatnya. Sementara itu, Sam menghirup teh di kafeteria untuk menenangkan rasa gemuruh yang terpancar dalam tangannya yang menggeletar. Di dorm perempuan, Kim memandang cermin sambil termenung memikirkan rancangannya dalam acara seterusnya sebelum menarik nafas untuk . Di dorm lelaki pula, Ali sedang bermain dengan permainan video dalam telefon pintar apabila berkumandangnya suara Ejen Bakar dalam siar raya meminta semua finalis untuk berkumpul. Ali meregangkan badan dan memanggil Comot untuk mengikutnya, tetapi langsung tidak kelihatan sebarang kelibat Comot.
Rizwan dan Dos menyelinap masuk bangunan kerajaan dengan tujuan bersemuka dengan Dato' Hisham yang sedang mengadakan tayangan khas pusingan akhir Arena untuk tetamu kehormat. Semua tetamu perlu membawa pas kemasukan untuk ditunjukkan di tempat kawalan keselamatan dan menjalani imbasan muka untuk pengesahan identiti. Rizwan pada mulanya ragu-ragu dengan cadangan Dos menggunakan pas kemasukan palsu untuk mengelak daripada dikesan, tetapi Dos menunjuk cara dengan melepasi kawalan keselamatan dengan lancar. Rizwan pula walaupun gilirannya mengambil masa yang sedikit lama daripada Dos namun dia berjaya melepasi rintangan tanpa menimbulkan syak.
Ali, Alicia, Kim dan Sam bertemu sekali lagi dengan rakan-rakan mereka yang tersingkir di ruang utama di bawah pengawasan mentor-mentor. Ali hairan tetapi gembira menerima sambutan dari Iman, Jet, Khai, Moon, Roza dan Rudy, lalu bertanya mengapa mereka datang. Jawab Moon, mereka datang untuk menonton pusingan akhir. Jet memuji Ali kerana sampai di tahap ini tanpa menggunakan IRIS, malah bercadang untuk menyertakan Ali sebagai pilihan utama dalam pasukannya pada masa akan datang; Mika memerli Jet kerana hanya mengutamakan yang hebat-hebat. Khai menghadiahkan kad permainan yang paling nadir dalam simpanannya kepada Ali sebagai pembawa tuah; Rudy mencemuh pemberian itu sebagai karut-marut tetapi Moon mengejek Rudy kerana cemburu.
Ketua-ketua teras Ganz dan Dayang tiba di ruang utama – disambut dengan ghairah oleh seluruh ejen, lebih-lebih lagi Moon dan Iman – untuk menjemput peserta-peserta lain ke balai pemerhatian untuk menonton acara, sementara Ejen Bakar memimpin para finalis ke tempat acara. Sebelum berpisah, Roza mengucapkan semoga berjaya kepada para finalis. Dalam perjalanan ke tempat acara, Bakar mengambil kesempatan untuk menggesa Ali supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi pertandingan. Ali hairan mengapa bapa saudaranya tiba-tiba mendesak, maka Bakar bertegas bahawa dia mesti menang tetapi tidak boleh mendedahkan sebabnya.
Rizwan dan Dos selamat mengambil tempat di auditorium di mana berlangsungnya tayangan siaran langsung M.A.T.A. Arena. Dato' Hisham memperkenalkan "rahsia terulung Cyberaya" kepada para tetamu melalui layar di mana terpancarnya imej Ejen Dayang menyapa para penonton dan menerangkan keistimewaan pertandingan M.A.T.A. Arena daripada yang dahulu, iaitu penyertaan ejen-ejen muda antarabangsa dan perubahan-perubahan dari segi penganjuran. Ejen Dayang juga memaklumkan kepada peserta-peserta Arena akan kehadiran penonton jemputan yang diaturkan oleh Dato' Hisham hasil kerjasama Cyberaya dengan negara luar.
Keempat-empat finalis sedia menunggu di sebalik pintu utama, semuanya memandang ke hadapan kecuali Ali yang masih berpaling-paling. Ditanya kenapa oleh Alicia, Ali menjawab bahawa dia belum menjumpai Comot. Alicia menegurnya untuk menumpukan perhatian kepada pertandingan dan tidak risau akan Comot kerana ia pandai menjaga diri sendiri. Satu demi satu finalis diumumkan oleh Ejen Dayang, dan satu demi satu mereka turun padang sambil mengucapkan kata semangat kepada yang seterusnya: Kim melafazkan fighting, Alicia memesan Ali untuk tidak kalah terlalu awal, dan Sam pula mengujar good luck, bro; Ali peserta terakhir yang turun, menyertai tiga pesaingnya di tengah-tengah lapangan Arena dan menyambut sorakan dari peserta-peserta lain dan mentor-mentor. Dato' Hisham membisik kepada tetamu yang duduk di sebelah bahawa ada tujuan lain pertandingan diadakan di lokasinya dan akan menerangkan dengan lebih lanjut nanti.
Sebelum bertanding, para finalis mendengarkan taklimat daripada Ejen Ganz bahawa pusingan akhir menggabungkan kesemua elemen dari pusingan-pusingan lepas, dan setiap peserta diberi empat titik mula yang berbeza di mana mereka perlu menuntut lencana M.A.T.A. yang melambangkan "nyawa" mereka dalam permainan. Peserta dikehendaki menumpaskan peserta lain dan merampas lencana mereka, dan peserta pertama yang mengambil keempat-empat lencana akan diangkat sebagai juara. Tambah Ganz, terdapat beberapa Peti Upgrade yang bertaburan di sekitar Arena, dan mereka juga boleh menawan Capture Point dan mengaktifkan droid untuk kegunaan sendiri. Akhir sekali, zon-zon Arena akan ditutup secara berperingkat mengikut tempoh yang ditetapkan untuk mencegah peserta dari bersembunyi. Taklimat diakhiri dengan laungan "Bertindak segera!"
Mula-mula, Ali menemui Peti Upgrade di kawasan semak dan memperoleh set Ball Drone enam biji (senjata Ejen Dayang). Sam pula mengaktifkan Mechadroid di Capture Point; sebaik sahaja itu, dia terkesan sesuatu di dalam semak di hadapan dan menembak ke arahnya, maka terbongkarlah sebuah droid Ninja (Inviso). Pengawalnya, Kim merampas Mechadroid dan menembak jatuh Sam dengan keytar-nya. Sam bangun, menyikat rambut dan beradu dengan Ninja. Kim cuba memintas sistem Mechadroid tetapi terhalang, maka dia turun dengan geram dan menyaksikan droidnya dijatuhkan denga mudah oleh Sam dengan jam tangannya. Kim tabah dan memainkan keytar untuk memanggil droid-droid Ninja lain untuk mengepung Sam. Sam dengan licik mengawal Mechadroid untuk menembak Kim dan menguruskan droid-droid Ninja itu sementara dia melarikan diri. Di balai pemerhatian, Jet mengecam tindakan Sam sebagai tidak aci tetapi Roza berpendapat bahawa itu sekadar satu taktik.
Turut menyaksikan perbalahan antara Sam dan Kim ialah Ali yang menghendap di sebalik semak dan bercadang untuk mengumpulkan lagi senjata tambahan. Hajatnya tidak kesampaian apabila dia dikejutkan oleh panahan dari Staffbow Alicia yang menjatuhkan dua biji Ball Drone, membuat dia menyorok semula. Moon dan Khai gusar melihat tindakan Ali.
Alicia menahan busur sambil menunggu Ali muncul semula tetapi diganggu oleh Ball Drone; Ali pun melonjak keluar dan melemparkan gasing kembarnya ke arah Alicia tetapi ditepis oleh droid Sledgehammer (Kombat) yang dikawal oleh Alicia. Alicia dan droidnya dikelilingi oleh empat Ball Drone dan Ali sekali lagi melemparkan gasing untuk melantun-lantun dengan Ball Drone untuk melengkapkan kepungan. Alicia cuba menukarkan Staffbow ke bentuk gada dan memukul gasing-gasing itu untuk menepis tetapi selalu terkena droidnya. Sledgehammer dikawal untuk merenyukkan satu Ball Drone dengan tangan untuk melepaskan diri, tetapi Ali mengawal gasing untuk menghancurkan muka droid itu. Tindakan itu meraih sorakan meriah daripada kawan-kawan Ali terutamanya Khai yang berteriak "Naisu!"
Alicia dengan sinis memuji Ali, kemudian melonjak dan memanah semua Ball Drone yang tinggal. Tiba-tiba, tempat sekitar mereka bernyala merah, dan Alicia mengundurkan diri, membuat Ali hairan. Munculnya Ejen-Ejen Bakar dan Karya mengancam Ali dengan masing-masing dengan tumbukan dan lontaran kad, malah Bakar mengingatkan anak saudaranya bahawa kawasan ini sudah ditutup dan dia mesti beredar jika hendak terselamat. Maka Ali pun akur dan pergi.
Di auditorium, Dato' Hisham menerima panggilan dan meminta diri untuk keluar dan menjawab. Diiringi oleh beberapa orang pengawal peribadi, dia menjawab telefon tetapi tidak terdengar apa-apa. Sedar-sedar sahaja dia diperangkap oleh Rizwan dan Dos yang menumpaskan semua pengawal. Dalam ketakutan, Hisham cuba melarikan diri tetapi dikepung oleh mereka berdua. Dicekup dan dihimpit ke dinding oleh Rizwan, dia menuduh mereka pernah menyerang Pusat Sains, tetapi Rizwan pula mendakwa balas bahawa Hisham ialah Cero, dibantu oleh Dos yang menunjukkan rakaman CCTV Dato' Hisham menyerahkan kunci Mainframe kepada Cinco.
Rizwan bersedia untuk menumbuk Hisham sehingga pengsan apabila telefon Hisham di atas lantai berdering, menerima panggilan dari orang tidak dikenali. Rizwan dan Dos termenung melihat telefon itu dan melihat wajah gemuruh pada muka Hisham, maka mereka teringat akan Nueve yang boleh mengawal minda melalui panggilan telefon. Menyedari kesilapan mereka, Rizwan melepaskan Hisham sementara Dos menghentak-hentak telefonnya sehingga hancur, kemudian mereka tertanya-tanya apa yang harus dilakukan. Tiba-tiba, mereka dikejutkan oleh kemunculan Ejen-Ejen Bobby dan Fit yang datang untuk menangkap mereka (kerana Hisham sempat menekan penggera pada jam tangannya sebelum dicekup).
Alicia bergegas ke satu Capture Point dan menemui Peti Upgrade. Belum sempat membukanya, dia nyaris terkena tiga bilah shuriken yang dilemparkan serentak oleh droid Ninja yang dikawal oleh Kim. Droid itu menembakkan tiga das plasma ke arah Alicia. Tembakan tidak mengena dan Alicia memanah ke arah Kim; Kim mengelak dan menembak Alicia dengan keytar. Alicia mengelak dan pergi menuntut petinya tetapi digugat oleh dengan droid Ninja dengan bilah plasma di tangannya. Alicia menepis serangan droid itu dan melontarkan bom asap ke arah Kim. Kemudian, dia melonjak dan memanah droid Ninja sehingga tertusuk mukanya. Setelah asap reda, Alicia dan Kim bersemuka satu lawan satu. Kim memuji Alicia sebagai saingan terkuat.
Mula-mula, Alicia dan Kim tembak-menembak dengan gajet masing-masing. Kim meluru ke arah Alicia sambil mengelak setiap panahan yang dilepaskan. Kemudian, mereka bertempur dengan melagakan gajet mereka. Kim menerajang Alicia, tetapi Alicia menukarkan Staffbow ke bentuk gada untuk berpusing balik dan menjatuhkan keytar Kim. Kim mengangkat semula keytar-nya dan mereka bersambung melaga sehingga dia nyaris terkelar leher Alicia. Alicia membalas dengan menggada Kim dengan pukulan kencang sehingga pengsan lalu merampas lencana dari lawan ketatnya.
Ali berlumba ke Sam ke satu lagi Capture Point. Sam bertindak menembak dengan jam tangannya tetapi ditepis oleh putaran yoyo Ali. Mereka bertindak mengasari satu sama lain secara fizikal sehingga melambatkan kemaraan mereka sendiri. Gelagat mereka membuat penonton tergamam, lebih-lebih lagi Rudy yang mencemuh perbuatan "mengarut" mereka. Tiba-tiba, Alicia muncul di atas pentas Capture Point dan memanah ke arah Ali dan Sam, maka mereka pergi menyorok di sebalik tiang penjuru dan berpakat untuk keluar menembak balas secara serentak. Alicia mencampak bom asap untuk melarikan diri, dan Sam pula menembak alat itu supaya berhenti berasap.
Ali dan Sam di atas pentas, memandang sana-sini untuk mencari Alicia. Alicia berdiri di atas struktur tembok di belakang Capture Point, melepaskan hujanan panah untuk cuba memerangkap dua lawannya sekali gus. Ali menukarkan yoyo kepada gasing untuk membentuk medan perisai untuk melindungi dirinya. Sam tidak terlindung dan terkena panahan Alicia, dan Alicia pun merampas lencana Sam dan bersemuka dengan Ali.
Sambil berkelahi dengan Ejen-Ejen Fit dan Bobby, Rizwan merayu kepada mereka supaya berhenti kerana Dato' Hisham dalam bahaya, tetapi mereka enggan. Dos pula cuba mendapatkan Dato' Hisham tetapi dihalang oleh Ejen Lily, ahli teras Kombat yang sepasukan dengan Fit dan Bobby, sementara Dato' Hisham dilarikan oleh Ejen Jeff, ahli teras Neuro. Keadaan bertambah rumit apabila mereka bertemu dengan Trez, Seis dan Siete.
Ali melontarkan gasing ke arah Alicia tetapi terelak; Alicia memanah ke arah Ali tetapi juga dielak, dan mereka meluru ke arah satu sama lain. Tiba-tiba, mereka dikejutkan oleh tembakan dari tiga droid berbeza yang bertindak di luar kawalan – satu Ninja, satu Fortify (Tekno) dan satu Marksman (Neuro). Mula-mula, Ninja menyerang dengan bilah tangan; Alicia mengetepikan Ali dan menahan serangan droid itu. Fortify dan Marksman pula menyerang dari kedua-dua belah Alicia tetapi dihambat oleh Ali yang menggunakan sut magnetiknya. Alicia melepaskan diri dari kepungan dan menerajang ketiga-tiga droid ke satu tiang penjuru lalu mencucuk mereka dengan panah.
Baru sahaja Ali tertanya-tanya apa sedang terjadi, muncul pula satu droid Sledgehammer melancarkan tangan-tangannya untuk menyemat Ali dan Alicia pada dinding. Mereka bergelut untuk melepaskan diri sebelum dikasari lagi, tetapi mujurlah datangnya Ejen-Ejen Bakar dan Karya menjatuhkan droid berkenaan masing-masing dengan menumbuk dan melemparkan kad di mukanya. Karya turut melepaskan dua finalis itu, dan Ali menanya Bakar sama ada tindakan droid tadi adalah sebahagian daripada pertandingan.
Langit Arena bertukar gelap dan kubah pelindungnya pula dicemari noda merah dan merekah. Kerumunan Microbug memecah masuk melalui puncak kubah dan mengangkut Cinco yang memandang ke bawah dan bertepuk tangan sambil mengeluarkan ujaran "persembahan yang bagus."
Galeri[]
Pautan luar[]
Papar • Sunting Episod | ||
---|---|---|
Musim 1 | MISI: I.R.I.S. • MISI: ALPHA • MISI: SERI • MISI: COMOT • MISI: BLUEPRINT • MISI: BANGKIT • MISI: PROTOKOL GEGAS • MISI: PRESTASI • MISI: POTENSI • MISI: SENSASI • MISI: BUKTI • MISI: UNO • MISI: OVERRIDE | |
Musim 2 | MISI: AKADEMI • MISI: ORIENTASI • MISI: MAIN • MISI: ANALOG • MISI: CABAR • MISI: SUSU • MISI: KEMBALI • MISI: TUJUAN • MISI: PERANAN • MISI: ATLAS • MISI: HARAPAN • MISI: DIEZ • MISI: LEGASI | |
Musim 3 | MISI: ARENA • MISI: BOLEH • MISI: UPGRADE • MISI: BALAS • MISI: BLACKOUT • MISI: BURU • MISI: JERAT • MISI: UBAH • MISI: HYBRID • MISI: KHEMAH • MISI: GETIR • MISI: SENGAT • MISI: JAGUH |