MISI: HYBRID ialah episod kesembilan dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 31 Disember 2022.
Sinopsis[]
Ali merayu kepada Rizka, Mika, Iman dan semua bekas Ejen Kombat untuk tingkatkan latihannya selepas kecewa dengan prestasinya dalam cabaran kumpulan. (Disney+ Hotstar)
Plot[]
Abang Bear, Komeng dan konco-konco mereka mengemaskan semula markas mereka yang baru diserbu oleh Cinco. Abang Bear yang keletihan meminta Komeng membelikan teh ais, maka Komeng pun bergerak untuk keluar. Baru hendak keluar, Komeng digemparkan oleh kehadiran Rizwan dan Dos di hadapan pintu. Komeng mengarahkan konco-konco untuk menyerang mereka tetapi semua konco-konco melarikan diri dalam ketakutan, sementara Abang Bear berlindung di belakang kerusi sambil bertanya apa tujuan Rizwan dan Dos ke mari. Dos menjawab bahawa mereka memerlukan sesuatu.
Di Arena M.A.T.A. selepas pusingan Mechadroid, para peserta mendengarkan Ejen Leon mengumumkan kedudukan markah terkini. Dia mengulas bahawa separuh daripada para peserta menunjukkan prestasi yang baik sementara separuh lagi gagal menyesuaikan diri. Alicia, Kim, Sam dan Khai berbangga sementara Ali, Mika, Iman dan Rizka berasa malu dan kesal atas kekalahan mereka. Ejen Leon menegaskan bahawa mata hanya akan diberi kepada pemain apabila menjalankan peranan teras baharu, jadi dia berpesan agar mereka tidak bergantung pada teras asal masing-masing. Dia mengingatkan mereka untuk lebih bersedia kerana pusingan seterusnya adalah pusingan penyingkiran, kemudian menyuraikan mereka.
Setelah pasukan Alicia beredar, Ali ditengking oleh Mika kerana gagal mengikut strategi yang ditetapkan sehingga mereka kalah teruk, dan juga oleh Rizka kerana mencampuri peranan orang lain dan tidak mengikut peranan teras baharu. Ali tercungap melayan teguran mereka, semeentara Iman yang berdiri di sisinya memujuk Mika dan Rizka untuk menahan baran. Mika dan Rizka marah lagi, mengadu bahawa Ali mengambil mudah permainan dan bersikap egois kerana markahnya tinggi sebelum ini sambil beredar. Iman hanya mampu mengangguk sebagai tanda kasihan kepada Ali dan beredar bersama mereka. Ali keseorangan di tengah-tengah dewan cuba menahan geram, tetapi setelah mendongak gambar ibunya di atas, dia menarik nafas untuk menenangkan hati.
Keesokan pagi, Iman mengajak Mika dan Rizka keluar dari dorm, dan mereka bertemu dengan Ali di persimpangan koridor yang tersenyum sengih sambil melambai. Mika dan Rizka masih geram dengan Ali dan berpatah balik, kemudian Ali bersuara meminta maaf dan mereka pun berhenti dan berpaling ke arahnya dengan sangsi. Ali mengaku bahawa dirinya hilang fokus setelah peristiwa di Cyberscience dan pertukaran teras dan berjanji tidak akan menghampakan mereka lagi. Atas pujukan daripada Iman secara mendeham, Mika dan Rizka pun memaafkan Ali. Iman menasihati Ali bahawa dia tidak usah merisaukan hal di luar kawalan, sebaliknya fokus kepada hal-hal yang boleh diperbaiki. Mika bersetuju dan menegur Ali dengan nada perlian supaya memperbaiki kemahiran KOMBAT-nya dan tidak memalukan bapa saudaranya. Rizka turut mengeluh bahawa mereka bertiga tentu lebih senang jika masih berada dalam KOMBAT. Dengan itu, Ali teringat bahawa ketiga-tiga ahli pasukannya berasal dari KOMBAT dan memohon tunjuk ajar dari mereka.
Ejen Bakar memasuki bilik pemerhatian tempat latihan Kombat dengan membawa sebungkus nasi lemak dan secawan kopi sebagai sarapan. Belum sempat makan, dia dikejutkan dengan bunyi dentuman dari tempat latihan. Bakar memandang ke bawah dan melihat Ali menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukannya di kawasan latihan yang berbentuk grid dan dirintangi blok-blok besar. Mula-mula, Ali melawan serangan kerambit bertubi-tubi Rizka dengan perisai yoyonya. Ditolak ke belakang, Rizka menyimpan kerambit dan menyerang semula dengan lompat panjang dan terajang, membuat Ali mengundur ke belakang di persilangan. Ali menyedari Iman menyerang dengan Meteor Hammer dari sebelah kiri dan menampan dengan perisai yoyo. Dari situ Meteor Hammer terpelanting ke arah Rizka, tetapi Mika sempat menangkis dengan Sut MEKA-nya dan memukul Ali ke belakang.
Ali dikepung oleh ketiga-tiga rakan perempuannya, berhenti sejenak untuk menduga langkah mereka yang seterusnya. Rizka menyeru supaya tidak memberinya peluang untuk berfikir, maka mereka pun tiga mara meluru ke arah Ali. Ali bertindak dengan berlari tunggang-langgang, dan Mika menyuruh Rizka dan Iman untuk mengepungnya. Ali berlari sedaya upaya untuk melengahkan mereka sehingga dia pun dikepung di tengah-tengah grid oleh Mika di hadapan, Iman di kiri dan Rizka di kanan. Ali mendongak ke arah paparan di atas bertukar dari arahan pertahanan ke menyerang, dan mengingati pesan Ejen Bakar untuk menyerang pada masa yang tepat.
Diserbu serentak oleh Mika, Rizka dan Iman, Ali melancarkan berbilang gasing ke ketiga-tiga arah. Namun, kesemua gasing dapat dipatahkan dengan mudah oleh mereka bertiga, malah Iman memecahkan satu gasing dengan Meteor Hammer dan menahan tangan kiri Ali dengan cekauan selendang. Rizka justeru menyandungkan kaki dan menahan tangan kiri Ali, dan akhirnya Mika meluru ke arahnya dan mengakhiri latihan dengan menjentik dahi Ali. Ejen Bakar terluah makanan dan ketawa melihat gelagat anak saudaranya sepasukan.
Ali mengeluh kerana menyangka akan menang, tetapi Rizka menepuk belakangnya dan berpesan untuk cuba lagi. Iman menyerahkan gasing yang patah kepada Ali sambil meminta maaf. Mika mengulas bahawa gasing Ali tidak cukup lasak untuk perlawanan Kombat. Iman berkata pertahanan Ali semakin bagus tetapi mudah diduga setelah dilihat menukar gajet. Rizka bersetuju bahawa ia memudahkan mereka menyerang balas. Ali menerima komen mereka sambil merenung gasingnya yang pecah.
Ali pergi ke makmal untuk membaiki gasingnya dengan berpandukan video rakaman ibunya. Sambil membuat kerja, dia diganggu oleh Comot yang melolong-lolong sambil menunjuk-nunjuk ke arah komputer besar. Ali meminggirkan Comot, tidak menyedari apa yang hendak disampaikan oleh kucingnya itu amat mendesak. Ali teliti memateri komponen dalam gasing sehingga terhenti dek percikan dalam litar. Dia menatal-natal video untuk mencari di mana silapnya dan juga menyaksikan arwah ibunya pun bersusah-payah dalam usaha mereka cipta gasingnya sehingga dia terlena dan perlu dijagakan oleh adiknya Bakar.
Kebetulan pula, Ejen Bakar memasuki makmal untuk makan dan menghulurkan air tenaga kepada Ali setelah kagum melihat betapa cekal Ali berlatih. Ali tersengih menerima pujian bapa saudaranya dan meminta maaf kerana tidak berkelakuan baik pada latihan awal-awal; jelasnya, bukanlah dia tidak ingin menyertai KOMBAT tetapi dia berada dalam keadaan serabut ketika itu. Bakar senang hati memaafkan Ali dengan ucapan "jangan risaulah", tetapi Ali menambah bahawa dia perlu fokus dan tidak terlalu memikirkan Rizwan, dan ini membuat Bakar pun termenung. Ali menyoal Bakar sama ada dia terkilan melihat Rizwan masih hidup, apatah lagi bergabung dengan Dos, dan Bakar pun mengia dengan nada muram.
Ali mengeluh sambil memegang gasingnya yang belum siap dibaiki, meluahkan pendapat bahawa ibunya tentu dapat mencari jalan untuk menyelesaikan isu Rizwan seandainya dia masih hidup. Pesan Bakar, Aliya pun pernah berdepan dengan masa susah tetapi akan sentiasa mencari jalan, jadi Ali pun jangan cepat mengalah kerana dia mempunyai semangat yang sama dengan ibunya walaupun berlainan teras. Balas Ali, jika dirinya tidak dapat menjadi seperti ibunya, maka dia akan cuba menjadi seperti bapa saudaranya. Bakar tiba-tiba menyeret Ali dari duduk dan mendakapnya dengan erat, menitiskan air mata sambil menasihati Ali untuk menjadi seperti diri sendiri.
Comot menyaksikan saat manis antara bapa saudara dan anak buahnya dari meja, kemudian turun untuk menyambut kemasukan Kim dengan deraman yang marah sambil bertukar halimunan. Bakar menyedari kehadiran Kim dan segera mengelap air mata, mengembalikan Ali ke kerjanya dan bergerak keluar dari makmal untuk menghabiskan raungan kesayuan. Kim menjenguk kerja Ali dan bertanya sama ada dia sudah siap. Ali menjawab tidak tetapi merasakan sudah ada idea lain.
Sebaik sahaja Dato' Hisham tiba di bangunan pejabat dengan menumpang limosin, dia dikerumuni oleh wartawan yang bertanya-tanya tentang kejadian di Pusat Cyberscience. Dato' Hisham terkenang masa dia bersemuka dengan Ejen-ejen Ganz dan Dayang di pejabatnya, di mana dia bercadang untuk membuka akses Mainframe Cyberaya kepada pihak luar sebagai langkah pencegahan setelah kejadian Cyberscience. Ejen Ganz geram mengutuk Dato' Hisham hilang akal, sementara Dayang tenang dan bersimpati bahawa kejadian itu mungkin menjejaskan rancangan Dato' Hisham, tetapi tidak wajar mereka bertindak melulu kerana Mainframe merupakan pelan induk untuk semua sistem di bandar dan justeru ibarat jantung Cyberaya.
Dato' Hisham membalas atas sebab itulah dia bercadang untuk menghubungkan Cyberaya dengan mana-mana bandar yang ingin bekerjasama. Ganz meluahkan rasa khuatir akan pihak luar cuba mengambil kesempatan, manakala Dayang mengingatkan bahawa mustahil untuk M.A.T.A. memastikan keselamatan bandar sekiranya kehendak Dato' Hisham itu tercapai, jadi dia pun bangun dari duduk dan bertegas tidak merestui pelan Dato' Hisham. Dato' Hisham mengingatkan mereka bahawa dia memegang salah satu kunci untuk mengakses Mainframe, malah sebagai pemimpin bandar, dia berhak untuk memutuskan apa hendak dibuat dengan kunci tersebut dan tidak perlu meminta izin dan sebaliknya menagih kerjasama. Ganz mencelah dengan menyamakan Dato' Hisham dengan Dato' Othman dan menuduhnya mahu menggantikan mereka. Kata-kata itu menyakitkan hati Dato' Hisham kerana tidak suka dibandingkan dengan Dato' Othman sehingga dia terlanjur mengungkit tentang "bekas ejen M.A.T.A." Namun, dia berhenti bersuara sejenak, meminta maaf atas kekasaran tadi dan meminta Julia untuk mengiringi dua tetamunya pergi.
Bermulanya pusingan Arena baharu; Ejen Leon menerangkan bahawa pasukan mana yang menawan ketiga-tiga capture point, atau mempunyai capture point terbanyak apabila masa tamat, atau menjatuhkan semua ahli pasukan lawan, dikira pemenang. Pasukan Ali membincangkan strategi di kantin, di mana Mika mencadangkan agar mereka semua pergi bersama-sama dan menawan satu demi satu Point. Ali khuatir pihak lawan akan berpecah dan lebih laju. Iman bercadang untuk meninjau pergerakan lawan terlebih dahulu. Mika kagum dengan idea Iman dan memutuskan strategi "3-1".
Di saat awal pusingan, Iman pergi meninggalkan rakan-rakan di kubu (Point A) dan pergi menyelinap kubu pihak lawan yang dijaga oleh Kim dan Khai. Dia menghubungi Mika untuk memberitahu bahawa mereka sudah berpecah dan meminta mereka menyerbu dua Point serentak. Mika mengarah Ali dan Rizka untuk melaksanakan "formasi jejarum" yang sudah dibincangkan di kantin, di mana dia menduga bahawa mereka akan bertembung dengan pasukan lawan di Point tengah, dan Iman dikehendaki menyusup dari belakang dan menunggu isyarat Mika.
Seperti yang dirancang, Mika, Ali dan Rizka menggempur kubu lawan dan Mika melancarkan tembakan ke arah Kim dan Khai yang sempat memasang perisai. Mika menyedari Sam dan Alicia menghendap di belakang dan Alicia memanah ke arahnya, tetapi panahan ditepis oleh kepala yoyo yang melantun tanpa bertali sebelum disambut oleh cawat Ali. Mika takjub dengan "yoyo baharu" Ali dan menembak balas Alicia, tetapi Alicia mengelak setiap tembakan dengan lintang-pukang dan berlindung di sebalik tiang kubu. Sam menembak dengan jam tangannya di tiang lain, dibalas lontaran kerambit Rizka. Kim menembak dengan keytar dan Rizka pun mengelak dengan membalik kuang dengan bantuan perisai yoyo Ali. Ali melontarkan yoyo ke arah Kim tetapi terlindung dengan perisai Khai. Mika pun menembak bertubi-tubi ke arah Kim dan Khai untuk cuba memecahkan perisai.
Iman berlindung di bawah pokok di pinggiran Arena, meminta isyarat dari Mika, tetapi Mika berkata belum kerana keempat-empat ahli lawan hadir. Mika bercadang supaya mereka menawan Point B sebelum datang ke Point C (yang sedang diserang) untuk meningkatkan peluang untuk menang. Iman setuju tetapi bertanya sama ada mereka bertiga boleh mempertahankan Point asal mereka. Untuk itu, Mika berserah kepada Ali, dan Ali pun menerima dengan yakin. Alicia melancarkan anak panah ke langit untuk sekali lagi memerangkap lawan seperti di pusingan lepas, tetapi Ali memecahkan yoyo dalam pegangan kepada gasing kembar, mengeluarkan satu lagi gajet hibrid yoyo-gasing, dan melancarkan kedua-dua pasang gasing mengelilingi pasukannya untuk menghasilkan perisai. Alicia terkejut, Rizka terpegun, malah Mika pun memuji Ali sekali lagi atas kehebatannya.
Kim, Sam dan Khai menembak bertubi-tubi ke arah pasukan Mika tetapi mereka pun melihat paparan dan mendapati Point B telah dirampas. Ali melemparkan gasing melintasi kubu mereka untuk mengalih perhatian. Khai menampan gasing yang melantun balik dari belakang dengan perisai, tetapi tanpa disedarinya Rizka mengambil kesempatan untuk melemparkan kerambit berikat tali untuk menjatuhkannya. Tali itu melilit badan Khai dan mengeluarkan renjatan elektrik, menyebabkan Khai terkeluar dari permainan. Sam dan Kim digemparkan seketika, tetapi Sam dijatuhkan oleh Meteor Hammer Iman. Alicia mengasak Iman dengan Bowstaff-nya dalam bentuk gada, sementara Rizka menyerang Kim dengan pukulan. Kim mengelak dan menembak dengan keytar, tetapi ditampan oleh perisai yoyo Ali yang melontarkan gasing ke arah Kim. Sam cuba bangun dari tersungkur tetapi direbahkan oleh semburan plasma.
Sebelum rebah, Sam sempat melancarkan plasma kuning kepada Alicia dan Kim sebagai arahan untuk berundur. Ali seakan-akan hendak mengejar mereka tetapi Mika berteriak jangan. Ali berhenti dan membalas bahawa dia tidak akan tertipu lagi. Alicia dan Kim berpecah, sementara Mika menyuruh rakan-rakan sepasukannya untuk mempertahankan Point C dan tidak membiarkan mereka memecahkan formasi, diserikan oleh kata semangat daripada Rizka. Akan tetapi, mereka tergempar melihat paparan yang menunjukkan Point A dan B sudah hampir ditawan oleh pihak lawan. Mika melepaskan geram dan Ali bertanya apa langkah seterusnya. Rizka bercadang untuk mengerjakan salah satu Point. Oleh itu, Mika menyuruh Iman menemani Rizka, tetapi Rizka menegah dan menyuruh dia menawan Point yang satu lagi. Mika memujuk Rizka untuk pergi bersama-sama kerana mungkin berhadapan dengan Alicia dan Kim, dan Rizka pun akur. Setelah Rizka dan Iman pergi, Ali menanya Mika sama ada mereka mampu; Mika hanya termenung.
Rizka dan Iman berlari ke Point A, tetapi disambut dengan hujanan panah Alicia. Iman bercadang supaya Rizka menarik perhatian Alciia sementara dirinya menyelinap dari tepi. Rizka bersetuju dan pergi bersemuka dengan Alicia, menampan sedas panahan dengan kerambitnya. Alicia melancarkan anak panah ke atas untuk membuat kurungan panah memerangkap Rizka. Iman menyamar sebagai Kim untuk menyelinap tetapi disambut oleh Kim sebenar. Rizka dan Iman pun tersingkir, menyebabkan Mika cemas dan keluar mencari Point lain. Ali bertanya sama ada dia perlu ikut sekali tetapi ditegah.
Tidak lama kemudian, Mika pun diumumkan tersingkir, maka tinggal Ali seorang. Dia memandang-mandang keliling kubunya akan kehadiran lawan. Seperti yang dijangka, Ali menyambut serangan panah dan keytar dari kedua-dua sisi. Ali berusaha menampan semua tembakan dengan sepasang perisai yoyo, kemudian dia menukarkan sebelah yoyo kepada gasing untuk melentingkan keytar Kim. Alicia dari atas melancarkan kurungan panah ke atas pentas kubu, menyebabkan Ali berganjak. Ali melontarkan yoyo ke arah Alicia tetapi Alicia turun ke atas pentas menemani Kim. Ali meluru ke arah pentas sekali lagi dengan berperisaikan sepasang gajet hibrid baharunya untuk menepis semua tembakan. Untuk menyerang balik, dia melonjak ke udara dengan menginjak satu gajet dalam bentuk cakera yoyo, lalu melontarkan gajet yang satu lagi dalam bentuk gasing ke arah lawan untuk mengusir mereka dan menawan semula kubu. Alicia dan Kim naik semula dan mengasak Ali dengan senjata masing-masing. Ali mencari masa yang tepat untuk menyerang. Melihat Alicia dan Kim mengacu tepat di hadapan mata, Ali cuba melakukan pergerakan baharu dengan gajet hibridnya tetapi sayangnya masa sudah tamat dan kemenangan berpihak kepada pasukan Alicia sekali lagi.
Sekali lagi Ali sepasukan merenungi kegagalan sambil menjeling dengan cemburu ke arah suasana riang-ria yang ditimbulkan oleh sorakan Kim dalam pasukan lawan. Ejen Leon tampil lagi ditemani mentor-mentor lain, mengucapkan tahniah kepada pasukan Alicia atas kemenangan mereka tetapi juga memuji pasukan yang satu lagi kerana menunjukkan peningkatan dari segi prestasi mereka. Tambah Leon, walaupun pusingan dijalankan secara berpasukan, namun hanya peserta individu dengan markah tertinggi akan layak ke pusingan akhir. Oleh itu, dia mengumumkan nama-nama empat peserta yang layak iaitu Kim, Alicia, Sam, dan (dengan berhenti sejenak) Ali. Ali terkilan mendengar namanya disebut dan memandang papan markah, di mana dia mengatasi Khai untuk mendapat tangga keempat. Ali dikelilingi oleh Khai, Mika, Iman dan Rizka yang mengucapkan tahniah. Ejen Bakar sebak diselubungi rasa terharu dan bangga menyaksikan pencapaian anak buahnya, dihulurkan kain lap oleh Ejen Karya. Ejen Leon bersambung ucapan dengan menyatakan bahawa keempat-empat ejen terunggul secara rasminya lulus dari Akademi dan akan naik ke pangkat seterusnya, di samping mengucapkan tahniah atas pencapaian yang harus dibanggakan. Sekali lagi, Ali mendongak ke arah gambar ibunya dengan senyuman megah.
Keputusan Arena turut disampaikan kepada Ketua-ketua Teras, di mana Ejen Ganz yang berhubung menerusi hologram mengulas dengan nada sinis bahawa "anak emas" Ejen Dayang boleh tahan. Kata-kata itu membuat Dayang sedar dari menungan. Ganz bertanya sama ada dia masih risau akan Dato' Hisham; Dayang mengia kerana masih belum menemui jalan penyelesaian. Ganz memesan bahawa M.A.T.A. mempunyai protokol untuk situasi sebegini, tetapi Dayang mengingatkan bahawa itu pilihan terakhir untuk situasi yang amat mendesak dan sebenarnya boleh mengancam kelestarian Cyberaya. Ganz meminta maaf kerana tidak dapat menawarkan cadangan yang lebih baik. Dayang meminta Ganz untuk terus dengan persediaan semasa. Ganz dengan keluh kesah menerima arahan dan memadamkan hologramnya. Masih memakai wajah muram kegusaran, Dayang meluahkan rasa rindunya akan Zain dan Djin.
Di tempat persembunyian Abang Bear, Rizwan dan Dos selesai membaiki komputer bimbit mereka dengan menggunakan komponen komputer riba Komeng, membuat Komeng sendiri sebak meratapi nasib perantinya. Abang Bear datang memujuknya dengan berjanji untuk membelikannya komputer ganti kelak, sementara Dos berjaya menghidupkan komputernya dan memperoleh rakaman CCTV dari kejadian Cyberscience, di mana mereka mendapati Dato' Hisham diiringi dan ditinggalkan oleh Julia dan dua orang pengawal peribadi di persimpangan koridor, di mana dia bertemu dengan Cinco dan menyerahkan kad akses Mainframe. Rizwan merasa terjawab persoalannya bagaimana Cinco dapat mengaturkan serangan ke atas Cyberscience dengan begitu rapi, sementara Dos meluahkan rasa terkilan melihat "timbalan Datuk Bandar" bekerja untuknya. Sebaliknya, Rizwan berpendapat bahawa Cinco sebenarnya bekerja untuk Hisham.
Galeri[]
Pautan luar[]
Papar • Sunting Episod | ||
---|---|---|
Musim 1 | MISI: I.R.I.S. • MISI: ALPHA • MISI: SERI • MISI: COMOT • MISI: BLUEPRINT • MISI: BANGKIT • MISI: PROTOKOL GEGAS • MISI: PRESTASI • MISI: POTENSI • MISI: SENSASI • MISI: BUKTI • MISI: UNO • MISI: OVERRIDE | |
Musim 2 | MISI: AKADEMI • MISI: ORIENTASI • MISI: MAIN • MISI: ANALOG • MISI: CABAR • MISI: SUSU • MISI: KEMBALI • MISI: TUJUAN • MISI: PERANAN • MISI: ATLAS • MISI: HARAPAN • MISI: DIEZ • MISI: LEGASI | |
Musim 3 | MISI: ARENA • MISI: BOLEH • MISI: UPGRADE • MISI: BALAS • MISI: BLACKOUT • MISI: BURU • MISI: JERAT • MISI: UBAH • MISI: HYBRID • MISI: KHEMAH • MISI: GETIR • MISI: SENGAT • MISI: JAGUH |