Ejen Ali Wiki
Ejen Ali Wiki
Advertisement


MISI: JAGUH ialah episod ke-13 dan terakhir dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 28 Januari 2023.

Sinopsis[]

Mentor dan Ketua Teras tewas selepas terkena serangan mesin canggih Cinco di Arena. (Disney+ Hotstar)

Plot[]

Episod bermula dengan mengimbas kembali masa silam Kim di asrama. Pada suatu malam, Kim menyaksikan kakak segurunya Jenny mengemaskan barang untuk berpindah. Jenny menghadiahkan keytar kepada Kim sebagai hadiah perpisahan berserta kertas pelan untuk penyelenggaraan. Kim bertanya mengapa Jenny harus pergi; Jenny menjawab bahawa dia diberi arahan. Kim menduga bahawa Jenny akan pergi menjalankan misi dan meluahkan rasa risau akan kesejahteraannya di asrama setelah Jenny pergi.

Penjaga asrama yang garang mendesak Jenny untuk bertolak cepat, tetapi Kim enggan melepaskan Jenny dan mencekup tangannya. Penjaga naik marah melihat tindakan Kim dan mengugutnya dengan pukulan kayu besbol. Jenny mengetepikan Kim dan bersemuka dengan penjaga. Dimarahi kerana "melupakan padah mengingkari arahan," Jenny merampas kayu dan menghentak jatuh penjaga. Kim terperanjat menyaksikan dan mempersoal tindakan seniornya. Jenny menebal muka dan mengajar Kim untuk berani melawan sehingga tidak perlu tunduk kepada sesiapa pun.

Kembali ke masa sekarang, seluruh Cyberaya termasuk trafik udara sedang dilanda gangguan bekalan elektrik disebabkan pencerobohan Mainframe oleh Cinco (Jenny). Cinco ketawa terkekeh-kekeh sambil menghampiri pancaran sfera emas bergelang-gelang muncul di langit Arena yang suram. Akan tetapi, dia diganggu oleh Sam yang menembak dengan jam tangannya, malah dikepung oleh Roza, Jet, Chris, Iman, Mika, Rizka, Zass, Moon, Aleks dan Rudy. Ejen Dayang yang dikurung dalam Capture Point sempat mengingatkan mereka untuk menyasarkan pemancar Microbugs di belakang Cinco sebelum didiamkan, maka bermulalah sebuah pertempuran sebelas lawan satu untuk menyelamatkan M.A.T.A. dan Cyberaya.

Kim berada di makmal Tekno, baru sahaja menundukkan Ali dan Alicia. Melihat Cinco ditentang oleh ejen-ejen muda lain di lapangan dalam skrin komputer, dia menggunakan komputer untuk mengawal semua droid yang tinggal di Arena, kemudian menghancurkan komputer dengan satu tetakan pedang keytar. Kim meninggalkan bilik dengan mengunci pintunya. Gerak-geri Kim diawasi oleh Bulat dan Khai yang bersembunyi di sebalik dinding di hadapan makmal.

Rizka melonjak dan menyerang Cinco dengan kerambitnya, tetapi belum sempat mengena, dia dihimpit ke tembok dengan kerumun Microbugs. Chris pergi menggunakan keris untuk menetak kerumun dan melepaskan Rizka. Cinco mengangkat kerumun Microbugs sebagai perisai untuk menepis tembakan dari sekeliling, tetapi masuknya tembakan dari atas oleh Jet yang melayang dan nyaris terkena Cinco. Jet pula nyaris ditembak jatuh oleh Mechadroid yang datang dari jauh bersama segerombolan droid yang dikawal oleh Kim untuk berhimpun di belakang Cinco. Droid-droid itu turut dijangkiti Microbugs untuk dikawal oleh Cinco.

Rizwan mencelik mata setelah rebah dalam pertempuran, terlihat bayang-bayang Prof. Akram sebelum sedar bahawa Dos sedang memapahnya. Melihat Ejen-ejen Lily dan Fit tidak sedarkan diri di koridor, Ejen Rizwan menahan sakit di dada untuk mengeluarkan peti kecil yang diberikan oleh Prof. Akram sebelum misi Pusat Sains. Rizwan mengingati pesan profesor bahawa peti kecil itu bukan sahaja mengandungi alat komunikasi untuk berhubung, bahkan juga terdapat alat khas untuk mengaktifkan semula Microbugs yang terkandung dalam badan Rizwan sekiranya berlaku kecemasan.

Ejen-ejen muda bertempur dengan angkatan droid kawalan Cinco. Aleks bertumbuk-tumbukan dengan sebuah unit Sledgehammer tetapi ditumbuk jatuh; Rudy datang menolong dengan menerajang droid itu sampai jatuh. Jet bertembak-tembakan dengan sebuah unit Marksman; Sam membantu dengan menembak jatuh droid itu tetapi dikasari pula oleh sebuah unit Ninja. Moon menghasilkan klon holografik untuk mengelirukan sebuah unit Fortify supaya Roza dapat menembak jatuhnya. Sebuah unit Ninja cuba menyerang hendap Roza, tetapi Roza sempat menyedari dan menembak kepala droid itu sehingga tercabut. Zass datang menyambut kepala unit Ninja dan menghantarnya kepada Jet; Jet kemudian melemparkannya jauh-jauh dan menembaknya sampai hancur. Zass juga pergi meleraikan anggota-anggota Fortify yang ditembak oleh Roza.

Mechadroid menembak-nembak ke merata tempat untuk menyekat kemaraan ejen-ejen muda. Mika dengan kekuatan sut MEKA menumbuk sebatang kakinya sampai jatuh, disusuli oleh Iman yang menjatuhkan satu lagi kaki dengan Meteor Hammer. Mechadroid yang jatuh tersembam masih berdaya menembak dan menyasarkan Rizka yang meluru ke arahnya, tetapi Rizka terelak dari setiap tembakan dan mengelar droid itu dengan kerambitnya. Chris datang menamatkan Mechadroid dengan tusukan kerisnya. Aleks berlaga dengan sebuah unit Sledgehammer, dan kelihatan tiga lagi droid sedang menghendapnya. Sam menembakkan peluru pelumpuh ke arah droid bertiga itu. Aleks menghumban Sledgehammer ke tempat droid dilumpuhkan lalu menggunakan kuasa Sut Graviti untuk menghempap keempat-empat droid itu.

Cinco resah melihat droid-droid kawalannya ditumpaskan satu demi satu. Atas isyarat Sam, Moon bertindak menghasilkan klon untuk berpecah ke arah Capture Point. Sambil tertanya-tanya di mana Kim, Cinco mengawal Microbugs untuk meleraikan satu demi satu klon sehingga mencekup Moon yang sebenar. Kepuasan Cinco menghalang Moon tidak berkekalan apabila dia dikenakan Shadow Cuff oleh Rudy yang menyamar sebagai unit Fortify. Sam memimpin semua rakan seperjuangannya untuk mengepung Cinco selagi dia tidak dapat bergerak.

Tiba-tiba, Kim muncul secara mengejut dan memainkan keytar untuk menghasilkan gelombang daya yang melentingkan kesemua ejen. Kim menghunus pedang untuk memutuskan gari pada Cinco. Ejen-ejen muda menyambut kedatangan musuh dalam selimut dengan cuba menyerang semula, tetapi kesemua gajet mereka tiba-tiba hilang kuasa. Bukan sahaja senjata-senjata tidak dapat menembak, malah Jet jatuh dari langit dan klon-klon Moon terpadam. Oleh itu, Cinco menganggap ejen-ejen muda sudah kalah dan mentertawakan mereka.

Nueve yang berada di pejabat Dato' Hisham telah melumpuhkan bahagian Mainframe yang mengawal kuasa gajet, menyebabkan gajet tidak berfungsi. Trez, Seis dan Siete yang berada di sampingnya meraikan kejayaan ini, tetapi Nueve memarahi mereka pula kerana membiarkan pintu terbiar tanpa dijaga. Tiba-tiba, Nueve terkena batang lolipop di leher dan rebah. Rizwan memasuki pejabat secara memecut ke sana ke sini, cuba menyelamatkan Dato' Hisham tetapi dihalang oleh Trez. Urat dan matanya bersinar biru, menandakan Microbugs di dalam badannya sudah aktif.

Ejen-ejen muda hanya mampu tercegat sambil menyaksikan Cinco memperagakan kehebatannya dengan mengawal kuasa graviti untuk menjatuhkan sebuah kapal terbang kargo yang kebetulan berada di langit atas Arena. Juruterbang-juruterbang sempat melakukan terjunan kecemasan sebelum pesawat terhempas di tengah-tengah lapangan Arena, sekali gus menyebabkan semua ejen terpelanting sampai pengsan dan kawasan sekeliling menanggung kemusnahan daripada impak hentaman. Hempasan ini disaksikan oleh Ali, Alicia, Khai dan Bulat yang baru terlepas dari terkurung dalam makmal Tekno. Ali hancur luluh melihat semua rakan-rakan bahkan bapa saudaranya terbujur, menyangka pihaknya sudah kalah. Alicia naik darah dan meluru ke tempat kejadian. Ali pergi menolong dengan mempersiapkan hibrid yoyo-gasingnya; Khai dan Bulat hairan melihat gajet Ali masih berfungsi.

Tindakan Cinco menjatuhkan pesawat membuat Kim tiba-tiba berasa serba salah. Kim cuba menghalang Alicia daripada menyerang tetapi Alicia menghentaknya sampai jatuh dengan Staffbow dalam bentuk gada, kemudian meluru ke arah Cinco dengan diiringi lontaran gasing Ali. Sambil mengangkat perisai Microbugs untuk menampan serangan, Cinco menyimpulkan bahawa gajet Ali tidak tersambung dengan Mainframe. Alicia cuba menyerang dari belakang, tetapi Cinco sempat mengesannya, berpaling dan mencakar bajunya. Alicia sempat menghentak Cinco, membuat Kim menahan nafas dan memanggil "kakaknya" sambil menghunus pedangnya untuk melawan Alicia.

Cinco bangun dari rebah dan mengarahkan Kim untuk menghapuskan Alicia. Kim terkesima mendengar kata-kata itu, dan Cinco merungut bahawa dia sudah muak dengan "budak-budak mentah" yang berangan-angan menjadi wira. Kim berubah rentak dan melafazkan keengganan untuk bertindak demikian. Cinco gusar menengking Kim kerana sudah "melupakan padah melanggar arahan." Kim menyangkal Cinco dan meluahkan ketidaksanggupannya untuk mematuhi arahan yang keterlaluan. Cinco menganggap Kim semakin berlembut dan cuba menuntut kembali gajet Kim, tetapi Kim enggan. Cinco melembutkan suara dan mengingatkan Kim bahawa mereka sudah hampir menyempurnakan matlamat untuk mengambil alih M.A.T.A, tetapi Kim membalas dengan mencebik sambil menitiskan air mata. Cinco naik marah semula dan menghantar Microbugs untuk menghabiskan Kim. Kim melibas-libas pedangnya untuk menghalang kemaraan Microbugs sementara Ali membawa Alicia pergi.

Rizwan menggunakan kuasa pecutan untuk mengakali Trez, Seis dan Siete. Trez cuba melawan balik dengan tumbukan tetapi Rizwan licik sekali mencuit-cuit lengan mekanikal kanannya sehingga terlucut. Dos yang menunggu di luar bilik mengambil kesempatan untuk menyusup masuk tetapi dihalang oleh sepakan bola daripada Seis dan Siete dan terpaksa melawan mereka.

Kim meluru ke arah Cinco dengan melagakan pedangnya. Cinco menghalang dengan mengawal kerumun Microbugs untuk mencekup kakinya dan mengangkatnya ke atas. Kim mencantas kerumun itu untuk terjun, tetapi Cinco menghantar lagi kerumun untuk menumbuk Kim sampai jatuh. Menyedari gajet Ali masih berfungsi kerana tidak bersambung dengan Mainframe sedangkan gajet-gajet yang lain sudah lumpuh, Alicia, Khai dan Bulat menggesa Ali yang gementar untuk pergi membantu Kim dengan segera.

Dos teruk diseksa oleh tendangan bola Seis, tetapi Rizwan sempat masuk campur dan mengetepikan bola sebelum keadaan rakannya bertambah parah. Seis dan Siete menendang bola bersama-sama untuk melakukan serangan kencang; Rizwan menahan bola itu sehingga lengan bajunya berderai sehingga dia tertumbuk di perut dan rebah. Pelanggaran itu menyebabkan Rizwan terbatuk keluar sedikit Microbugs di dalam badannya.

Kim yang tersembam mencapai pedangnya dan mencampaknya ke arah Cinco, tetapi Cinco melenyapkan diri sebelum terkena. Kim memandang sana-sini mencari Cinco sehingga Cinco muncul di belakangnya dan melemparkan Microbugs ke sebelah kanan mukanya, Malah, Cinco memanaskan Microbugs itu untuk menyakiti bekas adik segurunya itu. Ali membaling gasing untuk memutuskan kerumun dan memapah Kim. Melihat wajah Kim dicemari parut, Ali dengan marah mengutuk kekejaman Cinco sambil melemparkan gasingnya ke arah Cinco. Cinco menangkis gasing itu dan memperkecilkan "super ejen M.A.T.A."

Sekali lagi Ali melemparkan gasingnya tetapi kali ini Cinco menangkapnya. Cinco cuba menghasut Ali bahawa segala khidmat dan usahanya untuk agensi M.A.T.A. hanya dibalas dengan penarikan balik I.R.I.S. Mencampak gasing Ali keluar, Cinco mentertawakan Ali kerana senjata sudah makan tuan dan mengirim salam kepada arwah ibunya sambil mempersiapkan Microbugs untuk melemaskan Ali. Tiba-tiba, Cinco terkena lontaran Spherubik di pipi, maka dia pergi mengejar Khai dan Bulat yang melempar benda itu tadi, membuat Microbugs terlerai daripada Ali. Kim memujuk Ali yang masih terbaring untuk tidak terpengaruh dengan kata-kata Cinco, tetapi Ali patah hati kerana I.R.I.S. sudah jatuh di tangannya. Kim mengingatkan Ali bahawa dia sudah lebih lama mengenali I.R.I.S, maka Ali pun tergerak.

Rizwan diselubungi kemarahan dan menyepak bola Seis dan Siete sehingga terlantun di merata bilik. Siete cuba menyambut bola tetapi dicuit oleh Rizwan, kemudian direnjat dengan cucuk sanggul Dos. Rizwan beralih kepada menumbuk-numbuk Trez, tetapi Trez bertindak mencekup dan mencekik lehernya. Rizwan menghentak-hentak sendi bahu kanan Trez sehingga tertanggal untuk melepaskan diri. Trez tergamam seketika, dan Rizwan mengambil kesempatan untuk membelasahnya bertubi-tubi. Dos menanggalkan topi keledar Nueve daripada Dato' Hisham, kemudian pergi menghentikan kekasaran Rizwan ke atas Trez.

Khai dan Bulat dikepung oleh kerumun Microbugs. Ali datang dengan keytar Kim untuk membantu mereka. Cinco cuba menghalangnya, tetapi Ali memainkan keytar untuk menghasilkan gelombang cahaya untuk menyilau musuhnya. Walaupun pedih mata, Cinco sempat menghalakan Microbugs ke keliling, dan Ali pun terkena sehingga tercicir gajetnya. Ali menghulurkan tangan untuk menarik semula gajetnya secara magnetik. Melihat Mainframe semakin lemah, Ali mengecas gajetnya untuk menyerang Cinco. Cinco menangkap dan mencengkam Ali dengan Microbugs tetapi Alicia memanah kerumun itu sampai putus. Ali meneruskan kemaraan dengan meluncur di atas kerumun Microbugs sambil mengecas gajetnya. Ali mengubah gajet hibridnya dari mod gasing ke yoyo dan melancarkannya dengan cukup kuat untuk menembusi tiga lapisan perisai Microbugs dan akhirnya mengena Cinco.

Khai dan Bulat bersorak sementara Alicia dan Kim terkesima melihat kehebatan gajet Ali. Namun begitu, Cinco bangun semula dan cuba menyerang ejen-ejen sekali lagi. Namun kali ini, alat pemancarnya rosak dan pecah, menyebabkan Microbugs hilang kawalan dan menyerang Cinco. Kim pergi merendamkan tangannya ke dalam kerumun untuk cuba menyelamatkan seniornya, tetapi ditarik semula oleh rakan-rakannya supaya tidak ditelan sekali. Kim sebak melihat Jenny berkesudahan dengan ditelan oleh kerumun nanobot yang mengganas itu.

Dato' Hisham diiringi keluar dari pejabatnya sementara ahli-ahli Numeros yang menahannya tadi ditangkap oleh pihak berkuasa. Fit dipapah oleh Bobby, melihat jaket Rizwan tertinggal di atas lantai bilik dan bertanya ke mana perginya. Rizwan sudah keluar dan bersiap untuk bertolak. Disuruh tunggu oleh Dos, Rizwan menjelaskan bahawa Cinco sudah dihapuskan dan dia sendiri boleh mencari Cero. Pada masa yang sama, Cero merasuki badan Trez dan memberitahu Rizwan dan Dos bahawa walaupun pihak Numeros sempat mengawal Mainframe untuk masa yang singkat, namun itu sudah cukup untuk merancang langkah seterusnya; kata-kata itu disanggah oleh Rizwan. Cero berpesan lagi bahawa dia sendiri tidak pernah menghasut Uno dan berharap agar Rizwan dan Dos mencontohi Uno dengan menilai sendiri pihak mana yang harus diperjuangkan; sekali lagi Rizwan mencemuhnya. Setelah Cero melepaskan Trez, Rizwan menghidupkan motosikalnya untuk bertolak, tetapi Dos menggesanya untuk menolong Trez.

Dato' Hisham menatap pemandangan dari tingkap pejabatnya buat kali terakhir. Diselia oleh Julia, dia mengemaskan semua barang-barang dari mejanya termasuk plat nama dan bersedia untuk meninggalkan pejabat. Sebelum itu, dia didatangi oleh ketuanya, Dato' Othman yang menaiki kerusi roda dan mengambil semula mejanya.

Di ruang utama Arena, Ejen Leon menerangkan bahawa pemilihan pemenang dilakukan berdasarkan markah keseluruhan yang diperoleh sepanjang pertandingan disebabkan peristiwa yang menimpa pusingan akhir. Ali dan Alicia berlaga penumbuk untuk bersedia mendengarkan keputusan. Alicia diumumkan oleh Leon sebagai juara Pertandingan M.A.T.A. Arena kelapan dan tampil untuk menerima pingat daripada Ejen Dayang. Dayang mendatangkan kejutan kepada semua peserta bahawa menerangkan bahawa Pertandingan Arena diawalkan untuk mencari pemakai baharu I.R.I.S, dan oleh itu mempersembahkan juga peranti berkenaan kepada Alicia.

Semua ejen bertepuk tangan dan bersorak sambil menyaksikan Alicia menyegerakkan dirinya dengan I.R.I.S, termasuk Ali yang juga tersenyum ke arah Ejen Bakar. Jet meluahkan rasa kesal kerana Ali tidak menang; Roza sebal menegurnya supaya rela dengan keputusan. Dayang juga mengucapkan terima kasih kepada semua ejen muda lain atas kerana berani dan turut bertempur dalam saat getir, dan sebagai penghargaan, mereka diserap semula ke dalam Akademi dan akan bertanding di Arena akan datang. Kesemua ejen bersorak kecuali Bulat yang tidak gemar aktiviti fizikal.

Selepas upacara tamat, Ali berdiri di ruang utama dan menatap gambar Alicia di kalangan juara Arena. Alicia pun tampil untuk bertanya khabar. Ali mengucapkan tahniah dan mengakui telah menduga kemenangan Alicia. Alicia berpendapat bahawa keadaan mungkin berlainan jika pusingan akhir tidak diganggu dan bertanya sama ada Ali merelakan dia memakai I.R.I.S. Ali dengan nada sindiran meminta kembali; Alicia tahu bahawa Ali sekadar mengacah dan mereka berdua terkekeh-kekeh. Ali bertanya akan khabar Kim; Alicia menjawab bahawa dia masih dalam tahanan tetapi General berkata mungkin hukumannya akan diringankan kerana akhirnya berpihak dengan mereka. Ali lega mendengar khabar itu.

Ejen Dayang dan Ganz datang untuk menjemput Ali ke suatu tempat. Dalam perjalanan, Dayang memujuk Ali supaya tidak kecewa kerana I.R.I.S. tidak sepatutnya pulang ke tangannya; sebaliknya, tujuan utama mereka mengawalkan Pertandingan Arena adalah untuk mempersiapkan Ali. Kata-kata Dayang membuat Ali hairan. Tambah Dayang lagi, penukaran Ali ke teras Kombat hanyalah permulaan; Ali bertanya lagi untuk apa. Akhirnya, mereka bertiga tiba di bilik berkenaan, dan Ejen Ganz berkata bahawa Ali ditugaskan ke projek rahsia M.A.T.A. yang melibatkan penggunaan sut Satria yang disimpan di dalam bilik.

Watak Utama:

•Ali

•Alicia

•Kim

•Cinco

Watak Sampingan:

Khai

Bulat


Galeri[]

Pautan luar[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement