MISI: JERAT ialah episod ketujuh dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 6 Ogos 2022.
Sinopsis[]
Ali, Alicia dan Kim terserempak dengan Rizwan dan Dos. Numeros menyerang Pusat Sains Cyberaya dan para ejen berganding bahu menyelamatkan orang awam. (Disney+ Hotstar)
Plot[]
Rizwan dan Dos tiba di Pusat Cyberscience, berusaha menjejaki Cinco di bawah bimbingan Prof. Akram yang mengawasi melalui jarak jauh di terataknya. Dos melihat susuk Cinco memasuki pintu kakitangan, maka mereka pun mengejarnya. Prof. Akram menandu mereka melalui rangkaian koridor yang berselirat hingga ke pintu Dewan 2. Kemudian, dia menyedari ada sesuatu yang aneh di kawasan terbabit dan cuba menegah mereka dari masuk tetapi terputus talian.
Terdengar jeritan dari dalam, Rizwan dan Dos merempuh masuk pintu dewan dan bertemu dengan susuk Cinco yang kelihatan berdiri di kalangan pengawal yang tumpas bergelimpangan, memandang enjin pesawat di atas pentas. Rizwan melakukan serangan kencang ke arah 'Cinco' dengan Sarung Tangan Sekali Sentuhnya tetapi susuk Cinco berpecah menjadi kerumunan Microbug yang digunakan sebagai umpan untuk mengalih perhatian mereka. Tidak sempat meredakan kehampaan untuk keluar, Rizwan dan Dos bertemu dengan Ali, Alicia dan Kim yang sedang berlumba untuk menamatkan perlumbaan.
Berita pencerobohan Rizwan dan Dos telah tersebar dalam kalangan pengawal keselamatan, malah Dato' Hisham dan para mentor di bilik menunggu juga dimaklumkan. Akan tetapi, mereka tidak dapat melihat apa-apa dalam paparan Dewan 2 kerana kamera keselamatan di situ dilitupi kerumunan Microbug. Ejen Bakar menyeru rakan-rakan sejawatnya untuk pergi menyiasat bersama-sama.
Ali terkilan melihat Rizwan masih hidup setelah insiden kemusnahan Akademi M.A.T.A, tetapi Alicia mencelah Ali dan tenang bertentang mata. Dos menyuruh mereka memberi laluan, tetapi Kim tampil dan bersedia untuk berlawan kerana enggan melepaskan musuh. Rizwan menggesa mereka tidak berlawan, tetapi pada masa yang sama masuklah pengawal-pengawal dari semua pintu, lengkap dengan belantan. Dos mengorak langkah dengan menerajang Kim, membuat Ali pergi melawan balas. Rizwan menundukkan seorang pengawal dengan melempang kepalanya. Dikepung oleh pengawal lain, dia menghisap lolipop dan menjatuhkan mereka semua dengan pantas hanya dengan cuitan sarung tangannya.
Ali berlawan dengan Dos, tetapi akhirnya diterajang jatuh. Alicia masuk bertarung dengan bertukar-tukar pukulan dan sepakan dengan Dos. Kim turut menolong Alicia, menjadikan pertarungan dua lawan satu. Setelah saling bergayung dan berpencak dengan lincah, datangnya peluang baik apabila Dos melakukan tumbukan kencang, ditampan oleh Kim sambil Alicia melonjak dan cuba menendang, tetapi ditepis juga. Dos meregangkan badan sebelum bersambung lawan, dan sekali lagi mereka saling menumbuk, menyepak dan melesing. Ali bangun dan menyaksikan dua pertarungan serentak: Kim dan Alicia melawan Dos, dan Rizwan pula hampir menumpaskan semua pengawal.
Dalam cubaan kedua menjatuhkan Dos, Kim melonjak sambil Alicia mencangkung, masing-masing mengunjurkan sebelah kaki ke arah Dos serentak, tetapi Dos sempat mengelak dengan melonjak dan membuat putaran mendatar lalu menyepak muka Alicia, membuat pusingan separuh bulatan dan menyepak muka Kim dengan betis. Apabila Kim tersungkur, Dos meluru ke arahnya dengan mengacukan Shox Stix tetapi sempat ditampan oleh Ejen Bakar dengan Perisai Plasma.
Keempat-empat mentor telah tiba, semuanya terkilan menyaksikan bekas Ejen Rizwan masih hidup. Melihat Rizwan bersama Dos, Bakar mengambil kesempatan memerli Rizwan kerana hatinya dicuri. Dos pun merajuk dengan ejekan itu dan tampil melawan Bakar, dan Bakar menyahut cabaran sambil 'mengurat' Dos seperti yang pernah dilakukan. Sambil menampan serangan Dos, Bakar menyuruh Ali melarikan rakan-rakannya. Ali dalam keadaan gugup, dipapah oleh Alicia dan diheret keluar bersama Kim. Ejen Geetha meluahkan rasa kecewa menyangka Rizwan bergabung dengan pihak musuh; Rizwan cuba membetulkan salah fahamnya tetapi dicelah oleh Ejen Leon yang meneka Rizwan mahu menggantikan Uno. Geram, Rizwan melontar batang lolipop ke arah bekas rakan sejawatnya tetapi ditepis dengan tembakan Revolver oleh Leon. Rizwan cuba mencuit Leon, tetapi Leon mengelak dengan menepi lalu menembak-nembak ke arah Rizwan. Ejen Karya menghunus Mystic Blade dan menyerang tetapi Rizwan mengelak dengan mengundur. Karya melontar kad ke arah Rizwan; sekali lagi Rizwan mengelak tetapi kali ini dia terkena tembakan gelang laser oleh Geetha lalu tersungkur.
Ejen Bakar masih sibuk menampan tumbukan dan tendangan bertubi-tubi daripada Dos. Setelah perisainya kehabisan tenaga, Bakar mencekup genggam penumbuk Dos lalu menghumbannya jauh-jauh. Dos mendarat di hadapan bibir pentas. Rizwan yang sedang dihujani tembakan membawa Dos berlindung di belakang enjin pesawat. Keempat-empat mentor menghendap mereka; Leon menggesa Rizwan untuk menyerah diri. Dos melonjak keluar dan melemparkan Shox Stix ke arah lantai; keempat-empat mentor pun mengelak dengan meloncat. Rizwan menggunakan belantan yang diambil dari seorang pengawal yang tumpas untuk melucutkan dan merampas Revolver dari Leon, kemudian menembak jatuh Leon. Geetha gerun menyaksikan perbuatan Rizwan, tetapi dicekup tangan oleh Dos lalu dikenakan renjatan Shox Stix. Bakar pergi memapah Geetha dan menyedari gelang lasernya dikebas.
Rizwan beralih kepada Ejen Karya, menggunakan senjata Leon untuk menembak jatuh Mystic Bladenya. Dia cuba mencuit Karya tetapi dielak; cuba menembak tetapi ditangkis dengan lontaran kad. Rizwan menerajang kerusi ke arah Karya; Karya mengelak Rizwan mengacukan Revolver ke arah Karya; Karya melesing dan memintas. Karya cuba melemparkan kad dari belakang tetapi ditangkis tembakan Rizwan. Karya mengipaskan set kad yang tinggal sambil mengejek Rizwan kehabisan peluru. Rizwan menjatuhkan Revolver dan berkata tidak perlu peluru, dan pada masa yang sama Karya ditembak jatuh oleh Dos dengan gelang laser yang dicuri dari Geetha. Ejen Bakar gerun melihat rakan-rakan sejawatnya tumpas lalu naik marah, mengecam tindakan Rizwan dan Dos. Rizwan dan Dos pergi menyerang Bakar, dan Bakar bersiap dengan perisai. Tiba-tiba, enjin pesawat terpasang sendiri dan mula bergerak, membuat mereka bertiga tercengang.
Ali, Alicia dan Kim keluar dari koridor ke atrium dan berjumpa dengan Aleks, Sam dan Mika untuk memberitahu mereka bahawa permainan sudah tergendala. Pada masa yang sama, enjin pesawat yang dihidupkan Azurium dari Dewan 2 pun muncul, merempuh kaca tingkap dari tingkat atas. Kim menyelamatkan Ali dan Alicia dari ditimpa runtuhan dari rempuhan tersebut. Keadaan bertukar huru-hara apabila enjin berpusing-pusing keliling atrium, membuat semua pengunjung lintang pukang melarikan diri. Enjin pesawat terlanggar roket pameran, menyebabkan ia jatuh ke arah seorang kanak-kanak lelaki yang ketakutan sambil bergambar dengan telefon. Ali segera menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum ditimpa. Enjin pesawat merempuh lantai dan menembusi dinding; ia meninggalkan atrium dan menuju ke planetarium. Setibanya di situ, ia menembusi dinding dan melanggar model-model planet, sekali gus mengancam keselamatan para pengunjung yang terapung dalam keadaan graviti rendah. Sam yang cemas bertanya apa yang harus dilakukan. Kim bercadang supaya mereka semua berpecah untuk menyelamatkan kawan-kawan dan orang awam; Alicia setuju dengan cadangan itu dan demikianlah yang dilakukan.
Dato' Hisham di bilik menunggu menyaksikan bencana yang berlaku di Pusat Cyberscience dengan gerun, menyoal bagaimana enjin pesawat boleh bergerak sendiri. Dua orang pengawal di sisinya menggesa Dato' Hisham untuk mengungsi. Dato' Hisham bercadang untuk pergi menolong tetapi pengawalnya menjamin bahawa sudah ada orang berkenaan yang hadir menguruskan hal itu sambil mengiringi majikannya keluar dari bilik menunggu. Dato' Hisham akur dengan rasa kesal.
Ali berada di tingkat atas dari atrium, memandang kekecohan para pengunjung mengungsi bangunan di bawah (dengan bantuan Iman, Rudy dan Zass). Atas suruhan Sam, Ali menghulurkan palang besi dari runtuhan di hadapannya. Sam menggunakan besi itu sebagai pengumpil untuk membuka dinding yang retak untuk menyelamatkan para pengunjung yang terperangkap di dalam dewan di sebalik dinding. Dengan pertolongan Ali, Khai dan Aleks yang menambah daya tekanan ke atas besi, mereka berjaya membuka dinding dan melepaskan pengunjung.
Di planetarium, enjin pesawat liar terpelanting dan berlanggaran sana-sini sehingga bertembung dengan model matahari, menjejaskan sistem graviti rendah dan membuat pengunjung hampir jatuh. Mika tiba di pelantar, dihampiri seorang ibu yang meraung untuk anak lelakinya diselamatkan. Anak berkenaan hampir dilanggar model Marikh tetapi sempat diselamatkan oleh Roza. Enjin pesawat menghancurkan model matahari dan menembus keluar, menyebabkan sistem graviti terputus dan semua yang terapung pun menjunam. Roza menghumban anak itu ke arah pelantar. Mika menyambut kanak-kanak itu dan menyerahkannya kepada ibunya dengan selamat, kemudian kembali ke bibir pelantar untuk mencari Roza tetapi nyaris ditimpa model Bumi yang menghancurkan separuh pelantar.
Ali, Khai, Sam dan Aleks sibuk membimbing para pengunjung untuk mengungsi bangunan, disertai oleh Alicia. Enjin pesawat liar dari planetarium merempuh kembali, membuat mereka berlima terpelanting, tetapi kali ini ia tersekat pada dinding pemisah atrium dengan balai planetarium. Alicia bertanya di mana Kim, dan Ali berentah. Alicia menyoal Ali dan Khai sama ada mereka mampu mematikan enjin. Khai menyahut cabaran dan membawa Ali sekali. Ali menyoal Alicia bagaimana keadaan mentor-mentor; Alicia menjawab dia telah menghantar Rudy untuk memeriksa.
Mika turun ke dasar planetarium untuk mencari Roza di tengah runtuhan model-model planet. Roza ditemui terjepit di antara dua keping runtuhan siling konkrit. Sekali Mika cuba mengangkat runtuhan itu tetapi tidak mampu. Mika cuba melaung meminta tolong tetapi tidak terjawab, maka dia terpaksa mencuba semula. Begitu berat runtuhan itu sehingga menyebabkan kerusi roda bercerai-barai dan Mika pun jatuh tersungkur. Mika merangkak ke tempat Roza dan cuba mengangkat semula. Datangnya Rizka menghulurkan bantuan, bersama-sama mengangkat runtuhan itu. Setelah runtuhan diangkat secukupnya, Mika atas suruhan Rizka cepat mengeluarkan Roza dengan selamat.
Rizwan dijagakan dari pengsan oleh Dos, melihat keadaan dewan yang serba hancur disebabkan enjin liar. Rizwan menghubungi Prof. Akram dan mendapat amaran untuk tidak kembali kerana terataknya sedang diserbu oleh Trez, Seis dan Siete. Di samping menghancurkan kelengkapan di situ, Trez menghadapkan Prof. Akram kepada skrin yang memaparkan wajah Cinco. Cinco mengutuk Prof. Akram kerana enggan bersara dan masuk campur dalam urusannya. Prof. Akram keras bertekad untuk menghalang usaha Cinco selagi bernyawa; Cinco membalas bahawa "itu boleh diuruskan." Dos menggesa Rizwan untuk mengungsi, tetapi diserang oleh Rudy yang baru tiba dan melihat keempat-empat mentor bergelimpangan.
Enjin pesawat yang tersekat di dinding mula berganjak. Khai bercadang untuk dirinya menyekat baling-baling enjin dengan palang besi, kemudian Ali mematikan sistem enjin pada kotak panel di atas badan enjin. Ali akur dengan cadangan itu dan Khai pun pergi memacakkan palang besi ke dalam baling-baling tetapi begitu cepat putarannya menyebabkan Khai dan besi terpelanting jauh. Ali berundur untuk menolong Khai, sementara Aleks yang menolong orang di bawah melihat besi tercampak dari tempat enjin yang semakin menonjol keluar dari sekatan.
Rudy teruk dibelasah dari berlawan, memaklumkan Alicia bahawa Rizwan dan Dos sudah melarikan diri malah keempat-empat mentor sudah tumpas. Enjin liar semakin lolos dari sekatan dan menuju ke tingkap atrium. Aleks tiba untuk menyentak enjin dari terlepas, dan Alicia segera memacakkan palang besi ke dalam baling-baling. Ali mengambil kesempatan dengan membuka panel dan menemui litar komputer yang mengawal enjin. Enjin liar semakin mara ke kawasan atrium, malah Aleks dan Alicia semakin tidak larat menahannya. Ali memutuskan dawai dan terlenting, menyebabkan enjin akhirnya terhenti. Alicia menarik nafas lega, dan Khai bangun dari pengsan. Aleks pula rebah dengan keadaan tangan bengkak.
Setelah berakhirnya bencana, semua orang termasuk ejen-ejen sudah keluar menunggu di perkarangan Cyberscience. Tibanya pasukan ambulans dan droid penyelamat di tempat kejadian, menyelamatkan mangsa yang cedera termasuk Roza. Aleks cedera ringan dan dirawat oleh droid di tempat. Diajak minum Vita Juice oleh Khai, Ali memandang-mandang sekitar dan melihat keadaan ejen-ejen muda lain semuanya dalam keadaan selamat walaupun terkesan dari bencana. Khai juga pergi memberi Sam minuman dan pujian atas usaha menyelamat tadi. Rudy yang duduk di hadapan mereka menyoal rakan-rakannya yang seakan-akan tidak hairan melihat Rizwan masih hidup, maka tercetuslah perbualan hangat tentang bekas ejen M.A.T.A. itu. Kim pula termenung mengenang apa yang dilaluinya ketika rakan-rakan seperjuangannya berpecah untuk menyelamat.
Mengimbas kembali ketika enjin pesawat liar mula mengganas, Cinco melangkah masuk ke dalam Pusat Cyberscience dan duduk di dalam auditorium sambil menjamah kopi. Di situ, dia menyoal orang suruhannya sama ada dia berjaya menggodam Mainframe. Dibalas dengan gelengan kepala, Cinco berpendapat bahawa tahap keselamatan Mainframe telah dipertingkat. Dia menyerahkan sepasang anting-anting kepada orang suruhan untuk dimasukkan ke dalam sistem M.A.T.A. untuk menjayakan penggodaman. Ditanya bila "kakak" akan kembali lagi, Cinco berjanji asalkan tugas dijalankan dengan baik. Akhirnya, Cinco beredar, meninggalkan Kim yang berasa serba salah.
Rizwan dan Dos menunggang motosikal, bergegas kembali ke teratak persembunyian mereka. Malangnya, mereka sudah terlambat apabila rumah sudah pun habis rentung, malah kelibat Prof. Akram pun tidak kelihatan.
Watak[]
- Ali
- Alicia
- Kim
- Rizwan
- Dos
- Jenny
- Cuatro
- Dato' Hisham
- Bakar
- Leon
- Geetha
- Karya
- Sam
- Aleks
- Mika
- Iman
- Rudy
- Zass
- Khai
- Roza
- Rizka
- Trez
- Seis
- Siete
Galeri[]
Pautan luar[]
Papar • Sunting Episod | ||
---|---|---|
Musim 1 | MISI: I.R.I.S. • MISI: ALPHA • MISI: SERI • MISI: COMOT • MISI: BLUEPRINT • MISI: BANGKIT • MISI: PROTOKOL GEGAS • MISI: PRESTASI • MISI: POTENSI • MISI: SENSASI • MISI: BUKTI • MISI: UNO • MISI: OVERRIDE | |
Musim 2 | MISI: AKADEMI • MISI: ORIENTASI • MISI: MAIN • MISI: ANALOG • MISI: CABAR • MISI: SUSU • MISI: KEMBALI • MISI: TUJUAN • MISI: PERANAN • MISI: ATLAS • MISI: HARAPAN • MISI: DIEZ • MISI: LEGASI | |
Musim 3 | MISI: ARENA • MISI: BOLEH • MISI: UPGRADE • MISI: BALAS • MISI: BLACKOUT • MISI: BURU • MISI: JERAT • MISI: UBAH • MISI: HYBRID • MISI: KHEMAH • MISI: GETIR • MISI: SENGAT • MISI: JAGUH |