Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: KEMBALI ialah episod ketujuh dalam musim kedua siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 1 Disember 2017.

Sinopsis[]

Rizwan kembali ke dalam M.A.T.A. untuk membantu mentor-mentor di dalam misi.

Plot[]

Ejen Bakar datang melawat Dos dalam sel tahanan M.A.T.A. dan mengajaknya makan keropok lekor, tetapi Dos menyuruhnya pergi. Selepas Bakar beredar, sebuah droid menghantar dulang makanan ke dalam bilik kurungan Dos. Dos membuka dulang dan menjumpai sebatang senjata sanggulnya, Shox Stix, lalu menggunakannya untuk memintas sistem kunci dan melepaskan diri. Tidak menghiraukan rayuan Wak Musang di bilik kurungan sebelah untuk dilepaskan, Dos bergerak melalui koridor pangkalan dan mencari pintu keluar sambil mengelak dari dikesan oleh Bakar.

Sebaik sahaja terjumpa pintu besar, tiba-tiba Dos dihalang oleh Ejen Rizwan. Dos cuba mencuit Rizwan dengan Shox Stixnya tetapi tidak mengena. Rizwan mencekup tangan Dos dan mencampaknya. Dos bangun dan beradu cuit dengan Rizwan sehingga dia menerajang perut Rizwan. Penggera berbunyi, dan Ejen Bakar memimpin sekumpulan droid ke mari untuk menangkap Dos. Rizwan dipapah oleh Bakar dan memandang ke arah Dos melarikan diri dari droid-droid yang mengejar.

Ali baru sahaja bangun, memakai I.R.I.S. dan bermain olok-olok ejen dengan patung figura aksi mewakili musuh-musuh yang pernah dihadapinya iaitu Uno, Cinco dan Ocho. Menggunakan yoyo untuk menjatuhkan semua figura itu, Ali turut mengajak Comot bermain tetapi Comot sekadar menguap sambil berbaring atas rak buku. Ali pun mengaku bosan kerana tertunggu-tunggu masa diterima semula untuk menjalankan misi. Tiba-tiba I.R.I.S. mengalami gangguan dan terpadam, membuat Ali hairan.

Ali menaiki skuter ke sekolah dan membawa Comot. Sebaik sahaja dia melalui rumah Aunty Faye, gerak-gerinya dikhabarkan oleh Bakar yang menyamar sebagai tukang bersih di situ melalui alat komunikasi. Ali singgah di Zali Mart, membelek komik dan membeli coklat dan tin minuman. Ketika hendak membayar di kaunter, tin minuman terjatuh dan tergolek hingga ke bawah kaki Alicia. Ali hairan menjumpai Alicia di kedai serbaneka itu dan bertanya sama ada dia bukan tinggal di pangkalan M.A.T.A; jawabnya tidak.

Sebaik tiba di sekolah, Ali dengan bergaya mengucapkan selamat pagi kepada Ejen Karya dengan nama samarannya Cikgu Bidin. Karya membalas ucapan dengan tenang dan lemah-lembut. Sebaik sahaja Ali pergi, Alicia datang menyapa Ejen Karya dengan senyap. Ali pergi berjumpa dengan Viktor yang menghadap tablet di kantin dan terkejut melihat rakan baiknya tidak bermain tetapi membaca bahan pelajaran. Viktor berkata bahawa dia sering mengulang kaji setiap pagi, lebih-lebih lagi peperiksaan makin dekat. Ali mengeluh tidak pernah lihat Viktor mengulang kaji, maka Viktor menjelaskan bahawa dia hanya bermain apabila bersama Ali.

Ali mencebik melayan penjelasan Viktor dan mengerip coklat. Dia terlihat Ejen Bakar yang hadir, juga menyamar sebagai tukang bersih, gopoh-gapah menyapu lantai sehingga terlanggar jatuh tong sampah. Ali tersenyum sambil tergeleng kepala melihat gelagat bapa saudaranya lalu berpaling ke arah Alicia di belakang yang duduk seorang diri menghadap tablet seakan-akan mengulang kaji. Ali menanya Viktor di mana Alicia tinggal, jadi Viktor menjawab dengan berentah.

Ali merenung semula kepada Alicia dan terlihat dia seakan-akan menggumam. Juga dilihat Bakar berisyarat dan Karya mengangguk di belakang dinding luar kantin. Ali mula terasa curiga dan pergi menyapa Bakar dan bertanya mengapa dia hadir di kantin. Bakar terkejut dan gelabah terdengar soalan Ali dan mengaku tidak berselindung. Ali bertanya lagi mengapa Alicia dan Karya juga hadir, maka Bakar tergagap-gagap mencari penjelasan. Pada masa yang sama loceng sekolah sempat berbunyi, jadi Bakar menggesa Ali masuk kelas dan menarik nafas lega.

Ali termenung sepanjang waktu Puan Munah sedang mengajar tentang elektrolisis. Tiba-tiba Ejen Karya datang mengetuk pintu dan meminta untuk berjumpa dengan Alicia "atas urusan kelab setem". Puan Munah sangsi mengatakan kelab setem mengadakan perjumpaan setiap hari. Alicia keluar menuruti Karya. Masih ingin tahu akan tindakan Alicia dan lain-lain, Ali meminta izin untuk berpura-pura pergi tandas. Puan Munah berasa leceh tetapi tetap mengizinkannya.

Alicia dan Karya memasuki bilik kelab setem dan disambut oleh Ejen Bakar tanpa menyedari bahawa mereka sedang diekori oleh Ali. Ali memakai I.R.I.S. dan menemui salur paip terbuka di tepi bilik stor di mana dia boleh mencuri dengar, maka dia pun pergi ke situ bertemankan Comot. Dia mendengarkan bahawa Karya dan Bakar hendak pergi menghadap General untuk taklimat. Sebelum bergerak, Bakar memesan Alicia untuk mengawasi Ali dan merahsiakan hal yang dibincangkan kerana khuatir Ali akan gelabah dan bertindak semberono. Ali tidak senang hati terdengar kata-kata itu dan bertekad untuk menyiasat.

Selepas Ali keluar, Ali menyusup masuk ke dalam bilik dan cuba mengakses pintu rahsia dengan memasukkan setem kunci ke dalam album, tetapi disekat. Dia berikhtiar menghendap Alicia dan mengimbasnya dengan I.R.I.S. lalu mendapati dia menyorokkan setem kunci di dalam cekak rambutnya. Ali memikirkan cara-cara untuk merampas setem itu, seperti meminta bantuan Alicia menjawab soalan untuk mengalihkan perhatian, menyuruh Alicia berhenti di tengah jalan dan melonjak ke arah cekaknya, ataupun mengurat Alicia dengan memuji rambutnya, tetapi semuanya ditidakkan kerana takut akan berkesudahan dengan tumbukan.

Daripada itu, Ali berikhtiar menggunakan Comot untuk mengalih perhatian Alicia. Comot berpura-pura mencuri coklat Ali dan memanjat Alicia yang baru hendak makan tengah hari. Selepas itu, Ali datang menggapai-gapai cekak rambut Alicia dengan berpura-pura cuba menangkap Comot. Alicia naik darah dan akhirnya menumbuk muka Ali. Ali meraung kesakitan dan menyalahkan Comot, tetapi setelah terlihat Comot berjaya menggondol setem dalam mulut, Ali lantas memujinya.

Dengan setem Alicia, Ali dan Comot mencuri masuk ke dalam Akademi M.A.T.A. dan berusaha mengelak dari dikesan dengan berjengket-jengket rapat dengan dinding. Setelah sampai di mulut koridor, Ali tunduk dan mengadu kepada Comot akan perlunya mencari jalan masuk yang selamat. Tiba-tiba mereka dikejutkan oleh kehadiran R-O dan Khai yang terperanjat ternampak Ali yang dilarang masuk akademi. Moon pun hadir, teruja menyoal Ali sama ada dia mencuri masuk. Iman pun datang mencari-cari Moon lalu terpandang ke arah Ali dan bertanya dia sudah dibenarkan semula, membuat Ali menepuk muka.

Ali membawa Khai, Iman dan Moon bersembunyi di bawah tangga dan bertanya sama ada mereka menyedari apa-apa yang pelik hari ini, maka mereka bertiga pun menidak. Ali berkata lagi dia terdengar bahawa General memanggil mentor-mentor bermesyuarat atas hal penting, jadi Khai pun teringat bahawa Ejen Leon telah membatalkan kelas hari ini. Moon bertanyakan kaitan perihal itu dengan Ali, maka Ali menjawab mungkin berkenaan I.R.I.S. dan bertanya balik sama ada mereka ingin tahu. Moon teruja tetapi Iman dan Khai berpesan bahawa itu bukan urusan mereka dan khuatir akan akibatnya jika ditangkap. Ali menatap R-O dan mendapat idea.

Atas cadangan Ali, Khai memandu R-O ke bilik mesyuarat dengan visualnya diawasi mereka berempat. Di situ kelihatan Ejen Rizwan melangkah masuk dan menyertai Ejen-Ejen Leon, Bakar, Karya dan Geetha menghadap General Rama dalam hologram. R-O menyusup masuk dan memancarkan mesyuarat secara rahsia. General mengumumkan bahawa Dos telah melarikan diri dari sel tahanan, membuat Ali tergempar. Ditanya oleh Moon, Ali menjelaskan bahawa Dos orang suruhan Uno, jadi Moon pun tergempar. Berdasarkan hasil risikan Rizwan bahawa Dos telah berlari ke kawasan utara Cyberaya, General mengarahkan para mentor menjalankan carian perimeter di kawasan terbabit untuk menangkap Dos semula sebelum dia bertemu semula dengan Uno.

Rizwan memohon maaf kepada General kerana gagal menghalang Dos, maka General mengeluh dia patut memastikan dirinya sembuh sepenuhnya sebelum kembali bertugas. Rizwan terkenang akan perlawanan sengitnya dengan Uno dan memohon izin untuk menyertai misi kali ini sebagai peluang untuk menebus kesilapan yang lalu. Dengan berat hati General merelakan dan meminta Ejen Karya memberikan ruang kepada Rizwan, malah mengingatkan peserta misi bahawa Dos merupakan kunci untuk M.A.T.A. mendekati Uno, dan misinya tidak boleh gagal, diakhiri dengan seruan "Bertindak segera!"

Ali pun mengajak Khai, Moon dan Iman pergi mencari Dos, tetapi mereka enggan kerana itu bukan misi mereka. Ali memujuk mereka bahawa Uno dan Dos akan lebih kuat apabila mereka bertemu semula, malah ini mungkin peluang untuk Ali memohon kembali ke Akademi. Khai membantah lagi kerana bahayanya di luar jangkauan mereka, maka Ali mengingatkan bahawa dia memakai I.R.I.S. yang dilengkapi dengan Override Mode. Iman teragak-agak kerana khuatir akan dikenakan tindakan oleh para mentor. Oleh itu, Ali nekad untuk pergi bertindak sendirian, diekori oleh Comot yang berat hati, meninggalkan tiga kawannya yang memandang dengan gelisah.

Ejen-ejen Leon, Bakar, Geetha dan Rizwan tiba di sebuah tapak pembinaan bangunan terbiar di pinggiran utara Cyberaya, di mana Dos dikatakan sedang bersembunyi. Atas saranan Rizwan, mereka berempat menyiapkan gajet masing-masing dan berpecah untuk menyerbu seluruh tempat.

Pada masa yang sama, Ali dan Comot melalui terowong pembetung bawah tanah. Dengan imbasan I.R.I.S, Ali mendapat tahu bahawa mereka telah sampai betul-betul di bawah tapak pembinaan tersebut. Dia pergi ke tangga berdekatan untuk memanjat ke permukaan dan menyeru Comot bersedia, tetapi tiba-tiba Comot menghilangkan diri. Ali turun untuk mencari Comot, lalu dia dikejutkan dengan kedatangan Khai, Moon dan Iman. Khai berasa tidak wajar membiarkan Ali pergi seorang diri, manakala Iman yang mendukung Comot mahu membantu Ali kembali ke Akademi, dan Moon pula sekadar hendak menyaksikan Override Mode, membuat Khai kesal.

Ditanya oleh Khai apa rancangannya, Ali bercadang bahawa mereka berempat memeriksa setiap tingkat satu demi satu dengan bantuan imbasan I.R.I.S. Dia berpesan lagi supaya tidak menaiki lif dan hanya menggunakan tangga untuk mengelak dari bertembung dengan mentor, malah mereka mesti mencari Dos lebih dahulu daripada kumpulan Rizwan. Maka rancangan itu pun diikuti dengan teliti dan lancar oleh Ali dan kawan-kawannya hingga ke bumbung bangunan, di mana mereka ditakjubkan oleh pemandangan langit gelap diselubungi awan kilat dan petir, bahkan Khai memuji Ali dengan sepatah "Naisu!"

Atas amaran I.R.I.S, Ali dan kawan-kawan segera menyorok di balik susunan kotak. Dari lif keluarnya Ejen Rizwan, lantas dia pergi memegang sebentuk kristal ungu yang tertinggal di atas meja. Ali menjengah seketika untuk melihat dan mengundur kembali, tetapi dia terlanggar sehingga Khai terpijak ekor Comot dan Comot pun memekik dan menarik perhatian Rizwan. Rizwan pergi meninjau di balik susunan kotak dan Ali terpaksa tampil untuk menghadap bekas mentornya. Rizwan terkilan bertembung dengan bekas anak didiknya, dan Ali mengaku hendak tolong menangkap Dos. Rizwan menyesali tindakan Ali dan menyerunya berundur dan jangan masuk campur.

Ali pergi menyorok semula apabila Dos pula muncul dari lif, menegur Rizwan kerana lambat. Ali menjenguk semula dan tertanya mengapa mereka tidak berlawan. Dos mengadu tentang kehadiran ejen-ejen di tempat yang dikatakan selamat untuk berjumpa. Rizwan mengisyaratkan kepada rakan-rakan setugasnya untuk datang, jadi Dos naik cemas dan mempersoal tindakan Rizwan sambil mengeluarkan Shox Stixnya yang sebatang sebagai langkah berjaga-jaga.

Ejen-ejen Leon, Bakar dan Geetha berlari menaiki tangga ke mari dan mula mengepung Dos. Geetha mengucapkan syabas kepada Rizwan yang mengeluarkan lolipop. Leon mengacukan Revolvernya ke arah Dos dan menyerunya untuk menyerah diri. Bakar pula mengambil kesempatan untuk mengurat Dos, membuat Dos naik geram. Leon tidak sabar dan menyeru rakan-rakan sekerjanya menahan Dos. RIzwan menggondol lolipopnya.

Tiba-tiba tumbangnya sebuah perancah berdekatan, ,menyebabkan bahan-bahan yang terletak di atas tertumpah sehingga terhasil kepulan kabus yang tebal. Geetha ditembak batang lolipop dan rebah. Leon naik cemas dan menembak-nembak ke arah punca kabus. Rizwan meluru keluar dari kabus, mengelak setiap tembakan dan menjatuhkan Revolver dari tangan Leon lalu mencuit-cuitnya sampai pengsan. Ali gerun menyaksikan perbuatan Rizwan terhadap ejen-ejen lain.

Bakar menumbuk Rizwan sambil mempersoal tindak-tanduknya tetapi ditampan dengan lengan silang. Dos menyerang Bakar dari atas, maka Bakar segera mengaktifkan Perisai Plasma dan menampan semua tumbukan dan terajang Dos. Lalu Bakar mencekup tangan Dos dan mencampaknya jauh-jauh, tetapi Dos melantun balik pada papan dan sambung berlawan. Rizwan cuba mencuit Bakar dari belakang, kemudian Bakar sempat berpaling dan menumbuk balas tetapi dielak. Dos dan Rizwan mengasari Bakar serentak, jadi Bakar bertahan dengan Perisai Plasma sehingga Rizwan menerajang kakinya sampai jatuh. Dos mengambil kesempatan dengan merenjat Bakar yang rebah dengan Shox Stix.

Ali luluh hati melihat bapa saudaranya teruk ditumpaskan. Khai turut keluar dan menyoal Ali akan tindakan seterusnya. Iman yang masih menyorok menggesa untuk mendapatkan bantuan. Bakar terlantang sambil menghadap Dos dan Rizwan dan hendak mengutuk tindakan Rizwan. Pada masa yang sama, Ali menjerit menggelar Rizwan pembelot dan menyerang Rizwan dan Dos dengan yoyonya. Ali dengan marah melanggar-langgar Rizwan dengan yoyonya, membuat Rizwan mengundur hingga ke lif di mana dia menangkap yoyo itu, menarik talinya dan mencuit Ali. Khai, Iman dan Moon gentar menyaksikan rakan seperjuangan mereka dikasari sementara Bakar terkial-kial memanggil Ali. Tiba-tiba semua gajet ejen mengalami gangguan, menandakan bahawa Override Mode telah diaktifkan. Ali bangkit semula dengan cermin mata I.R.I.S. berkilauan dengan latar langit beribut petir.

Watak[]

Trivia[]

  • Episod ini menandakan kembalinya I.R.I.S. Override Mode.
  • Episod ini juga mendedahkan bahawa Rizwan juga adalah pembelot dalam M.A.T.A..

Galeri[]

Video[]

Navigasi[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement