Ejen Ali Wiki
Advertisement


MISI: KHEMAH ialah episod kesepuluh dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 7 Januari 2023.

Sinopsis[]

Mentor mengisytiharkan hari cuti buat peserta Arena yang tinggal untuk menyertai malam perkhemahan yang turut melibatkan Ejen muda yang tersingkir. (Disney+ Hotstar)

Plot[]

Episod bermula dengan Cero menghubungi Cinco di markasnya dengan merasuk Nueve. Gembira diberitahu bahawa semuanya berjalan seperti yang dirancang, Cero memberikan restu kepada Cinco untuk menjalankan misi seterusnya, malah berpesan kepadanya untuk tidak menghampakan seperti Uno. Cinco menjamin bahawa dirinya akan lebih fokus berbanding dengan Uno yang gagal kerana diselubungi perasaan dendam. Cinco bertanya lagi apa hasilnya sekiranya M.A.T.A. ditumpaskan, dan Cero berjanji akan menyerahkan M.A.T.A. kepada Cinco. Sebaik sahaja perbualan selesai, Nueve dilepaskan oleh Cero dan mengeluh sama ada tiada cara lain untuk berhubung. Cinco menyuruh Nueve untuk menyiapkan Microbugs.

Di Dorm lelaki M.A.T.A, Ali mengejutkan Sam dari tidur dan mengajaknya untuk bersiap. Sam menyertai Ali dengan membawa tuala mandi, tetapi Sam keluar dahulu sementara Ali berhenti sejenak untuk merenungi dormnya yang sudah sepi. Ali dan Sam bersarapan di kafeteria ditemani Comot. Kim datang menyertai mereka, disambut mesra oleh Ali tetapi berhadapan dengan deraman oleh Comot yang merampas nuget dari Ali dan beredar. Ali hairan melihat tindakan Comot, dan Kim berkata ia mungkin rindu akan rumahnya. Alicia juga muncul dan hendak duduk di meja sebelah, tetapi Ali sempat mengajaknya makan semeja. Kim menyatakan rasa kesal kerana dikembalikan ke teras asal, tetapi Sam menyambut baik tindakan itu agar tidak terkial-kial lagi. Kim menanya Alicia sama ada terdapat latihan hari ini, dan Alicia menjawab entah. Ali pula mengesah akan rasa sunyi dengan ketiadaan para peserta yang tersingkir.

Ejen Geetha memanggil keempat-empat ejen ke ruang utama melalui sistem siar raya, maka mereka berkumpul di situ dan menghadap keempat-empat mentor. Ejen Leon memulakan ucapan tetapi Ejen Bakar mencelah dengan riang mengumumkan cuti untuk hari ini. Kim menyambut baik dengan sorakan tetapi Ali dan lain-lain muram. Geetha tampil dan mengumumkan satu kejutan istimewa buat mereka, iaitu kembalinya semua peserta yang tersingkir - Aleks, Bulat, Iman, Jet, Khai, Mika, Moon, Rizka, Roza, Rudy, Zass dan juga Chris - sebagai peneman untuk hari ini menceriakan kembali Ali, Alicia dan Sam, lebih-lebih lagi Ali yang hairan melihat mereka semua masih berada di Arena. Geetha mengumumkan lagi dengan sukacita bahawa atas permintaan Roza, mereka akan keluar berkhemah, maka ruang utama Arena pun bergema dengan sorakan kegirangan semua ejen.

Kegembiraan bertukar menjadi kekecewaan apabila para ejen menyedari bahawa mereka terpaksa berkhemah di halaman Arena sahaja, lebih-lebih lagi Roza selaku pencadang. Mika memujuk Roza bahawa ini sebagai langkah keselamatan sejak peristiwa Pusat Cyberscience lepas. Bulat bersetuju kerana teringat akan masa berkhemah di sekolah. Rudy turut kecewa tetapi akur kerana lebih baik daripada tidak melakukan sebarang aktiviti.

Maka kesemua ejen muda pun berkumpul di tengah tapak perkhemahan dan mula mendirikan perkhemahan. Roza mengetuai tugas memasang khemah yang disertai oleh Ali, Chris dan Khai. Ali dan Chris biarpun acapkali terkhilaf atau ditimpa kesulitan (misalnya, pernah sekali sebuah khemah seakan-akan berjaya didirikan tetapi runtuh kerana tertinggal sebatang penyangga), namun mereka berjaya menjalankan tugas. Ketika mengawasi pendirian khemah, Roza mendapati Khai bermalas dengan menonton video yang terpancar dari R-O, maka dia pun mendenda Khai dengan menghalau R-O dari tapak perkhemahan.

Sam, Moon, Aleks dan Mika ditugaskan mencari kayu api. Sedang dia rajin memungut ranting dari tanah, Sam diperanjatkan oleh Moon dengan sakat hantunya. Mika dan Aleks datang 'menegur' sikap Moon dengan menyerahkan potongan kayu yang terlalu berat untuk diangkatnya. Kayu api diserahkan kepada Rudy yang mematahkannya dengan lutut dan menyusunnya menjadi unggun. Rudy menerima pantik dan batu api dari Kim dan menggosok, tetapi gagal setelah lama mencuba. Jet mengambil alih kerja menggosok batu api dari Rudy tetapi juga menghadapi kesulitan yang sama. Kim membawa Zass ke mari untuk membantu, dan dengan kelajuan menggosok yang tinggi dia berjaya menyalakan batu api dan meletakkannya ke dalam unggun.

Tugas memasak pula dikerjakan oleh Bulat sebagai "chef," Alicia, Rizka dan Iman. Alicia memotong bawang sambil menahan air mata, sementara Iman mereneh sup dan meminta pendapat dari Bulat. Bulat mengecap supnya dan menambah sedikit perasa. Rizka pula memotong ikan dengan kerambitnya, diganggu seketika oleh Comot yang cuba mencuri sepotong ikan tetapi dihalang juga. Bulat turut memanggang ayam dengan besi panggang. Maka mereka berempat pun menyiapkan meja makan dengan masakan masing-masing dan Bulat menjemput ejen-ejen muda lain untuk makan. Ali berteriak "Bertindak segera!" tetapi dilanggar sehingga jatuh oleh Zass yang memecut lalu. Kesemua 16 ejen menjamu selera di keliling unggun api sambil berkongsi cerita. Comot sekali lagi mengambil kesempatan untuk bertindak nakal dengan mencuri semua ayam panggang di atas meja secara halimunan (dengan bantuan R-O sebagai rakan sekongkol) sebelum Bulat sempat mengambil seketul.

Sekali lagi Ali menyatakan rasa hairan kerana melihat semua ejen-ejen tersingkir masih ada. Khai menjelaskan bahawa pihak M.A.T.A. melarang mereka untuk pulang selagi pertandingan Arena dilangsungkan. Roza menambah bahawa mereka terpaksa mematuhi pelbagai protokol supaya tidak dijejaki oleh orang luar. Ali bertanya pula khabar mereka sejak tersingkir. Khai menjawab bahawa mereka sentiasa menonton pertandingan. Roza pula berkata mereka dibawa oleh mentor ke bilik tidur berasingan, dan yang cedera diberi rawatan. Rudy meringkaskan cerita bahawa mereka sekadar rehat, makan, dan tidur; kata-kata itu mengundang perlian Roza yang mengatakan hanya Rudy bertabiat sedemikian.

Ali menarik nafas lega setelah mendengarkan cerita kawan-kawannya selepas tersingkir itu. Jet hairan melihat reaksi Ali sebegitu dan bertanya kenapa. Ali menjawab bahawa dia khuatir bahawa semua ejen yang tersingkir akan "dihapuskan." Jet muram sambil membaling ranting ke dalam unggun, mengeluh lebih baik disingkirkan sahaja, maka Ali pun hairan. Moon menceritakan bahawa mereka tidak cukup makan sejak hilang kelayakan menjadi ejen, tetapi mereka tidak keluar terus dari M.A.T.A, sebaliknya mereka ditugaskan ke pasukan bantuan di pangkalan. Bulat yang sedang memanggang ayam lagi meluahkan rasa lega kerana tidak perlu terlibat dalam kerja lapangan. Jet pula tidak dapat menahan rasa malu untuk berhadapan dengan bapanya atas kegagalannya.

Ali menyoal Chris pula. Jawab Chris, dia perlu kekal selama satu tahun lagi kerana tidak sempat bertanding. Rizka bangun dan pergi meminta maaf daripada Chris. Chris memaafkannya, dan Rizka pun memberinya beberapa patah kata semangat untuk tahun hadapan. Sekeliling unggun api bergema dengan gelak tawa menyambut baik pembaikan hubungan ini, membuat Zass terjaga sedikit dari lena di atas buaian di pinggir tapak perkhemahan. Sam menanya Jet sama ada dia sendiri hendak menjadi ejen atas suruhan bapanya atau dengan kerelaan sendiri. Jawabnya, dia pun sendiri tidak menentu, tetapi setelah menjalani latihan dan misi, dia menjadi seronok mempertahankan Cyberaya. Sam memuji Jet kerana tetap berbakti untuk Cyberaya selagi bersama M.A.T.A. Jet bertanya pula sama ada Sam dan lain-lain juga bercita-cita untuk menjadi ejen. Sam menjawab bahawa dia cuma terikut-ikut mengejar rakan-rakan sekelasnya yang mendaftar beramai-ramai untuk menyertai agensi tersebut. Jet hairan tentang adanya hal mendaftar di tempat Sam, sementara Roza mengulas betapa dahsyatnya pengaruh rakan sebaya.

Aleks bangun untuk menceritakan kisah kemasukannya dengan ringkas bahawa dia menurut gesaan orang tua untuk menyertai M.A.T.A. kerana dianggap "budak hebat". Kata-katanya mengundang pelbagai reaksi; Moon berasa segan bercampur gentar sementara Rudy sekadar membalas dengan "cih". Rizka pula bercerita bahawa dia serik berlatih silat untuk sukan, maka guru silatnya mengesyorkannya kepada M.A.T.A, dan oleh itu dia mempunyai tujuan yang lebih baik untuk bersilat. Ali menyoal Kim pula akan asal-usulnya. Kim tertegun-tegun sebelum menjawab dengan segan-silu bahawa dia dipilih kerana merupakan ahli yang paling ceria. Jawapan itu mengundang gelak tawa keliling unggun, lebih-lebih lagi Khai yang mengacah Kim disertakan kerana muziknya semata-mata. Kim bercadang untuk memainkan muzik untuk melengkapkan perkhemahan; semua ejen sebulat suara setuju, maka dia mengeluarkan keytar-nya dan memainkan sebuah lagu yang mengasyikkan sambil memancarkan aura yang mewarnai baju-baju hitam para ejen. Semua ejen pun bersorak melayan hiburan Kim kecuali Alicia yang beredar dengan rasa acuh tak acuh.

Di markas Cinco, Seis dan Siete membantu mengisi tong-tong dengan Microbug. Siete hairan mengapa perlu menyasarkan Mainframe, maka Nueve hendak menjelaskan apa yang dia dengar dari perbualan antara Cero yang merasukinya dan Cinco. Seis mencelah dengan menyatakan rasa sangsi, dan Trez yang sedang memuatkan tong-tong Microbug menyampaikan khabar bahawa M.A.T.A. telah mengetatkan kawalan keselamatan. Siete bersorak mendapat tahu itulah sebab Cinco menggunakan ejen muda sebagai pengintip, sementara Seis bertanya apa yang harus dilakukan. Nueve menjelaskan bahawa Mainframe M.A.T.A. kini terdiri daripada tiga bahagian, dan setiap bahagian perlu diakses serentak oleh tiga pemegang kunci yang berlainan. Siete menyambut baik penerangan Nueve, tetapi Seis pula sinis mengatakan mereka tidak mempunyai kunci tersebut.

Secara mengejut, Cinco masuk sambil mencelah bahawa dia sudah mempunyai salah satu kunci Mainframe. Nueve menyambut kedatangannya dengan gemuruh. Melihat konco-konconya tidak sabar untuk mengetahui rancangan, Cinco memasang komputer dan menunjukkan sasaran mereka dalam paparan, iaitu Dato' Hisham, Ejen Ganz dan Ejen Dayang. Seis dan Siete hairan melihat wajah datuk bandar terpapar dan meluahkan rasa risau akan diserbu oleh M.A.T.A. sekiranya dia diganggu, maka Cinco menjamin bahawa Dato' Hisham tidak akan menjadi masalah. Trez tampil ke hadapan dan cuba menyuarakan isu tanpa niat untuk mempertikaikan rancangan Cinco, tetapi Cinco menghukumnya dengan mengawal Azurium dalam badannya, kemudian menyuruh konco-konconya segera bersiap.

Setelah selesai membuat persembahan dan semua ejen-ejen lain terlena, Kim senyap-senyap menuju ke portal keluar masuk Arena tanpa menyedari bahawa Comot sedang menghendapnya. Pada masa yang sama, Seis memandu lori bersama Siete dan Trez ke taman permainan. Dengan rasa hairan, mereka berhenti di hadapan pondok gelongsor mengikut lokasi yang ditunjukkan oleh Cinco dalam telefon. Kim tiba di portal Arena, membuka petak litar komputer, memasang subang ke atasnya, menggodam sistem keselamatan dan membuka portal di sebelah taman permainan. Sebaik sahaja kunci portal dirungkai, Cinco mengisyaratkan konco-konconya untuk bertindak dalam had masa tiga minit, maka mereka pergi menuang kerumunan Microbug ke dalam salur gelongsor untuk meresapi Arena M.A.T.A.

Tiba-tiba, Kim menyedari kedatangan Alicia dan cepat menutup petak litar untuk menyapa Alicia yang berpeluk tubuh dan kelihatan sangsi. Alicia berkata dia hanya mengambil angin untuk pusingan akhir esok. Kim mengaku membuat hal yang sama, tetapi Alicia menyangkal dan menuduhnya berpura-pura. Sambil mencengkam tangkai keytar-nya di belakang, Kim dengan rasa gementar bertanya apa maksudnya, dan Alicia berkata dia ingin mempercayainya lebih-lebih lagi setelah bekerjasama dalam satu pasukan, tetapi dia terasa Kim menyembunyikan sesuatu. Kim menarik nafas lega dan bertindak membongkar kisah kehidupan awalnya kepada Alicia.

Kim mengisahkan bahawa dia dibesarkan di rumah jagaan tanpa mengenali ibu bapa sendiri, bahkan acapkali bertukar rumah sehinggalah dia dikerah masuk ke sebuah rumah seakan-akan tempat latihan seni bela diri, di mana dia menjalani latihan yang serba getir dan didera dengan teruk oleh orang-orang tua dan baya di situ sehinggalah dia dibela oleh seniornya dan bangkit. Alicia terharu mendengar cerita Kim dan meminta maaf kerana melayannya dengan dingin selama ini, tetapi Kim merayunya supaya tidak mengasihaninya atau menyebarkan kisahnya kepada orang lain kerana mahu dilihat sebagai ejen yang berjaya atas usaha sendiri. Alicia setuju kerana dia sendiri pun tidak ingin dipandang sebagai anak General semata-mata, malah dia memuji Kim kerana dialah satu-satunya ejen muda yang membuat dirinya tercabar selain daripada Ali yang memakai I.R.I.S.

Setelah selesai beramah mesra, Alicia meminta diri sementara Kim kembali mengerjakan rancangan jahat Cinco, tetapi subang yang dipasang tadi dirampas oleh Comot. Kim mengeluarkan keytar-nya untuk menembak Comot dan memujuknya untuk mengembalikan subang itu, tetapi Comot tetap enggan dan menjadi halimunan. Kim mengeluarkan gelombang dengan keytar untuk membongkar Comot, maka Comot bertindak menerkam Kim berkali-kali. Sekali lagi Kim menembak dengan keytar untuk melumpuhkan Comot dan subang pun tercicir dari gonggongannya. Akhirnya, Kim meminta maaf kepada Comot dan melepaskan satu lagi tembakan.

Galeri[]

Pautan luar[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement