Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: LEGASI ialah episod ke-13 dan terakhir dalam musim kedua siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 30 Mac 2018.

Ringkasan[]

Setiap ejen M.A.T.A. harus mencegah tindakan Uno dari mengakses mainframe M.A.T.A..

Plot[]

Di tengah-tengah pertempuran sengit antara pelatih-pelatih ejen M.A.T.A. dan kumpulan Numeros yang berlangsung di perkarangan Akademi M.A.T.A, Ejen Zain memapah Ali dari terbaring dan memuji usaha semua pelatih, lantas mengambil alih kerja menentang Uno yang baru melangkah masuk ke dalam bangunan akademi. Cinco yang mengiringi Uno menyuruh ahli-ahli lain menghalang Zain. Zain menggunakan firasat dan membaca serangan Dos, Trez, Seis dan Siete, lalu dia lincah mematahkan serangan mereka satu demi satu. Zain sempat melontarkan Shox Stix ke arah Cinco tetapi terelak. Para ejen muda takjub melihat kehebatan Ketua Teras Neuro berlawan.

Zain memasuki bangunan Akademi yang teruk musnah dan bersemuka dengan Uno. Uno menyoal sama ada Ketua Teras harus berlindung di lokasi rahsia, maka Zain menjawab bahawa tidak jadi rahsia jika Uno merampas Mainframe, malah berikrar untuk menghalang Uno daripada mencederakan warga Akademi. Uno tergelak sinis dan berkata sudah menduga ketibaan Zain apabila Akademi diserang, lantas menghunus Bilah Azuriumnya dan meluru ke arah lawannya.

Zain menggunakan firasatnya untuk meramalkan gerak-geri Uno dan langkah yang harus diambil. Jalan pertama: menembak-nembak Uno dengan Revolver kembarnya, tetapi semuanya akan ditepis dan akhirnya dia akan ditetak. Jalan kedua: menggunakan kombinasi menampan tetakan Uno dengan lapik tangan sambil menembak-nembak, tetapi Uno akan menepuk belakangnya. Pilihan ketiga: menampan tetakan Uno dahulu, kemudian mengacukan senjata; inilah langkah yang diambilnya. Zain bertindak mengelak setiap cubaan Uno menetak, kemudian menampan dengan lapik tangan dan cuba menumbuk ke arah topeng Uno, namun Uno sempat menghambat tumbukannya.

Di luar bangunan, Alicia menyeru rakan-rakan seperjuangannya menewaskan konco-konco Uno yang lain, padahal Ali tidak dapat menggunakan I.R.I.S. kerana dirosakkan oleh Cinco tadi. Rudy meminta Ali meminggir kerana tidak berupaya tanpa I.R.I.S. dan memanggil Bulat membantunya. Ali membangkang kata-kata Rudy dan tetap pergi membantu, diikuti oleh Alicia, Iman dan Moon. Rudy meluru ke arah Seis yang menyepak bola ke arahnya. Bulat menghantar Spherubiks kepada Rudy, dan Rudy pun menyepak gajet itu untuk memaku Seis. Rudy kemudian pergi berlawan dengan Siete.

Iman menggunakan selendangnya untuk mengikat sebuah droid dan mengayunkannya kepada droid lain. Zass datang menghancurkan droid-droid dengan meloncat-loncat ke atas muka mereka. Roza menggunakan senapangnya untuk menembak jatuh droid dari tangga Akademi. Khai yang duduk di sebelah Roza memandu R-O untuk mengawal sebuah dron dan menjatuhkan dron-dron lain. Dos sedang berlawan dengan Alicia apabila Moon mengganggunya dengan klon. Setelah menangkis klon dan juga tembakan Alicia, dia pergi mengejar Moon dengan Bilah Plasmanya.

Trez berpukulan dengan Chris yang memencak dengan Plasmakris. Tangan kanannya terlilit dengan yoyo Ali, jadi dia terus menarik Ali ke mari dan sedia untuk mengasarinya sehingga Comot datang mencakar mukanya. Bulat melontar-lontarkan Spherubiks ke arah Siete, dibantu oleh Rudy yang datang bertumbukan. Siete mengambil kesempatan dengan menyepak bolanya sampai menjatuhkan Bulat, tetapi kemudian dikenakan Shadow Cuffs dan dicampak jauh-jauh oleh Rudy. Sebuah droid diganggu oleh Zass hanya untuk dijatuhkan oleh Iman dengan Meteor Hammernya. R-O sedang dikejar oleh dron dari belakang apabila dron yang dinaikinya ditembak jatuh secara tersilap oleh Roza, mengundang aduan daripada Khai. Roza mengujar bahawa itu mungkin dron terakhir, dan R-O pun turun dengan selamat.

Di dalam bangunan, Ejen Zain menembak secara bertubi-tubi terhadap Uno yang memecut ke sana-sini. Sekali Uno menyerang Zain dari belakang tetapi dipencaknya juga. Uno dan Zain terus berlaga pedang lawan pistol sehingga Uno menolak Zain dari belakang sampai terpelanting. Uno menyimpan pedangnya dan berpesan bahawa dia boleh membaca gerak-gerinya.

Chris mencucuk lengan kiri Trez dengan kedua-dua Plasmakris, kemudian Ali memukul muka Trez dengan yoyonya. Trez membentak dan mengejar Ali, kemudian diganggu oleh lontaran Meteor Hammer Iman. Dos masih mengejar Moon sehingga disandung jatuh oleh Zass. Ali, Alicia, Moon, Zass, Iman dan Chris mengepung Dos dan Trez di foyer Akademi, malah Roza membidik Trez dengan senapangnya. Tiba-tiba datangnya tembakan laser merah yang kencang memecahkan kepungan. Datangnya Cinco yang melepaskan tembakan itu dengan pistol kecilnya, mengecam para pelajar menjengkelkan.

Roza mengalihkan bidikan kepada Cinco, dan Dos melontarkan Shox Stixnya untuk menjatuhkan Roza. Trez pula menolak jatuh Chris. Alicia melastik-lastik ke arah Cinco; Cinco pergi menyorok di sebalik tiang dan menembak dengan pistol untuk menghindarkan Alicia. Trez sibuk melawan gangguan Ali dan Iman malah melakukan hentaman bergegar untuk menghentikan pecutan Zass supaya Dos dapat menjatuhkan pemecut itu dengan Shox Stix. Alicia dan Cinco tercegat dan saling membidik, kemudian Comot datang mencakar Cinco dan R-O merampas tabletnya. Cinco hendak menembak kucing itu tetapi ditumbuk jatuh oleh Alicia.

Ali yang berhadapan dengan hentaman Trez diminta oleh Khai untuk memeriksa I.R.I.S. Ali mengeluarkan gajetnya dan mendapati ia kembali aktif lalu memakainya semula, sekali gus menghidupkan semula Atlas yang dipakai Alicia, Roza dan Jet. Roza yang sudah tidak terdaya menghantar Atlasnya kepada Iman, kemudian Iman menggesa Rudy mengambil Atlas daripada Jet. Rudy akur dan berbaris dengan Ali, Alicia dan Iman menghadapi Trez.

Ejen Zain melompat jauh setinggi ruang lobi sambil menembak-nembak Uno, dan Uno dengan pedangnya meluru meredah tembakan lalu menjatuhkan Zain. Uno kemudian menghampiri Zain yang kelihatan kurang bermaya dan menganggapnya sudah hendak menyerah kalah. Zain menidakkan sangkaan Uno dan berkata dia sudah mudah memahami "corak perlawanan I.R.I.S." pada Uno, yang mana dia telah menggunakan serangan yang berbeza-beza sepanjang bertarung tadi untuk menguji tindak balas gerakan lawannya. Sesungguhnya Uno terkilan dengan kata-kata Zain.

Zain bangun dan kembali ke posisi sedia bertarung. Uno merungut tidak masuk akal, memecut ke arah Zain dan cuba menyerangnya dari belakang. Zain lantas memukul topeng Uno dengan pistol pada lapik tangannya, menyebabkan Uno tercampak. Uno cepat kembali berpijak, tetapi Zain mencekup tangannya, menghumban dan memukulnya sampai tercampak ke dinding. Zain dan Uno meluru kepada satu sama lain dan bertumbuk-tumbukan, kemudian Zain mengeluarkan pistol dari lapik tangan dan menembak.

Dos mengejar Alicia dengan serangan Bilah Plasma tanpa menyedari dia sedang diumpan, sehingga Rudy menggari tangan dan kakinya dengan Shadow Cuffs, kemudian Alicia menembak jatuh Dos dengan peluru Balistiknya. Trez terlihat Dos tercampak dan pergi menyerang Alicia dan Rudy, tetapi Ali datang mencekup kakinya dengan yoyo , disusuli Iman yang memukulnya dengan Meteor Hammer sehingga tercampak ke dalam kolam parit yang mengelilingi Akademi.

Alicia menyeru rakan-rakan seperjuangannya yang tinggal berkumpul, tetapi Ali ingkar dan pergi mencari Ejen Zain. Kesal dengan tindakan Ali, Alicia mengarahkan Iman dan Khai mendapatkan Enhancer Ejen Geetha dan merawat sebanyak mana rakan-rakan yang boleh sementara dia pergi menolong Ali. Rudy menawarkan diri untuk menolong Alicia, maka Alicia menerima.

Sekali lagi Ejen Zain meluru sambil menembak-nembak ke arah Uno yang menangkis dengan memutarkan pedangnya. Setelah hampir, Zain memukul-mukul Uno sambil mengelak tetakan pedangnya. Uno memecut keliling Zain untuk cuba menyerang, kemudian Zain mencekup sebelah tangannya dan mengacukan pistol ke arah topengnya. Uno mengangkat bilahnya untuk menampan tetapi Zain tetap menembak-nembak sehingga pedang itu terpelanting.

Uno bersambung mengejar Zain sehingga Zain menyiku dan menumbuknya di muka, menyebabkan dia tercampak lagi dan topengnya tercabut juga. Uno cuba bangun dari tersembam tetapi terdengar pistol Zain bercekah diacukan ke arah kepalanya. Dia berpusing dan bentak mencabar Zain menembaknya terus. Zain menarik nafas panjang dan enggan menembaknya kerana berikrar tidak mahu mengulangi kesilapan lalu, kemudian menghulurkan tangan untuk memapah bekas rakan seperjuangannya itu. Djin kelihatan terharu dengan ucapan Zain dan menyambut tangannya, tetapi dia tetap menaruh hasad dan menikam Zain dengan Bilah Azuriumnya. Kejadian itu disaksikan dengan gerun oleh Ali yang terjerit memanggil Ejen Zain.

Sementara Uno mengutip topengnya, Ali datang meratapi jasad Ejen Zain, disusuli oleh Alicia yang tergamam kerana hiba. Seluruh kelengkapan Akademi M.A.T.A. termasuk gajet-gajet ejen mengalami gangguan, menandakan Ali sudah memasuki Override Mode.

Uno tiba di bilik kawalan dan semakin hampir menggapai lembaga sfera yang digelar Mainframe, apabila Ali tiba untuk menghadapnya, disusuli Alicia dan Rudy. Dikawal sepenuhnya oleh I.R.I.S, Ali mengelak tetakan pedang Uno dan bertindak melemparkan yoyo ke arah musuh. Uno yang turut menggunakan I.R.I.S. tiruan dapat membaca serangan yoyo dan mengelak lalu menyerang Ali dengan pedang. Ali lantas cuba menendang Uno dengan Aero Boots tetapi ditepis juga.

Alicia hendak masuk campur dalam pertarungan Ali dan Uno tetapi dihalang oleh Rudy yang khuatir akan diserang. Iman pun datang dan mengadu tentang gangguan Atlas. Alicia menelah bahawa Override Mode sedang meningkatkan kadar proses menjadi lebih pesat. Ali dan Uno terus berlaga yoyo lawan pedang, memukul dan menetak serata bilik kawalan sehingga Uno mendapat kelebihan dengan menangkap yoyo itu dan mencampak Ali. Alicia menjangka Ali akan kalah jika dibiarkan,

Ali dengan Aero Boots melonjak dan pergi menendang Uno tetapi dicekup dan dicampak ke skrin belakang bilik. Uno kemudian mengasak Ali lagi sehingga memecahkan dinding ke bilik sebelah. Melihat Ali cuba bangun dari tersembam, Uno menghunus pedangnya dan pergi menyerang budak itu sehingga dia ditundukkan oleh peluru graviti Alicia. Alicia tampil ke hadapan Uno dan sedia melastik ke arah musuh itu walaupun ditegah oleh Iman. Ali bangun semula dan mengesan keaktifan ketiga-tiga Atlas.

Uno mengetepikan peluru graviti dengan pedangnya dan bangun semula. Ali memutarkan yoyo dan melonjak semula ke arah Uno. Iman hairan melihat Ali tidak menyerang Alicia seperti mana dia pernah mengasarinya di bawah kawalan Override Mode dalam misi pinggiran lepas. Ketika Ali dan Uno berlaga senjata, Alicia melastik ke arah Uno tetapi sempat ditangkis. Ali melemparkan yoyo kepada Uno dan Uno pun mengelak dengan memecut ke atas, namun yoyo itu melantun ke atas dan berjaya melanggarnya. Alicia memanjat dinding secara parkour dan melepaskan peluru-peluru lastik ke arah Uno yang sedang jatuh. Ali kemudian melilit Uno dengan yoyo dan mencampaknya.

Rudy bertanya bagaimana mereka dapat melakukan aksi itu, maka Alicia menjawab "Atlas Override." Iman pula bertanya bagaimana hendak faham, maka Alicia berpesan jangan berfikir, sebaliknya bertindak mengikut refleks. Jelasnya, segala maklumat yang diperlukan telah diterima melalui Atlas; seperti I.R.I.S, Atlas meramalkan gerak-geri lawan dan memberikan cadangan tindak balas kepada pemakai, tetapi kali ini secara berpasukan dan terkoordinasi.

Mula-mula, Rudy menyerang dan berpukulan dengan Uno. Kemudian, Iman memukul Uno dengan selendang, jadi Uno pun pergi dan memukul balas. Uno bertegas tidak akan dikalahkan walaupun berhadapan dengan ramai lawan, kemudian meluru ke arah Rudy dengan menghunus pedang. Alicia melastik ke arah Uno, jadi Uno pun memecut ke belakang Alicia dan menerajang perutnya. Iman menyerang Uno lagi dengan selendangnya, menangkis pedangnya dengan Meteor Hammer. Uno memecut ke tempat Iman dan menjatuhkannya dengan tendangan berpusing.

Uno melonjak dan menyerang Ali dengan pedang, tetapi tiba-tiba pedangnya ditarik dengan yoyo dari sebelah. Uno tercegat kerana keliru terlihat ada dua Ali sehingga dia dikenakan Shadow Cuffs. Rudy melucutkan penyamarannya sebagai Ali dan mencampak Uno ke atas. Alicia datang melepaskan peluru graviti ke bahagian bawah balkoni untuk Uno terhimpit. Ali dan Iman bersama-sama menggabungkan lontaran yoyo dan Meteor Hammer untuk melanggar Uno dan menjatuhkan balkoni itu. Bilik bertukar gelap, I.R.I.S. tertanggal dan Atlas pun terpadam, menandakan Ali sudah kehabisan tenaga.

Uno bangun dari runtuhan dengan keadaan topengnya yang pecah lalu mengeluarkan semula Mainframe dari panel kawalan. Alicia, Iman dan Rudy terkilan melihat musuhnya masih bertahan, lebih-lebih lagi Rudy geram dan pergi menyerang bekas mentornya. Uno mencekup tangan Rudy dan berikrar akan menghapuskan semua ejen-ejen muda. Uno mengambil kesempatan merenung ke arah Mainframe sambil menjatuhkan Rudy. Mainframe dimanipulasikan untuk mengaktifkan senjata satelit di angkasa untuk memusnahkan Pulau Akademi sambil menyiapkan pesawat kecemasan untuk mengungsikan sesiapa yang tertinggal di Akademi.

Uno berjalan terenjut-enjut ke arah pintu, tetapi Alicia datang menghalangnya dengan sedas tembakan lastiknya. Uno ketawa terbahak-bahak, menghunuskan pedang dan meluru ke arah gadis itu tetapi tiba-tiba disampuk dengan tembakan yang menjatuhkan pedangnya. Ejen Zain datang dalam keadaan menggeletar, diiringi oleh Khai, badannya bersinar kerana kecederaan dari tikaman bilah Azurium Uno tadi. Zain meminta Khai segera melarikan kawan-kawannya, maka Khai pergi memapah Ali bersama Rudy.

Alicia turut memapah Iman pergi, tetapi dia terhenti dan memanggil Ejen Zain. Zain menyeru Alicia pergi kerana dia hendak menghalang Uno dari mengawal Mainframe. Sebak kerana tidak rela meninggalkan mentor peribadinya, Alicia lantang bersuara menawarkan diri untuk menolong, namun Zain melafazkan arahan menjalankan Protokol Gegas. Uno terbahak-bahak menyaksikan babak yang "mengharukan" sementara Alicia patuh dan membawa Iman pergi.

Uno mengangkat semula pedangnya dan sambung bertarung dengan Zain, menangkis setiap tembakan secara habis-habisan lalu pergi cuba memecahkan tangkisan lapik-lapik tangan Zain. Ali, Alicia, Rudy, Iman dan Khai meninggalkan bangunan dan menaiki pesawat kecemasan dengan bimbingan Ejen Geetha. Isyarat berlepasnya pesawat itu disambut oleh Zain yang baru sahaja menjatuhkan Uno buat kali terakhir, dengan menjatuhkan pistolnya. Uno bangun semula, terus menolak jatuh Zain dan bersedia menumbuknya di saat pulau Akademi diletupkan oleh pancaran satelit.

Ekoran peristiwa kemusnahan Akademi M.A.T.A, medal-medal emas milik Zain dan Djin tertampal pada tugu peringatan untuk ejen-ejen M.A.T.A. yang terkorban. Ejen-Ejen Karya, Leon dan Geetha antara pengunjung pertama tugu yang baru ditokok itu. Karya menanya Leon akan khabar Rizwan, maka Leon menidak. Bakar dan Alicia datang melawat, maka Karya, Leon dan Geetha pun beredar, malah Geetha menepuk bahu Alicia sebagai tanda ucapan takziah. Alicia menahan sebak mendongak ke arah medal Zain, kemudian memanjangkan salam tinju pada batu tugu ahli Neuro sambil melepaskan air mata.

Khai, Rudy, Moon dan Iman juga datang ke tugu peringatan dan menanya Bakar tentang Ali. Bakar mengeluh kerana Ali langsung tidak menjawab panggilan. Moon menduga bahawa Ali sedang meratap, dan Khai pun menegurnya dengan herdikan. Alicia bergerak meninggalkan tugu, diikuti oleh Bakar yang membetulkan topinya menghadap tugu. Sementara yang lain pergi meninjau tugu, Rudy berpeluk tubuh sambil menghadap medal Djin pada batu tugu Inviso sejenak, kemudian melangkah keluar.

Di SRT Cyberaya 1 sudah tiba masa membentangkan projek sains tahun akhir. Boy dan Shaun mempersembahkan ciptaan mereka yang berupa kipas meniup kertas. Seluruh kelas kebingungan, malah Puan Munah pun tidak terkesan dan memberikan markah sifar. Viktor yang gementar melihat Ali tidak hadir dipanggil pula. Dia mempersembahkan ciptaan berupa roket tetapi mengakui enjinnya mempunyai sedikit masalah. Puan Munah enggan melayan alasan dan meminta ditunjukkan, maka Viktor menghidupkan roket itu dengan tabletnya, tetapi roket itu tidak dapat terbang jauh.

Puan Munah nyaris hendak menandakan kegagalan projek Viktor, tetapi tiba-tiba Ali bergegas ke mari dan segera memasang enjin pada roket. Viktor mencuba lagi dan akhirnya roket itun dapat terbang tinggi, malah Viktor turut memandu roket itu berpusing keliling kelas sehingga disudahkan dengan letusan konfeti. Seluruh kelas terhibur, malah Puan Munah pun menilai bagus tetapi memberikan gred C semata-mata kerana Ali lambat hadir. Ali pun muram, tetapi Viktor memujuknya bahawa sekurang-kurangnya mereka tidak gagal.

Ali meminta maaf kepada Viktor kerana sering mengundurkan diri dari mengusahakan projek sepanjang minggu, maka Viktor pun mengaku tidak mengambil hati, malah meminta Ali menunjukkan koleksi setemnya kelak. Ali gagap mengiakan permintaannya sambil menaruh rasa risau rahsianya akan terbongkar.

Waktu rehat, Ali duduk termenung seorang diri di kantin dengan Comot di sisinya. Alicia datang membelai Comot dan menanya Ali berapa lama sebelum dia bersedia untuk kembali menyertai misi. Ali mengeluh merasakan sampai bila-bila tidak akan bersedia, malah dia sebak mengenang pemergian seorang lagi Ketua Teras dan juga nasib M.A.T.A. selepas kejadian Akademi. Alicia menghentak meja dan bertegas bahawa M.A.T.A. masih ada, kemudian dia bertenang dan mengujar bahawa Ejen Zain telah menanamkan kepercayaan besar kepada diri mereka, khususnya Ali.

Ali terkenang kata-kata Ejen Zain bahawa dirinya akan menjadi super-ejen yang diharapkan dari projek I.R.I.S, dan menyatukan semua ejen muda. Alicia malah menambah bahawa Ejen Zain telah mengorbankan dirinya untuk memastikan diri mereka terus hidup, jadi mereka harus meneruskan perjuangan arwah tanpa putus asa. Telefon berbunyi menerima panggilan M.A.T.A, maka Alicia cuba mengajak Ali untuk ikut. Ali menabahkan diri, bangun dan mengangguk, jadi mereka pun bergerak bersama-sama.

Dayang dan Ganz, dua Ketua Teras yang tinggal bersidang semula menerusi hologram. Dayang gembira melaporkan bagi pihak General bahawa Ali sudah kembali bertugas. Ganz girang mendengar khabar itu kerana berasa sayang jika Ali berhenti setelah dilatih dengan begitu baik. Dayang malah mengutarakan bakatnya dalam mencipta Atlas, maka Ganz mengulas bahawa kebolehannya telah banyak meningkat dari dahulu, malah merasakan bahawa dia mempunyai potensi untuk menjadi antara ejen M.A.T.A. terhebat. Dayang bersetuju kerana menjadi ejen sudah ada di dalam darah daging Ali. Ganz terkejut mendengar kata-kata Dayang itu.

Watak[]

Trivia[]

  • Tajuk episod ini tidak didedahkan sehingga tayangan perdana di TV3.
  • Babak ketika Uno menikam Zain di perutnya adalah mirip dengan babak ketika Kylo Ren menikam Han Solo dalam "Star Wars: The Force Awakens".
  • Zain dan Uno binasa apabila Akademi M.A.T.A. dimusnahkan oleh satelit M.A.T.A..
  • Tajuk episod ini merujuk kepada warisan yang ditinggalkan oleh Zain di akhir episod ini.
  • Episod ini menunjukkan ketiga kalinya Ali menggunakan I.R.I.S. yang sedang dalam mod Override.
  • Kelibat lelaki jaket hitam

    Watak yang muncul ketika kredit akhir

    Meskipun tidak ditunjukkan secara penuh, namun kemungkinan besar watak lelaki yang muncul ketika kredit akhir ialah Rizwan kerana paparan menunjukkan dia memegang lolipop.
  • Episod ini telah mencapai dua juta tontonan di YouTube rasmi Ejen Ali dalam masa hanya dua hari sahaja.

Galeri[]

Video[]

Navigasi[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement