Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: PERANAN ialah episod kesembilan dalam musim kedua siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 9 Februari 2018.

Sinopsis[]

Rizwan diarahkan oleh Jenny untuk mencari Cuatro jika tidak mahu apa-apa masalah berlaku kepada dirinya.

Plot[]

Rizwan dalam keadaan sangat letih cuba mencapai kelibat Uno di markas tetapi tersembam. Cinco menurunkan peti perubatan untuk Rizwan merawat kecederaannya, malah menjelaskan bahawa Uno sudah keluar untuk urusan dan meninggalkan tugasan untuk Rizwan iaitu mencari ahli Numeros yang belum menjawab panggilan Uno iaitu Cuatro. Rizwan sambil merawat lukanya dengan pistol pengubat, mengecamkan Cuatro sebagai Profesor Akram, bekas ejen Tekno M.A.T.A. Cinco menyatakan bahawa Uno menugaskan hal Cuatro kepada Rizwan kerana Rizwan dan Cuatro saling mengenali, malah lokasi Cuatro berjaya dikesan di kawasan hutan utara Cyberaya. Rizwan hendak bertolak dalam masa dua jam, maka Cinco lantas mengusik pistol pengubat untuk menyuntikkan tenaga lebihan dan mengingatkan bahawa Cuatro adalah aset penting dalam misi Uno dan dirinya akan menemani Rizwan ke sana demi menjayakan tugasan, malah mereka akan bertolak dalam 10 minit.

Ali melangkah kembali ke Akademi M.A.T.A. dengan gementar. Dia terkenang pesanan Ejen Zain untuk terus memakai I.R.I.S. sebagai super-ejen yang diharapkan daripada projek I.R.I.S, malah Zain akan mengusulkan agar Ali diterima semula ke dalam Akademi untuk terus menerima latihan sewajarnya. Ali takut berhadapan dengan ejen-ejen lain yang mungkin sudah membencinya sejak kejadian Override Mode yang lepas, maka Zain mencadangkan dia cuba meminta maaf.

Ali memasuki bangunan akademi dan berhadapan dengan pelajar-pelajar lain. Di bawah pengawasan keempat-empat mentor, Ali dibawa menghadap Zass, Chris, Jet, Rudy, Roza, Mika dan Bulat dan tergagap-gagap memohon maaf. Pelajar-pelajar lain nampak gayanya tidak yakin dengan keikhlasan Ali. Ali pun cuba menjelaskan bahawa peristiwa itu disebabkan I.R.I.S. tidak dapat dikawal, tetapi mereka bertujuh enggan melayan lagi dan terus beredar. Mentor-mentor pun bergerak, malah Ejen Bakar pun menegur Ali bahawa dia tidak wajar menyalahkan I.R.I.S. kerana tindakannya mencari bahaya telah mencetuskan Override Mode dan menyebabkan rakan-rakannya cedera termasuk Comot. Alicia pun muncul menumbuk Ali sebagai pembalasan kerana mencuri setem kuncinya sehingga dirinya dimarahi General kerana gagal menjalankan tugas. Ali mahu meminta maaf lagi, tetapi Alicia enggan melayan dan menggesanya bersambung latihan.

Ali menyertai latihan berpasukan baharu, menyertai pasukan Ejen Karya bersama Alicia dan Chris sementara Ejen Geetha memimpin Zass, Roza dan Mika. Ejen Leon hadir selaku pengelola, membuka taklimat dengan pesanan bahawa setiap ahli mesti memahami tugas dan peranannya sejajar dengan teras, dan ejen Neuro harus tajam daya pemerhatian dan pemikiran kritikal, peka dengan segala yang sedang berlaku di sekitar, dan sentiasa menganalisis situasi dan pantas mengatur strategi sewaktu menjalankan misi. Karya bersambung bahawa ejen Inviso adalah lebih licik, pandai membuka jalan apabila berdepan dengan halangan, selalunya menyelinap menembusi pertahanan musuh dan menyerang mereka pada saat yang tidak diduga. Bakar menerangkan bahawa ejen Kombat mesti gagah serta mahir berlawan, bersemangat kental, pantang berundur, menentang musuh secara berhadapan dan menentukan rentak pertempuran. Geetha pula menerangkan bahawa ejen Tekno sangat berbakat dalam bidang teknologi, masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri dalam mengendalikan alatan canggih, melengkapi keperluan pasukan dan menjalankan peranan khusus mengikut objektif misi.

Latihan bermula dengan Alicia menggunakan teropong untuk mengawai gerak-geri pasukan lawan dari menara kubunya lalu berkongsi maklumat dengan ahli pasukannya. Setelah menerima hasil risikan, Ejen Karya bergerak dahulu menggunakan Hypno Lens untuk memukau Roza yang sedang memerhati melalui senapangnya di atas menara lawan untuk membuka laluan kepada anak-anak buahnya yang menghendap dalam semak. Chris keluar dahulu dan mengganggu Mika dengan lontaran kerisnya. Mika datang menyerang Chris dan mereka pun berpukul-pukulan tumbukan lawan keris, sehingga Chris mencabut alas tangan sut MEKA Mika dengan kerisnya dan menepuk muka Mika sampai tercampak ke batuan belakang. Mika kemudian ditahan dengan peluru Balistik Alicia. Chris mahu menepuk tangan Alicia tanda syabas tetapi tidak diendahkan.

Zass yang berlari lintang-pukang di keliling arena nyaris terkena lastikan Alicia dan dikepung oleh pasukan Ejen Karya. Sekali lagi Karya memukau Zass sehingga pengsan, dan Ali dan Alicia berlari ke arah pangkalan lawan. Ejen Geetha yang bersembunyi di sebalik pokok pergi memulihkan anak-anak buahnya dengan Neo Enhancer. Sebaik tiba di pangkalan, Ali dengan I.R.I.S. mengimbas kehadiran perangkap laser dan mendapat petunjuk untuk memutuskan bekalan kuasanya. Dia menggunakan Aero Boots untuk melonjak terus ke panel kawalan untuk menutup perangkap. Selepas itu, dia terkesan Zass hendak melakukan serangan hendap dan pergi menyerangnya dengan yoyo, namun Zass terlepas dan Ali sendiri terkena tembakan senapang Roza. Alicia cuba melastik Rosa tetapi diganggu oleh Zass, sementara Roza menembak-nembak ke arah Ejen Karya yang membalas dengan balingan Kadrya Deck. Chris ditumbuk oleh Mika secara mengejut dan akhirnya ahli-ahli pasukan Geetha mengepung Karya yang menyerah kalah dengan tenang.

Ali sekali lagi berhadapan dengan para mentor dalam keadaan sugul. Karya mengulas persembahan Ali sebagai kurang memuaskan, manakala Geetha mengatakan Ali kurang memahami peranan teras dan tidak mematuhi objektif khusus. Ali mengadu dia dapat mengesan Zass yang sudah menghampiri ketika itu dengan I.R.I.S. Leon lantang mengingatkan Ali untuk menantikan arahan atau melapor kepada pasukan seperti yang diajarkan dalam kelas. Bakar lagi menegur sikap Ali "berlagak seperti hero" padahal ejen M.A.T.A. tidak patut bertindak seorang diri. Ali bertambah muram mendengarkan teguran bapa saudaranya.

Rizwan dan Cinco tiba di hutan di mana letaknya tempat persembunyian Cuatro, ditemani oleh Ocho yang membantu merungkai kunci pintu pagar dengan Microbug. Cinco mempersilakan Rizwan masuk seorang diri sementara dia dan Ocho menunggu di luar; Rizwan bersetuju dia masuk seorang diri dengan nada bersungut. Cinco mengingatkan bahawa ini tugas Rizwan seorang sahaja dan dia harus menyelesaikan tugas atau "diselesaikan." Sebaik sahaja melangkah masuk, Rizwan terpaksa berlawan dengan kucing siborg dan dron-dron penembak laser yang bertindak sebagai kamera pengawasan. Cinco sambil mencatat dalam tablet mengujar Rizwan tidak mungkin akan berjaya disebabkan kecederaannya. Rizwan sempat bersembunyi dengan menjadi halimunan seketika, tetapi sebaik sahaja menjelma semula, dia dikesan terus oleh kucing dan ditembak jatuh oleh dron-dron.

Munculnya seorang lelaki beruban berbadan pendek dengan sebatang kayu pemukul besbol datang menjenguk penceroboh. Dia terperanjat bertemu semula dengan kenalan lamanya Rizwan dan terus memapahnya masuk ke dalam rumah sambil mengingatkannya untuk memberitahu sebelum datang.

Di sekolah, Ali dan Viktor menghadiri latihan sukan. Viktor bertanya mengapa Comot tidak kelihatan akhir-akhir ini, maka Ali menjawab ia kurang sihat. Viktor terus memerli Ali berapa lagi nyawa yang ada pada Comot. Tiba-tiba, Ali dilanggar bola kerana Puan Munah sedang mengadakan latihan dodgeball (bola racun) dengan tiga orang dalam satu pasukan. Alicia satu kumpulan dengan Ali dan Viktor; Ali tidak senang tetapi Alicia mengingatkan hendak berlatih untuk bekerjasama. Datang pula Mia berlagak manja mahu sepasukan dengan Viktor, maka Alicia pun berlagak manja untuk menghindarkan Mia. Boy, Sasidaran dan Shaun membantuk pasukan lawan.

Sebaik sahaja Puan Munah menerangkan peraturan permainan dan meniup wisel, kedua-dua pasukan merebut tiga biji bola di tengah gelanggang; bola-bolanya diambil oleh Alicia, Sasidaran dan Shaun. Sasidaran memulakan dengan membaling bola ke arah Viktor, tetapi serta-merta dilanggar oleh bola Alicia sementara bola Sasidaran tidak mengena Viktor. Ali menyambut bola yang dilontar. Alicia lantas menyuruhnya menghantar tetapi Ali tidak endah dan terus membaling bola ke arah Boy. Boy sempat menangkis dan membaling bola ke arah Viktor. Viktor terkena bola Boy kerana terpandang ke arah Ali yang disangka sasarannya.

Shaun membaling bola ke arah Alicia tetapi terelak. Ali cuba mengutip bola tetapi Alicia mencekup dahulu lalu membaling sampai terlanggar perut Sean. Boy terperanjat dan terus membaling ke arah Ali, dan Alicia segera menolak Ali untuk mengelakkan. Ali hendak membaling balas tetapi Alicia menyuruhnya tunggu kerana mahu membaling bersama-sama. Ali kali ini akur dan bersama Alicia menyegerakkan gerak-geri sambil menyasarkan Boy yang sudah terhegeh-hegeh. Akhirnya mereka membaling, tetapi kedua-dua bola berlanggar dengan satu sama lain dan tidak mengena Boy. Alicia menuduh Ali membaling senget, nyaris mencetuskan pertengkaran sehingga Boy membaling bola mengena kepala mereka, menamatkan perlawanan di pihak pasukan Boy.

Merengus akan kekalahannya tadi walaupun bekerjasama dengan Alicia, Ali menerima panggilan dari Akademi M.A.T.A. lalu membawa perasaan geramnya hingga ke dalam pod ekspres, di mana dia bertemu lagi dengan Ejen Zain secara tidak dijangka lalu bertanya ke mana dia pergi. Ejen Zain berpesan bahawa dia tidak boleh menjawab tentang kepergiannya yang lepas kerana rahsia malah memberitahu Ali bahawa dia tidak sepatutnya datang menghubunginya, Ali menyimpulkan bahawa dirinya pelajar rahsia Zain, dan Zain pun mengatakan Ali bukan yang pertama.

Zain menyentuh tentang masalah Ali mematuhi arahan ketika latihan. Ali mengaku kurang memahami apa yang dikecohkan sedangkan dia tidak menghadapi masalah mengikut petunjuk I.R.I.S. seperti dalam misi. Zain dengan nada keluhan memberitahu Ali bahawa laporan misinya menunjukkan terdapat masalah, yang mana dia sering menyimpang dari strategi asal, menyebabkan koordinasi pasukan terganggu sehingga menurunkan kadar kejayaan misi dan oleh itu selalunya berjaya atas nasib baik sahaja. Jelas Zain lagi, M.A.T.A. berpaksikan kerjasama antara teras, jadi Ali harus mengubah sikap jika mahu terus berkhidmat walaupun tidak suka pada Alicia.

Ali mengadu bahawa Alicia tidak suka padanya malah ingin dirinya tersingkir dari M.A.T.A. Zain tetap berpesan kepada Ali untuk mempelajari semangat berpasukan tanpa mengira perasaan, malah Alicia satu-satunya ejen muda yang berhubungan dengan Ali pada ketika ini. Ali mengulas bahawa dia digandingkan dengan Alicia atas arahan General, maka Zain mengingatkan bahawa Alicia tidak sesaat pun melupakan arahan. Zain pun menceritakan lagi bahawa Alicia telah mengenali M.A.T.A. sejak kecil dan kebolehannya kini menjangkaui umurnya, oleh itu Ali harus belajar mencontohinya. Setelah termenung mendengarkan nasihat Zain, Ali mengeluh dan berkata akan cuba. Zain senang dengan jawapan Ali dan mengakhiri perbualan dengan bersalam tinju.

Ali tiba di bangunan Akademi dalam keadaan termenung, terpandang pelajar-pelajar lain yang sedang berbual di mana Chris jelas bersuara mengulas kegagalan Ali menggunakan I.R.I.S. Dia tidak sengaja terlanggar Mika, lalu Mika menolaknya balik, dan Roza pun datang menyandungnya sampai jatuh dan cakera I.R.I.S. pun tercicir dan dipungut oleh Rudy. Ali bangun dan cuba menuntut balik I.R.I.S, tetapi pelajar-pelajar lain mengambil kesempatan untuk membaling peranti itu pada satu sama lain sambil mengejek Ali.

Alicia datang menangkap I.R.I.S. untuk menghindarkan pergaduhan dan mengaku kepada pelajar-pelajar lain berkongsi perasaan tidak senang terhadap Ali, tetapi pada masa yang sama mengingatkan bahawa walaupun Ali baru belajar namun dia telah mempertahankan M.A.T.A dan menyelamatkan ramai orang, dan oleh itu dia menyeru mereka semua berhenti memperkecilkan Ali dan bersama-sama memperbaiki kelemahannya. Roza memerli Alicia menuntut kepatuhan sebagai anak General. Mika berkeras bahawa Ali tetap lemah dan akan menyusahkan misi lagi.

Sebagai langkah penyelesaian, Alicia bercadang untuk mengulangi latihan semalam dengan syarat Ali tidak diganggu lagi jika pihaknya menang, dan jika kalah, Alicia dan Ali akan berundur dari Akademi. Ali tergempar dengan keputusan Alicia, tetapi Roza menerima cabaran dan disertai Rudy dan Mika. Chris dan Zass disuruh oleh Mika menyertai pasukan Alicia gara-gara Chris berpihak dengan mereka semalam, maka Chris pun kecewa. Jet merayu untuk menyertai pasukan Mika tetapi ditolak kerana sudah ada seorang ahli Neuro, lalu Mika memanggil Bulat untuk menyertai sebagai ahli Tekno. Ali berterima kasih kepada Alicia, dan Alicia mengingatkan Ali untuk mengikut arahannya kali ini.

Perlawanan ulang dilangsungkan di lapangan arena. Selepas kiraan detik, Zass memecut keluar dari pangkalan, menyukarkan Roza yang membidik dari atas. Alicia melepaskan peluru asap untuk mengaburi lagi pemerhatian Roza dan memudahkan laluan bagi pasukannya. Zass memberikan isyarat selamat kepada Ali, Alicia dan Chris, dan mereka pun sampai di halangan Bulat dan Mika. Bulat memutarkan gajetnya Spherubiks untuk membentuk perisai dan menampan peluru Alicia. Chris pergi ke tepi dan membaling keris tetapi ditangkis oleh Mika. Bulat dan Mika lantas beredar, menghairankan Chris, tetapi apa pun dia dan rakan-rakan sepasukan tetap bergegas ke pangkalan lawan.

Apabila hampir di pangkalan lawan, Ali menyeru berhati-hati. Alicia menaiki platform kubu lawan dan berhadapan dengan tembakan laser daripada Spherubiks yang terpasang di situ. Ali bersiap dengan yoyonya tetapi ditahan dengan Shadow Cuffs oleh Rudy yang menyamar sebagai Zass, lalu dicampak. Chris naik gemuruh dan terlihat Zass terpaku dengan aura merah lalu pergi cuba menyelamatkannya. Mika menyerang Chris dari belakang.

Alicia menjatuhkan semua penembak Spherubiks dan pergi melastik Bulat, tetapi Bulat yang cemas sempat menghidupkan perisai dari Spherubiks dan terlindung. Rudy terus cuba mengekang Ali tetapi disukarkan kerana Ali menongkah balik dengan menghidupkan Aero Boots. Alicia mengganggu Rudy dengan peluru Balistik, lantas membuka ikatan Ali dengan lastiknya dan menyuruhnya mendapatkan intel. Ali mengangguk dan beredar. Chris berlaga dengan Mika sehingga ditembak jatuh oleh Roza. Roza lantas menembak ke arah Ali yang sedang memintas panel pangkalan lawan, namun Ali sempat mengelak dan tunduk menyorok bersama Alicia. Mika, Bulat dan Rudy bergegas ke arah pangkalan mereka yang terceroboh. Ali memohon telunjuk, maka Alicia pun memberikan arahan.

Berpandukan arahan Alicia, Ali turun dari pangkalan lawan sambil memutarkan yoyo seperti perisai untuk mengalih sasaran Roza. Dengan itu, Alicia mengambil kesempatan dan melastik jatuh Roza. Ali mengelak dari hentaman Mika dan meleraikan pakuan daripada Zass dengan yoyonya, membolehkan Zass memecut semula. Alicia dan Rudy berlawan lastik lawan gari. Bulat melontar-lontar Spherubiks ke arah Ali sehingga Zass datang mengenakan Bulat dengan Spherubiks sendiri.

Ali berlawan dengan Mika di atas pangkalan. Alicia menyerunya mengikat kakinya, tetapi atas pesanan I.R.I.S, Ali mengadu tidak dapat mampu terlalu berat. Alicia tetap menggesa, maka Ali mencuba dengan menghantar yoyo ke celah kaki Mika. Alicia lantas menyuruh Zass ambil alih, maka Zass datang berpusing-pusing sambil melilit Mika dengan tali yoyo Ali lalu menumbangkan Mika dengan sekali tepukan. Ali kagum melihat tindakan Zass, tetapi segera beredar setelah diseru oleh Alicia menyerahkan intel.

Rudy melonjak datang menyerang Alicia dengan tumbukan dan terajang, tetapi Alicia sempat mengelak dan Zass pun datang mengganggu Rudy. Ali kembali di panel lawan dan menggodam sistem demi mendapatkan intel, tetapi tiba-tiba sistem terpadam. Ali memandang ke atas dan terlihat Ejen-Ejen Leon dan Geetha, lebih-lebih lagi Leon yang menjeling ke arahnya sambil menjebik.

Kelapan-lapan pelajar memasuki semula bangunan Akademi untuk berhadapan dengan tindakan disiplin, lebih-lebih lagi Chris yang gerun akan hukuman yang diterima dan menyalahkan rakan-rakannya. Dalam pada itu, Ali dengan segan-silu mengatakan Alicia "boleh tahan" dalam perlawanan tadi. Alicia dengan sinis mempertikai ulasan Ali, maka Ali dengan berat hati mengakui kehebatan Alicia. Oleh itu, Alicia pun senang hati dan bersalam tinju dengan Ali. Ali hairan diberikan isyarat sedemikian, maka Alicia mengingatkannya bahawa dia bukan satu-satunya "pelajar rahsia". Ali pun tertahan nafas dan sedar bahawa Alicia pun anak didik Ejen Zain.

Di rumah kayu yang dijadikan tempat persembunyiannya, Profesor Akram menunjukkan kepada Rizwan projek yang sedang diusahakannya demi mencari rezeki. Sambil menyedut alat pernafasan, Profesor mengaku sukar mendapat kerja dengan Peneraju Cyberaya dengan rekod jenayah yang diperolehnya. Rizwan terbatuk-batuk dan diberi tempat duduk untuk berehat, lalu ditanya akan keadaan di M.A.T.A. Rizwan terus menjawab bahawa dia telah meninggalkan M.A.T.A. sambil membatukkan darah. Profesor mendapati Rizwan mengalami keracunan Azurium dan bertanya bagaimana dia terjangkit. Rizwan mengetepikan soalan itu dan dan menyatakan hasratnya untuk menjemput "Cuatro". Terkejut terdengar gelarannya dalam Numeros, Profesor menekan butang rahsia untuk menahan Rizwan di kerusi.

Cinco yang menunggu di luar bersama Ocho mendapati Rizwan sudah terlalu lama berada di dalam dan menyimpulkan sedang timbul kesulitan, maka dia mengarahkan Ocho untuk menahan Cuatro dan menghapuskan ejen. Profesor Akram naik cemas kerana Rizwan sedang dijejaki hingga ke tempatnya. Rizwan memujuknya bertenang, tetapi Profesor tetap merungut sudah memberitahu Uno bahawa dirinya tidak tahu menghasilkan semula I.R.I.S. Rizwan memujuk Profesor untuk mengikutnya, tetapi Profesor enggan kerana sudah lama hidup menanggung derita berkhidmat untuk Numeros.

Tiba-tiba sistem penggera berbunyi, menandakan kawasan rumah telah diceroboh, malah dron-dron yang menembak pun habis dibaham Microbug. Rizwan sekali lagi menggesa Profesor mengikutnya untuk mengelak dari menanggung akibat, namun Profesor terus memakai senjata tangannya dan sedia berhadapan dengan Profesor. Pintu rumah Profesor dihakis oleh kerumunan Microbug, membolehkan kemasukan Cinco dan Ocho. Rizwan meminta maaf, menggunakan lolipop untuk melepaskan diri dan menjatuhkan Profesor tepat pada masanya. Melihat Rizwan sudah menjayakan tugasnya, Cinco dan Ocho berpaling balik. Profesor yang terlentang sempat menahan Rizwan sebentar dan berpesan jangan tersilap langkah dan jangan mempercayai Uno sebelum pengsan. Rizwan memikul Profesor dan membawanya keluar.

Watak[]

Trivia[]

  • Misi ini menceritakan tentang peranan-peranan setiap teras dalam M.A.T.A., maka episod ini diberikan tajuk "MISI: PERANAN".

Galeri[]

Cekupan skrin[]

Video[]

Navigasi[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement