Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: PRESTASI ialah episod kelapan dalam musim pertama siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 4 November 2016.

Sinopsis[]

Selepas misi sebelumnya ditimpa masalah, General Rama membincangkan dengan Ali dan ejen-ejen M.A.T.A. yang lain mengenai prestasi Ali, dan perlu membuat keputusan sama ada Ali masih boleh meneruskan misi atau menghapuskan Ali!

Plot[]

Bahagian 1[]

Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 0-26 screenshot

Ali lintang pukang di perkarangan sekolah dikejar oleh Syed dan Shaun. Dia tersandung pada batu dan jatuh, menyebabkan Comot terlenting keluar dari beg galasnya. Syed menunjukkan bahawa Comot telah mencakar jarinya, tetapi Ali menganggapnya perkara remeh. Syed sakit hati kerana teringat setiap kali dia ditimpa malang disebabkan gelagat Ali dan Comot yang lepas: Comot menjatuhkan baldi ke atas Syed setelah dikejutkan oleh lontaran tin Ali; Comot melarikan gajet Syed dan diselamatkan oleh Ali; Syed terpijak tahi Comot ketika mengejar-ngejar Ali.

Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 2-21 screenshot

Syed dan Shaun terus mengasari Ali tetapi Ali lincah mengelak setiap serangan. Dengan geram, Syed melempar batu ke arah Ali; sekali lagi Ali mengelak tetapi batu hampir terkena Puan Munah. Puan Munah sempat membelah batu itu dengan rotan dan memarahi ketiga-tiga budak. Ketika Ali menyorok dari dirotan, dia menerima panggilan M.A.T.A. Dia bergegas ke markas dan bersalaman dengan Alicia di koridor dalam perjalanan ke bilik kawalan, tetapi Alicia menyambutnya dengan dingin, menimbulkan rasa hairan. Setelah memasuki bilik kawalan, Ali digemparkan oleh angkatan droid yang membidik senjata ke arahnya. Ejen Bakar yang menyusul masuk juga mendapat layanan sama.

Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 3-39 screenshot
Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 5-47 screenshot

Rupa-rupanya Ali ditahan untuk menjalani sesi penilaian di dalam bilik kawalan seorang diri, bersemuka seorang ke seorang dengan General Rama. General memulakan sesi dengan cercaan bahawa kegagalan misi lepas menyebabkan azurium jatuh di tangan musuh yang akan mampu menghasilkan senjata dahsyat untuk membinasakan Cyberaya. Cemas, Ali mengangkat tabik sambil memohon maaf dan berikrar untuk menuntut semula azurium. General menduga Ali dengan sinis di mana letaknya Azurium; Ali menjawab tidak tahu, mengundang teguran General kerana merepek. General juga menduga Ali tentang prestasi dirinya. Ali menjawab tidak tahu lagi; ini mengundang herdikan General yang hairan, jadi Ali cepat menukar jawapan kepada "OK kut." Rama tidak menyenangi ketidakpastian dan memesan Ali untuk berfikir dengan teliti sebelum berkata-kata.

Setelah berfikir sejenak, Ali cuba menceritakan masa-masa dia menyumbang kepada misi: untuk memecah kod kunci lif dan mengesan kehadiran musuh dalam misi Menara Alpha; menumpaskan segerombolan penyamun di pelabuhan (dengan bantuan Alicia yang menyamar ketika itu); mematikan bom jangka di bangunan usang pada saat-saat akhir sebelum meletup, kemudian menggunakannya untuk lolos; mencari jalan keluar dari perangkap dalam tempat persembunyian Dos dan Trez, kemudian menjatuhkan Dos ke dalam perangkap; menewaskan Dr. Aaron; dan bertarung dengan Dos dalam misi stesen jana kuasa. Diduga oleh General sama ada dia menjalankan tugas dengan baik, Ali menegaskan bahawa banyak misi yang telah dia bantu.

General menyoal Ali bagaimana hubungannya dengan ejen-ejen lain. Ali berkata bahawa dia suka pergi misi dengan mereka semua, lebih-lebih lagi Ejen Rizwan kerana kehebatannya yang terkenang dari ketika dia menumpaskan gerombolan musuh yang ramai dan menjatuhkan Dr. Aaron dengan sumpitan batang lolipop. Ali juga menyanjung bapa saudaranya Ejen Bakar yang tidak kurang hebatnya, mengenang masa dia menghumban musuh yang ramai. Ali hanya meluahkan rasa tidak senang dengan Alicia kerana berlagak dengan terkenang masa dia merampas sasaran Ali dalam misi menyelamatkan bekalan dron. General menduga Ali sama ada dia serasi dengan ejen-ejen tersebut. Ali mengiakan, tetapi General lantas menyangkal dengan maklum balas daripada ejen-ejen berkenaan.

Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 6-49 screenshot

Dihadapkan dengan General, Ejen Bakar memuji Ali kerana bersemangat dan berani, sungguhpun tidak berapa hebat tetapi sentiasa mengambil berat akan sesiapa dalam bahaya tanpa berfikir panjang, berdasarkan kisah-kisah Ali membaling tin ke arah Syed dan Shaun untuk menyelamatkan Boy lalu melarikan diri dari dikasari mereka; menolong Bakar melawan musuh yang ramai dengan menggunakan gelombang yoyo di Menara Alpha; menyelamatkan Comot dari dikejar Syed dan Shaun dan dilanggar kereta. Ulas Bakar lagi, Ali serupa kelakuan dengan ibunya, terkenang masa dirinya diselamatkan oleh kakaknya dari ditindas oleh samseng. General berdeham kuat menuntut kritikan seimbang, jadi Bakar pun berubah rentak dengan mengatakan Ali selalu cuai sedikit, terkenang masa dia terlanggar robot sehingga tercicir barang rebutan dan ditembak dalam simulasi pertama; sukar mengawal gajet terbaharu dalam simulasi kedua, tidak sengaja menjatuhkan Bakar dengan yoyo sehingga memudahkan kerja musuh di Menara Alpha; dan leka mengejar pengacau bertopeng sehingga tergelincir di atas lopak minyak di pelabuhan.

Bahagian 2[]

Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 8-57 screenshot
Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 10-34 screenshot

Giliran Alicia mengulas mengenai Ali, mengutuknya sebagai ahli yang tidak boleh diharap kerana lemah, malas, tidak berdisiplin, malah tidak mengikut arahan, dengan mengetengahkan ketika Ali dimarahi gurunya kerana gagal ujian dan datang lambat berulang kali sebelum menemui I.R.I.S; bertindak melulu dengan merebut objek dari Alicia dalam latihan simulasi pertama. Tambah Alicia, sudah beberapa kali dia menjadi punca masalah misi, memberikan contoh-contoh ketika Ali bertengkar dengan Alicia sewaktu misi bank sehingga dikesan penyamun; ditangkap menyusup masuk oleh Abang Bear sehingga menyebabkan mereka berdua dan Bakar dikurung; terpijak sensor lalu tercampak ke dalam perangkap; hampir terjatuh dari tren sehingga perlu diselamatkan oleh Alicia; dan nyaris ditembak dron yang dicuri oleh Komeng tetapi cepat dilindungi oleh Ejen Bakar yang tumbang menampan tembakan.

Ejen Rizwan berterus-terang dengan General, kenalan lamanya yang amat dihormati, bahawa dia tidak bersetuju dengan penyertaan Ali dalam misi sejak awal lagi, terkenang ketika dia mengingatkan budak itu sebelum misi untuk tidak melakukan apa-apa yang merosakkan misi; kemudian dalam misi Menara Alpha dia mengulangi teguran yang sama setelah menyelamatkan Ali dari dipukau oleh Dr. Aaron.

Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 11-18 screenshot

General Rama menyoal Ali tentang ketika dia kehilangan I.R.I.S. Ali menerangkan bahawa itu berlaku sewaktu Ali membawa Comot pulang, kemudian Comot dengan berat hati melarikan I.R.I.S. untuk dibawa kepada Abang Bear. General mengungkit pula tentang masa dia menerjah Menara Gamma, membuat Ali tergamam. General mengingatkan bahawa tiada apa-apa pun yang boleh disembunyikan dari pengetahuan M.A.T.A. dengan mengimbas kembali pesanan dari Jenny bahawa sut perisik Ali menghantar data setiap tindak-tanduk pemakainya kepada M.A.T.A, maka dari situlah Ali sentiasa diperhatikan; lebih-lebih lagi Ali pernah sekali didapati menyalahgunakan I.R.I.S. untuk kepentingan diri. Daripada itu, Rama mengatakan bahawa Ali telah menjadi satu liabiliti besar kepada M.A.T.A. Ali memujuk General bahawa dia telah banyak berlatih dan meningkatkan kebolehan, sejak kesusahan senaman pagi pertama bersama Bakar sehingga masa dia menguasai Aero Boots dalam simulasi lompat jurang. General lantang mempertikai sama ada semua itu memadai bagi Ali.

Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 13-54 screenshot

Jenny melaporkan bahawa walaupun dengan menggunakan I.R.I.S. dan pelbagai gajet tambahan untuk meningkatkan kebolehan fizikalnya, Ali masih jauh ketinggalan berbanding ejen-ejen lain. Alicia merungut betapa membazir masa Ali yang kurang menyerlah dalam latihan ejen mahupun latihan sekolah. General bertanya apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kebolehan Ali; Bakar bercadang untuk Ali makan lebih supaya lebih kuat. Rizwan pula meluahkan rasa kurang yakin dengan kebolehan Ejen Bakar untuk melatih Ali, lebih-lebih lagi bahawa mereka satu keluarga.

Rama bertanya sama ada Ali masih boleh kekal dalam M.A.T.A. Bakar yakin bahawa Ali masih ada harapan; Rizwan berkata mungkin jika dilatih oleh mentor yang sesuai; Jenny pula berkata jika dibiarkan, potensi sebenar I.R.I.S. tidak akan dapat diuji. Alicia lantang menyatakan Ali tidak layak, tetapi kemudian termenung, mengenang ketika Ali menyelamatkannya dari dihancurkan dalam reaktor dalam misi lepas. General meluahkan rasa syukur kerana anak angkatnya terselamat dan mengingatkan bahawa inilah sebab dia tidak mahu Alicia terlibat dalam misi; belum sempat dia habis cakap, Alicia mencelah dengan beredar.

Bahagian 3[]

Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 17-29 screenshot

General Rama menyoal Ali mengapa dia mahu menjadi seorang ejen. Ali berentah, menerangkan bahawa pernah terasa dirinya tidak berguna kerana apa sahaja yang dilakukannya serba tidak menjadi, tetapi semenjak menemui I.R.I.S, dia dah mampu menolong orang. Dia terkenang akan peristiwa di Menara Gamma di mana dia pernah menewaskan Dr. Aaron dan menyelamatkan bapanya; di sarang Abang Bear di mana Comot merampas I.R.I.S. dari samseng itu untuk diberikan kepada Ali supaya dia dapat melepaskan diri, lalu menghancurkan komputer Abang Bear; dan di stesen jana kuasa di mana dia mengingkari arahan untuk menjalankan Protokol Gegas untuk menyelamatkan nyawa Alicia. Akhir kata, dia rasa seolah-olah dirinya telah berubah, tetapi General mencebik dengan rasa ragu-ragu.

Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 18-6 screenshot

Ali bertanya balik mengapa General menanya semua itu; General menjelaskan bahawa kegagalan misi lepas telah membuat Ketua-Ketua Teras mempersoal penglibatan Ali, maka dia perlu memutuskan sama ada untuk mengekalkan atau menghapuskan Ali. Ali termangu-mangu mendengar kata-katanya. tetapi General mengingatkan sewaktu dia hendak menghapuskan Ali kerana tidak sengaja memakai I.R.I.S. pada mulanya. Dengan hati yang cemas, Ali bercakap panjang lebar untuk cuba mempertahankan tindakannya untuk menyelamatkan Alicia dari dilenyapkan oleh pancaran azurium. Dengan laungan "Dey!" yang lantang, General menenteramkan Ali dan berpesan bahawa seorang ejen yang bagus mesti mematuhi arahan yang diberikan tanpa ragu-ragu; tetapi kemudian dia melembutkan suara dan berterima kasih kepada Ali kerana tidak berkelakuan sebagai seorang ejen yang bagus dengan menyelamatkan anak angkatnya lalu meminta masa untuk membuat keputusan.

Ejen Ali Episod 8 - Misi PRESTASI 18-17 screenshot

Pada malam hari, Ali merenungi I.R.I.S. dalam pegangannya di bilik tidur, gugup menanti keputusan yang akan diambil terhadapnya. Dia terkenang pertama kali dia memakai I.R.I.S. dan menewaskan Dos dan Trez di tempat dia diculik, dan juga masa Comot memulangkan I.R.I.S. kepada Ali. Comot pun hadir, menggosok badan di lambungnya sebagai penawar duka. Ali tidur nyenyak sehingga pukul 3.00 pagi apabila dia menerima panggilan M.A.T.A. untuk pergi menghadap. Setibanya di markas, dia berhadapan dengan seangkatan droid dan dron yang menembak-nembak ke arahnya. Pada mulanya, Ali dapat mengelak dan menangkis semua tembakan dengan gajet-gajet yang ada. Kemudian, dia cuba membuka kunci pintu bilik kawalan tetapi gagal. Angkatan droid semakin mara ke arahnya, dan dia pun semakin tidak larat untuk mempertahankan diri daripada tembakan bertubi-tubi. Tiba-tiba, semua droid menembak jatuh satu sama lain sehingga hanya tinggal sebuah, dan itu pun ditundukkan dengan sumpitan batang lolipop; Ejen Rizwan tampil sebagai mentor baharu Ali.

Watak[]

Nota[]

  • Episod ini dinamakan sebagai "MISI: PRESTASI" kerana General Rama ingin memahami prestasi Ali.
  • Episod ini adalah episod ulangan ataupun pertunjukan klip oleh kerana kebanyakannya adalah imbas kembali dari MISI: I.R.I.S. sehingga MISI: PROTOKOL GEGAS.

Video[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement