MISI: PROTOKOL GEGAS ialah episod ketujuh dalam musim pertama siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 28 Oktober 2016.
Sinopsis[]
Semasa misi bermasalah, Alicia menyatakan bahawa dia menggunakan "Protokol Gegas" jika bukan kerana I.R.I.S. yang dipakai oleh Ali memakai kerana M.A.T.A. berjanji untuk memastikan dia hidup. Apabila terdapat gangguan kuasa yang berlaku di Cyberaya, ejen telah M.A.T.A. dihantar untuk menyiasat loji kuasa. Semasa misi itu, Ali terkejut selepas mengetahui tujuan "Protokol Gegas" daripada Bakar. Apabila protokol itu benar-benar akan digunakan, adakah dia akan mengikutinya?
Plot[]
Bahagian 1[]
Ali dan Alicia mengekori Wak Musang di dalam tren bawah tanah untuk mencari sarang operasi musuh. Wak Musang kelihatan menaiki tren dengan beg bimbit. Disigung oleh Alicia dari permainan video, Ali mengimbas beg bimbit itu dengan I.R.I.S. dan mendapati terdapat barang yang disembunyikan dalam bekas nasi lemak. Wak Musang bertemu dengan seorang lelaki yang memakai topi besbol hitam, cermin mata gelap dan jaket kulit hitam, lalu menawarkan bekas nasi lemak itu untuk suatu harga. Ketika mengawasi gerak-geri dua lelaki itu, Ali dikejutkan oleh panggilan telefon daripada Viktor yang hendak mengingatkannya untuk bermain sama-sama hari ini; Ali cepat menjawab sibuk sekarang dan memutuskan talian.
Wak Musang dan lelaki jaket hitam berpisah dan berjalan ke arah bertentangan dalam tren. Alicia menyuruh Ali untuk mengikutnya pergi mengekori si jaket hitam, tetapi Ali mengejar Wak Musang kerana mendapati bekas nasi lemak tidak jadi bertukar tangan. Wak Musang menyedari bahawa dia sedang diekori lalu bergegas ke gerabak belakang. Ali tiba di gerabak belakang dan terlihat pintu tren terbuka, lalu menjulurkan kepala di situ untuk mencari lelaki itu. Wak Musang datang menyerang dari belakang, mujur I.R.I.S. mengesannya dan Ali sempat mengelak. Wak Musang nyaris terjatuh keluar tetapi ditarik balik ke dalam oleh Ali. Ali dan Wak Musang merebut-rebut beg bimbit sehingga Wak Musang menolak Ali keluar pintu. Ali berpaut di tepi pintu dan meminta tolong dari Alicia. Alicia geram terpaksa melepaskan lelaki jaket hitam untuk pergi menyelamatkan rakan setugas.
Ali berhadapan dengan bahaya dilanggar tren yang mendatang di landasan sebelah. Menangani badan Ali yang agak berat walaupun pendek, Alicia berjaya menarik Ali masuk pada saat akhir sebelum terlanggar. Tren terhenti, dan Alicia melihat lelaki jaket hitam turun dari tren. Tidak sempat mengejarnya, Alicia memarahi Ali kerana mengejar sesuatu yang bukan objektif misi sambil terbongkar identitinya sebagai ejen; ujarnya, jika bukan kerana I.R.I.S, Ali pasti terpaksa dilepaskan dengan "Protokol Gegas" - satu istilah yang asing buat Ali.
Keesokan hari sebelum masuk kelas, Ali ditemani Viktor yang bermain Detektif Jebat dalam tablet sehingga kehabisan tenaga, mengeluh tidak sempat mengecas gara-gara gangguan bekalan elektrik semalam. Ali mengajak Viktor datang bermain di rumahnya sambil mencampak kotak minumannya ke arah tong, sekali lagi tidak masuk. Alicia nampak perbuatan Ali tetapi mengabaikannya dengan muka masam. Viktor hairan mengapa Alicia merajuk sehingga tidak mendenda Ali. Ali berentah, jadi Viktor menasihatinya untuk memujuk Alicia kerana kaum lelaki mesti sentiasa bertolak ansur dengan kaum wanita; jika dimarahi, mesti segera minta maaf. Ali mengaku tidak berbuat salah, ditegur oleh Viktor dengan pesan bapanya bahawa tidak salah pun harus meminta maaf. Ali mencemuh dan masuk kelas, disambut oleh loceng sekolah yang terganggu bunyinya.
Puan Munah mengajarkan sains, mengajukan soalan berapa jenis tenaga yang digunakan di Cyberaya. Boy dipilih untuk menjawab, menggaru-garu kepala kerana gementar. Tiba-tiba, lampu bilik kelas berkelip-kelip, membuat seluruh kelas dan gurunya pun hairan. Ali dan Alicia menerima panggilan M.A.T.A. dan bergegas ke perpustakaan, tetapi Alicia tiba di pintu rahsia dahulu dan melarikan buku akses, membuat Ali tertinggal. Alicia memasuki bilik kawalan seorang diri, di mana General Rama, Ejen Bakar dan Jenny sedang menunggu. General bertanya bagaimana keadaan di stesen jana kuasa; Jenny menjawab keadaan kurang baik kerana kebanyakan saluran komunikasi dan pengawasan sedang mengalami gangguan teruk, malah akan timbul banyak lagi masalah jika berlarutan.
Ali memasuki bilik kawalan dengan menghentak kaki. Ditanya Ejen Bakar kenapa lambat (dan berbau busuk), jawabnya ikut "jalan lama." General Rama menengking Ali kerana lambat dengan amaran jika berulang. Ali meminta maaf, dan General memulakan taklimat. Akan tetapi, siaran skrin dan hologram mengalami gangguan jadi ucapan General terputus-putus, tetapi sempat menunjukkan tempat yang harus dituju iaitu stesen jana kuasa dan data punca gangguan dari sumber tidak dikenali. Ali, Bakar dan Jenny tergamam, tetapi Alicia meneka mereka dikehendaki memeriksa kawasan terbabit.
Setibanya di stesen jana kuasa Cyberaya, Ejen Bakar hendak memberikan tugasan kepada budak berdua. Alicia pergi memeriksa bilik kawalan; Bakar setuju dan beralih kepada menugasi Ali dan Comot, tetapi tertanya-tanya di mana Comot. Tertahan nafas, Ali teringat bahawa Comot tertinggal di sekolah! Sementara itu, Comot keluar dari beg Ali dan melihat bilik kelas 6 Avicenna yang kosong. Di stesen jana kuasa, Bakar sambil makan burger mengajak Ali untuk mengikutnya. Dalam perjalanan, Ali bertanya apa itu "Protokol Gegas", membuat Bakar terbatuk-batuk dan bertanya dari mana dia dengar. Ali pun menjawab bahawa Alicia pernah ungkit dalam misi lepas.
Dengan nada yang serius, Bakar menerangkan bahawa ada kalanya keadaan misi teruk terjejas baik akibat kesilapan ejen mahupun hal luar jangkaan, Protokol Gegas dilaksanakan untuk membuat ejen fokus untuk mencapai objektif misi dan meninggalkan semua yang lain termasuk ahli pasukan sendiri. Tertahan nafas, Ali bertanya sama ada pernah berlaku situasi sedemikian. Mengesahkan hal itu, Bakar lantas menceritakan detik paling gelap dalam sejarah M.A.T.A.
Peristiwa berlaku lima tahun dahulu, pihak Menara Beta baru menemui azurium, sejenis unsur logam yang boleh menghasilkan tenaga yang sukar ditandingi kuasanya, tetapi ia masih belum dapat dikawal sehingga stabil. Belum sempat dikaji oleh kakitangan makmal, tiba-tiba ada sekumpulan pengganas datang merampas azurium untuk tujuan mencipta senjata khas untuk memusnahkan Cyberaya. M.A.T.A. ditugaskan untuk menghalang pengganas dan mendapat semua azurium, dan untuk memastikan tidak gagal, yang turun padang ialah keempat-empat Ketua Teras - para pengasas mata, empat individu dengan kepakaran tersendiri yang masing-masing mengetuai teras-teras NEURO, TEKNO, INVISO dan KOMBAT. Ali mengulas mereka hebat-hebat belaka; Bakar pun berkata satu hari pun tidak cukup untuk menceritakan semuanya.
Bakar bersambung cerita: dengan rancangan terperinci, Ketua-Ketua Teras dapat menyerbu kubu pengganas dan menutup semua peluang untuk musuh menang. Dalam keadaan terdesak, ketua pengganas mengambil keputusan untuk meletupkan kubu mereka. Ketua Teras INVISO cuba menghalang tetapi cedera parah sedangkan tempat sudah mula runtuh. Ketua-ketua lain menduga jika terlambat, bukan sahaja semua Ketua Teras terkorban, malah tindak balas azurium juga akan membinasakan seluruh Cyberaya. Mengambil kira bahawa masa terlalu suntuk untuk menyelamatkan Ketua INVISO dan membawa keluar azurium, mereka terpaksa melaksanakan Protokol Gegas dengan meninggalkan Ketua INVISO demi menyelamatkan Cyberaya.
Bahagian 2[]
Bakar membawa Ali ke ruang reaktor Stesen Azurium untuk menyaksikan proses janaan elektrik di mana longgokan sampah-sarap terletak di atas platform yang dinaikkan, kemudian dihancurkan oleh sinaran dari jentera-jentera pemancar yang dikuasakan azurium. Ekoran kisah gelap M.A.T.A. tadi, Bakar mengujar dengan takzim bahawa kadang-kadang pengorbanan harus dilakukan untuk menjamin masa depan. Ali bertanya mengapa dia tidak pernah tahu hal itu; Bakar menjawab kerana M.A.T.A. memang beroperasi dalam rahsia. Ali bertanya pula mengapa perlu rahsia. Tidak sempat Bakar menjawab, dia dipanggil oleh Alicia yang berkata sudah terjumpa punca gangguan.
Alicia sedang menyorok di bilik kawalan, melihat Trez mengerjakan komputer utama di bawah pengawasan Dos. Dos mendesak Trez untuk cepat, tetapi Trez mengeluh komputer lembap mungkin kerana ketinggalan zaman. Bakar tiba di situ dan mengambil kesempatan untuk memikat Dos. Dos mengeluarkan sepasang Bilah Plasma dari celah manset bajunya dan menyerang Bakar. Bakar mengelak-elak tujahan sambil mengagumi kelengkapan baharu lawannya. Ali tiba di tempat Alicia menyorok, berpesan bahawa Bakar sedang mengalih perhatian musuh; Alicia cuma tercebik. Ali merenung ke arah Trez dan bercadang untuk menyerangnya dahulu, tetapi Alicia sudah bergerak awal dan membidik dengan Balistiknya.
Bakar mengelak tujahan Bilah Plasma dan tendangan Dos sehingga tersentuh dinding sambil memujuk lawannya untuk bertenang. Dos menyoal Trez berapa lama lagi untuk siap. Trez terkejut apabila komputer terpadam sendiri lalu mendapati Ali memutuskan taliannya. Trez menghentam-hentam lantai tetapi Ali mengelak dengan lompatan dan Aero Boots. Trez cuba menghentam lagi tetapi dirempuh oleh Bakar dari tepi. Dos menepis peluru Alicia dan melonjakkan Kristal Kilat untuk menyelamatkan diri dan Trez dengan menyilau seluruh bilik. Dalam silauan, Dos menanya Trez tentang kerjanya; Trez geram menjawab tidak sempat kerana digendalakan budak itu. Mendapati sudah tidak sempat, Dos bercadang mereka berundur. Apabila silau kian pudar, Alicia cuba melastik ke arah dua penyangak tetapi mereka sudah keluar. Bakar berkata hal ini harus dilaporkan kepada M.A.T.A. dan stesen jana kuasa perlu dikawal.
Dos dan Trez kembali ke markas mereka yang diterangi cahaya merah, disambut oleh Dr. Aaron yang kecewa kerana mereka gagal membawa pulang azurium. Ditanya kenapa, mereka merintih bahawa M.A.T.A. telah mengesan mereka, jadi mereka terpaksa meninggalkan azurium dan mempertimbangkan bahan lain sebagai ganti. Aaron mengherdik mereka bahawa dia memerlukan azurium untuk mengusahakan ciptaannya yang akan datang. Dalam skrin besar munculnya lembaga hitam bermata merah menyinar, menyoal Dr. Aaron sama ada semuanya lancar. Disapa dengan gelaran "Uno", dia melayan rungutan Dr. Aaron bahawa Dos dan Trez tidak boleh diharap. Sakit hati mendengar kata-kata itu, Trez cuba menyerang Dr. Aaron, tetapi dikekang oleh Uno yang melumpuhkan badannya dari jauh sehingga uratnya bersinar biru kerana tidak mahu diganggu.
Dr. Aaron bersambung meluahkan kehampaannya dengan peringatan bahawa Uno berjanji untuk memusnahkan musuh mereka, malah menunaikan apa-apa yang dia perlukan jika dia tolong mendapatkan I.R.I.S. Uno mengawal Trez untuk bergerak ke arah Dr. Aaron lalu mengangkatnya di bahagian leher. Uno memesan Dr. Aaron supaya bertenang dengan peringatan bahawa saintis itu tidak berhak untuk menentukan tindakan yang sewajarnya, malahan dia menegur Dos dan Trez supaya tidak lalai sehingga dirinya terpaksa melakukan kerja sendiri. Dos akur, Trez pun menjatuhkan Dr. Aaron, uratnya tidak bersinar lagi dan mereka berdua keluar semula.
Keesokan hari di makmal sekolah, Puan Munah mengajarkan eksperimen tindak balas campuran hidrogen peroksida dan sodium iodida, dan menyuruh murid-murid berpasangan. Ali hendak berpasangan dengan Viktor tetapi sudah disapu oleh Mia; Boy pula berganding dengan Shaun. Puan Munah mengherdik Ali kerana memandang sana-sini dan menggandingkannya dengan Alicia (memandangkan Sarsi tidak hadir). Ali pergi ke meja Alicia yang sudah bersiap dengan bahan kimia dan perkakasnya, lalu memakai pelindung mata seperti Alicia. Puan Munah mengarahkan murid-murid untuk mengikut arahan yang tertera pada papan monitor. Ali cuba mencapai bahan kimia pertama tetapi dipintasi oleh Alicia. Puan Munah menyangka Ali tercegat dan merotan tempatnya dengan herdikan.
Untuk menarik perhatian Alicia, Ali bertindak dengan menyapu semua bahan kimia yang tinggal di atas meja. Alicia hairan melihat tindakan Ali dan bertanya kenapa. Ali tergagap-gagap menjawab hendak meminta maaf kerana membuat Alicia marah. Alicia bertanya balik mengapa dia marah. Perbualan mereka dicelah oleh kejayaan Mia menghasilkan 'ubat gigi gajah' yang mendapat pujian Puan Munah. Alicia menyoal lagi tujuan Ali meminta maaf, tetapi Ali merungut sukar membaca perasaan Alicia. Alicia menengking Ali jangan minta maaf jika tidak ikhlas. Ali menengking balik tiada perlunya meminta maaf jika tidak pernah melakukan kesilapan sambil menuang habis natrium iodida ke dalam kelalang kon. Ini menyebabkan terhasilnya 'ubat gigi gajah' yang terlebih banyak sehingga membanjiri makmal. Puan Munah cepat menyapu bersih ubat dengan rotannya dan memarahi Ali kerana tidak mematuhi arahan dengan betul, malah menegurnya biar tidak suka belajar asalkan tidak sampai meletupkan satu sekolah.
Lampu makmal berkelip-kelip lagi, menandakan gangguan bekalan elektrik. Ali dan Alicia menerima panggilan M.A.T.A. dan segera meninggalkan makmal. Dalam perjalanan ke perpustakaan, Ali memanggil Comot yang sedang berehat di halaman. Comot tidak endah, jadi Ali terpaksa mengangkatnya sendiri.
Bahagian 3[]
Ejen Ali, Alicia, Bakar dan Comot bersua kembali di stesen jana kuasa, kali ini ditemani Ejen Rizwan. Ditanya tentang status, Rizwan memasang hologram dan menunjukkan bahawa gangguan kali ini berpunca dari semua pusat jana kuasa yang lain. Bakar hairan kerana menyangka hanya ada dua orang pesalah; Rizwan membalas bahawa mereka menggunakan alat yang menghasilkan gangguan untuk mengelirukan ejen-ejen. Ditanya Ali apa yang harus dilakukan, Alicia bercadang supaya mereka berpecah; Rizwan setuju dengan idea itu sebagai cara yang paling cepat, iaitu masing-masing pergi ke satu lokasi, kemudian siapa yang jumpa musuh dahulu harus segera memanggil yang lain ke mari dan tidak bertindak sendirian. Rizwan memilih untuk ke Stesen Solar, menugaskan Bakar ke Stesen Angin, dan Ali dan Alicia ke Stesen Hidro. Ali meminta untuk ikut Bakar, tetapi Bakar menolak kerana dirinya sudah cukup kuat sementara Ali dapat melengkapi kekuatan Alicia. Ali masih membantah, tetapi Rizwan menegurnya untuk patuh jika tidak mahu dihadapkan dengan General. Ali pun akur, dan Rizwan pun menyuraikan mereka (dengan laungan "Bertindak segera" oleh Bakar.)
Masih menaruh dendam, Ali dengan berat hati mengikut Alicia. Alicia berkata Ali tidak perlu mengikutnya kerana dia boleh bertindak sendiri, sambil mengeluarkan Balistik. Ali berkeras hendak mengikut kerana diarahkan oleh Rizwan. Alicia mengherdik Ali dengan berkata tiada masa untuk melayannya. Ali cuba memintas Alicia tetapi dijatuhkan, kemudian dia bangun dan menyiapkan yoyo, mencela tindakan Alicia. Alicia melepaskan peluru Balistik biru untuk memakukan Ali di lantai dan berpesan kepadanya untuk berhambus dari M.A.T.A. supaya tidak menyusahkan orang. Ali menyuruh Comot menolongnya tetapi Comot menyengir sahaja. Seketika kemudian, kesan magnet peluru Balistik pudar dan Ali bangun semula. Comot mengiau ke arah Ali untuk mengikutnya ke arah bertentangan, di mana I.R.I.S. mengesan kehadiran Dos dan Trez.
Di bilik kawalan Stesen Azurium, Dos mendesak Trez supaya cepat menyiapkan kerja sebelum ejen-ejen sedar mereka tidak berada di merata stesen; Trez menyergah Dos supaya diam supaya dia boleh lebih cepat. Ali tiba di situ dan bersembunyi, senyap-senyap cuba menghubungi ejen-ejen lain tetapi mengalami gangguan. Tiba-tiba, telefon Ali berdering lantang dipanggil Viktor, maka dia segera menolak panggilan itu. Ini menyebabkan Dos menemui Ali dan melemparkan sebatang Shox Stix ke arahnya; Ali mengelak, menyiapkan yoyo dan menyuruh Comot memanggil ejen-ejen lain.
Hairan dengan kecekalan perisik muda itu, Dos menyerang Ali dengan Bilah Plasma secara bertubi-tubi tetapi dielak-elak. Dos melonjak dan menujah ke arahnya tetapi bilahnya ditepis Ali dengan tali yoyo dan dorongan Aero Boots. Dos memuji peningkatan kemahiran Ali dan menyerang semula, tetapi disampuk oleh tembakan lastik dari Alicia yang baru tiba. Ali terkilan kerana Comot membawa Alicia ke sini dan bukan Bakar. Alicia menyuruh Ali ke tepi sambil membidik, tetapi Ali enggan kerana dia berlawan dengan Dos dahulu. Alicia mendakwa bahawa Ali sudah hampir kalah, tetapi Ali menyangkalnya. Pertengkaran antara mereka membuat Dos terpegun dengan hairan. Rizwan tiba untuk mematahkan pertengkaran dengan memicit leher mereka dan berpesan untuk tidak membuat perkara yang memalukan. Ali menyalahkan Alicia atas pertengkaran tadi.
Trez berjaya mematikan sistem jana kuasa dan mengambil alih pertarungan daripada Dos yang diberi dua minit untuk menyempurnakan objektif mereka. Rizwan cuba mengejar Dos tetapi dihalang oleh Trez. Rizwan cuba mencuit-cuit Trez tetapi Trez dilindungi pakaian yang kebal. Rizwan menyuruh budak berdua mengejar Dos sambil mengelak-elak dari tumbukan dan hentaman berturut-turut Trez. Ali dan Alicia tiba di reaktor dan menyiapkan senjata masing-masing. Mendapati Dos mengalih keluar bekas azurium yang menguasakan jentera pemancar sinaran, Alicia melastik ke arahnya tetapi terelak. Alicia dan Ali mengepung Dos dari kedua-dua arah di atas koridor pekeliling reaktor, jadi Dos bertindak dengan melonjakkan Kristal Kilat untuk memutuskan bekalan elektrik stesen.
Ali memasang fungsi Night Vision dalam I.R.I.S. Dia mengesan Dos sedang menyerang Alicia dengan Bilah Plasma dan menyuruh Alicia untuk awas di sebelah kanan. Alicia cepat mengelak dari tujahan Dos, dan Dos berlari lagi. Ali menjerit-jerit menunjukkan hala tuju Dos tetapi Alicia menyuruhnya diam. Dos melontarkan Shox Stix dari seberang reaktor ke arah Ali, tetapi dihalang oleh Comot yang menanggung renjatan dan jatuh. Menarik nafas kuat-kuat, Alicia beralih kepada gerak hati untuk mengesan gerak-geri Dos, kemudian segera menoleh dan melastik jatuh Dos; dengan itu dia melagakkan kehebatannya tanpa I.R.I.S. kepada Ali. Ali menyuruh awas lagi, tetapi tidak sempat apabila Alicia terenjat dari belakang dengan Shox Stix.
Bekalan elektrik stesen dipulihkan, dan Ali cemas melihat Alicia dicampak ke dalam pusat reaktor oleh Dos. Rizwan yang sibuk melawan Trez menghubungi Ali untuk meminta status. Setelah diberitahu apa yang terjadi, Rizwan menyuruh Ali menghalang Dos kerana tindakannya melarikan azurium akan mengundang kemusnahan ke Cyberaya. Ali bertanya bagaimana dengan Alicia; Rizwan membalas: Jalankan Protokol Gegas. Ali terkilan mendengar kata-kata itu, memandang-mandang ke arah Dos yang keluar melarikan azurium dan Alicia yang berhadapan dengan maut terkena sinaran reaktor. Di saat-saat akhir sebelum reaktor memancar, Ali memilih untuk menyelamatkan Alicia dengan Aero Boots. Melihat Alicia mengelap air mata, Ali memerli Alicia kerana menangis; Alicia membalas dengan tumbukan sisi. Bakar tiba untuk menolong budak berdua dan menyoal apa sudah terjadi, diikuti Rizwan yang kecewa melihat kesan tindakan Ali dan kehilangan penjana azurium.
Kemudian hari di sekolah dalam latihan badminton, Ali beregu dengan Viktor melawan Syed dan Shaun, diadili oleh Sarsi. Dalam cubaan merangkul mata penamat, Ali melonjak dan melakukan smash. Syed mengetepikan Shaun untuk menangkis bulu tetapi bulu masuk gelanggang; Syed kemudian menyalahkan Shaun atas kekalahan mereka. Mia hadir di tepi gelanggang menyorak untuk Viktor. Ali menyoal Viktor sama ada dia jemput penyokong; Viktor menafikan. Sekali lagi M.A.T.A. memanggil, Ali berlari ke perpustakaan di mana Alicia sudi menghulurkan buku akses kepadanya.
Watak[]
- Utama:
- Kecil:
- Wak Musang
- Viktor
- Puan Munah
- Pustakawan
- General Rama
- Jenny
- Comot
- Mia
- Dr. Aaron
- Rizwan
- Shaun
- Syed
- Uno (kemunculan video pertama)
Nota[]
- Episod ini dinamakan sebagai "MISI: PROTOKOL GEGAS" kerana:
- Alicia telah menyebutkan tentang "Protokol Gegas" kepada Ali, menyatakan bahawa dia akan menggunakannya jika Ali tidak diminta untuk terus hidup kerana I.R.I.S..
- Sejarah yang diceritakan oleh Bakar kepada Ali tentang penciptaan M.A.T.A. dan penggunaan pertama "Protokol Gegas".
- Rizwan mengarahkan Ali untuk menjalankan "Protokol Gegas", yang bermaksud bahawa Ali terpaksa meninggalkan Alicia untuk menghentikan Dos daripada melarikan diri bersama Azurium.
- Ini adalah kali kedua Ali dan Alicia bergaduh ketika misi. Yang pertama adalah dalam MISI: SERI.
- Semasa eksperimen sains, Puan Munah memberitahu pelajar untuk melakukan eksperimen "Ubat Gigi Gajah". Bahan kimia yang digunakan ditunjukkan sebagai hidrogen peroksida dan natrium iodida. Ali menambah natrium iodida tetapi Puan Munah memarahi Ali kerana menambah bahan kimia itu selepas makmal dibanjiri hasil tindak balas berlebihan.
- Natrium iodida adalah pemangkin. Ali telah menambah keseluruhan botol untuk menghasilkan tindak balas ganas kerana faktor yang mempengaruhi kadar tindak balas ialah isi padunya.
- Natrium iodida yang digunakan oleh Ali mungkin mempunyai kepekatan (molarity) yang tinggi, yang mempengaruhi tindak balas.
- Ini adalah episod pertama yang tidak mempunyai siaran ulangan pada hari Sabtu jam 10.30 pagi, mungkin disebabkan oleh Deepavali, cuti umum di Malaysia.
- Ini adalah episod kedua yang menunjukkan "Hill Drops" (jolokan untuk Mountain Dew), kali ini ditunjukkan di dalam kereta api.
- Ini adalah episod yang pertama yang menerima tajaan daripada MAMEE Food Holdings, Sdn. Bhd. Oleh itu, iklan yang menunjukkan makanan ringan Mamee Monster telah dipaparkan sebelum klip dan di pertengahan episod.
- Ini adalah episod kedua yang Viktor tidak sengaja memberikan nasihat kepada Ali yang akan digunakan kemudian, yang pertama ialah MISI: I.R.I.S.
Kilasan[]
- Ejen-ejen pertama M.A.T.A mempunyai beberapa kemunculan yang serupa dengan watak-watak dalam Overwatch. Ini mungkin disebabkan oleh hakikat bahawa beberapa kakitangan WAU adalah kaki Overwatch.
- Pakaian Ketua Teras TEKNO pertama adalah serupa dengan pakaian Candela, pemimpin Valor dalam Pokémon Go.
- Ali dan Alicia keluar untuk mencari Uno dan Wak Musang dalam kereta api bawah tanah tetapi gagal untuk menangkap mereka. Ini adalah kiasan yang serupa dengan peranan James Bond (Daniel Craig) dalam filem Skyfall pada tahun 2012.
Video[]
Papar • Sunting Episod | ||
---|---|---|
Musim 1 | MISI: I.R.I.S. • MISI: ALPHA • MISI: SERI • MISI: COMOT • MISI: BLUEPRINT • MISI: BANGKIT • MISI: PROTOKOL GEGAS • MISI: PRESTASI • MISI: POTENSI • MISI: SENSASI • MISI: BUKTI • MISI: UNO • MISI: OVERRIDE | |
Musim 2 | MISI: AKADEMI • MISI: ORIENTASI • MISI: MAIN • MISI: ANALOG • MISI: CABAR • MISI: SUSU • MISI: KEMBALI • MISI: TUJUAN • MISI: PERANAN • MISI: ATLAS • MISI: HARAPAN • MISI: DIEZ • MISI: LEGASI | |
Musim 3 | MISI: ARENA • MISI: BOLEH • MISI: UPGRADE • MISI: BALAS • MISI: BLACKOUT • MISI: BURU • MISI: JERAT • MISI: UBAH • MISI: HYBRID • MISI: KHEMAH • MISI: GETIR • MISI: SENGAT • MISI: JAGUH |