Ejen Ali Wiki
Ejen Ali Wiki
Advertisement


MISI: SENGAT ialah episod ke-12 dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 21 Januari 2023.

Sinopsis[]

Pencarian Ali dalam Cabaran Akhir Arena MATA tergendala apabila Cinco memecah masuk ke lokasi rahsia pertandingan dan mendedahkan rancangannya. (Disney+ Hotstar)

Plot[]

Cerita dimulakan dengan bagaimana Numeros pimpinan Cinco dapat mencerobohi M.A.T.A. Arena. Nueve geram kerana Dato' Hisham tidak menjawab telefon supaya dia dapat mengawal mindanya. Sebagai ganti, setiausaha Dato' Hisham iaitu Julia pula yang dihubungi dan kali ini berhasil, maka Nueve memperalatkan Julia untuk membuka akses ke kawasan auditorium untuk membolehkan Trez, Seis dan Siete masuk. Pada masa yang sama, Kim diusung keluar dari lapangan Arena oleh droid medik untuk dirawat. Pengintip Cinco itu bangun dalam perjalanan dan menetak jatuh droid-droid berkenaan dan menuju ke makmal Tekno. Cinco tiba di ruang utama bangunan Arena dan menghubungi Kim untuk memberikan arahan mengawal semua droid di Arena.

Kemunculan Cinco menyebabkan semua peserta dan penonton tergempar. Ketua-ketua teras, Ejen-Ejen Dayang dan Ganz terperangkap di dalam pejabat mereka. Dayang tidak dapat menghubungi ibu pejabat M.A.T.A. kerana talian terputus, sementara Ganz cuba membolosi pintu dengan menumbuk-numbuk tetapi pintu terlalu kebal. Penonton kehormat di auditorium cuba melarikan diri tetapi disekat oleh Nueve yang hadir dengan menggunakan Neurolink-nya.

Ketibaan Cinco disambut dengan rasa tergempar dan gusar oleh Ejen-Ejen Ali, Alicia, Bakar dan Karya yang menyangka dia terkorban di insiden Akademi M.A.T.A., malah Ali mengecam kerakusan Cinco memandangkan dendam Uno terbalas dengan terkorbannya Ejen Zain. Cinco terbahak-bahak mentertawakan kenaifan mereka yang menyangka dia menyerang M.A.T.A. demi Uno; jelasnya, Uno dipilih kerana kebenciannya terhadap M.A.T.A. dan oleh itu mudah diperalatkan, maka dia hanya watak sampingan dalam rancangan yang jauh lebih besar daripada yang disangka oleh pihak M.A.T.A. Cinco malah mengingatkan bahawa Rizwan sekadar umpan untuk mengalihkan perhatian M.A.T.A. Ali hilang sabar dan menyerang Cinco dengan melonjak sambil melontarkan gasing, tetapi dibalas dengan tumbukan kencang Microbugs kawalan Cinco sehingga jatuh. Alicia pergi memapah Ali, dan Bakar menyuruh mereka pergi mencari Sam dan bawa kawan-kawan mereka ke tempat selamat sementara dia dan Karya bersemuka dengan musuh.

Trez, Seis dan Siete mengejar Dato' Hisham yang tidak terlindung di koridor auditorium setelah menjatuhkan Ejen Jeff. Ejen-ejen Bobby dan Fit berundur dari melawan Rizwan dan pergi menolong si datuk bandar, sementara Ejen Lily masih berkelahi dengan Dos. Bobby melemparkan bumerang ke arah Trez tetapi tidak mengena; Trez membalas dengan tumbukan tetapi dihambat oleh Fit. Fit menggunakan Tangan Magnetiknya untuk menarik semula bumerang untuk dipulangkan kepada Bobby; Bobby melonjak dan menyambut bumerangnya dan menyerang Trez dengan menerajang. Trez menampan serangan Bobby dengan tangannya tetapi teralih perhatian apabila Fit menumbuk dagunya. Bobby sekali lagi melontarkan bumerang dari belakang tetapi ditangkis oleh Trez, dan dia bersama Fit menumbuk-numbuk musuh yang berbadan besar itu untuk cuba menjatuhkannya.

Akan tetapi, Bobby terkena sepakan bola di pipi; Fit cuba pergi memapahnya tetapi dicekup oleh Trez. Seis dan Siete datang mencampuri perkelahian, malah Seis mengejek ejen-ejen kerana tidak pandai bermain bola sepak sambil menyepak bola ke arah Fit yang ditahan oleh Trez. Rizwan datang mencuit tengkuk Trez, membuatkan dia tertunduk dan terkena bola di kepala. Kemudian, Rizwan menyepak balik bola ke arah Seis dan terkena kepalanya; Siete menegur Seis kerana bercakap besar. Pada masa inilah Fit sedar bahawa Rizwan berpihak dengannya tetapi mengingatkan bahawa Rizwan belum dimaafkan.

Bakar dan Karya sukar menembusi kerumun Microbugs yang digunakan oleh Cinco sebagai perisai dan juga senjata. Ejen-ejen Leon dan Geetha datang untuk membantu. Leon mengakui bahawa pertahanan Cinco betul-betul padu dan bercadang untuk menggunakan formasi "Kek Lapis" yang dicipta oleh Bakar. Teruja kerana dapat menggunakan formasi ini, Bakar meluru ke arah Cinco dan menumbuk-numbuk Microbugs yang mengadang; Cinco mencemuhnya kerana melakukan serangan yang sia-sia. Karya melemparkan kad-kadnya untuk berpusing ke belakang Cinco tetapi Cinco sempat menarik Microbugs untuk menghalang. Leon menembak dengan Neuro Revolver tetapi dihalang juga, tetapi Geetha menembak dengan Nano Enhancer ke arah Cinco dan sempat mencalit mukanya. Cinco menyental kesan peluru nano dan memuji lawannya yang berempat.

Leon memberi Cinco amaran terakhir untuk menyerah kerana diatasi empat lawan satu, tetapi Cinco dengan angkuh hendak terus bertarung dan mengarahkan Microbugs untuk menjangkiti empat bangkai droid yang berbeza teras dan mengawalnya seperti zombi. Atas suruhan Leon, Geetha melepaskan peluru nano ke arah Leon dan Karya untuk meningkatkan daya serangan mereka. Droid Sledgehammer menghendap mereka dari belakang tetapi dihambat oleh Bakar dengan Perisai Plasmanya dan diundurkan oleh tarikan Microbugs ke belakang. Leon memimpin pasukannya untuk mara ke hadapan, dan Karya membantu Bakar membendung Sledgehammer dengan melibas pedang Mystic Blade-nya. Leon turut membantu dengan menembak kepala droid itu sehingga meletup dan jatuh, tetapi Microbugs di dalamnya memasang semula alat-alat yang pecah supaya Sledgehammer bangkit semula.

Ali dan Alicia menemui Sam yang menyorok di perkarangan Arena. Alicia bercadang untuk mereka pergi menolong ketua-ketua teras. Sam bersetuju, tetapi Ali hendak membantu mentor. Alicia memujuk Ali untuk yakin pada kemampuan mentor, tetapi Ali masih teragak-agak. Alicia menyentuh bahu Ali dan merayu untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk kemahiran sebagai ahli teras Tekno. Akhirnya Ali mengangguk. Di pejabat, Dayang dan Ganz mendapati panel kunci pintu pejabat dijangkiti Microbugs. Ganz bercadang untuk memecahkan kaca tingkap; Dayang bersetuju atas dasar kaca tidak sekebal pintu dan mengawal Ball Droids untuk melekap pada kaca dalam bentukan bulatan dan mengeluarkan gelombang getaran. Kemudian, dia mengarahkan Ganz untuk menumbuk bahagian tengah bulatan. Dengan itulah mereka berdua berjaya memecahkan kaca, membolos keluar dan terjun ke tanah. Pada masa yang sama, Ali dan Alicia baru tiba di hadapan pintu masuk bangunan. Ali kagum melihat kehebatan ketua-ketua teras sementara Alicia bercadang untuk pergi menolong kawan-kawan yang lain. Dayang berpesan bahawa panel kunci semua pintu sudah ditawan oleh Microbugs dan menyuruh mereka untuk pergi ke bilik Tekno untuk membuka dari sistem utama. Ali dan Alicia menerima arahan sementara sementara Dayang dan Ganz pergi melawan Cinco.

Di balai pemerhatian, sementara bekas peserta lain memandang peristiwa dari tingkap, Jet sibuk menyeru untuk turun berjuang bersama-sama. Roza berasa jengkel dan menyuruh Jet mencari jalan, sementara Moon memerlinya kerana meniru Ali. Pada masa yang sama, Khai cuba membuka kunci pintu dengan memutuskan kabel di dalam panel kunci, tetapi gelabah setelah mendapati ia dijangkiti Microbugs. Chris, Rudy dan Bulat tolong untuk memijak-mijak Microbugs. Dari sebalik pintu pula kedengaran ketukan dan suara Sam.

Di koridor auditorium, sementara masih dapat membendung Trez, Rizwan menggesa Dato' Hisham dan Fit untuk berundur kerana merasakan dirinya berdaya melawan sendirian. Pada masa yang sama, Dos dan Lily melawan Seis dan Siete. Trez cuba menyerang semula tetapi diganggu oleh lontaran bumerang dari belakang oleh Bobby yang sudah letih. Fit melarikan Dato' Hisham dan bertemu dengan Julia di persimpangan. Julia membawa mereka ke pejabat Dato' Hisham untuk bersembunyi. Di situ, Julia menekan suis rahsia di bawah meja untuk memasang pengadang kuncitara pada tingkap dan pintu. Dato' Hisham duduk di tepi bilik sambil menutup mata dan telinga, ditemani oleh Julia di sisi tanpa menyangka ada sesuatu yang tidak kena padanya.

Ali dan Alicia memasuki bangunan Arena dan menuju ke makmal Tekno, tetapi Ali terhenti di jalan silang dan mendapati bangkai-bangkai droid bergelimpangan dan menyeru Alicia kembali. Setelah meneliti bangkai-bangkai tersebut, Alicia mengesyaki bahawa ahli Numeros lain sudah berada di dalam dan menasihatkan Ali untuk berhati-hati. Ali memandang-mandang ke arah lain, jadi Alicia meminta perhatian dan mereka pun bergerak. Pada masa yang sama, Comot mengiau-ngiau meminta bantuan dari dalam bilik stor yang gelap, tetapi berhenti setelah mencari jalan melalui bolong udara.

Ali dan Alicia memasuki makmal Tekno dan menemui Kim yang sedang menggunakan komputer. Kim terkejut dan cuba menutup rahsia dengan mereka cerita bahawa dia sedang membaiki sistem komputer yang telah digodam. Ali dan Alicia mengambil alih, dan Kim mengambil kesempatan dengan menghunus pedang laser merah dari hulu keytar-nya dan cuba menetak Alicia. Comot muncul dari bolong udara pada siling dan menerkam dan mencakar Kim sebelum dicampak. Ali pergi memapah kucingnya dan dia bersama Alicia akhirnya menyedari bahawa Kim ialah pengkhianat. Kim mengangkat pedang dan mengujar bahawa Comot tidak patut masuk campur, dan Alicia membidik ke arahnya dengan Staffbow.

Melihat Bakar teruk ditumbuk oleh Sledgehammer, Karya pergi menyerang droid besar itu dengan Mystic Blade tetapi pedangnya dijatuhkan oleh tembakan dari droid Marksman. Droid Ninja menghimpit Karya ke atas lantai dan menghunus bilah dari tangan, tetapi ditumbuk dengan kuasa tembakan melayang. Ejen-ejen Ganz dan Dayang sudah tiba, disambut oleh Cinco yang melafazkan rasa "terharu" dengan anggapan bahawa mereka mengambil iktibar dari kehilangan Zain. Ganz mengutuk Cinco kerana datang semasa dia dan Dayang hadir, tetapi Cinco membalas bahawa memang hasratnya untuk datang berjumpa dengan mereka demi memperoleh kunci Mainframe. Ganz dan Dayang mencabar Cinco sementara Geetha memapah Karya sambil mengingatkan tentang kebolehan Microbugs mencantumkan semula droid yang pecah. Dayang mengawal Ball Drones untuk mengepung dan menghimpit droid Ninja, kemudian Ganz melonjak ke arah Ninja dan melakukan tumbukan melayang.

Ali, Alicia dan Kim bertentang muka dan senjata dalam standoff di kawasan makmal Tekno. Kim berpesan bahawa tiada gunanya mereka melawan kerana kuasa yang cuba menawan Cyberaya jauh lebih dahsyat. Alicia menyergah bahawa itu bukan alasan untuk Kim membelot; Kim meminta maaf kerana hanya menjalankan tugas. Ali tidak dapat menahan kemarahan daripada diperalatkan selama ini, melepaskan bentakan dan gasing ke arah Kim.

Dayang sekali lagi menggunakan Ball Drones untuk mengekang Sledgehammer, dan kali ini dia menambah satu lagi lapis untuk Ganz menggandakan tumbukan melayangnya untuk menjatuhkan droid sasa itu. Namun begitu, Cinco kekal pongah dan mengerah lagi Microbugs-nya.

Alicia memanah-manah ke arah Kim, tetapi ditangkis satu demi satu. Ali menggunakan yoyo untuk melawan pedang Kim secara bertubi-tubi sehinggalah gelombang angin dilepaskan dan menjatuhkan Kim. Alicia mengubah Staffbow dari bentuk busur ke gada dan cuba menghentak Kim, tetapi Kim sempat menghambat dengan pedang. Alicia memutarkan gada dan menerajang Kim di bahagian perut.

Ganz cuba menembusi perisai kebal Microbugs dengan tumbukan bertubi-tubi. Sementara itu, Dayang cuba menyerang hendap dari belakang, tetapi Cinco sempat menyedari dan melanjutkan perisai Microbugs-nya ke arah Dayang sebelum terkena Ball Drones. Daripada pemerhatian, Dayang memesan Ganz bahawa alat pengawal Microbugs sedang digalas oleh Cinco, maka Ganz mengarahkan Bakar untuk datang membantunya. Bakar membereskan droid Fortify dan pergi menumbuk-numbuk belakang Ganz untuk mengecas tenaganya supaya dapat melancarkan tumbukan melayang berkuasa penuh. Cinco mengangkat perisai Microbugs tetapi tumbukan melayang membolosinya dan membentuk lohong. Karya dan Leon mengambil kesempatan dengan melancarkan serangan melalui lohong tetapi Cinco segera berlindung dengan Microbugs pada jarak dekat. Ini membuat belakangnya terdedah, oleh itu Dayang cuba menyerang dari situ tetapi Ball Drones-nya tergendala.

Ali dan Alicia seakan-akan hampir menamatkan pergaduhan apabila Kim tercampak dan tergolek ke hujung koridor. Ali melontarkan gasingnya tetapi Kim sempat menangkis dengan pedang, maka gasing itu terlantun dan terlanggar Staffbow Alicia sampai tercampak. Ali dan Alicia tergamam menyaksikan fenomena menggerunkan apabila mata Kim bertukar merah; begitu juga dengan mata Cinco yang dikenal pasti oleh Dayang sebagai Override Mode. Cinco mengujarkan bahawa dia tidak mungkin akan membiarkan teknologi sehebat I.R.I.S. tersimpan tanpa digunakan sambil mencekik Dayang dengan Microbugs.

Kim di bawah kawalan Override Mode berlaga sengit dengan Alicia. Alicia hanya mampu menampan sambil berundur untuk mengelak dari ditetak. Ali melontarkan gasingnya dari jauh; Kim menangkis balik gasing ke arahnya, dan Ali sempat menunduk sebelum terkena. Alicia cuba menyerang Kim dari belakang dengan gada tetapi Kim sempat mencekup dan menyepak Alicia.

Dayang menggunakan Ball Drones untuk melepaskan diri dengan memukul kerumun Microbugs yang mencekiknya lalu tersungkur. Cinco mengarahkan lagi Microbugs untuk pergi menindas Dayang yang sudah tidak terdaya. Ganz cuba menghalang kemaraan Microbugs tetapi terlanggar dan tercampak. Cinco dengan Override Mode mengesan Bakar dan mentor-mentor lain cuba menyerangnya dari belakang lalu bertindak menangkap Bakar dengan Microbugs dan membuat dia termakan tembakan rakan-rakan sekerjanya. Kemudian, Bakar dicampak ke arah Geetha. Cinco menaiki kerumun Microbugs dan meluru ke arah Leon. Leon menembak dengan Revolvernya ke arah Cinco yang melayang ke merata tempat untuk mengelak tembakan, malah kerumun Microbugs membuka lubang untuk membuat peluru Leon terkena Karya, dan kad-kad Karya pun terkena Leon, membuat mereka berdua pun jatuh. Ganz bangun dari jatuh, meluru ke arah Cinco sambil menumbuk-numbuk Microbugs yang menghalang. Apabila dia sudah hampir, dia diangkat oleh Microbugs dan dihumban ke langit sehingga terhempas.

Melihat keenam-enam ejen sudah tersungkur, Cinco memperkecilkan usaha mereka dengan cemuhan bahawa ketua teras tidak akan kembali sehebat dahulu dan menawarkan diri untuk membebaskan mereka dari "bebanan." Dayang berikrar bahawa mereka tidak akan membiarkan Cinco mencapai Mainframe. Cinco sudah menduga kata-kata itu dan mengawal skrin lelangit Arena untuk memaparkan aktiviti Kim melawan Ali dan Alicia. Alicia kelihatan tidak sedarkan diri sementara Ali semakin letih dan dihadapkan dengan bilah pedang Kim. Dengan itu Cinco menyoal Dayang sama ada dia sanggup mengorbankan Ali sekali. Dayang tergamam dan menitiskan air mata sambil melihat nasib Ali.

Rakan-rakan seperjuangan turut terkilan menyaksikan pengkhianatan Kim. Moon menggesa bahawa mereka perlu keluar cepat; Jet membalas dengan penegasan bahawa mereka semua sedang berusaha. Khai dan Bulat berpakat dengan Sam di sebalik pintu untuk membuka pintu. Bulat bersiap dengan Spherubiks dan Khai memberikan isyarat kepada Sam. Sam menarik nafas, menggesa rakan-rakan di sebelah untuk bertindak cepat, melaraskan jam tangan untuk menguatkan daya lengannya. Bulat memasang Spherubiks pada panel, dan pada masa yang sama Sam menyedut Microbugs dari panel dengan tangannya. Sam menyuruh Khai untuk bertindak sambil menahan gigitan Microbugs pada tangan. Khai mencantumkan semula kabel dan berjaya merungkaikan kunci.

Aleks dan Rudy menyeret buka pintu, dan kesemua peserta bergegas keluar dan menjumpai Sam dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mereka meleraikan Microbugs dari lengan Sam dan memijak-mijaknya sampai mati. Roza menggesa supaya Sam dibawa ke bilik rawatan, tetapi Bulat masuk campur dengan menggunakan cas dari Spherubik untuk memulihkan Sam. Sam berjaya dibangkitkan, dan usaha Bulat mendapat pujian daripada Jet dan Khai yang mengucapkan "Naisu!" Rudy menggesa mereka semua untuk pergi ke bilik gajet, jadi ke situlah mereka pergi mendapatkan semula kelengkapan ejen mereka. Sam menyikat rambut dan memimpin rakan-rakan seperjuangannya keluar untuk beraksi.

Ganz dalam keadaan tidak sedarkan diri diheret oleh Microbugs ke satu Capture Point dan dikurung. Dayang masih boleh berjalan, dengan sukarela mengambil tempat di satu lagi Capture Point di bawah pengawasan Cinco. Setelah dikurung, Dayang mengingatkan bahawa usaha Cinco sia-sia kerana dia masih perlu mendapatkan satu lagi kunci, tetapi Cinco menjamin bahawa itu pun sudah diaturkan.

Rizwan, Dos, Bobby dan Lily masih bertungkus-lumus menumpaskan Trez. Dos membaling Shox Stix ke arah Trez, tetapi Trez menepuk tangan dengan kencang, mengeluarkan angin yang menghembuskan mereka berempat jauh ke hujung koridor. Seis menolong Trez dengan menyepak bola; Trez menunduk untuk mengelak tetapi bola terkena Bobby dan Lily di belakang. Trez pergi mencekup dan mengangkat Rizwan. Sementara diangkat, Rizwan sempat memungut sebatang Shox Stix dari lantai dan cuba merenjat Trez di bahagian perut. Akan tetapi, cubaan itu tidak berkesan apabila Trez mengalami peningkatan kuasa dengan mata dan uratnya bersinar biru dari Microbugs yang terkandung di dalam badannya. Trez merampas Shox Stix dan merenjat Rizwan sampai pengsan. Dos pula ditendang oleh Seis dan Siete yang mengejeknya kerana memilih pihak yang salah, tetapi Dos mengutuk balik mereka dengan berkata bahawa dia lebih mati daripada hidup dikawal seperti mereka. Siete sakit hati mendengar kata-kata itu dan hendak menumbuk Dos, tetapi Trez menghalang dengan alasan Dos sudah tidak terdaya. Nueve datang untuk menjemput rakan-rakannya untuk pergi kepada Cinco yang menunggu mereka di luar.

Dato' Hisham yang masih berlindung di dalam pejabat dalam ketakutan, hairan melihat Julia bangun dan menuju ke arah meja. Melihat dia mengakses komputer untuk membuka semula pengadang kuncitara, Dato' Hisham terkejut dan pergi menghalangnya. Dengan itu pintu pejabat dirempuh oleh Trez, Seis, Siete dan Nueve. Fit cuba menghalang kemasukan mereka tetapi terpelanting. Dato' Hisham dikepung oleh ahli-ahli Numeros, ditahan di atas kerusi oleh Trez dan dipakaikan topi khas oleh Nueve untuk menghasilkan klon Dato' Hisham daripada Microbugs di Capture Point yang ketiga. Dengan itulah Cinco semakin hampir mengakses Mainframe, tetapi sebelum dia sempat menyentuh, dia dihalang oleh tembakan yang dilepaskan oleh Sam yang memimpin ejen-ejen muda yang sedang mengepungnya.

Galeri[]

Pautan luar[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement