Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: SENSASI ialah episod ke-10 dalam musim pertama siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 30 November 2016.

Sinopsis[]

Selepas video yang menunjukkan Ali menyelamatkan nyawa Aunty Faye mula tular di Internet, Ali membuat profil baru untuk diri ejennya dan telah menjadi obsesif dengan populariti yang diperolehnya. Walau bagaimanapun, perkara itu akan membawa bahaya yang serius kepadanya...

Plot[]

Bahagian 1[]

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 0-9 screenshot

Ali memakai pakaian seragam sekolah, topi besbol dan cermin mata untuk menyamar dan singgah di gerai Wak Musang untuk berpura-pura membeli nasi dalam satu operasi. Ejen Bakar yang memerhati dari seberang jalan mengarahkan Comot untuk bertindak. Comot berada di gerai, menggonggong telefon Wak Musang dan menyerahkannya kepada Ali. Ali meletakkan alat pengintip pada telefon untuk Jenny di bilik kawalan menggodam dan mengumpulkan data. Wak Musang sedar telefonnya hilang dan mula mengesyaki Ali mencurinya. Namun sebelum apa-apa lagi, tibanya Komeng dan geng penyamun bermotosikalnya untuk menuntut sesuatu, menyebabkan Wak Musang melarikan diri. Bakar menyuruh Ali untuk tunggu sehingga Jenny selesai memuat turun data, tetapi Ali sudah bersalin kepada sut ejen dan pergi mengejar mereka dengan menaiki skuter.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 2-2 screenshot

Geng Komeng mengejar Wak Musang sampai ke kawasan boulevard. Wak Musang menyusupi lorong celah rumah kedai untuk bersembunyi tetapi dikepung juga. Ejen Bakar tiba di situ dan membelasah konco-konco Komeng yang ditemui. Wak Musang mengambil kesempatan untuk melarikan diri; Bakar tidak sempat mengejarnya. Bersiap dengan Perisai Plasma, Bakar berhadapan dengan Komeng yang meluru ke arahnya, tetapi Komeng mengelak dengan menaiki tanjakan di sebelah kiri Bakar. Bakar menyuruh Ali mencari Wak sementara dia menguruskan Komeng.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 2-17 screenshot

Ali tiba di boulevard dan mengesan Wak Musang berlari sepanjang kaki lima kedai, nyaris terlanggar Aunty Faye yang membeli-belah di situ. Konco-konco Komeng pun datang mengepung Wak di situ, maka dia turun ke jalanan. Komeng pun tiba untuk mengejar Wak, dan Ali tidak jauh di belakang. Wak melihat sebuah lori berlalu di simpang tiga hadapan dan menyusup di celah antara ruang pemandu dan treler. Komeng tidak sempat menekan brek dan terlanggar lori itu, menyebabkan ia jatuh menepi. Ali nampak Aunty Faye akan dihempap oleh lori yang jatuh lalu memecut dengan Aero Boots untuk menyelamatkannya. Kejadian itu menarik orang ramai untuk mengambil gambar dan video. Skuter Ali rosak ditimpa treler lori, manakala geng Komeng gagal menangkap Wak dan berundur.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 3-48 screenshot

Keesokan harinya, Ali bangun, bersiap dan tiba di sekolah awal-awal dengan penuh yakin dan bergaya, disanjung oleh rakan sekelas dan juga gurunya, sehingga dia terserempak dengan "Alicia" yang geram mengiau dan mencakarnya sampai terjaga dari mimpi. Sekali lagi Ali terlewat bangun dan terburu-buru ke sekolah lagi. Disebabkan ketiadaan skuter, dia tiba di sekolah lewat dan terpaksa menyelinap masuk untuk tidak dikesan, termasuk membaling tin untuk mengalih perhatian Puan Munah yang berlegar di halaman. Dia merayap masuk bilik darjah dan disambut dengan sapuan habuk oleh Mawar yang menyapu. Seluruh kelas 6 Avicenna sedang mengemas bilik, dan Sasi si ketua kelas yang tegas menugaskan Ali untuk menukar air kotor dalam baldi.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 4-30 screenshot

Belum sempat Ali angkat baldi, dia menyedari rakan-rakan sekelas riuh-rendah berkumpul di meja Viktor. Oleh kerana badannya pendek, dia terpaksa menaiki meja untuk melihat dengan jelas; Alicia juga di situ, memandang Ali dengan cebikan. Rupa-rupanya mereka sedang menonton video rakaman peristiwa lori jatuh semalam dalam tablet Viktor, di mana kelibat Ali berpakaian ejen diberi gelaran "Cyberwira, penyelamat Cyberaya" atas usaha menyelamatkan Aunty Faye. Ali terkejut melihatnya sehingga jatuh menimpa baldi air kotor, menyebabkan bilik kelasnya kembali kotor. Ali pun dimarahi rakan-rakan kelas dan disuruh membersihkan semula tempat.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 5-4 screenshot

Waktu lepas sekolah, Ali menemani Viktor yang masih mengagumi aksi video "Cyberwira" dan meluahkan hajat untuk berjumpa dengannya satu hari nanti. Ali sambil bermain dengan yoyonya, menyambut hajat Viktor dengan gementar. Viktor hairan dengan reaksi Ali dan berpesan bahawa warga Cyberaya bertuah kerana ada wira yang boleh disamakan dengan wira-wira komik dan permainan video, tetapi yang istimewanya ialah bahawa Cyberwira seorang kanak-kanak, jadi jasanya mesti dihargai. Viktor mengingatkan Ali untuk latihan kombinasi permainan dalam talian petang nanti sebelum naik kereta. Ali tersenyum mendengar pujian Viktor untuk Cyberwira.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 5-45 screenshot

Pada malam hari, Ali menonton ulang video Cyberwira dalam tabletnya, ditemani Comot. Kemudian, dia beralih kepada laman media sosial di mana dia bermuram kerana mendapati hanya seorang yang menyukai swafoto Hari Rayanya yang lepas iaitu Viktor. Keluhnya, alangkah baiknya orang ramai tahu bahawa dialah Cyberwira, tetapi dia perlu menjaga rahsia sebagai ejen M.A.T.A. Maka terlintasnya idea dalam fikiran Ali, iaitu dia membuka akaun baharu yang berasingan di bawah nama Cyberwira, siap dengan gambar-gambar dirinya berpakaian ejen. Sejurus selepas dicipta, halaman sosial Cyberwira mendapat beratus-ratus sukaan.

Keesokan hari, Ali dan Bakar menerima panggilan M.A.T.A. untuk misi. Di bilik kawalan yang dihadiri General Rama dalam skrin dan Jenny yang sedang membuat kajian, Ali menunggu sambil menatap telefon sementara Bakar datang lewat kerana sakit perut. Ditanya oleh General, Jenny menerangkan bahawa lokasi azurium yang dicuri masih belum ditemui, malah ada pihak lain selain M.A.T.A. yang memburu Wak Musang; Bakar menambah bahawa Komeng juga pernah mengejarnya. Bakar juga menyedari Ali sedang leka dengan telefon lalu menyigungnya untuk beri perhatian.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 6-42 screenshot

Berdasarkan penjelasan Bakar, General Rama berpendapat bahawa Abang Bear juga sedang memburu azurium. Ali bertanya mengapa Wak Musang tidak menjual maklumat seperti biasa. Ejen Rizwan muncul tiba-tiba di belakang, menjawab pertanyaan Ali bahawa Wak tidak berani, malah musuh yang dihadapi mungkin lebih dahsyat daripada yang dijangkakan. General berfikir sejenak tetapi diganggu oleh bunyi telefon Ali; dia mengacukan dron ke arah Ali untuk membuat dia simpan telefon dan beri perhatian. General mengarahkan ejen-ejen untuk "bertindak segera" dalam menggandakan usaha pengawasan dan menangkap Wak Musang sebelum dia diberkas pihak lain.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 7-28 screenshot

Sebelum Ali dan Bakar beredar, Jenny menghentikan Ali untuk memberikan skuter baharu kepada Ali. Ali mula-mula teruja, tetapi setelah melihat dari dekat, dia mengeluh bahawa ia nampak sama dengan skuter lama. General Rama mengherdik sikap Ali tidak berterima kasih, maka Ali pun cepat menuntut skuter dan mengucapkan terima kasih dengan rasa malu. Ali pergi bersama Bakar, dan General pun menyoal Rizwan dan Jenny tentang perkembangan misi rahsia mereka. Rizwan mencabut lolipop dari mulutnya dan yakin menjawab bahawa suspek utama telah dikenal pasti.

Bahagian 2[]

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 8-52 screenshot

Malam hari di pelabuhan, Wak Musang berlari sambil menyandang beg yang bersiri kotak-kotak nasi lemak, seolah-olah sedang dikejar. Dalam larian dia terlanggar Ejen Bakar dan berpatah balik, tetapi disekat oleh Ali dan Comot lalu dikepung. Wak Musang yang cemas mengaku tidak tahu-menahu, ditempelak oleh Bakar kerana masih berlarian. Ali melayan komen-komen pujian untuk Cyberwira dalam telefon, sementara Comot mengambil kesempatan untuk mengecap nasi lemak yang tercicir walaupun ditegah oleh Wak. Sebaik sahaja menggari Wak, Bakar melihat Ali mengambil swafoto, merampas telefonnya dan mendapati bahawa Ali menyiarkan gambar-gambar menjalankan misi. Ali tidak terasa apa salahnya, tetapi Bakar mengingatkannya bahawa orang lain boleh menjejak lokasi mereka melalui tindakan Ali itu.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 9-25 screenshot

Datangnya Komeng dan gengnya mengepung Ali, Bakar dan Comot, mengatakan betapa senangnya menemui mereka melalui siaran Cyberwira. Ali hanya mampu ketawa tertahan-tahan berhadapan dengan cebikan Bakar. Komeng menuntut Wak Musang bagi pihak Abang Bear. Ali mahu menyerang Komeng tetapi disuruh Bakar untuk menjaga Wak sementara dia menguruskan Komeng. Komeng menyuruh konco-konconya menyerang, tetapi semua konco yang meluru habis ditumbuk atau dihumban oleh Bakar. Komeng pun hendak meluru tetapi ditimpa oleh konco yang dihumban; dia kemudian bangun semula dengan pemukul besbol tetapi ditepis oleh Bakar dengan Perisai Plasma.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 9-57 screenshot

Konco-konco Komeng menuju ke arah Wak. Ali menumpaskan mereka dengan gelombang yoyo, dibantu oleh Comot yang menggigit dan mencakar. Wak Musang yang digari mengambil kesempatan untuk melarikan diri. Komeng sekali lagi menyerang Bakar dengan pisau, tetapi dicampak jauh-jauh sehingga menimpa motosikalnya. Ali mencampak seorang konco ke tempat Bakar. Bakar terkejut dan menyoal Ali mengapa dia datang ke mari. Ali naik cemas teringat kembali dan pergi mengejar Wak yang sudah lolos. Komeng pergi mengejar Ali sementara dua orang konconya menghambat Bakar.

Komeng memintas Ali dalam perjalanan mengejar Wak Musang. Wak pula tiba di dermaga dan berlari sepanjang jalan, tetapi tersandung atas tali dan jatuh. Dia terpaksa merangkak secara telentang apabila Komeng sudah menghampiri. Ali menaiki kontena untuk mengejar dan tiba dengan menimpakan gelombang yoyo ke atas Komeng, menyebabkan ketua geng itu tercampak ke dalam air. Komeng meraung meminta tolong kerana tidak boleh berenang, sementara Bakar beredar dengan Wak Musang dalam cekupan bersama Ali dan Comot.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 12-5 screenshot

Setibanya di markas M.A.T.A, Wak Musang dibawa ke tempat kurungan oleh droid pengawal. Setelah menghembus nafas lega, Bakar meluahkan rasa kesal dengan Ali kerana mengambil mudah arahan misi, bahkan menyuruhnya menghapuskan akaun media sosialnya kerana ia telah menarik musuh ke lokasi mereka. Ali enggan kerana sudah mengumpulkan ramai peminat, jadi Bakar mengingatkan Ali bahawa mereka menjadi ejen untuk melindungi masyarakat dan bukan untuk meraih populariti. Ali bersungut lagi tidak melihat apa salahnya disukai ramai memandangkan dia tidak pernah dipuji atas perbuatannya.

Bakar berkeras menyuruh Ali segera memadamkan akaun sebelum mengundang masalah yang lebih besar. Ali menuduh bapa saudaranya cemburu melihat dirinya menjadi perhatian ramai, dan Bakar menyampuk dengan ugutan keras untuk melaporkan perbuatannya kepada General. Ali berdiam diri dan merajuk. Bakar mengatakan bahawa Ali tidak patuh kepadanya semenjak dia berlatih dengan Ejen Rizwan. Ali menempelak dengan lantang bahawa tiada sebab dia perlu mematuhi Bakar kerana yang menjadikannya hebat bukan Bakar tetapi Ejen Rizwan. Bakar luluh hati mendengar kata-kata Ali dan beredar.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 12-29 screenshot

Keesokan hari selepas waktu sekolah, Viktor menunjukkan siaran terbaharu Cyberwira kepada Ali, lebih-lebih lagi berbangga menerima sukaan untuk komen yang ditulisnya di situ. Viktor menanya Ali sama ada Cyberwira akan melayan pelawaannya untuk berjumpa; Ali meneka tidak kerana dia sibuk menyelamatkan orang. Viktor merasakan jawapan Ali munasabah tetapi tetap ingin mencuba dengan menaip dalam telefon. Gementar dengan tindakan sahabat karibnya itu, Ali dikejutkan oleh bunyi notifikasi media sosial dan segera meredamkan suara telefon.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 13-12 screenshot

Ali melihat Alicia melangkah masuk pintu sekolah dan bercadang untuk mengikutnya. Dia memberitahu Viktor bahawa dia hendak kembali ke bilik kelas untuk mengambil Comot yang tertinggal, tetapi Viktor terlihat kepala Comot menjulur dari beg Ali dan cuba memanggil, tetapi tidak sempat. Tibanya sebuah kereta mewah berwarna kelabu berkilat berhenti di hadapan sekolah. Penumpang di belakang membuka tingkap sekerat jalan dan mengajak Viktor untuk pergi berjumpa dengan Cyberwira. Dengan rasa kagum, Viktor menyangka hajatnya ditunaikan dengan cepat lalu menaiki kereta itu tanpa banyak soal atau mengesyaki apa-apa.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 14-6 screenshot

Di perpustakaan, Ali menyapa pustakawan yang leka melayan gelagat Cyberwira dalam telefonnya, kemudian pergi mencari Alicia. Pada masa yang sama, dia menerima mesej video daripada Abang Bear bersama Viktor yang ditutup mata dengan kain, diiringi oleh Komeng yang berpesan untuk berjumpa di pelabuhan malam nanti untuk menuntut semula kawannya yang sudah diculik. Ali cemas lalu cuba menghubungi Bakar, tetapi Bakar yang menyamar sebagai tukang bersih, duduk di kantin mencuit-cuit burgernya kerana masih kesal atas perbuatan Ali semalam, menolak panggilan Ali. Maka terpaksalah Ali bertindak sendirian, diiringi Comot.

Bahagian 3[]

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 14-28 screenshot

Waktu malam di pelabuhan, Abang Bear, Komeng dan konco-konconya sedang mengawal Viktor yang dikurung dalam kontena. Viktor masih diikat dan ditutup mata, tidak sedar bahawa dia sedang menculik malah mendesak-desak untuk meminta autograf daripada Cyberwira sehingga menjengkelkan penculiknya. Atas restu Abang Bear, Komeng pergi meresapkan ubat wangian khas kepada Viktor untuk membuat dia pengsan. Abang Bear ditelefon oleh isterinya untuk membelikan semula budu dan oleh itu terpaksa beredar sebentar. Komeng meminta untuk mengambil alih semua urusan di pelabuhan dan mengiringi Abang Bear ke keretanya.

Dua orang konco yang bermain muzik kuat-kuat di luar treler ditegur oleh Komeng untuk senyap, maka mereka pun meredamkan bunyi. Datangnya seketul batu terbaling ke arah mereka, maka mereka pergi mencari puncanya, tetapi mereka diserang dan diseret dengan yoyo. Mereka menjerit dengan begitu kuat sehingga jelas didengari oleh Komeng bersama Abang Bear yang baru hendak menaiki kereta. Komeng menyuruh konco-konco yang ada bersamanya pergi menyiasat sambil mengucapkan selamat jalan kepada ketuanya.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 16-12 screenshot

Ali menunggang skuter baharunya, menyusup bersama Comot ke kawasan kurungan Viktor. Ali membuka pintu kurungan dan lega melihat Viktor dalam keadaan selamat walaupun tidak sedarkan diri. I.R.I.S. mengesan musuh menghampiri, jadi Ali pun menutup pintu dan berundur sementara Comot bertukar halimunan. Ketika Ali melarikan skuter, sistem I.R.I.S. bersepadu dengan skuter dan memasang booster, menyebabkan ia memecut secara mengejut dan memanjat ke kontena atas. Komeng nampak Ali dan suruh konco-konco mengejar; mereka menyediakan tanjakan untuk membawa motosikal menaiki kontena. Ali sedar bahawa dia diekori dan membawa skuternya turun ke kontena bawah. I.R.I.S. mengesan jurang di hadapan jalan dan mengaktifkan booster lagi untuk memecut ke kontena seberang. Ali dihalang oleh Komeng, berpusing dan terjunam ke jalan.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 16-26 screenshot

Ali dalam keadaan terbujur dikepung oleh konco-konco Komeng. Comot muncul dan menggeram ke arah mereka tetapi dikurung dalam tong. Ali dipapah oleh konco-konco untuk dihadapkan dengan Komeng. Komeng mendapat kesempatan untuk membelasah Ali dengan pemukul besbol dalam pegangan. Namun, Ejen Bakar tiba untuk menghambat dan menghumban Komeng serta membelasah konco-konconya. Ali berterima kasih kepada bapa saudaranya yang masih merajuk sedang dia membebaskan Comot. Komeng bangun dan menyerang lagi, tetapi dijatuhkan oleh Ali dengan gelombang yoyo. Comot dan Bakar juga menolong dengan menyerang konco-konco.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 17-22 screenshot

Ali hendak pergi menjemput Viktor tetapi dihalang oleh Komeng. Bakar melihat Ali bersemuka dengan Komeng dan pergi menolak jatuh kontena di atas mereka untuk menghindarkan pergaduhan. Ali dan Komeng mengelak dari ditimpa kontena dan terpecah. Ali dan Bakar pergi membuka pintu kurungan dan menyelamatkan Viktor. Sedang Bakar mengungkai ikatan Viktor, tiba-tiba Viktor terjaga dari pengsan. Masih memakai kain tutup mata, dia berkata dia mengecam suara-suara yang terdengar. Bakar naik cemas dan segera melempang Viktor untuk kembali pengsan supaya identiti mereka tidak terbongkar. Akhirnya, Ali dan Bakar melarikan Viktor dari pelabuhan. Komeng bersama gengnya tiba di kurungan yang sudah dibolosi, meraung dalam kemarahan.

Ejen Ali Episod 10 - Misi Sensasi 18-35 screenshot

Bakar memulangkan Viktor dengan selamat dengan menurunkannya di pintu hadapan rumah, sambil diperhatikan oleh Ali dan Comot dari luar pagar rimbun. Bakar menyusup keluar dan memberikan isyarat kepada Ali untuk beredar. Setelah ejen-ejen pergi, Viktor bangun semula dan terasa hairan kerana kembali di rumah, sambil kecewa kerana tidak dapat berjumpa dengan Cyberwira pujaannya. Turun ke markas, Ali sedih melihat bapa saudaranya masih merajuk dan dengan hati yang berat mengambil keputusan untuk menghapuskan akaun Cyberwira. Sebaik sahaja memasuki bilik kawalan, mereka dikejutkan oleh angkatan droid yang mengacu ke arah mereka di samping jelingan General, Rizwan dan Jenny. Yang memeranjatkan lagi, yang ditangkap ialah Bakar yang disyaki mengintip untuk pihak musuh. Ali dikeluarkan dari bilik, khuatir akan nasib yang bakal menimpa bapa saudaranya.

Watak[]

Nota[]

  • Episod ini dinamakan sebagai "MISI: SENSASI" kerana penularan video yang menunjukkan Ali menyelamatkan nyawa Aunty Faye.
    • Definisi sensasi oleh Google: (sesuatu peristiwa, orang, atau maklumat) menyebabkan kehebatan awam dan keseronokan.
  • Ini adalah episod pertama yang Bakar tidak menjawab panggilan telefon daripada Ali kerana sedang kecewa tetapi kemudian datang sebagai bantuan.

Kilasan[]

  • Nama-nama laman media sosial yang kelihatan dalam episod ini merupakan ajukan kepada media sosial dunia sebenar yang disadur dengan nama Wau, yakni Waubook dari Facebook, Wautube dari YouTube dan WauSnap dari Snapchat.

Kesilapan[]

  • Bakar berkata di taklimat M.A.T.A. bahawa Komeng mengejar Wak Musang "tadi", sedangkan peristiwa itu berlaku sehari lebih sebelum taklimat.

Video[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement