Ejen Ali Wiki
Advertisement


MISI: SUSU ialah episod keenam dalam musim kedua siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 24 November 2017.

Sinopsis[]

Ali telah digantung dari menjalankan misi buat sementara, pada masa yang sama dia tertinggal kunci rumahnya jadi Ali menumpang di rumah Aunty Faye dan bermain dengan cucunya yang bernama Danish.

Plot[]

Di tengah-tengah malam, Dr. Ghazali terlena di ruang tamu sehingga dikejutkan oleh penggera telefon yang berpesan akan suatu hari istimewa. Dia terkejut melihat keadaan rumahnya bersepah dari ruang tamu hingga dapur dan memanggil Ali dengan geram. Sebaik sahaja Ali turun, Ghazali menegur Ali kerana ingkar setelah dipesan berkali-kali untuk mengemas selepas guna barang. Ali membuat alasan hendak berbuat demikian semalam tetapi terlupa kerana letih, maka Ghazali mengeluh bahawa dia berhempas-pulas bekerja siang malam untuk menyara hidup anaknya. Ali berkata akan mengemas nanti, jadi Ghazali berkeras hendak dia mengemas segera.

Keesokan hari di sekolah, Ali mendapati Viktor muram dan bertanya mengapa. Viktor menunjukkan tabletnya yang rosak dan pecah angkara adiknya yang pernah diberi pinjam sekali tetapi saban hari mencuri ambil dengan licik. Ali mencadangkan Viktor menghantar tabletnya untuk dibaiki. Viktor melepaskan geram, maka Ali berpesan bahawa Viktor bertuah kerana ada adik, tidak seperti dirinya anak tunggal. Viktor membalas balik bahawa Ali ada Comot.

Selepas waktu sekolah, Ali bergegas ke bilik kelab setem untuk menghadiri Akademi. Dia terserempak dengan Alicia yang hendak berpesan sesuatu kepada Ali tetapi berubah hati dan bersambung jalan. Ali tertanya-tanya apa yang hendak dikatakan oleh Alicia dan mengejarnya hingga ke bilik, di mana dia terserempak dengan Ejen Karya. Alicia dibenarkan bergerak masuk dahulu, tetapi Ali dihalang oleh Karya dengan Mystic Blade. Karya memberitahu Ali bahawa dia telah digantung dari Akademi ekoran kejadian serang hendap di misi lepas.

Ali bertanya apa kesalahannya, maka Karya menjawab Ali tidak bersalah, cuma dirasakan lebih baik jika Ali menyembunyikan diri tatkala musuh semakin berani. Ali bertanya sampai bila, tetapi Karya hanya terangkat bahu. Ali merayu hendak menolong, maka Karya berpesan bahawa cara yang terbaik untuk tolong adalah melindungi dirinya daripada ancaman dan menjaga I.R.I.S. seperti nyawanya sendiri. Ali akur tetapi terperanjat seketika apabila Karya mengambil kesempatan mengujinya dengan menyeluk peranti I.R.I.S. daripadanya. Akhirnya I.R.I.S. dipulangkan dan Karya meminta diri dengan menaiki lif rahsia ke Akademi.

Ali berjalan kaki pulang dengan wajah sugul, ditemani Comot di bawah langit mendung. Comot cuba memujuknya tetapi tidak diendahkan. Sebaik sahaja sampai di rumah, Ali sedar bahawa dia tidak membawa kunci dalam saku. Dia menyelongkar begnya tetapi tidak jumpa juga, maka dia cemas dan menelefon bapanya untuk mengadu bahawa kuncinya tertinggal di rumah dan memintanya pulang untuk bukakan pintu. Kesal dengan sikap anaknya yang lalai, Ghazali tidak dapat pulang kerana sedang sibuk bekerja. Ali bercadang untuk ke tempat kerja pula, maka Ghazali membalas dengan teguran atas sikap anaknya yang sering membiarkan benda bersepah. Ali muram dalam sesal dan bertanya apa yang harus dilakukan, maka Ghazali bercadang agar dia menumpang di rumah Aunty Faizah sebentar dengan pesanan agar tidak menyepah di rumah orang.

Maka Ali menuju ke rumah berkenaan. Belum sempat menekan loceng pintu, tiba-tiba dia disambut dengan girang oleh tuan rumah yang menyoal Ali mengapa ke mari. Sebaik diberitahu apa yang terjadi, Faizah mengacah Ali dengan "bayaran 50 ringgit sejam," selepas itu mengesahkan bahawa dia telah dihubungi oleh Dr. Ghazali. Ali bersyukur kerana dibenarkan masuk, dan Faizah meminta untuk dipanggil "Aunty Faye" dan mengatakan bahawa dia dan bapanya sama-sama gemar mengusik orang. Comot pula tidak dibenarkan masuk dan dihalau dengan lemparan barang.

Sebaik sahaja masuk, Ali kagum memandang persekitaran dalam rumah Aunty Faye yang serba mewah dan kemas berhias. Terdapat sebuah almari yang tersimpan koleksi cenderamata berbentuk mercu tanda dari seluruh dunia. Ali memungut salah satu cenderamata sambil bertanya dari mana dapatnya, maka Aunty Faye segera menyuruh Ali jangan sentuh dan meletak semula barang itu. Ali beralih ke sofa untuk duduk tetapi sekali lagi dihalang oleh Aunty Faye kerana takut kotor, jadi dia dijemput naik ke tingkat atas untuk memperkenalkan cucunya iaitu Danish.

Danish si bayi berada di dalam biliknya sambil mengutil biskut, terkurung dengan pagar keselamatan bayi. Ali melambai kepada Danish dari sebalik pagar tetapi dibalas dengan tenungan dingin oleh bayi itu. Aunty Faye menolak Ali masuk ke dalam bilik Danish dan berpesan agar tidak membiarkan bayi itu keluar dari bilik kerana banyak barang miliknya telah dihilangkan kali terakhir dia terlepas. Ali hendak bertanya lagi, namun Aunty Faye sudah beredar sambil melayan panggilan telefon.

Ali gelisah dalam kebuntuan sambil memandang Danish bermain dengan mainan kereta. Dia mendekati Danish dan mengajak bersalaman, tetapi Danish meludah ke atas tangannya. Dia kemudian mengambil mainan jentolak dan mengajak main bersama-sama, tetapi Danish mula meraung. Ali segera mengembalikan mainan jentolak, namun Danish masih menangis malah membaling-baling mainannya. Ali tertanya apa yang dimahukan, maka Danish menuding ke arah beg bekalan susu. Ali pergi menjenguk beg itu; terdapat botol susu tetapi tiada bekalan susu.

Ali keluar bilik dan pergi mencari Aunty Faye untuk membuatkan susu untuk Danish, namun langsung tidak kelihatan kelibatnya walaupun tercari seluruh rumah. Setelah penat mencari, Ali duduk berehat sehingga terdengar Aunty Faye berlalu sambil berbual. Dia bersambung mengejar tetapi Aunty Faye terus menaiki kereta dan meninggalkan rumah.

Alicia bersama Rudy, Khai dan Ejen Bakar sedang menjalankan misi menentang Komeng dan gengnya. Telefon Alicia berdering ketika berlawan, maka Alicia menjawab dan melayan pertanyaan Ali akan cara membancuh susu, lalu dia menjawab tidak tahu dan terus letak telefon. Ali menelefon Bakar pula; baru sahaja Bakar menjawab, Alicia lantas mencelah dan menyuruh Ali jangan mengganggu mereka sewaktu menjalankan misi, maka Ali menggeram dalam hampa. Danish masih meraung, dan Ali bertenang dan bertindak memakai I.R.I.S. Dengan berpandukan I.R.I.S, Ali berjaya membancuh susu dan menyuap Danish. Ali menarik nafas lega, I.R.I.S. pun terpadam kerana kehabisan kuasa dan dia pun terlena dek keletihan.

Seketika kemudian, Ali dikejutkan dari tidur oleh titisan susu Danish. Dia terlihat Danish tergelak-gelak sementara lantai bilik habis bersepah dengan mainan. Ali bangun dan pergi mengambil kain lap, tanpa sedar bahawa dia tertinggal I.R.I.S. dan pagar terbuka.

Sebaik sahaja kembali, Ali menyedari Danish sudah terlepas dari bilik, meninggalkan jejak susu. Dia mengikut jejak susu ke tingkat bawah dan terlihat Danish hendak makan I.R.I.S. yang dicelup ke dalam segelas susu seperti biskut. Ali panik dan menyuruh Danish memulangkan I.R.I.S, namun Danish enggan dan melontarkan peranti itu ke arah gambar potret Aunty Faye sampai ia jatuh pecah. Ali segera mengutip I.R.I.S. dan mengelapnya. Tiba-tiba Danish membawa kereta tunggangan dan merampas I.R.I.S. Ali mengejar-ngejar Danish keliling dapur, dan bayi itu pun terlanggar gelas susu, menyebabkan keadaan dapur semakin tidak teratur.

Danish menuju ke ruang tamu dan terlanggar sepasang pasu besar di koridor; Ali sempat menyelamatkan pasu-pasu itu dari jatuh pecah. Danish memasuki ruang tamu dan terpijak ekor Comot yang halimunan. Ali hairan bagaimana Comot dapat masuk walaupun dilarang oleh Aunty Faye. Danish pun mula mengejar kucing itu dan mereka pun berkejar-kejaran.

Pasukan Bakar telah selesai menjalankan misi dan mendengarkan sepatah dua kata daripada General Rama yang berucap melalui alat hologram. Telefon Bakar berbunyi disebabkan panggilan Ali, tetapi Bakar menolak panggilan dan meminta maaf kepada orang atasannya yang terganggu.

Ali merayu kepada Danish untuk berhenti berpusing-pusing. Dia nampak I.R.I.S. tercicir dan segera memakainya lalu mencekup Danish dengan persis. Danish meraung dan menerajang muka Ali sampai terlepas, lalu bersambung mengejar Comot dengan berlari. Comot dan Danish berkejaran sehingga terpanjat almari cenderamata. Ali cuba mencapai Danish, tetapi Danish sudah menaiki atas almari dan mengepung Comot. Bertindak mengikut ramalan I.R.I.S, Ali segera menghalang harta benda almari daripada jatuh akibat gegaran dari atas, kemudian menyambut Danish dari jatuh terhempas apabila Comot melonjak. Baru sahaja Ali menarik nafas lega, I.R.I.S. tertanggal lagi dan jatuh di tangan Danish, maka Danish pun membaling alat itu ke merata ruang tamu, meruntuhkan semua harta benda yang dilanggarnya.

Selepas selesai taklimat dan anak-anak buahnya bersurai, Ejen Bakar akhirnya melayan panggilan Ali. Dia tergempar terdengar esakan anak saudaranya dan bergegas ke rumah Aunty Faye untuk menolong. Sebaik sahaja tiba, dia melihat Ali dalam kepenatan melayan kerenah Danish di tengah-tengah ruang tamu yang porak-peranda. Apabila Ali menanggalkan I.R.I.S, Danish merengek, dan apabila I.R.I.S. dipakai semula, Danish kembali terhibur.

Oleh itu, Bakar menolong Ali mengembalikan dan menidurkan Danish. Meninggalkan bilik dengan senyap, Ali menceritakan mengapa dia menumpang di rumah berkenaan. Bakar hairan Ali tidak menggunakan I.R.I.S. untuk membuka kunci pintu rumah sendiri, jadi Ali pun menepuk muka dalam sesal. Berkenaan kerosakan dalam rumah Aunty Faye, Bakar memanggil seangkatan droid M.A.T.A. untuk mengemas dan membaiki kerosakan, jadi Ali pun bersyukur atas pertolongan bapa saudaranya.

Sebaik sahaja pulang, Ali memuji kepandaian Bakar menjaga anak kecil. Bakar mengujar bahawa Danish jauh lebih senang diurus berbanding Ali semasa kecil dulu. Ali hairan dapat tahu Bakar pernah menjaganya, jadi Bakar menunjukkan gambar Ali sewaktu bayi menconteng dinding dalam telefon sambil menerangkan bahawa dia pernah selalu singgah. Ali menelusuri gambar-gambar dalam telefon dan mendapati bapanya dalam gambar lebih ceria, malah turut menemaninya menconteng. Bakar mengakui Ghazali lebih bahagia dahulu dari sekarang. Ali mengeluh bapanya kurang meluangkan masa bersamanya kerana terlalu sibuk dengan kerja, malah hari ini merengus tanpa sebab yang jelas. Bakar mengambil balik telefonnya, mencarikan gambar pengantin bapa dan ibu Ali dari genap 14 tahun lalu dan memberitahu Ali bahawa hari ini ulang tahun perkahwinan mereka.

Pada malam hari, Dr. Ghazali pulang ke rumah dalam kepenatan. Sekali memasang lampu, dia mendapati keadaan serba kemas dari ruang tamu hingga ke dapur. Dia menuang kopi di dapur dan duduk termenung dalam kemuraman mengenang arwah isteri. Apabila hendak masuk tidur, dia ternampak kotak hadiah di atas meja ruang tamu. Pada kotak hadiah itu terdapat nota ucapan selamat ulang tahun perkahwinan daripada Ali dan Comot. Dr. Ghazali membuka kotak dan mendapat sekeping foto pengantin berbingkai. Begitu terharu dia sampai tersedu-sedu sambil mendakap gambar itu.

Watak[]

Trivia[]

  • Ini adalah episod kedua yang mempunyai pengakhiran yang menyedihkan, yang pertama ialah MISI: COMOT.

Galeri[]

Video[]

Navigasi[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement