MISI: UBAH ialah episod kelapan dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 24 Disember 2022, setelah siri berehat selama empat bulan.
Sinopsis[]
Satu kejutan menanti Ejen di Arena MATA. Mereka ditugaskan dengan Teras baharu untuk menguji cara mereka menyesuaikan diri dengan kemahiran baharu. (Disney+ Hotstar)
Plot[]
Kim terkenang akan pahit manis masa kecilnya di asrama sebelum menyertai M.A.T.A. Pada suatu malam, dia berselindung di bawah selimut dan mencuba seruling buluh dengan ditemani Jenny. Setelah baru serangkap lagu ditiupkan, mereka ditangkap oleh ketua asrama dan dihukum berdiri di luar bilik.
Setelah menyikat rambut di Dorm A, Kim memakai subang yang diberikan oleh Jenny sebagai alat pengintipan. Dalam perjalanan keluar, dia dikejutkan oleh Rizka yang terjaga dan bertanya ke mana dia pergi pada waktu sebelum subuh ini; Kim menjawab dia pergi menala keytar-nya. Rizka kembali lelap dan Kim keluar pintu dengan selamat. Kim tiba di makmal TEKNO di mana dia disambut oleh Ali yang kelihatan lesu membaiki alat-alatnya. Kim bertanya apa yang sedang Ali buat; jawabnya dia sendiri pun tidak tahu. Kim mendekati Ali dan mendapati dia sedang cuba membaiki gasing dan yoyonya berpandukan rakaman video Aliya. Setelah meneliti video itu, Kim mendapati komponen ketinggalan zaman digunakan dan bercadang untuk memasang alat ganti baharu. Ali setuju dengan cadangan itu tetapi dengan nama yang suram kerana masih masyghul tentang peristiwa semalam dan mengenang nasib Rizwan dan Dos.
Rizwan dan Dos kelihatan menjadikan sebuah rumah pangsa usang sebagai tempat persembunyian. Di tengah-tengah malam, Rizwan menatap sekeping gambar lama Cuatro sekeluarga dalam pegangan yang dipungut dari runtuhan rumah sekutu lamanya itu. Dos terjaga dari lena di dampingnya, melafazkan takziah atas kejadian yang menimpa Cuatro. Rizwan memaklumkan bahawa nama sebenarnya ialah Akram. Pada masa yang sama, dalam komputer bimbit di hadapan Rizwan terpancar rakaman laporan berita televisyen mengenai insiden Cyberscience semalam. Dos bertanya mengapa dia asyik melayan berita itu; Rizwan menjawab bahawa mungkin mereka terlepas pandang sesuatu sewaktu menjalankan misi. Dos mengambil alih komputer bimbit dan memperlihatkan rakaman CCTV dari Cyberscience sewaktu kejadian. Rizwan meminta Dos untuk memutarkan kembali rakaman kepada waktu sebelum kejadian, sehingga dia nampak kelibat Cinco.
Belum sempat Dos bertanya apa halnya, tempat persembunyian diresapi asap tebal dari salur udara. Rizwan dan Dos berundur ke arah tingkap untuk berjaga-jaga. Pintu rumah dirempuh oleh Ejen Fit yang lantas menyerang Rizwan dengan Tangan Magnetiknya. Rizwan menjatuhkan Dos ke tepi dan menampan serangan Fit, kemudian mereka bertumbuk-tumbukan. Ejen Bobby masuk rumah, melompat dari belakang Fit dan menerajang Rizwan. Dos bangun semula dari jatuh dan melihat Fit dan Bobby mengasari Rizwan di tepi tingkap. Kemudian, dia sendiri dikejutkan lagi oleh seorang ejen KOMBAT wanita yang berambut merah jambu berikat sanggul kembar, memakai pelitup muka kaca, dan bersenjata seakan nunchaku plasma. Dos menguruskan ejen wanita itu dengan cucuk sanggulnya, tetapi diganggu lagi oleh tembakan bebola peluru yang nyaris terkena badannya dan melantun-lantun keliling bilik sehingga memecahkan komputer bimbit.
Peluru plasma itu datang dari papan luncur apung yang dinaiki oleh seorang ejen NEURO berkulit gelap dan bermisai yang berada di luar tingkap. Setelah disedari Dos, ejen itu melepaskan serantaian lagi peluru ke arahnya. Dos segera berlindung di sebalik meja makan yang dihadapkan permukaan ke arah hujanan peluru. Sebutir peluru terlajak ke tepi, melantun di belakang, dihantar oleh ejen KOMBAT dan terus mengena Dos. Rizwan mengetepikan Fit dengan menerajang dadanya, kemudian menundukkan Bobby dengan menyiku ketiaknya dan mencampaknya ke hujung bilik. Fit bangun semula dan menyerang, maka Rizwan cuba menamatkan pertarungan dengan cuitan bertubi-tubi dengan Sarung Tangan Sekali Sentuh yang masih dipakainya. Fit menghidupkan Tangan Magnetik untuk menarik Boomerang yang terpacak di dinding dan menghalakannya ke arah Rizwan. Rizwan menunduk untuk mengelak, maka Fit menyerahkan Boomerang kepada Bobby dan Bobby pun melontarkannya ke arah Rizwan yang tersungkur dari menunduk tadi.
Rizwan sekali lagi mengelak, tetapi dia dan Dos kemudian dikepung oleh keempat-empat ejen. Dos memandang-mandang keliling bilik untuk cuba mencari jalan, sementara Fit mengangguk sebagai isyarat kepada anak buahnya untuk menyerang. Dos melontar satu Shox Stix ke papan apung ejen NEURO, menyebabkan ia melancarkan peluru secara rambang dan menghalang tindakan ejen di dalam. Dos dan Rizwan mengambil kesempatan untuk melarikan diri bersama komputer bimbit, dan Dos melontarkan ke atas suis butang merah di tepi pintu rumah untuk mengaktifkan perangkap renjatan untuk menjatuhkan ketiga-tiga ejen di dalam. Ejen NEURO yang masih berapung mengeluh "Ay-ay-ay" melihat nasib rakan-rakan setugasnya.
Kegagalan ejen M.A.T.A. menangkap Rizwan dan Dos diumumkan oleh General Rama melalui hologram dalam sidang tergempar keesokan hari yang dihadiri oleh keempat-empat ejen mentor. Ejen Ganz yang turut hadir dalam bentuk hologram geram meluahkan kekesalan atas kegagalan pihak Rama untuk menangkap Rizwan terlebih dahulu sehingga menjadi masalah besar. Rama membalas bahawa dia telah menghantar satu lagi pasukan bantuan untuk memburu Rizwan dan Dos. Ejen Dayang berpesan supaya tidak gagal kerana bahaya tetap ada selagi tidak diketahui niat Rizwan. Rama mengangguk dan meminta diri.
Ejen Leon bertanya sama ada pertandingan Arena harus diteruskan; Dayang mengiakan kerana "itu yang sebaiknya." Ejen-ejen Bakar dan Geetha terkilan. Bakar menyoal tindakan terburu-buru penganjur sementara dan Geetha pula berpendapat bahawa pusingan lapangan diadakan terlalu awal untuk ejen-ejen muda, malah para peserta kini lemah semangat sejak insiden di Cyberscience. Bakar bersetuju dan menggesa agar pertandingan ditangguhkan sehingga semua peserta kembali pulih semangat. Ganz membantah gesaan Bakar atas alasan masa semakin suntuk. Dayang bersetuju dengan hujah bahawa M.A.T.A. perlu bersedia untuk sebarang ancaman luar ekoran rancangan Dato' Hisham berkongsi teknologi Cyberaya, malah tujuan pertandingan Arena diadakan adalah untuk mencari pemakai baharu I.R.I.S. Bakar terkejut mendengar kenyataan itu, tetapi Leon pula akur. Sebelum mengakhiri sidang, Dayang menambah satu lagi perkara tentang pusingan seterusnya.
Ali, Alicia, Khai, Zass, Mika, Iman, Sam, Rizka dan Kim berkumpul di lobi Arena. Ali menguap sambil bertanya mana yang lain; Ejen Leon muncul dari belakang dan menjawab bahawa mereka tidak dapat meneruskan pertandingan. Mika mempersoal keputusan untuk meneruskan pertandingan, tetapi Leon mencelah bahawa "semuanya sedang diuruskan," dan para peserta dikehendaki memberikan tumpuan kepada Arena. Dengan memaparkan papan markah terbaharu, Leon mengumumkan bahawa Zass, Aleks, Rudy dan Roza tersingkir. Zass menerima keputusan dengan wajah yang muram dan beredar.
Belum sempat Leon bersambung ucapan, tiba-tiba Aleks muncul meronta-ronta dalam kekangan droid-droid perawat di bawah pengawasan Ejen Geetha. Ejen Karya menjelma masuk dari kain halimunan, memukau Aleks dan memujuknya supaya mendapatkan rawatan. Pukauan ternyata berkesan dan Aleks pun akur dan beredar. Leon mengingatkan para peserta bahawa sungguhpun situasi tidak menyenangkan, mereka tetap ejen dan mesti menjalankan objektif tidak kira apa jua cabaran, dan pusingan baharu akan diadakan secara berpasukan. Alicia mengangkat tangan dan menyatakan bahawa bilangan ahli teras sudah tidak seimbang, menimbulkan perbincangan dalam kalangan ejen. Leon memuji pemerhatian Alicia dan mengujar bahawa kadangkala mereka perlu mengambil alih peranan rakan sepasukan yang tumbang, maka buat kali pertama dalam sejarah penganjuran Arena, para peserta dikehendaki bertukar teras. Semua ejen tergempar dengan pengumuman itu.
Penukaran teras dilakukan oleh droid-droid pengimbas yang ditugaskan dalam Arena di dalam dorm. Ali ditukarkan ke teras KOMBAT; begitu juga dengan Khai yang mengeluh tidak dapat sepasukan dengan Ali. Sam yang ditukarkan ke TEKNO meminta tunjuk ajar. Ali meminta Sam untuk bersabar kerana mereka semua perlu melaporkan diri kepada mentor teras baharu masing-masing. Ujar Sam, bukannya boleh menguasai kemahiran baharu dalam sehari.
Sebaik sahaja melangkah keluar pintu dorm, mereka bertiga bertemu dengan ejen-ejen perempuan: Alicia dan Iman menyertai INVISO, Kim dan Mika dengan NEURO, dan Rizka dengan TEKNO. Ejen-ejen lelaki kagum melihat penampilan baharu rakan sepasukan mereka. Malahan, Kim memperagakan diri di hadapan Ali dengan penampilan seakan-akan Alicia, membuat Alicia sendiri cemburu.
Dalam perjalanan, Rizka mengeluh kerana khuatir akan susah bersama TEKNO. Mika mengulas bahawa pihak atasan ingin menguji kemampuan mereka menyesuaikan diri. Rizka memandang ke arah Kim dan bertanya mengapa dia masih ceria. Jawab Kim, selama ini dia berhasrat untuk mengalami NEURO; Alicia sekadar tercebik mulut mendengar alasan Kim.
Ali dan Khai tiba di ruang latihan, disambut oleh Ejen Bakar yang bersemangat. Ali mendekati Bakar dan berbisik untuk bertanya tentang peristiwa semalam dengan Rizwan, tetapi Bakar menegah kerana itu adalah hal sulit yang tidak boleh dibincangkan sesuka hati. Bakar melafazkan pembuka semangat untuk mengajak Ali dan Khai "belajar tentang kehebatan KOMBAT." Merajuk kerana tidak dapat berbincang tadi, Ali berganjak; Bakar dengan malu menyatakan itulah semangat yang dikehendaki.
Sesi dimulakan dengan latihan pertahanan, di mana Ejen Bakar, sambil menunjuk cara mempertahankan diri daripada serangan dron latihan, menyatakan bahawa perbezaan KOMBAT dengan teras lain ialah adanya penekanan terhadap pertahanan. Katanya lagi, dengan pertahanan, ejen KOMBAT boleh mengawal rentak perlawanan supaya dapat menentukan bagaimana dan berapa lama hendak berhadapan dengan musuh, mencipta peluang untuk ahli pasukan lain, jadi ejen KOMBAT hanya perlu menyerang pada masa yang tepat. Simulasi berakhir dengan Bakar menjatuhkan droid-droid dengan Perisai Plasmanya.
Mula-mula, giliran Ali. Bakar yang mengawasi dari balai cerap berpesan supaya cuba bertahan sehingga lampu hijau. Ali mula-mula berhadapan dengan sekumpulan droid dan dron memancarkan laser ke arahnya, dan seperti biasa dia membentuk perisai dengan pusingan tali yoyonya. Bakar menyeru Ali untuk bergerak, maka Ali pun berganjak dari hadapan pintu ke pusat bilik, di mana dia terpaksa menampan serangan dari keliling. Tidak melayan sorakan dari bapa saudaranya, Ali memandang paparan pemasa di atas bilik yang menunjukkan had masa tinggal dua minit, tetapi ditembak oleh dron belakang dan tersungkur. Digesa oleh Bakar yang kerisauan, Ali bangun semula dalam keadaan geram dan melemparkan gasingnya untuk menumbangkan semua droid dan dron yang ada. Bakar terkilan tetapi memuji percubaan Ali. Ali dengan marah mendongak ke arah Bakar dan merungut apa perlunya membuang masa jika dapat menyelesaikan musuh dengan terus, lalu beredar.
Pusingan baharu Arena dilangsungkan di lapangan. Ejen Leon menerangkan bahawa misi peserta adalah untuk menuntut sebuah Mechadroid di tengah Arena yang dilengkapi penjana denyut elektromagnet (EMP) dan membawanya ke pangkalan pasukan untuk diaktifkan. Ali menyertai pasukan Mika bersama Iman dan Rizka. Mereka bergegas menuju ke tempat Mechadroid dan bersemuka dengan pasukan Alicia yang dianggotai Kim, Sam dan Khai.
Pertarungan dimulakan dengan Mika melancarkan peluru asap ke arah pasukan lawan. Khai membentuk medan perisai untuk melindungi Sam dan Kim, sementara Alicia melonjak dari kepulan asap dan melancarkan anak panah ke bawah untuk menyekat kemaraan lawan. Mika menyuruh untuk menyerang ahli KOMBAT lawan, iaitu Khai. Iman yang menyamar sebagai Alicia, menyerang hendap Khai dari belakang dengan selendangnya. Setelah Khai tersungkur, Mika melancarkan peluru untuk meniarapkan Khai terus. Sam bertindak melancarkan peluru dari jam tangannya ke arah Iman, tetapi Ali sempat menepisnya. Rizka menaiki Mechadroid dan membuka kebuk alat pengaktifan tetapi berhadapan kesulitan mengaktifkan jentera tersebut kerana tidak tahu menggunakan panel papan sentuh.
Setelah menepis lontaran yoyo Ali berulang kali, Sam menembak dengan jam tangan lagi tetapi tersasar. Ali melemparkan gasing pula ke kedudukan jam tangan Sam. Sam menyangka dirinya akan terkena, tetapi gasing memintas untuk menjatuhkan Kim (yang termakan peluru Mika) dahulu, kemudian melantun kembali untuk menjatuhkan Sam. Keadaan cukup genting untuk Alicia setelah ketiga-tiga rakan sepasukannya dilumpuhkan. Mika, Ali dan Iman mengepung Alicia dan melancarkan serangan masing-masing ke arahnya, tetapi Alicia melarikan diri. Ali hendak mengejarnya, tetapi Mika menyuruhnya untuk membantu Rizka. Ali akur dengan geram.
Mika menuju ke Mechadroid bersama Iman dan bertanya akan perkembangan Rizka, tetapi dibalas dengan bentakan Rizka untuk diam. Ali menaiki Mechadroid dan mengambil alih panel supaya Mechadroid dapat dihidupkan. Rizka memandu Mechadroid ke pangkalan, dan Ali pun turun dan mendapat pujian daripada Mika dan Iman sebelum mereka bertiga berjalan kaki mengikut jejak Mechadroid. Alicia yang berlarian di luar menghubungi Kim untuk bertanyakan keadaan. Kim menjawab selamat dan menyuruh Sam untuk meleraikan peluru pelumpuh pada dirinya dan Khai. Setelah dilepaskan, Kim ditanya oleh Alicia sama ada telah membaca pergerakan lawan; dengan ceria dia menjawab ya dan berterima kasih kepada Alicia kerana memberikan "idea". Alicia bertanya lagi apa rancangan Kim, dan Kim pun sedia menerangkan.
Apabila pasukan Mika sudah menghampiri pangkalan mereka, mereka digemparkan oleh panahan plasma secara mengejut. Tidak kelihatan siapa penembaknya tetapi Ali mengesyaki Alicia. Mika segera menundukkan Ali dan Iman untuk melindungi mereka dari lagi serangan, sementara Rizka di atas Mechadroid pula terdedah pada serangan. Ali berdiri semula, memejamkan mata dan cuba mengesan dengan gerak hati. Dengan itulah dia sempat mengesan Alicia, menepis panahannya dan kemudian pergi mengejarnya ke kawasan pokok tanpa menghiraukan seruan Mika. Ali tercegat dalam mengejar Alicia di kedudukan yang lapang. Di situlah dia ditimpa hujanan panah plasma. Ali cuba menampan dengan perisai yoyonya tetapi ini hanya menyebabkan semua anak panah terlenting ke keliling dan membentuk kurungan. Alicia muncul dari persembunyian, menegur Ali kerana mengingkari Mika dan menundukkan Ali dengan panahan yang cukup perit, membuat Ali meraung dengan lantang sehingga menarik perhatian rakan-rakan sepasukannya.
Iman dan Rizka hendak pergi menolong tetapi Mika menyuruh mereka untuk tidak berpecah dan terus menggerakkan Mechadroid kerana misi mereka hampir selesai. Tiba-tiba, Khai, Ali dan Sam muncul di atas pentas pangkalan. Khai mengulangi pesanan Bakar bahawa seorang ejen KOMBAT hanya perlu menyerang pada masa yang tepat, kemudian mereka bertiga memancarkan tembakan ke arah Mika. Sambil menembak balas seorang diri, Mika menyeru rakan-rakannya untuk tidak gentar, namun dia, Iman dan Rizka dijatuhkan satu demi satu oleh tembakan peluru pelumpuh Alicia. Sam menetapkan pemasa untuk setengah jam sementara rakan-rakan sepasukannya merampas Mechadroid dari pangkalan pasukan Mika. Khai dengan geli hati sempat menyapa mereka untuk tidak marah dan berjumpa semula pada waktu makan.
Ali bangun dari pengsan, melihat paparan udara menunjukkan pasukan lawan semakin hampir dengan Mechadroid dan bergegas. Namun, sudah terlambat untuknya kerana pasukan Alicia sudah meletakkan Mechadroid di pangkalan mereka dan jentera itu pun melepaskan EMP untuk menamatkan permainan. Ali hanya berlari hingga ke tempat rakan-rakan sepasukannya terpaku.
Pada waktu tidur, Kim keluar senyap-senyap dari dorm dan menuju ke makmal TEKNO. Sekali lagi dia terjumpa Ali di dalam, tetapi kali ini dalam keadaan terlena dengan peralatan di hadapannya. Kim menuju ke komputer besar, tunduk untuk mencapai litar kawalan dan memasang sebutir "subangnya" di dalam. Ali terjaga dan memanggil nama Kim; Kim terkejut dan terus mengajaknya untuk masuk tidur di dorm. Ali bertanya di mana Comot, jadi Kim pun memandang sekeliling. Comot muncul dari halimunan dan menjeling ke arah Kim yang menyapanya dengan penuh rasa sangsi. Akhirnya Kim mengiringi Ali keluar dari makmal. Subang yang ditanam itu mengaktifkan program "Gatecrasher" untuk menggodam sistem komputer M.A.T.A. dan mengintip bagi pihak Cinco.
Nota[]
- Watak ejen wanita berambut merah jambu yang menyertai pasukan Bobby dan Fit bernama Ejen Lily; ini ialah kemunculan sulungnya dan namanya tidak disebut dalam dialog. Namanya diumumkan dalam siaran Facebook rasmi Ejen Ali.[1]
- Ejen Neuro yang menyertai pasukan sama pula namanya Ejen Jeff.
Galeri[]
Rujukan[]
Pautan luar[]
Papar • Sunting Episod | ||
---|---|---|
Musim 1 | MISI: I.R.I.S. • MISI: ALPHA • MISI: SERI • MISI: COMOT • MISI: BLUEPRINT • MISI: BANGKIT • MISI: PROTOKOL GEGAS • MISI: PRESTASI • MISI: POTENSI • MISI: SENSASI • MISI: BUKTI • MISI: UNO • MISI: OVERRIDE | |
Musim 2 | MISI: AKADEMI • MISI: ORIENTASI • MISI: MAIN • MISI: ANALOG • MISI: CABAR • MISI: SUSU • MISI: KEMBALI • MISI: TUJUAN • MISI: PERANAN • MISI: ATLAS • MISI: HARAPAN • MISI: DIEZ • MISI: LEGASI | |
Musim 3 | MISI: ARENA • MISI: BOLEH • MISI: UPGRADE • MISI: BALAS • MISI: BLACKOUT • MISI: BURU • MISI: JERAT • MISI: UBAH • MISI: HYBRID • MISI: KHEMAH • MISI: GETIR • MISI: SENGAT • MISI: JAGUH |