Ejen Ali Wiki
Ejen Ali Wiki
Advertisement


MISI: UPGRADE ialah episod ketiga dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di Disney+ Hotstar pada 9 Julai 2022.

Sinopsis[]

Prestasi Ali dalam pusingan pertama membaik selepas terima gajet baharu. Rizwan dan Dos bersemuka dengan Cinco dan dikejutkan dengan kekuatan baharu. (Disney+ Hotstar)

Plot[]

Episod ini terdiri dariapda dua jalan cerita berlainan yang berlatarkan pada waktu berlainan, ditayangkan secara berselang-seli; diasingkan kepada dua bahagian dalam rencana ini untuk kemudahan pembaca.

Arena[]

Pertandingan Arena M.A.T.A. berehat selama satu hari selepas pusingan pertama untuk memberi laluan kepada pemasangan naik taraf oleh empat ejen teratas. Dikejutkan oleh Comot yang mahu disuap, Ali terjaga dari tidur dalam keadaan serba lenguh dari pusingan pertama semalam. Dia mengambil minuman Vita Juice dari peti bekalan untuk kembali cergas dan bersemangat. Setelah siap mencuci diri, Ali bersarapan di kantin arena, duduk semeja bersama Khai, Jet, Mika, Roza dan Rudy dengan Comot sekali.

Sambil menyuap Comot, Ali ditanya oleh Khai sama ada dia sudah menerima alatan naik taraf (upgrade); dijawab belum, Khai mendesak supaya segera mendapatkannya. Mika pula bertanya Ali hendak memilih naik taraf mana; entah jawabnya. Ali mengajukan soalan yang sama kepada Alicia yang bersarapan seorang diri di meja; senjata baharu jawabnya.

Jet mengeluh dengan rasa kesal kerana tidak menjalani pusingan pertama dengan betul. Roza menegur Jet untuk mencontohi Ali yang rendah diri tetapi berjaya memasuki empat teratas; Mika turut memuji Ali. Alicia dengan tegas mengingatkan Ali bahawa dia bertuah semata-mata kerana Rizka terpotong markah; sambil memandang Rizka, Sam dan Aleks di seberang kantin, dia menasihati Ali supaya berusaha lebih keras untuk bersaing dengan ejen-ejen luar yang lebih tinggi tahapnya. Khai bersetuju dengan mengatakan bahawa ejen luar tersebut setaraf dengan ejen-ejen senior M.A.T.A, sedangkan Roza, Jet dan Mika membantah kerana mereka bermain kasar, lebih-lebih lagi hal Rizka mengasari Chris.

Teringat tentang Chris, Ali bersama Khai, Jet, Mika, Roza, dan Rudy pergi ke bilik rawatan untuk menjenguk Chris yang sedang melayan hiburan muzik dari Kim. Kemerduan alunan keytar Kim meraih tepukan tangan dari Chris dan Ali sekumpulan yang hadir di pintu. Chris menjemput mereka masuk sambil berkata Kim telah membawa buah tangan berupa biskut batang; semua pun berkumpul dekat katil Chris untuk berkongsi biskut kecuali Mika yang kecil hati dan menaruh dendam kerana menganggap Kim bermain kasar sama seperti ejen-ejen antarabangsa yang lain lalu terus beredar keluar dari bilik dan nyaris terlanggar Ejen Bakar yang sedang membawa masuk minuman.

Chris menanya Ali tentang kejayaannya di pusingan pertama, malah menyentuh hal naik tarafnya; Ali dengan segan menjawab belum memilih. Kim yang juga belum pilih mengajak Ali untuk pergi bersama-sama. Chris dan budak-budak lain pun ternganga, malah Bakar pun terkejut mendapat tahu Ali dan Kim belum memilih lalu menggesa mereka supaya segera pergi ke bilik naik taraf di mana Ejen Geetha sedang menunggu untuk membuat pilihan.

Dalam perjalanan ke bilik naik taraf, Kim menanya Ali tentang pengalamannya I.R.I.S. serta Override Mode; Ali mengaku seronok kerana terasa seolah-olah ada komputer dalam otaknya, malah dia berasa hairan bahawa Kim tahu tentang Override Mode. Mereka bertemu dengan Alicia yang menyusur masuk dari persimpangan koridor, Kim menegurnya dengan sepatah "helo" tetapi Alicia menyambut dengan jelingan dingin sebelum mereka mula berjalan bersama ke bilik naik taraf.

Setibanya di situ, Ali menatap demonstrasi di ruang percubaan di sebalik tingkap sambil menanya Geetha apa yang dipilih oleh ejen-ejen lain. Seperti yang diterangkan oleh Geetha, Aleks memilih untuk menambah fungsi pelenyap bunyi pada Sut Gravitinya; Kim mendapat kebolehan mengubah warna gelombang dari keytar; Alicia pula mendapat senjata baharu iaitu busur dan panah plasma. Ketiga-tiga mereka mudah dan lincah menumpaskan gerombolan Droid yang hadir dengan kelengkapan baharu masing-masing di hadapan Ali.

Tibanya giliran Ali untuk memilih naik tarafnya di bawah bimbingan Geetha. Pertama, dia mencuba Smoke Grenade (peledak asap) tetapi dia memasangnya terlalu awal sehingga menyebabkan asap keluar dan menarik perhatian Droid untuk menumpaskannya. Kedua, dia mencuba perisai tangan, tetapi ia begitu berat sehingga Ali tidak mampu mengangkatnya sebelum dibelasah oleh Buster Droid. Ketiga, Ali memilih alat berupa sumpit yang boleh melepaskan peluru plasma, tetapi setelah beberapa kali gagal mengena sasaran kerana tidak cukup kuat meniup, cubaan terakhir menyaksikan Ali tersedut peluru sampai tercekik.

Setelah tiga kali gagal, Geetha berpesan kepada Ali untuk sabar mencari perkakas yang sesuai dengan dirinya. Ali habis menelusuri katalog dalam komputer sampai habis dan bertanya sama ada ada lagi; Geetha menjawab dengan keluhan bahawa dia sudah selesai melihat kesemua 450 pilihan yang ada, malah jika tiada satu pun yang sesuai maka Ali mungkin tidak perlukan naik taraf. Ali terkilan mendengar kata-kata itu, dan Geetha keluar dari bilik untuk menunggu keputusan Ali.

Pada masa yang sama, Bakar memasuki bilik dengan bekalan burger. Ali mengadu dengan gemuruh betapa risaunya dia akan memilih naik taraf yang salah sehingga menjejaskan perjalanannya dalam Pertandingan Arena. Menenangkan Ali dengan sesuap burger, Bakar memperakui sifat rambang mata Ali dan berpesan bahawa naik bukan sahaja penentu kalah menang, malah banyak lagi faktor yang perlu diambil kira sebelum menjadi Juara Arena; begitu juga dalam kehidupan harian, ada kalanya sukar membuat pilihan tetapi dia tidak harus takut membuat keputusan, sebaliknya percaya pada diri sendiri. Ali bertanya jika ibunya turut memilih naik taraf; Bakar mengesahkan hal itu dengan kisah bahawa Aliya sendiri susah membuat pilihan sehingga meminta bantuannya untuk memilih; akhirnya dia memilih sejenis cermin mata nampak gelap semata-mata kerana cool (bergaya). Maka Ali pun meminta tolong Bakar untuk memilihkannya naik taraf.

Seketika kemudian, Geetha kembali di bilik naik taraf dan melihat Bakar menatap ruang percubaan. Bakar bertanya apa yang dipilih oleh Ali; Geetha menerangkan bahawa dia telah memilih Sut Magnetik TEKNO yang membolehkan pemakainya mengawal medan magnet. Ali melakukan demonstrasi memutarkan gasingnya sepantas kilat menggunakan daya magnet dan menundukkan angkatan Droid yang hadir dengan mudah. Geetha mengucapkan syabas atas pilihan bijak, dan Bakar mengaku pilihan itu semata-mata kerana cool.

Rizwan dan Dos[]

Episod bermula di gudang simpanan barang CyberDelivery pada waktu malam, di mana pengurusnya melayan berita pengumuman visi baharu Dato' Hisham untuk Cyberaya di televisyen dan mengidam untuk mengembangkan perniagaan. Waktu ini operasi sudah hendak ditutup, tetapi pengurus sempat menyuruh untuk membenarkan satu lagi lori untuk memunggah. Tanpa disangka, dari lori itu keluarnya Komeng dan gerombolan penyamun yang bertopengkan topi keledar motosikal untuk merompak gudang. Ketika menyelongkar komputer riba dari kotak, Komeng dikejutkan dengan tembakan laser dari angkatan polis yang dipanggil ke mari setelah dihubungi oleh pengurus melalui penggera.

Pasukan polis yang terdiri daripada manusia dan robot kelihatan mudah menumpaskan para penyamun yang ada, sehingga Komeng dikepung dan tidak berdaya melawan kembali. Tiba-tiba, datangnya sebiji bola sepak menjatuhkan robot-robot, hasil sepakan daripada Seis dan Siete yang menegur Komeng kerana tidak mengajak mereka. Ketua pasukan polis pun mengarahkan semua ahli menyerang Seis dan Siete, tetapi kali ini penyangak kembar mudah menumpaskan mereka semua dengan sepakan bola mereka, malah ketua polis pun dijatuhkan sekali.

Seketika kemudian, Rizwan dan Dos meninjau gudang yang baru dijarah. Dos menyoal tujuan Rizwan ke sini, dan Rizwan menunjukkan kesan bola Seis dan Siete pada dinding. Mereka keluar gudang untuk menahan dan memisit seorang penyamun untuk bertanya di mana Seis dan Siete, tetapi penyamun itu mengaku tidak tahu dan cuba meminta tolong sebelum dipukul sehingga pengsan oleh Rizwan. Dos memujuk Rizwan untuk menghentikan usaha mencari Cinco yang tidak berfaedah memandangkan Uno sudah tiada, tetapi Rizwan berkeras kerana tiadanya Uno, dia perlu mencari punca kejadian dengan segera; tambahnya, jika "Cero" seteruk yang Dos katakan maka lebih mustahak untuk dia cari. Terdengar geng penyamun di luar bertolak dari gudang dengan menaiki motosikal atas panggilan telefon dari Komeng, Rizwan dan Dos berikhtiar untuk mengekori mereka.

Para penyamun kembali membawa hasil rompakan mereka ke sarang yang berupa bangunan usang, di mana Komeng mengarahkan mereka untuk cepat memunggah barang-barang sebelum kedatangan Abang Bear. Seis dan Siete juga hadir dalam keadaan bersenang-lenang bermain dengan pemancut wang; Komeng mengutuk keengganan mereka untuk menolong mengangkat barang sehingga nyaris mengundang pertengkaran sebelum dipatahkan oleh kemunculan Abang Bear. Komeng mengadu tentang keingkaran Seis dan Siete kepada Bear, tetapi Bear tidak menghukum mereka. Sebaliknya, dia "memanjakan" mereka dengan belanja makan nasi kerabu dan ayam percik malah menyuruh Komeng membuat pesanan, dan ini membuat Komeng geram.

Tiba-tiba, Jenny (Cinco) dan Trez muncul dengan merempuh pintu markas. Jenny mendesak Seis dan Siete untuk bergabung semula dengannya dalam usaha menyatukan semula Numeros. Seis dan Siete enggan kerana sudah berkhidmat kepada Abang Bear yang membayar upah lumayan, tetapi Jenny berkeras juga dengan ugutan dikasari Trez. Abang Bear mengecam tindakan Jenny dan Trez dan menyuruh Komeng untuk menyerang mereka. Komeng yang kerdil dalam keadaan gementar cuba melawan Trez yang besar, tetapi tidak terdaya dan akhirnya ditumpaskan oleh Trez. Ini menyebabkan Abang Bear berundur dalam ketakutan.

Siete dengan tenang memperlekeh keupayaan Jenny untuk menewaskan mereka dan menyepak bola ke arahnya, tetapi bola disambut mudah oleh Trez dengan tangan besi kanannya. Menjangkakan ini akan terjadi, Seis bersama Siete bertindak melemparkan kotak-kotak ke arah Trez yang meluru ke arah mereka. Belum sempat dia menumbuk mereka, Trez diterajang dari belakang oleh Rizwan yang belum dicam kerana memakai topi keledar sementara Dos menyaksikan sambil berselindung di sebalik kotak-kotak dalam sarang. Trez cuba menumbuk balas tetapi Rizwan menjatuhkannya dengan Sarung Tangan Titik Tekanan kemudian menjatuhkan topi keledar.

Jenny mengecam Rizwan kerana masuk campur dan cuba menundukkan Rizwan dengan sarung tangan pengawal Azurium yang dipakainya, tetapi tidak menjadi kerana semua Azurium telah disedut keluar dari tubuh Rizwan. Rizwan cuba menyerang Jenny tetapi Jenny menghambat dan menghumbannya dengan kerumunan nanobot dari sut yang dipakainya. Jenny membangkitkan Trez dengan mengawal Azurium di dalam tubuhnya, dan mereka bersama-sama melawan Rizwan. Seis dan Siete cuba mengambil kesempatan untuk melarikan diri, tetapi Jenny sempat menghalang mereka dengan pengadang nanobot dan menyuruh mereka menyerah. Seis berpura-pura menyerah dalam cubaan memperdaya Jenny, kemudian menyerang secara mengejut, tetapi Jenny membalas dengan mengarahkan nanobot untuk mengerumuni kepala kembar itu sehingga rebah.

Dos menujah belakang Jenny dengan Shox Stix dan cuba menikamnya di muka, tetapi Jenny sempat menghalang dengan mengawal Azurium dalam tubuh Dos sambil meluahkan rasa senang hati melihat ramai ahli Numeros berkumpul semula. Rizwan sekali lagi menjatuhkan Trez dan beralih kepada Jenny, tetapi ditahan pada kaki oleh nanobot Jenny sebelum sempat menghampirinya. Dos melemparkan Kristal Kilat untuk melarikan diri dan Rizwan. Kecewa, Jenny menyuruh Trez mengangkat Seis dan Siete yang sudah tidak sedarkan diri.

Watak[]

Watak utama[]

Watak sampingan[]

Galeri[]

Nota[]

  • Episod ini diberi tajuk "Misi : Naik Taraf" (Inggeris: "Mission : Upgrade") dalam menu Disney+ Hotstar.

Pautan luar[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement